Skip to main content

Roti Canai Melayu

Macha… roti canai wonne! Kasi bikin banjir, dhal sama sambal. Nandri macha. Kalau nak order roti canai di kedai mamak, jangan sembarangan cuba karinya. Takut perut tak tahan nanti. Aku sekadar tersengih tengok kawan ni order roti banjir. Saranan pasal kari mamak aku rasa tak begitu tepat tapi aku diamkan saja sebab bukan semua orang perutnya sensitif. Memang betul cakapnya kari mamak boleh sebabkan perut tak selesa tapi berapa ramai Melayu yang suka kari mamak berbanding Melayu yang sakit perut kalau pekena air tangan mamak?
Berapa ramai pulak orang kita yang masih tetap sukakan kari mamak walaupun memang dah tau perut tak berapa tahan kena penangan gelora akibatnya? Begitulah resamnya roti canai. Lazim yang dipertimbangkan adalah kuah pencecahnya selain faktor roti yang lembut, garing dan lazat. Orang Melayu pun sekarang dah ramai yang tebar roti canai. Tak keterlaluan juga dikata majoriti roti canai segera diusahakan oleh bangsa selain keturunan mamak atau India.
Penjenamaan ‘Roti Canai’ sendiri berbaur unsur India dan Melayu. Sejarah kewujudan roti canai di Tanah Melayu berputik dari kedatangan kaum India yang makan roti dan capati selain nasi sebagai hidangan ruji. Canai dalam bahasa Melayu lazim bermaksud ‘potong’. Dalam ‘Roti Canai’, perkataan ‘Canai’ itu khabarnya bukan asal cakap Melayu tapi nama tempat; ‘Chennai’ di India. Orang Melayu sudah lama makan roti canai. Secara peribadi aku tak kisah roti canai Melayu atau Mamak sebab aku jenis yang pentingkan kuah pencecah.
Baru-baru ni aku pergi tengok cerita ‘Estet’ yang Bro Mamat Khalid bikin. Teringin sangat aku nak pergi tonton cerita ini sebab khabarnya Bro Mamat sedikit terkilan cerita ini cuma dapat “Anugerah Khas Juri” dan pelakon harapan untuk Sashi Tharan. Aku nak tau juga kenapa sampai Bro Mamat yang otai ini rasa terkilan? Cerita-cerita Bro Mamat sebelum ni memang aku boleh layan kecuali Lang Buana yang menampilkan lakonan tampar kayu (slapstick) kumpulan pelawak semalam.
Rock, Man Laksa, Zombi Kampung Pisang dan Kala Malam Bulan Mengambang adalah antara hasil air tangan Bro Mamat yang aku hormati. Cuma lepas tonton ‘Estet’ kali ini aku rasa bersetuju dengan penelis juri yang hanya menganugerahkan “Anugerah Khas Juri” kepada filem ini. Sebagai penonton aku rasa cerita ‘Estet’ ini tak begitu memberikan kepuasan macam cerita-cerita Bro Mamat sebelum ini. Mungkin pandangan aku pasal filem Melayu agak dangkal sebab aku cuma minat hasil air tangan beberapa penggiat filem Melayu seperti Bro Mamat Khalid, Bro Afdlin Shauki dan Arwah Yasmin Ahmad.
Tolak tepi karya filem Melayu yang kononnya berorientasikan komersil semata-mata yang dihasilkan kelompok professor, geng pulis, kumpulan rap dan doktor ubat kurus. Nama-nama yang aku sebut dalam perenggan sebelum ini lebih layak dihargai dari pandangan mata aku. Secara objektifnya aku sukakan cara mengutarakan isu dan fikiran dalam berkarya. Dalam ‘Estet’ banyak isu sosial kaum India di Malaysia yang Bro Mamat utarakan seperti mabuk todi, belenggu hutang, bunuh diri dan lain-lain lagi. Cuma kali ini garapan keseluruhan penceritaan ‘Estet’ agak longgar.
Faktor Kollywood yang dicanai oleh Bro Mamat dalam ‘Estet’ menerusi Farid kawan baik Sashi mungkin lebih sesuai dibawakan oleh pelakon lain yang bukannya pemegang watak Budak Setan cerita satu lagi. Watak Farid dalam ‘Estet’ tampak canggung dan pra-matang. Salah satu puncanya mungkin kerana polemik hubungannya dengan Githa tak cukup rempah. Keunikan wajah ala-cina yang ada pada Farid tak cukup untuk memperkuatkan ‘Estet’ sebab lakonannya tak sehebat dalam filem lain yang dibintanginya.
Aku suka cerita ‘Papadom’ yang Bro Afdlin buat. Saadom yang memang orang Melayu nampak serasi dalam dunia makanan ala-India. Sasaran penonton dalam ‘Papadom’ lebih terarah berbanding ‘Estet’. Penggunaan watak Farid mungkin taktik memancing peminat filem Melayu untuk menonton ‘Estet’ tapi pembawaan si Farid dalam ‘Estet’ tak cukup tenaga dan auranya untuk memperkuatkan cerita Bro Mamat kali ini. Dalam mensasarkan segmen penonton India, Bro Afdlin bikin ‘Appalam’ yang disadur dari cerita ‘Papadom’ tapi ‘Estet’ mungkin tak perlu buat begitu.
Apapun aku tetap hormat Bro Mamat. Walaupun bukan professor tapi keberanian memartabatkan bidang yang diusahakannya lebih terserlah. Bro Afdlin juga aku hormat. Aku rasa jika lebih ramai pengusaha filem tanahair macam mereka, InsyaALLAH minda penonton wayang Melayu di Malaysia boleh tambah diperkasa dan bukan sekadar leka berhibur sepenuhnya. Dari aspek pasaran tempatan, kalau roti canai Melayu boleh dapat sambutan, masakan pula air tangan usahawan filem sebegini harus diragukan?


By: Towil

Comments

towil said…
Congrats Bro Mamat Khalid utk filem "Hantu Kak Limah Balik Rumah". Frasa "cecciter... cecciter..." memang berjaya memikat ramai penonton. Mengambil peluang sementara citer antu kat mlesia nih masih diminati... garapan mesej kemasyarakatan dlm cerita ini memang layak dipuji.

Popular posts from this blog

Siapa AHZAB?

Qunut Nazilah. "Ya Allah kami letakkan kamu di batang leher musuh-musuh kami, Dan kami berlindung Dengan-Mu dari kejahatan mereka, “Ya Allah hancurkan kumpulan mereka, “Ya Allah pecahkan pakatan mereka, “Ya Allah leburkan penderian mereka, “Ya Allah musnahkan langkah mereka, Cengkamkan anjing-anjing-Mu kepada mereka, “Ya Allah Yang Maha Memaksa, “Ya Allah Yang Maha Perkasa, “Ya Allah Yang Maha Membalas, “Ya Allah,“Ya Allah, “Ya Allah, Yang turunkan kitab, Yang gerakkan awan, Yang tewaskan tentera Ahzab, Kalahkan mereka, Kalahkan mereka, Kalahkan mereka Dan menangkanlah ke atas kami." Doa Qunut Nazilah adalah doa yang sama diseru oleh para pembela Palestine, Syria, Iraq, Rohingya, Central Africa, East Turkistan (Uyghur), Chechnya, Ahwaz (Sunni Iran), dll apabila Ummat Islam dizalimi PERANG yang membunuh, memperkosa dan mencabul segala hak asasi manusia. DALIL PENSYARIATAN QUNUT NAZILAH Daripada Anas bin Malik RA: أَنَّ رِعْلاً وَذَكْوَانَ وَعُصَيَّةَ وَبَنِي لَحْي

Cerita Kampung Istana

“Ady tak setuju lah dengan cara sesetengah orang tua-tua sini cakap pasal masjid lama tu”. Terpegun sekejap aku dengar Ady cakap macam tu. Bukan apa…  aku memang tak sangka anak muda berusia 20an yang sekali imbas dengan rambut paras bahu, berseluar jeans lusuh, dengan kemeja-T bercapuk cat sebab baru balik kerja tiba-tiba bagi komen pasal masjid di kampungnya. Aku takjub sebab Ady masih nak ambil tahu pasal cerita masjid lama di kampungnya yang kini sudah tidak lagi digunakan kerana sudah ada masjid baru sebelah sekolah agama. Tambah terkesima aku dengan apa yang Ady tahu berkenaan sejarah masjid lama kampungnya yang dibina pada zaman selepas British keluar dari Tanah Melayu. “Ada orang kampong sini cakap memang eloklah dipindahkan masjid ke tapak baru sebab asal tapak tanah masjid lama tu pun bukan baik sangat. Sebelum dibina masjid, tapak tanah tu ada kedai kopi tentera British. Faham-faham sajalah kalau zaman dulu kedai kopi dan rumah tumpangan orang putih mestilah banyak b

Kopi Tongkat Ali; Nak Tambah Kuat Lagi?

Abang mau itoo tulur sitengah masak ka? Sudah minum tongkat ali, makan tulur la bang… kasi power kuat punya… Tanggapan. Aku ingatkan mamak yang ambik order tadi memang rekomen telur separuh masak untuk digandingkan dengan kopi tongkat ali 5 dalam 1 sebab boleh tambah tenaga orang jantan. Tapi bila aku fikirkan balik, alahhh… dia meniaga, memanglah suka pelanggan yang macam-macam ordernya. Kopi Tongkat Ali; apa sebenarnya yang dijual? Serbuk kopi segera… dengan KHASIAT memperkuatkan tenaga. Boleh kaya orang yang jual kopi segera ini di Malaysia. Sampai mampu bagi hadiah pertandingan satu juta.