Sunday, June 17, 2012

Hujan Batu Di Negeri Sendiri

Orang tua-tua dulu cakap macam tu… Dari dulu aku cuba nak pahamkan kenapa macam tu? Sampai hari ini masih tak terjangkau akalku. Kenapa perlu bermatian mempertahankan tanahair? “Ask not what the country did for you but what have you done to your country”. Itu cakap orang putih. Dalam Bahasa Melayu maksudnya lebih kurang, “jangan dipersoal apa yang Negara lakukan untuk anda tetapi tanyalah pada diri sendiri apa yang anda dah buat untuk Negara?”.

Banyak kali aku cuba bersetuju dengan pepatah orang dulu-dulu… tapi kerap sangat aku jumpa alasan yang boleh menyangkal cakap itu. Kepercayaan setempat yang bersandar hukum adat sentiasa wajar disangkal oleh Syariat yang bersendikan hukum Islam sejagat. Kalau dulu aku tak nampak sangat beza Muslim dan Melayu. Sejak lahir dan besar di Tanah Melayu, aku dah banyak kali dengar pasal ketuanan bangsa kepada negaranya. Memang ada bahagian yang aku setuju… Cuma tak salah juga aku rasa kalau yang patut kita utamakan adalah ketuanan AGAMA kepada penganutnya.

“Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku” [Al-Kafirun : 6]
Itu ungkapan yang relevan bagi menyokong ketuanan agama dan bagi orang Islam yang solat, ayat itu pastinya sering dibaca. Cuba kita hayati maksudnya dalam hidup kita. Ayat ini sangat adil dalam mengajak ummat Islam bersifat tegas tetapi lembut. Tegasnya kerana menolak kepercayaan selain ISLAM, lembutnya pula kerana kita disuruh terima terlebih dulu bagi kamu (orang lain) agama kamu, barulah disebut bagi aku agamaku. Maka adabnya bukanlah mendahulukan berkokok jaguh siapa aku, tapi aku terima siapa kamu.

Hujan emas di negeri orang. Menarik sungguh bunyinya. Cuma bila difikir, kilauan emas tak pernah direkod dalam sejarah dunia ini bersifat semudah turunnya hujan di Tanah Melayu. Serupa macam ayat orang putih, “the grass is always greener on the other side” yang bermaksud rumput sering kelihatan lebih hijau di sebelah sana. Hakikatnya kita memandang peluang secara optimis kerana kita tak nampak lagi keadaan sebenar. Perspektif yang positif membantu kita bertindak secara positif mengikut hukum tarikan universal (Law of Universal Attraction).

Kesimpulan maksud tersirat pepatah “Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri” yang orang tua-tua dulu cakap adalah, “pilihlah setia kepada negeri sendiri walaupun terpaksa bersusah payah”. Dunia hari ini yang lebih materialistic pastinya memilih emas berbanding batu. Kekangan hidup yang menghimpit boleh membibitkan kekufuran sehingga terbit pelbagai permasalahan dunia termasuk mencuri, menipu, korupsi, prostitusi dan sebagainya.

“Kadang-kadang kefakiran menjerumus kepada kekufuran” [Mafhum Alhadith]
Dunia ini ‘kebun’ akhirat. Sebagai orang Islam yang beriman kepada ALLAH dan hari Akhirat, kaya dan miskin wajib dipercayai dalam dua perspektif; Dunia & Akhirat. Oleh kerana kita juga wajib percaya dunia ini sementara sedang akhirat lebih kekal selamanya (macam yang diulang dalam khutbah Jumaat), logiknya kita kena lebih kuat berusaha untuk hidup yang lebih kekal di akhirat sana. Paling ideal jika kita mampu capai status “Kaya di Dunia, Kaya di Akhirat”. Justeru fakir di dunia dan fakir jua di akhirat pastinya golongan manusia yang paling malang hidup dan matinya.

Rasulullah s.a.w dilahirkan yatim di bumi bertuah Makkah AlMukarramah. Sehingga usianya 53 tahun, Rasulullah s.a.w masih bergelar orang Makkah. Hanya 10 tahun terakhir dalam hidupnya dikenali sebagai orang Madinah AlMunawwarah atau Bandar Yang Bercahaya. Pada tahun terakhir usianya, Rasulullah s.a.w sudah berjaya menawan kembali Makkah (Fathul Makkah) dan turut menunaikan Haji di Makkah AlMukarramah. Namun sirah baginda diakhiri dengan wafatnya di Bandar Yang Bercahaya. Allahumma salli ‘ala Muhammad.

Hijrah Rasulullah s.a.w dan para sahabatnya dari Makkah AlMukarramah menuju ke Madinah AlMunawwarah adalah suatu perintah yang besar. Bayangkan kalau kita dan seisi kampong halaman kita diarahkan pindah dari Johor Bahru ke Kota Baharu? Harus diingat segala urusan perpindahan ketika itu harus diuruskan sendiri sedang dalam keadaan itu masih banyak ummat Islam yang harus berpisah dengan anak isteri, adik beradik, saudara mara dan sahabat handai lantaran perbezaan AGAMA. Begitulah pengorbanan Hijrah ke Bandar Yang Bercahaya.

Muhajirin Makkah yang bersama Rasulullah s.a.w sepanjang 13 tahun dakwahnya di sana berjaya disatukan dengan penduduk Ansar Madinah atas dasar AGAMA sehingga termaktublah Piagam Madinah yang merupakan “Perlembagaan Bertulis Pertama Di Dunia”. Begitu besar pengiktirafan ALLAH s.w.t kepada pengorbanan hambaNya ketika itu. Bumi yang asalnya bernama ‘Yathrib’ bertukar kepada Madinah. Dasar Negara yang mengiktiraf kewarganegaraan kaum Muslimin majority gabungan Muhajirin dan Ansar tanpa menafikan minority Yahudi digubal berlandaskan keadilan dan kebijaksanaan hukum ALLAH.

Inilah sejarah keagungan ISLAM yang benar seperti dijanjikan oleh ALLAH s.w.t apabila hambaNya berjaya mencapai tahap keutamaan yang sebenar dalam hidup. ALLAH dan RasulNya adalah keutamaan mereka. Rasulullah s.a.w pernah bersabda, “apabila ummatku mengagungkan kebesaran dunia, maka tercabutlah daripadanya kehebatan ISLAM”. Sungguh benar Islam hari ini teruk dibelasah musuh dari segenap arah, kanan dan kiri, atas dan bawah. Sudah tak segagah zaman Rasulullah s.a.w dan para sahabah. Makin hari makin nampak banyak musibah. Astaghfirullah.

Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang. [Al-Baqarah : 45] 
Penat tengok kerenah manusia berlumba kejar hidup dunia. Hidup yang sementara dikejarnya sampai habis dilanggar semua. Padahal punyalah baik ALLAH tawarkan suruh kita mintak tolong kat DIA yang berkuasa mencipta dan mentadbir segalanya. Dah lah DIA buat kita, DIA bagi kita aqal & tenaga untuk usaha, DIA pesan suruh mintak lagi kat DIA kalau kita nak apa-apa, DIA bagi peluang pulak untuk kita mintak maaf kalau terlupakan DIA dan macam-macam lagi pinjaman DIA yang kita dah guna… ada patut ke manusia engkar lagi padaNYA?

ALHAMDULILLAH. Segala Puji Bagi ALLAH.

Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan(untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar. [Al-Baqarah :153] 
Untuk kali ini aku nak sangkal juga sikap nasionalis totok sesetengah ummat Islam khususnya Melayu menurut tafsiran yang diungkap oleh pepatah orang tua-tua, “Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri”. Pertamanya oleh kerana Rasulullah s.a.w berhijrah dan setia di Madinah AlMunawwarah sehingga akhir usianya meskipun telah berjaya menawan Makkah tanah kelahirannya dengan AGAMA, maka tak salah tinggalkan tanahair demi ISLAM. Keduanya mempertahankan tanahair hanya perlu bila AGAMA jadi keutamaannya sebagaimana Rasulullah s.a.w dan para sahabat berperang mempertahankan Madinah sebagai sebuah Negara Islam Berperlembagaan yang pertama di dunia. Wallahu a’lam.

By: Towil See Sharp Minor