Saturday, August 27, 2011

Bebunga Raya Di Jalanraya

Saban tahun menjelang Aidilfitri, kebanyakan orang Melayu di Malaysia mula mencongak pelbagai perkara. Bagi yang dah berkeluarga lazim giliran ibubapa dan mertua harus dijaga, yang dewasa pula lazim berkira-kira cuti nak balik bila, naik apa, dengan siapa, bawak balik berapa… dan sebagainya. Kalaupun tak begitu semangat nak beraya macam budak-budak yang tak sabar nak bergaya sambil kutip angpow raya, kesibukan nak beraya masih terasa walaupun sebenarnya yang layak dikatakan Aidilfitri itu sehari sahaja.

Kemeriahan Aidilfitri berlangsung sampai sebulan di sini, sampai ada yang berkira-kira nak juga buat sambutan rumah terbuka pada tanggal 30 Syawal tanpa menyedari bulan hijrah tersebut boleh jadi 29 saja. Begitu lumrah persepsi yang kalau nak dihalusi pasti masih boleh diperbaiki. Perkara asas yang nak diperhatikan juga masih lumrah iaitu pasal berlebih-lebihan. Bukan niat nak publisiti bila mengkritik amalan kaum keluarga sendiri… Cuma nak ingatkan diri. Lagipun, silap-silap gaya kritik pasal raya ini, langsung dituduh wahabi pula nanti.

Sebagaimana mudah kelihatan bazaar dan pasar Ramadhan yang menghiasi sebulan berpuasa, begitulah mudah sebenarnya kita nak fahamkan tabiat ummat Islam khususnya yang berbangsa Melayu di Malaysia bila nak cerita pasal Raya. Dengar saja lagu raya yang masih dianggap keramat bagi sesetengah orang melayu, suasana muzikal terbayang di minda. Suara arwah P.Ramlee dan Sudirman, Dato’ DJ Dave, M.Nasir, Black Dog Bone, Fazidah Joned, Ahmad Jais, Aishah dan lain-lain lagi pasti kumandangnya terkesan di jiwa orang kita.

Bagi yang belum cukup mengerti Aidilfitri dari pandangan agama, itulah saja yang seronok bila tiba masanya. Seronok beli baju raya sedondon satu famili, beli kuih berpuluh jenis, beli langsir berlapis-lapis, mengecat rumah dan sebagainya adalah lumrah di sini. Klise di televisyen saban tahun pasti ada ucapan Selamat Hariraya dari mereka yang samada di kejauhan mahupun yang tak dapat bercuti untuk pulang beraya bersama keluarga. Dalam ramai-ramai yang sibuk segala benda demi nak raya, berapa ramai yang seikhlasnya seronok bertakbir memuji Yang Maha Esa semasa menyambut hariraya?
ALLAHU AKBAR. ALLAHU AKBAR. ALLAHU AKBAR. LA ILAHA ILLALLAHU ALLAHU AKBAR. ALLAHU AKBAR WALILLAHIL HAMD.

Sepanjang Aidilfitri, kalau mahu ditadah airmata yang berjurai sepanjang musim raya di sini, barangkali boleh penuh seperigi. Kesyahduan aidilfitri begitu unik sekali sehingga mudah sahaja terbit rasa hiba bila diusik rasa. Entah dari mana sumber rujukan agama yang menggalakkan kita bersedih bermurah durja, sehingga tak cukup tempat parking kawasan kubur di pagi hari lepas solat raya. Itu juga sepatutnya pelik sebab di hari raya ummat disuruh bergembira, menziarahi tetangga, berukhuwwah sesama handai dan saudara sambil memuji keagungan Yang Esa.

Memang disunatkan makan sebelum menunaikan solat sunat hariraya. Sampai naik jenuh memasak untuk juadah raya, jangan lupa ambil faedahnya dengan makan sebelum keluar bersolat… yang pentingnya solat; meskipun sunat sahaja hukumnya tetapi itulah perkara yang diutama selain takbir yang bergema di sini sana dalam istilah Hariraya di sisi agama. Begitu juga disunatkan pakai pakaian yang cantik untuk berhariraya. Maknanya yang sunnah pakai baju cantik-cantik, kemas-kemas untuk pergi Solat Sunat Aidilfitri; bukan sekadar nak pergi beraya ke rumah orang saja.

Pada hakikatnya memberi duit raya kepada kanak-kanak semasa hariraya adalah amalan budaya yang tidak bercanggah dari anjuran agama sekiranya niat si pemberi adalah sedekah. Jadi harus dijaga pengistilahan dan apresiasi amalan itu jika mahu melaksanakannya secara benar. Bagi kanak-kanak pula, harus diberikan peluang kepada mereka untuk memahami kenapa kita yang dewasa bagi duit raya. Patut untuk kita katakan padanya, ini sedekah ya… gunakanlah sebaiknya. Kalau duit raya itu diguna oleh budak-budak buat beli mercun, habis punahlah niat yang mahu sedekah berpanjangan.

Siapa yang patut kita ziarahi di Aidilfitri? Kenapa pula nak kena pergi rumah dia? Kalau kita dah raya rumah dia, lepas tu dia kena raya rumah kita pulak ke? Islam sukakan ummatnya saling berukhuwwah antara sesama sanak saudara, jiran tetangga dan sahabat handai. Kalau larat pergilah berziarah kerana muhibbah dan ukhuwwah. Hariraya menuntut kita memperkuatkan pertalian persaudaraan seagama. Bukan mesti berbalas ziarah, tapi yang penting bila bertemu saling muhibbah saling ukhuwwah kerana ALLAH.

Kualiti berhariraya banyak berkait dengan nilai berpuasa. Secara mudahnya boleh disimpulkan bagi yang berpuasa dengan harapan dan usaha mencapai ketaqwaan sebagaimana yang dimaktubkan di dalam ayat AlQur’an berkenaan puasa, lazim akan dapat menghargai kegembiraan yang ALLAH s.w.t anugerahkan di penghujung Ramadhan. Kenyataan ini bukan nak kata siapa yang tak dapat menghayati ibadah puasa takkan rasa gembira, cuma jenis gembiranya itu sahaja yang berbeza. Gembira dengan rasa bertuhan tak sama dengan sekadar suka sebab dapat makan-makan.
TAQABAL ALLAH MINNA WA MINKUM YA KARIM. SELAMAT HARIRAYA. MAAF ZAHIR BATIN.

Ucap selamat yang mengandungi elemen Sunnah Nabi adalah yang punya doa bermaksud, “Semoga ALLAH menerima dari kami dan juga dari kamu”. Selebihnya frasa Selamat Hariraya itu cuma ungkapan budaya. Apa pula yang diharapkan semoga diterima ALLAH hendaknya? Itulah dia pertautan rapat ibadah berpuasa dengan hariraya Aidilfitri. Justeru kelaziman sikap semasa berpuasa yang dihayati sepanjang menjalani ibadah menahan diri sambil berlapar dahaga mudah terbawa-bawa ke hari raya. Kalau puasa nak besarkan selera, raya nanti tak peliklah kenapa ada rasa nak buat semua benda.

Natijah berpuasa bagi yang melaksanakannya kerana ikutkan budaya semasa sahaja biasanya tidak mampu membibitkan kesan sebenar kefardhuan ibadah puasa iaitu TAQWA. Hakikatnya ramai yang berpuasa tapi amalan lain dalam kehidupan masing-masing di luar Ramadhan tetap tiada peningkatan. Tolak tepi yang puasa tapi tak sembahyang, puasa tapi tegar dengan segala keaiban nikmat dunia di malamnya atau pun geng yang tak puasa tapi sembunyi-sembunyi takut ditangkap para penguasa. Hakikatnya kita hanya layak berhariraya kerana kita berpuasa.

Justeru kita kena percaya bahawasanya Aidilfitri adalah sambutan Ummat Islam yang berpuasa semata-mata. Sepatutnya tak jadi masalah kalau kita tak nak berkongsi raya dengan orang lain yang tidak seagama. Kenyataan ini bukan mengajak untuk tidak harmonis dalam kehidupan masyarakat majmuk tetapi lebih bersifat menuntut hak agama dikecualikan dari sewenangnya diperjudikan demi kepentingan kenegaraan. Perlu kita jelas bahawa yang namanya Aidilfitri adalah tanggal 1 Syawal sahaja, jadi kalau nak berharmoni raya bersama penganut agama berbeza, bermuhibbahlah di Syawal kedua dan seterusnya ‘sempena’ hariraya yang menjelma.
EID MUBARAK. KULLU ‘AM WA ANTUM BI ALFI KHAIR.

Itu gaya ucap selamat orang Arab. Maksudnya lebih kurang Selamat Hariraya… Cuma tak ada minta maaf zahir batin. Itu budaya di sana, lazim mendoakan yang baik-baik sahaja. Kita di sini minta maaf pun bagus juga budayanya. Tambah-tambah lagi orang kita memang suka simpan dalam hati. Jadi memang elok sangatlah budaya mintak ampun di hariraya. Kira 0 – 0 lah ya… Manalah tau kot masa kat tengah jalanraya tadi termaki barang sepatah dua, ya lah… jalan penuh kereta, awak pulak terhinggut macam siput ;-)

Lebuhraya dan jalanraya memang sakan beraya sebab semua orang kena menziarahi saudara mara. Kan ke raya setahun sekali je… masa inilah juga peluang nak mintak mahap semua. Orang kita bila bersua memang beradap sopan bicara, tapi bila di jalanraya memang bukan semua tetiba berubah cara. Sampai kena ada polis tertonggok jaga Ops Sikap setiap kali raya. Rasanya macam dah banyak tahun operasi ini dilaksana, cuma tak perasan pula dah elok ke sikap kita berhari raya di jalan raya dan lebuhraya setiap kali menjelma hariraya?

Balik kampong di musim raya sudah layak diiktiraf sebagai agenda bersabar yang utama. Perjalanan yang biasa beberapa jam sahaja sering berganda tempoh masa. Dari selatan ke utara, ke pantai timur dan ke mana jua, memang banyak kereta di jalanraya. Bukankah itu tandanya orang kita dah makin ramai yang berkereta. Nak kata kaya sangat tu, tidaklah juga. Masih ramai yang sekadar sederhana. Tak kurang juga yang zahir bergaya tapi batinnya papa kedana. Bior pape asal bergaye kate nyer… Moga tak sampai tahap bergaya di dunia, papa kedana di akhirat sana. Wal’iyazubillah, Na’uzu billahi min zalik.

Salam Aidilfitri dari See Sharp Minor... Eid Mubarak!

By: Towil

Thursday, August 18, 2011

(Chord) Berkat Ramadhan


Atas permintaan penge'like' a.k.a peminat kami di FB, maka dengan rasa rendah diri kami poskan lirik dan chord lagu 'Berkat Ramadhan'. Sebaik-baik muzik adalah zikir mengingati-Nya. Enjoy & Ramadhan Kareem! :)

(Verse 1)
Am
Saat ini yang dinanti

Am
waktunya menjelma lagi

G
keberkatan yang dijanji

Am
ayuh sama kita cari

Sunday, August 14, 2011

Thank You note.

Subhanallah. Alhamdulillah. Allahu akbar.

Terima kasih kepada para pembaca blog warung kopi see sharp minor yg kini menjangkau lebih 10 ribu. Moga ALLAH terus melimpahkan kekuatan untuk kita istiqamah dalam kebaikan.

Thanks to readers of warung kopi see sharp minor blog who are by now exceeding 10 thousand. May ALLAH continues His blessings upon us to remain consistent in goodness.

InsyaALLAH. Jazakumullahu khairan.
-See Sharp Minor-

Wednesday, August 10, 2011

Terbalik Rasa, Tersilap Guna, Tersesat Pula

Setiap sesuatu itu seeloknya yang pertengahan. Berlebih-lebihan mahupun terlalu kurang, keduanya lazim tidak mendatangkan hasil yang optimum. Pasti akan ada sahaja kesan sampingan yang tak kena dalam keduanya. Bagi yang menghidap penyakit kencing manis akibat terlebih gula juga begitu. Diabetes yang datang adalah kesan kepada berkurangnya insulin yang sepatutnya bertugas memproses gula menjadi tenaga dalam diri manusia. Memang pada awalnya manis gula tak mengapa, tapi bila dah terpaksa ambil tambahan insulin, gula itu sudah jadi bahaya.

Banyak perkara manis dalam hidup kita yang sifatnya umpama gula. Sekadar yang patut boleh saja, tapi bila berlebih-lebih, tunggulah akibatnya. Kemudahan yang mewarnai kehidupan harian kita dalam dunia hari ini juga banyak yang pada awalnya nampak semanis gula tapi boleh bertukar kepada aniaya bila disalah guna. Teknologi ICT umpamanya; kalau berkadar diguna ikut keperluan sahaja jarang sekali menjadi perosak agama, budaya dan resam hidup manusia, tetapi bila disalahguna memang banyak anasir negatif yang menjahanamkan jua akhirnya.

Thursday, August 4, 2011

Khabar Sekitar Perkhabaran

ALHAMDULILLAH… Ramadhan yang diberkati menjelma lagi. Kita yang masih dapat baca artikel ini maknanya masih bernyawa. Peluang yang ALLAH bagi untuk terus menghirup udara dunia yang masih percuma. Kalau tidak kerana bulan puasa sekali pun, kita sentiasa punya sebab untuk tak kurang menyatakan kesyukuran atas segala rahmat Tuhan. Inikan pula dapat peluang meneruskan sisa usia melalui bulan yang mulia sebelum masing-masing nanti dijemput mengadapNya. Sekali lagi ALHAMDULILLAH & terima kasih ALLAH atas segalanya.

Di akhir Sya’ban baru-baru ini, beberapa perkara sempat menjadi tajuk berita yang menggamit perhatian ummat Islam di sini khususnya. Tolak tepi cerita politik yang takkan putus dari mewarnai agenda masyarakat Malaysia, ummat kita masih punya perkara yang layak menuntut rasa cakna. Rata-rata bagi yang sudah bijak menghargai nilai berpuasa, semakin ramai yang tahu dan mahu bersuara agar ibadah istimewa setahun sekali ini dapat dijaga dari dicemari.

Kalau sedekad sebelum ini pasar dan bazaar Ramadhan dipuji kerana memudahkan semua yang berpuasa mencari juadah berbuka, kebelakangan ini kita sudah biasa mendengar ramai yang mengklasifikasikannya sebagai medan cabaran berdepan nafsu makan yang adakalanya menggila mahu menjamah semua benda. ALHAMDULILLAH atas peningkatan kesedaran yang mahu menjaga nilai berpuasa demi mendidik jiwa dan bukannya sebab nak berlapar semata-mata kerana nak makan ikut selera.