Saturday, November 23, 2013

...maen LUAR rumah...

Baitullah... Kaabah... Tanah Haram Makkah AL-MUKARRAMAH... RUMAH ALLAH. Siapa yang ada di situ gelarannya "Tetamu ALLAH Yang Maha Pemurah" atau "Dhuyuf Ar-Rahman". Tetamu kepada TUHAN Yang Maha Berkuasa, Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Di dalam kawasan Tanah Haram Makkah yang meliputi lebih 1000km persegi, dilitupi banjaran bergunung dan berpasir di sekelilingnya, diBERKATI oleh ALLAH Tuhan Sekalian Alam.

SubhanALLAH... Alhamdulillah... ALLAHU Akbar.

Segala puji bagi ALLAH Yang Merahmati Tetamu terpilih yang mendiami Tanah Haram Makkah AlMukarramah. Setiap hari di Masjidil Haram sepanjang musim haji pasti kedapatan solat jenazah mengiringi setiap 5 waktu solat. Bergembiralah mereka yang terpilih HIDAYAH ALLAH sepanjang usia di sana sehinggalah ke akhir usia. "Barangsiapa yang mati sedang dia dalam keadaan berIHRAM, maka dia bakal dibangkitkan dalam keadaan berTALBIYAH..." ~mafhum alhadith~.

Berbahagialah roh yang dipanggil mengadap ALLAH dalam "Husnul Khatimah" apatah lagi jika ia di bumi Makkah AlMukarramah. Roh-roh ini terpilih dipanggil pulang ke Baitullah... terpilih diundang pulang ke Rumah ALLAH Tuhannya yang disembah dan dipuja sepanjang usia dan TERPILIH mereka ini pulang ke dakapan ALLAH dengan solat terakhir usia mereka yang terkujur kaku dalam kafan disolatkan di Masjidil Haram yang masih dihurungi Jemaah Haji setiap waktu solat. Paling sedikit ratusan ribu yang bersama solat jenazah di saat musim yang pasti datang setahun sekali... SUBHANALLAH... setiap musim dengan kisah tersendiri.

Roh manusia adalah ANUGERAH ALLAH kepada setiap jiwa yang bernyawa. Kekuatan Rohani adalah dengan santapan AlQuran. Roh yang masih belum mahu pulang ke Rumah Tuhannya adalah yang hakikatnya masih buta dan masih tak tau dari mana asalnya.

Tanah Haram Makkah terkandung di dalamnya Kaabah yang dimuliakan. Berada di luar Tanah Haram berarti di luar kawasan Rumah ALLAH (Baitullah) yang menjadi Kiblat ummat Islam seluruh dunia. Kiblat adalah perlambangan mudah yang ALLAH s.w.t sendiri tentukan. Kita yang mengaku ISLAM semua kiblatnya sama. Walau berbeza rupa, bangsa, bahasa, budaya, sikap dan pandangan kepercayaan... jika ISLAM Agamanya, Kaabah Rumah ALLAH adalah fokus arah hidupnya 5 kali sehari.

Bukan batunya Kaabah itu yang disembah, bukan juga kiswah (kelambu) Kaabah itu yang penuh hikmah TETAPI yang diagungkan adalah Pemilik Kaabah iaitu ALLAH s.w.t yang Berkuasa atas segalanya. Kaabah itu makhluq ALLAH yang terpilih menjadi lambang penyatuan ummat Islam seluruh dunia.

Siapa yang rasa nak maen2 kat luar RUMAH... jangan lupa INGAT mengadap Rumah ALLAH selagi nyawa dikandung badan 5 kali sehari tak kira di mana kita berdiri. "Sesungguhnya solat ditetapkan ke atas orang yang berIMAN pada waktu yang tertentu" ~mafhum ayat AlQuran~

Meskipun begitu istimewa Tetamu ALLAH yang terpilih hadir ke Makkah dan menziarahi Baitullah, itu bukanlah JAMINAN ke atas jiwa tersebut terhindar dari diperdaya nafsu dan keinginan yang akhirnya mengakibatkan kegelinciran AQIDAH meskipun berada di sekitar Kaabah. Baru-baru ini sahabat See Sharp Minor yang di Makkah berkesempatan menyaksikan seorang berketurunan Pakistan yang ditangkap mencuri diantara kawasan bucu Hajar Aswad ke Hijir Ismail.

Pencuri ditangkap oleh Polis Masjid AlHaram yang berpakaian preman. Penjaga Kaabah yang berada di dalam Hijir Ismail langsung keluar dan membawa masuk pencuri itu ke dalam kawasan Hijir Ismail yang bertaraf "dalam Kaabah" menurut tafsiran para ulama'. Dia kemudian disuruh menyangkung supaya tidak mati dibelasah atau dipijak jemaah haji yang masih bertawaf. Sahabat See Sharp Minor ini terfikir, "ke mana lagi SELEPAS Kaabah yang mampu dituju oleh si pencuri ini. Orang datang ke sini UNTUK BERTAUBAT, ko buat cenggitu lepas ni ko nak pegi taubat kat mana?".


Bagi yang sudah pernah sampai ke Rumah ALLAH, jangan lupa Abu Lahab yang dilaknat ALLAH s.w.t didalam AlQuran juga orang Makkah AlMukarramah. Jahiliyah Makkah diriwayatkan pernah tawaf dalam keadaan berbogel. Kaabah dibersihkan dari 360 berhala ketika pembukaannya oleh Rasulullah s.a.w bersama para sahabatnya (Fathi Makkah). Begitu jauh tersesat ummat Jahiliyah ketika itu meskipun masih tahu dan percaya bahawa Kaabah adalah Rumah ALLAH, Tuhan Sekalian Alam yang dibina oleh Moyang mereka Ismail a.s bersama bapanya Ibrahim a.s.


Hanya ALLAH yang mengetahui nasib orang yang matinya di dalam maupun luar kawasan Rumah ALLAH. Ketentuan ganjaran nikmat atau siksaan yang bakal tersedia di akhirat tetap tergantung kepada bagaimana amalannya sepanjang mendiami dunia? Mati di manapun jua boleh dikurnia darjat yang mulia di sisi ALLAH. Contohnya saudara mujahidin kita di Syria, Iraq, Myanmar, Mesir dan lain-lain. Mati dibunuh di Malaysia disaat sedang menjalankan tugas membanteras kesesatan ummat Islam dari diperdaya ajaran sesat, samseng maksiat dan syiah terlaknat juga boleh bertaraf SYAHID di sisi ALLAH. Terserah ALLAH apa suratannya. Wallahu a'lam.

MASIH nak "...maen LUAR rumah..." ? Orang dalam Rumah ALLAH lagikan masih berpotensi terbabas mencuri, inikan lagi orang yang di luar Rumah? Usah takut usah gelisah... ALLAH s.w.t dah bekalkan kita manusia dengan KALAM AlQuran & panduan amalan Sunnah RasulNya untuk kita berpegang kepada keduanya jika kita memilih untuk kekal menjadi hamba yang taatkan Tuhannya tak kira di mana kita berada.

Kalau masih tegar mengikut nafsu yang senantiasa ditiup hasutan syaitan penipu, itu adalah pilihan insan yang sengaja menyalahi ketetapan Tuhan. ALLAH tak rugi kalau manusia tak terima Dia sebagai Tuhan mereka. AlQuran & Sunnah TETAP BETUL untuk dirujuk semula meskipun sesudah manusia2 ini tersalah memilih arah. ALLAH Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani walaupun tidak diperakui oleh hati-hati yang telah mati akibat tiada Petunjuk dan Hidayah Ilahi.

Jangan tersalah ARAH... leka maen kat luar rumah... terbabas yang bukan-bukan... parah berdarah... Terlajak, tersesat, hilang arah lantaran mencari jalan selain yang telah dianjurkan oleh ALLAH adalah akibat terburuk berpunca dari pilihan masing-masing. TAQDIR tidak layak dipersalah kalau kita yang bersalah. ALLAH tak halang kita memilih jalan hidup masing-masing di dunia, tapi setiap pilihan ADA perkiraannya. Jangan lupa... "TIADA TUHAN SELAIN ALLAH, MUHAMMAD ITU PESURUH ALLAH".

Say it... Live by it! La ilaha illALLAH, Muhammadur Rasulullah.

by: Osman Mandela