Monday, March 26, 2012

Merdekakah kah kah kah…


Dah lebih lima puluh kali Negara aku sambut merdeka. Banyak taw 50 lebih kali tu… dari 1957. Cumanya aku rasa majoriti kepala otak orang aku, senang cakap Orang Melayu otaknya tak sampai lagi standard otak yang dah merdeka lebih 50 tahun. Katanya merdeka, tapi macam tak banyak beza dengan penjajahan bila kita perhatikan penghayatannya dalam kebanyakan minda orang Melayu. Boleh diterima pengkelasan minda Melayu yang berstrata. Melayu Bandar atau Urban memang ada beza dengan Melayu kampungan. Melayu belajar luar negeri dengan Melayu belajar sekolah atap juga berbeza mindanya.

Cuma yang nampak bahalulnya Melayu bila menulis perlembagaan Negara ditetapkannya orang Melayu mesti beragama Islam untuk taraf Melayu Bumiputera tapi Islamnya tak mahu ditatang. Macamana entah formula ketuanan bangsa lebih utama dari kedaulatan agama. Siapa lebih mulia? Bangsa atau agama? Bila merdeka, kita ini sebenarnya merdeka apa? Kalau anak bangsa yang telunjuknya mencucuk mata diangkat jadi ketua oleh suku-sakat bajingan dia juga, apa mesti orang lain yang tak pilih dia diamkan saja?

Malaysia dimerdekakan dengan mendukung demokrasi terpimpin… puiiihhhhhh!!! Ayat siapakah itu? Apasal aku nak kena junjung ayat orang tu? Aku lahir ke dunia dengan fitrah Merdeka, ISLAM. Kalau ikut cakap Rasulullah s.a.w semua bayi yang lahir adalah FITRAH, maka mak bapaknyalah yang jadikan dia Nasrani, Yahudi atau Majusi. Kemerdekaan jiwa yang asalnya fitrah adalah anugerah dari ALLAH Sang Pencipta seawal kita semua dilahirkan ke dunia. Kemerdekaan yang dilukis di atas peta persempadanan negara hanyalah natijah permainan manusia.

Realistiknya kewarganegaraan kita di dunia ini punya karekter yang berbeza, dibezakan dan saling membeza antara sesama. Tidak pintar menolak kedaulatan sesebuah negara tanpa alasan yang bernas. Emosi anarki yang membayangi budaya hedonis tidak cukup asas untuk diangkat menjadi landasan pegangan kehidupan. Kalau semua orang ikut mahu masing-masing, tak ubahlah kita macam kerajaan haiwan di hutan. Kalau ramai orang ikut ketua yang hatinya mahu lunaskan kepentingan hawa nafsunya, ada tak iras-iras rupa manusia berotak lembu yg dicucuk hidungnya?

Sistem demokrasi berperlembagaan. Begitulah aku diberitahu dari dulu. Siapa yang pilih sistem ini? Dengar ceritanya di zaman dulu kala ada seorang anak raja yang pergi luar negara berunding atas nama kita semua. Entah macammana lepas layan minum wain sama-sama, maka merdekalah kita… Begitulah lebih kurang ceritanya bila diringkaskan. Kalau nak cerita versi panjang berjela kena rujuk orang yang kerjanya menulis sejarah negara. Apa ke namanya orientalis barat tu..??? Richard Olaf Winstedt ke sapa namanya??

Sentimen bangsa adakalanya kelihatan lebih garang berbanding agama di Malaysia. Dari arah mana agaknya peluang memperjuangkan sentimen sebegini datang? Kalau hari ini, sekumpulan anak muda Melayu dengan bongkak mendabik dada di alam maya sambil gah menceritakan kemurtadan mereka, tak ramai yang nak ambil peduli. Masih ramai yang kata, "biarkanlah… dia orang tu kan muda-muda. Nanti besok dia tua tahulah dia". Itu belum kira anak Melayu jantan betina yang masih terkinja di ibukota dengan segala macam noda dan nista. "Tak apalah, mak bapak dia orang kan ada. Kita nak sibuk buat apa??", tambah ujar mereka.

Merdeka. Siapa yang sepatutnya bagi erti perkataan ini? Sedikit berbeza dari kebebasan, Merdeka masih mengekalkan prinsip dan sistem. Fitrah merdeka seseorang yang terus dalam keislaman pastinya wajib mengekalkan sumber rujukan kepada AlQur’an dan Sunnah. Pengertian merdeka sesebuah negara lazimnya turut membawa maksud anak watan berhak mentadbir dan menentukan halatuju tanahair. Apabila sistem demokrasi yang diangkat menjadi kerangkanya, harus diteliti apakah sistem itu sendiri boleh dimanipulasi bagi mengelak ketidakadilan.

Nilai demokrasi di Malaysia ini tertakluk kepada sistem politik berparti atau partisan. Kerajaan majoriti terbentuk milik sesebuah polar politik apabila tercapai persetujuan 2/3 dari yang memilih undi. Harus diingat kadar peratusan mengundi tidak pernah mencapai 100% malahan 90% juga belum pernah terjadi. Justeru pemilihan system demokrasi itu hanya selayaknya tertakluk kepada mereka yang memilih undi. Bagaimana dengan kumpulan yang tidak percayakan sistem demokrasi warisan penjajah ini? Buat masa ini, jawapan tanpa sebut kita lazimnya berbentuk soalan, “siapa suruh tak pilih?”

Hakikatnya ramai yang memulaukan diri dari terjebak ke kancah politik yang dilabel dengan pelbagai unsur negatif. Awal tahun ini media melaporkan belia mlesia berusia 21 - 30 seramai 3.7 juta org tak daftar pemilih pilihanraya. Jumlah ini sebenarnya besar… Persoalannya mengapa begitu ramai yang tak mahu mendaftar? Jawapan paling mudah selain ignoran adalah kerana ketiadaan semangat kewarganegaraan yang kuat. Jawapan lain yang selari didengari adalah, “aku tak percayakan sistem konon-demokrasi yang mewariskan anak-anak perdana menteri masing-masing jadi menteri”.

Salahkah kita memilih untuk tidak memilih? Berada di atas pagar adalah satu bentuk pilihan. Ya, walaupun pilihan itu diistilahkan tidak menyumbang dari aspek memperkukuhkan jumlah majoriti demokrasi. Cuba bayangkan kalau jumlah atas pagar menjadi kelompok majoriti? Selain atas pagar yang tidak memilih sesiapa sehingga kepercayaan mereka kepada sistem dikembalikan sepenuhnya, terdapat juga kelompok ‘calon bebas’ yang tidak begitu bersinar di persada politik tanahair ini. 

“Independent Candidate” sepatutnya diterjemah kepada calon merdeka kerana bebas bermaksud ‘freedom’. Untuk kita yang memilih keislaman kekal merdeka di jiwa, secara fitrahnya kita cuma perlu tetap di landasan bersumberkan AlQur’an dan Sunnah sebagaimana yang dijanjikan aman dari kesesatan selamanya selagi berpegang kepada keduanya. Demikian tutur kata Muhammad s.a.w yang tahu secara pasti apakah yang terbaik untuk ummatnya mendepani dunia penuh fitnah dan pancaroba.

Sedikit kesal aku akui melihat peradaban ala-haiwan sebahagian bangsa Melayu. Yang macam lembu dicucuk hidung itu satu, yang rasa ‘cool’ buang agama lagi, yang buang bayi, yang makan haram, minum haram, main haram dan macam-macam lagi, semuanya kalau nak diikutkan memang jelas bodoh kerana mengikutkan perlembagaan bertulis dalam akta tapi tak berkuasa nak dibuat apa-apa. Melayu secara automatic Muslim di Malaysia kalau diikutkan perlembagaan Negara? Maka apa agaknya yang sudah jadi dengan orang Islam beragama Melayu hari ini?

Secara peribadi, aku bersetuju kalau seseorang individu tampil menegakkan prinsip kebenaran yang selari dengan ajaran dan kemahuan Tuhan sekalian insan. Ini lebih original dan jati. Tidak semestinya mahu berjuang mesti ikut orang. Memang perlu hidup dalam kumpulan manusia secara berjemaah, tapi kalau demi perjuangan dalam sebuah sistem kuasa pentadbiran yang dibentuk dengan acuan demokrasi bukan Islam, aku tak rasa orang Islam wajib turut serta  apatah lagi apabila mereka bermain politik sehingga menggadaikan agama.

Syurga dan neraka milik ALLAH s.a.w sepenuhnya. Hak DIA nak bagi kat siapa pun jua yang dikehendakiNya. Kalau kerana ketaksuban fikrah politik ataupun partisan kepada sesuatu jemaah semata-mata sudah mampu membuatkan kita mendasarkan si anu undi kita ahli syurga dan si polan undi dia ahli neraka, bukankah ada baiknya permainan sebegitu ditinggalkan sahaja. Jadilah warga yang minda dan jiwa sebenarnya merdeka. Bagi yang beragama Islam, hayatilah kemerdekaan berpaksikan tanggungjawab yang diamanahkan oleh ALLAH s.w.t sebagai agenda hidup yang utama.

Jangan hanya kerana orang lain yang entah siapa dan bagaimana rupa nilai imannya bagitau kita begitu, maka membabi butalah kita membegitukannya. Kalau begini, maka beginilah sahaja. Jangan persiakan kemerdekaan jiwa fitrah manusia dengan kedunguan minda kita lantaran sikap malas mencari jawabnya. Berpeganglah kepada tali ALLAH untuk menyatukan semula hati dan minda kita semua yang mendakwa percaya kepada ALLAH sebagai Tuhan sekalian alam semesta. 

Perkuatkanlah rasa merdeka sebagai hamba kepada Tuhan Yang Esa. Terimalah amanahnya secara benar mahu melaksana segala suruhan dan meninggalkan laranganNya. Islam itu ALLAH s.a.w yang cipta sistemnya. Sudah tentulah ia kalis kesilapan tak macam sistem ciptaan manusia yang boleh diputar dan dibelitkan. Mudah-mudahan faktor ISLAM sebagai agama yang sempurna dapat memelihara kesejahteraan manusia di dunia. Kita teruskan usaha dan doakanlah agar terlaksana agama ALLAH ini sebagaimana kehendakNya. Wallahu a’lam.


By: Towil

Cemburunya Aku Matinya Begitu (2)


Lewat asar, kira-kira jam 5:30ptg member aku telefon ajak turun mengeteh di warung mamak berhampiran studio. Aku layankan saja permintaan sahabat ini tanpa banyak soal sebab aku sendiri pun dah naik tepu melayan kerja yang masih berselirat di pejabat. Assalamualaikum… Apa cerita bos? Tegur sahabat yang barangkali ternampak mata aku yang macam beruang panda sebab dah beberapa hari tak cukup tidur. Tak ada apa cerita sangat… cerita penat ada laaa, jawabku berseloroh. Teh O panas satu macha. Sama. Member menyampuk pantas nak mudahkan order minum.

Cuti hujung minggu baru-baru ni kan aku balik ke Penang dengan famili. Ada cerita yang aku rasa engkau minat nak dengar. Azhar, member sekampung aku yang sama-sama merantau ke ibukota memulakan cerita. Bagi aku ‘hint’ ringkasan cerita tu boleh tak? Kalau aku rasa tak best, tak payahlah kau cerita… hahahaha. Saja aku ‘menganjing’ bak kata orang muda2 sini.  Hmmmm… Azhar berfikir sejenak untuk ringkaskan ceritanya dalam satu ayat. OK,
 “Lelaki Melayu meninggal dunia selepas memberi salam solat sunat tawaf dalam Hijir Ismail ketika masih dalam Ihram umrah”
 Haaaa… amacam? Nak dengar??

Cerita ini baru berlaku dalam cuti sekolah baru-baru ni. Aku balik ke Penang hujung minggu baru ini sebab ziarah keluarga makcik sebelah Kak Eda kau tu. Mak Tam namanya. Cerita lelaki Melayu yang meninggal dalam Hijir Ismail itu suami Mak Tam. Pak Tam namanya. Seriously, aku dengar cerita ni dari Mak Tam sendiri dan SUBHANALLAH bila aku hayati betul-betul, sememangnya kematian yang indah adalah suatu nikmat besar yang ALLAH anugerahkan kepada hamba-hambaNya secara terpilih.

Mula-mula sampai rumah Mak Tam yang baru pulang menunaikan ibadah Umrah aku bertanyakan khabar Mak Tam yang kebetulan baru menjadi balu dengan kematian suaminya Pak Tam di sana. Mak Tam apa khabar? Alhamdulillah. Terdiam sebentar di situ. Aku kelu nak terus bertanya melihat keadaan Mak Tam yang tiba-tiba sebak nak teruskan jawapan. Aku biarkan sebentar Mak Tam melayani hiba yang datang bertandang. Berat mata memandang… ALLAH lebih tahu.

“Mak Tam mintak mahap ya Azhar, Eda… sebak pulak tiba-tiba bila tengok hangpa dua mai sini. Terngiang-ngiang suara Pak Tam pujuk mak si Eda dulu masa hangpa dua dulu nak menikah…” Senyum Mak Tam memandang kami berdua. Linangan airmata yang sudah berhenti memberanikan aku untuk menyambut seloroh Mak Tam. “Dah banyak tahun tu Mak Tam… Kami memang tak ternah lupa jasa Pak Tam sampai bila-bila. Dah lebih 20 tahun kan Mak Tam…

Hari tu masa saya diberitahu pasal arwah Pak Tam, khabarnya dia meninggal dalam Masjidil Haram? Betul ka Mak Tam? Aku dah tak boleh tahan nak tahu cerita sebenar perihal kematian Pak Tam. “Ya. Memang pun. Dia meninggal selepas solat sunat tawaf dalam Hijir Ismail masa buat umrah yang kedua” ujar Mak Tam. Maknanya dia masih dalam ihram Umrah ka Mak Tam? Soalku lagi. “Ya”. Jawab Mak Tam pendek. “Masa Mak Tam bagitau pasai arwah tu sebenaqnya dah lepas 3 hari Pak Tam tak balik hotel semenjak keluar ke Tan’eem untuk bermiqat”.

Mula-mula sehari Pak Tam tak balik tu Mak Tam tak kalut apa pun, sebab memang masa Pak Tam nak pi Tan’eem masa tu dia habaq kata dia rasa nak pi sorang. Saja nak berseorangan katanya.  Bila masuk hari kedua tu Mak Tam habaq kat Ostad mutawwif kami. Dia kata takpa, tunggu je lahhh… Kot arini dia balik. Masuk hari ketiga tu, pagi-pagi lagi Mak Tam dah tak buleh dok sengap dah. Mak Tam mintak tulung kat pakej untuk cari Pak Tam. Ikut lah lagu mana pun, Mak Tam nak cari Pak Tam jugak…

Petang lepas Zuhur, wakil pakej ajak Mak Tam pergi ke hospital yang biasa mengurus jenazah jemaah untuk bertanya di sana, kalau-kalau Pak Tam dibawa ke hospital lantaran penyakit buah pinggangnya. Mengenangkan sebulan sebelum Umrah ini pun Pak Tam masuk hospital Gleneagles Penang sampai tak sedarkan diri, Mak Tam rasa mungkin jugak Pak Tam jatuh sakit lagi di sini. Masa tu Mak Tam ada jugak rasa geram kat Pak Tam kalau kata dia memang jatuh sakit sorang-sorang masuk hospital kat Mekah sebab masa dia nak pi miqat kat Tan’eem lagi Mak Tam habaq suruh pi dengan kawan.

Oh ya, sebelum terlupa… aku belum bagitau Pak Tam ni kerja apa kan? Azhar tiba-tiba bertanya aku yang ralit membayangkan betapa sempurnanya… mati dalam ihram selepas solat sunat tawaf di dalam Hijir Ismail… ALLAHU AKBAR… Hijir Ismail itu dikira sebagai sebahagian dari Kaabah. Sesiapa yang solat di dalamnya adalah umpama solat di dalam Kaabah. Justeru mati di situ adalah mati di dalam Kaabah, Rumah ALLAH. Subhanallah… 

Pak Tam ni kerjanya pegawai kerajaan bahagian akaun. Mak Tam pulak CC / Ketua Kerani pejabat. Pak Tam asalnya orang Pahang. Ok terlanjur aku cerita pasal Pak Tam biar aku terangkan sikit lagi, orang tua ni biasa saja orangnya. Yalah, nak nampak luarbiasa macam mana kan? Sepanjang bertugas kerjanya cuma itu, pergi pagi balik petang. Pak Tam juga bukan orang yang terkenal alim atau berilmu agama. Orangnya bila bercakap memang lembut. Aku sendiri kalau berbual dengan arwah Pak Tam boleh jadi segan dengan perawakan dan senyuman dia yang sentiasa tenang. Tak hairan bagi aku bila Mak Tam cakap yang sepanjang dia bersuamikan Pak Tam, tak pernah walau sekali Pak Tam meninggikan suara memarahinya.

Sesampai di hospital, Mak Tam tak tahu lagu mana nak tanya kat orang Arab tu. Mujurlah wakil pakej umrah ikut sekali. Nak jadi cerita agaknya… Mula-mula Mak Tam bawak keluaq passport Pak Tam untuk tunjuk kat kaunter pendaftaran hospital, orang Arab yang di kaunter memberitahu tiada pesakit di dalam wad hospital itu dengan nama sedemikian. Kemudian, seorang pekerja tukang sapu hospital warga Bangladesh yang dari awal berada di situ bertanyakan passport Pak Tam untuk melihat gambarnya.

Apabila disuakan gambar arwah Pak Tam, langsung lelaki warga Bangladesh itu mengatakan yang dia ingat wajah Pak Tam. Katanya dalam bahasa isyarat bercampur Arab, Inggeris & Urdu, “hua namaz fi Hijir Ismail, salam n khalas, no more” yang bermaksud dia solat di dalam Hijir Ismail, member salam dan habis. Tak ada lagi. Dari gaya bahasa isyaratnya dapat difahami yang lelaki Bangladesh ini boleh ingat rupa arwah Pak Tam kerana orang yang masih dalam ihram tidak ditutup wajah mereka dan dibiarkan terbuka kerana berihram melarang dari menutup muka.

Mak Tam ikut lagi Ostad pakej tu ke pusat pengurusan jenazah untuk cam mayat Pak Tam. Sampai kat tempat tu, ada sorang pompuan Indon yang tengah tunggu jenazah suami dia. Mak Tam sempat berbual. Menurut wanita Indonesia yang suaminya juga meninggal dunia, dia turut ditanya oleh pihak Pengurusan Jenazah AlMuhajirin Makkah kalau ada jemaah Indonesia lain yang kehilangan suami sewaktu umrah kerana masih kedapatan jenazah seorang lelaki berketurunan Melayu yang tidak dapat dipastikan identitinya. 

“Saya dibilang ada seorang lelaki Melayu yang nggak punya kartu pengenalannya. Katanya lelaki ini meninggal dunia sejurus memberi salam solat sunat tawaf dua rekaat di dalam Hijir Ismail. Maaf ya bu… saya nggak pasti sama ada lelaki itu suami ibu kerna saya langsung nggak lihat wajahnya. Barangkali itu orang lain… bukan suami ibu. Yok bu, saya pamit permisi dulu kerna masih punya urusan lain untuk jenazah suami saya. Assalamualaikum”. Wanita Indonesia separuh umur itu lantas berlalu menaiki van jenazah yang ada jenazah suaminya. 

Bila Ostad pakej tu datang balik panggil Mak Tam sambil memberitahu jenazah Pak Tam perlukan pengesahan waris untuk diselenggarakan, barulah Mak Tam betul-betul percaya yang Allahyarham Pak Tam memang meninggal dunia dalam ihram di Hijir Ismail. Oleh kerana Mak Tam ikut arwahnya umrah kali ini dengan tak ada waris lain yang boleh mengesahkan jenazah Pak Tam, terpaksalah Mak Tam turun naik balai polis di sana untuk sahkan mahram. Cuma susah sikit sebab Mak Tam ni perempuan, lepas tu tak faham cakap Arab. Yang lainnya semua mudah.

“Aku luangkan masa hari itu tanya Mak Tam macam-macam sebab nak tau juga apa keistimewaan Allahyarham Pak Tam sampai di dijemput mengadap Ilahi begitu sekali” ujar Azhar kepadaku dengan mata bercahaya menandakan dia memang bersungguh nak cerita. “Pak Tam itu seingat Mak Tam orangnya sabar dan IKHLAS” ujar Mak Tam. “Ikhlas yang macam mana tu Mak Tam, boleh cerita sikit tak?”, Azhar yang bersemangat nak tau melayangkan soalan.

“IKHLAS arwah Pak Tam tu mudah dalam banyak perkara seharian yang kecil-kecil. Contohnya kami pi kerja naik kereta sekali kan. Bila dekat simpang tu, Pak Tam memang jadi perangai dia suka bagi orang lain dok lintas dulu. Kita tau la baguih lagu tu, tapi kita pun tengah kalut nak pi kerja jugak kan. Mak Tam selalu tegur Arwah bila dia dok senyum bagi orang lain jalan.  Tapi itu lah Pak Tam kamu. Pernah dia jawab, “takpa… kita nak kalut apa. Kan ALLAH dah siap susun trafik jem ni untuk kita semua. Dah kita dok dalam taqdir Tuhan tu, apa salahnya kita senangkan orang lain yang sama-sama dengan kita?”

“Hangpa ingat dak pasai apa Mak Tam dengan arwah Pak Tam kamu pindah ke rumah to nek ini semula?” Mak Tam bertanya soalan pada Eda isteri aku… ujar Azhar. “Pasal arwah tok nek sakit kat sini dulu kan Mak Tam nak jaga?” Jawab Eda. “Kenapa Mak Tam tanya kami soalan tu?” Azhar menduga Mak Tam. “Sebelum arwah Pak Tam sakit teruk sampai masuk hospital Gleneagles, masa tu dia dah nak pencen, berbulan-bulan lamanya hari-hari dia balik lambat dari pejabat. Mula-mula Mak Tam tak kisah, tapi bila dok lagu tuuuu memanjang, Mak Tam Tanya pasai apa lagu tu?

Mula-mula Mak Tam tanya dia tak jawab. Bila dia jatuh sakit, baru Mak Tam tau dia pi mana tiap-tiap hari selama berbulan-bulan. Adalah sedara yang cerita kat Mak Tam. Rupanya arwah Pak Tam kamu tu tiap-tiap hari melawat kubur Tok Nek. Lepas dia sedar dan pulih dari sakit, Mak Tam Tanya dia, kenapa abang tak bagitau abang pi kubur mak saya tiap-tiap hari? Dia cakap, “kubur mak saya jauh di Pahang sana. Mak awak kan kira mak saya juga kan”.

Petang tu aku dah nak balik, Mak Tam sempat ingatkan kami sekeluarga agar mendoakannya… “Entahlahhhh… Bila Mak Tam fikirkan, Arwah Pak Tam pergi dengan cara yang baik sampai macam tu sekali Mak Tam jadi seriau. Mak Tam takut kalau-kalau Mak Tam tak dapat lagi nak jumpa Pak Tam kamu. Iyalahh, kalau ditaqdirkan Pak Tam di syurga dengan bidadari-bidadari yang mengelilingi, kenalkah dia nanti pada Mak Tam ini? Layakkah Mak Tam menemani dia di sana nanti? Doakan Mak Tam ya… tak cukup rasanya khidmat Mak Tam pada dia sepanjang jadi isterinya”. Kali ini, aku yang tak dapat menahan sebak. Semoga ALLAH merahmati Cinta kamu berdua duhai Pak Tam & Mak Tam. Amiin Ya Rabb.

Jenazah Pak Tam telah disolatkan di Masjidilharam dan dikebumikan di dalam Tanah Haram Makkah Al Mukarramah. Mak Tam yang mengiringi jenazahnya dari pusat penyelenggaraan Jenazah Masjid AlMuhajirin Makkah AlMukarramah kini selamat berehat di rumahnya di Penang. Allahummaghfirlahu warhamhu.

By: Towil

Note: Terima kasih kepada Tuan Haji Azhar bin Ahmad @ Salleh atas perkongsian kisah ini kepada penulis.

Friday, March 23, 2012

Kasih Bukan Seribu


_________________________________________________

Walau tak pernah ku lihat wajahmu
Walau kita tak pernah bertemu
Percaya daku pada CintaMu
Yakin kasihmu untuk diriku

Meniti di bibir namamu terpuji
Hina dan nista terhambur dikeji
Dikau tegar mencinta dihati
Meski kami belum kau temui

Ya Rasulallah… Ya Habiballah
Kasihku ini bukan seribu
Untuk dirimu hai kekasihku
Seperti mana Dia mencintaimu
Begitulah aku…
Itulah mahuku…
Dikau kasihku…
Daku ummatmu… Oooohhhh
Ya Rasulallah… Ya Habiballah

Duhai Tuhanku Tuhan Yang Satu
Tiada daya tiada upaya
Mengharap daku pada RahmatMu
Salam cinta untuk dirinya…



Lirik: Towil
Lagu: FAZS

Nota: Salam Cinta buat Rasulullah s.a.w.

Thursday, March 22, 2012

Cinta Pembuka Kata

Dengan nama ALLAH
Maha Pengasih Maha Pemurah
Berdiri daku mensyair Cinta
Ku luahkan sepenuh rasa
Merungkai simpulan pembuka kata

Pujian bagi ALLAH
Tuhan utama alam sekaliannya
Ku harap kasih sebenar cinta
Kupohon pada Dikau Yang Maha Esa
Teruja daku Rahmat RedhaNya
Tiada yang dapat menandingiNya
Ku mulakan dengan kata meminta
Rintih hamba dengan Bismillah

Ooohhhh Ya ALLAH
Tiada kuasa tiada upaya
Untuk ku hadapi oh ujianNya
Tiada dua selain Dia
Dikau Tuhanku daku milikMu

Sebesar Pujian bagi ALLAH
Tuhan utama alam sekaliannya
Ku harap kasih sebenar cinta
Kupohon pada Dikau Yang Maha Esa
Teruja daku Rahmat RedhaNya
Tiada yang dapat menandingiNya
Ku mulakan dengan kata meminta
Rintih hamba dengan Bismillah

Oh pimpinlah kami sepanjang jalan
Agar bahagia di hari kemudian
Selamatkanlah Oh Duhai Tuhan
Hindarkan dari disesatkan

Sebesar Pujian bagi ALLAH
Tuhan utama alam sekaliannya
Ku harap kasih sebenar cinta
Kupohon pada Dikau Yang Maha Esa

Ku serahkan jiwa seikhlasnya
PadaMu Tuhan Yang Maha Besar
Kasihi daku sayangi daku
Tetapkan cintaku hanya padaMu
Ya ALLAH ya Rahman ya Rahim…


Lyric: Towil SeeSharpMinor
Lagu: Zoul FAZS, Ejud A.R.M.A.D.A & Solidarity

Sila klik link untuk mendengar lagu...
http://www.reverbnation.com/play_now/song_13001799