Dah lebih lima puluh kali Negara aku sambut merdeka. Banyak
taw 50 lebih kali tu… dari 1957. Cumanya aku rasa majoriti kepala otak orang
aku, senang cakap Orang Melayu otaknya tak sampai lagi standard otak yang dah merdeka
lebih 50 tahun. Katanya merdeka, tapi macam tak banyak beza dengan penjajahan
bila kita perhatikan penghayatannya dalam kebanyakan minda orang Melayu. Boleh diterima pengkelasan
minda Melayu yang berstrata. Melayu Bandar atau Urban memang ada beza dengan
Melayu kampungan. Melayu belajar luar negeri dengan Melayu belajar sekolah atap
juga berbeza mindanya.
Cuma yang nampak bahalulnya Melayu bila menulis perlembagaan
Negara ditetapkannya orang Melayu mesti beragama Islam untuk taraf Melayu
Bumiputera tapi Islamnya tak mahu ditatang. Macamana entah formula ketuanan
bangsa lebih utama dari kedaulatan agama. Siapa lebih mulia? Bangsa atau agama?
Bila merdeka, kita ini sebenarnya merdeka apa? Kalau anak bangsa yang
telunjuknya mencucuk mata diangkat jadi ketua oleh suku-sakat bajingan dia juga,
apa mesti orang lain yang tak pilih dia diamkan saja?
Malaysia dimerdekakan dengan mendukung demokrasi terpimpin…
puiiihhhhhh!!! Ayat siapakah itu? Apasal aku nak kena junjung ayat orang tu?
Aku lahir ke dunia dengan fitrah Merdeka, ISLAM. Kalau ikut cakap Rasulullah
s.a.w semua bayi yang lahir adalah FITRAH, maka mak bapaknyalah yang jadikan
dia Nasrani, Yahudi atau Majusi. Kemerdekaan jiwa yang asalnya fitrah adalah
anugerah dari ALLAH Sang Pencipta seawal kita semua dilahirkan ke dunia.
Kemerdekaan yang dilukis di atas peta persempadanan negara hanyalah natijah
permainan manusia.
Realistiknya kewarganegaraan kita di dunia ini punya
karekter yang berbeza, dibezakan dan saling membeza antara sesama. Tidak pintar
menolak kedaulatan sesebuah negara tanpa alasan yang bernas. Emosi anarki yang
membayangi budaya hedonis tidak cukup asas untuk diangkat menjadi landasan
pegangan kehidupan. Kalau semua orang ikut mahu masing-masing, tak ubahlah kita macam
kerajaan haiwan di hutan. Kalau ramai orang ikut ketua yang hatinya mahu
lunaskan kepentingan hawa nafsunya, ada tak iras-iras rupa manusia berotak lembu yg
dicucuk hidungnya?
Sistem demokrasi berperlembagaan. Begitulah aku diberitahu
dari dulu. Siapa yang pilih sistem ini? Dengar ceritanya di zaman dulu kala ada
seorang anak raja yang pergi luar negara berunding atas nama kita semua. Entah
macammana lepas layan minum wain sama-sama, maka merdekalah kita… Begitulah
lebih kurang ceritanya bila diringkaskan. Kalau nak cerita versi panjang
berjela kena rujuk orang yang kerjanya menulis sejarah negara. Apa ke namanya
orientalis barat tu..??? Richard Olaf Winstedt ke sapa namanya??
Sentimen bangsa adakalanya kelihatan lebih garang berbanding
agama di Malaysia. Dari arah mana agaknya peluang memperjuangkan sentimen
sebegini datang? Kalau hari ini, sekumpulan anak muda Melayu dengan bongkak
mendabik dada di alam maya sambil gah menceritakan kemurtadan mereka, tak ramai
yang nak ambil peduli. Masih ramai yang kata, "biarkanlah… dia orang tu kan muda-muda. Nanti besok dia
tua tahulah dia". Itu belum kira anak Melayu jantan betina yang masih terkinja
di ibukota dengan segala macam noda dan nista. "Tak apalah, mak bapak dia orang
kan ada. Kita nak sibuk buat apa??", tambah ujar mereka.
Merdeka. Siapa yang sepatutnya bagi erti perkataan ini?
Sedikit berbeza dari kebebasan, Merdeka masih mengekalkan prinsip dan sistem.
Fitrah merdeka seseorang yang terus dalam keislaman pastinya wajib mengekalkan sumber rujukan
kepada AlQur’an dan Sunnah. Pengertian merdeka sesebuah negara lazimnya turut membawa maksud anak watan berhak mentadbir dan menentukan halatuju tanahair.
Apabila sistem demokrasi yang diangkat menjadi kerangkanya, harus diteliti
apakah sistem itu sendiri boleh dimanipulasi bagi mengelak ketidakadilan.
Nilai demokrasi di Malaysia ini tertakluk kepada sistem
politik berparti atau partisan. Kerajaan majoriti terbentuk milik sesebuah
polar politik apabila tercapai persetujuan 2/3 dari yang memilih undi. Harus
diingat kadar peratusan mengundi tidak pernah mencapai 100% malahan 90% juga
belum pernah terjadi. Justeru pemilihan system demokrasi itu hanya selayaknya
tertakluk kepada mereka yang memilih undi. Bagaimana dengan kumpulan yang tidak
percayakan sistem demokrasi warisan penjajah ini? Buat masa ini, jawapan tanpa
sebut kita lazimnya berbentuk soalan, “siapa suruh tak pilih?”
Hakikatnya ramai yang memulaukan diri dari terjebak ke
kancah politik yang dilabel dengan pelbagai unsur negatif. Awal tahun ini media
melaporkan belia mlesia berusia 21 - 30 seramai 3.7 juta org tak daftar pemilih
pilihanraya. Jumlah ini sebenarnya besar… Persoalannya mengapa begitu ramai
yang tak mahu mendaftar? Jawapan paling mudah selain ignoran adalah kerana
ketiadaan semangat kewarganegaraan yang kuat. Jawapan lain yang selari
didengari adalah, “aku tak percayakan sistem konon-demokrasi yang mewariskan
anak-anak perdana menteri masing-masing jadi menteri”.
Salahkah kita memilih untuk tidak memilih? Berada di atas pagar
adalah satu bentuk pilihan. Ya, walaupun pilihan itu diistilahkan tidak menyumbang dari
aspek memperkukuhkan jumlah majoriti demokrasi. Cuba bayangkan kalau jumlah
atas pagar menjadi kelompok majoriti? Selain atas pagar yang tidak memilih
sesiapa sehingga kepercayaan mereka kepada sistem dikembalikan sepenuhnya,
terdapat juga kelompok ‘calon bebas’ yang tidak begitu bersinar di persada politik tanahair ini.
“Independent Candidate” sepatutnya diterjemah kepada calon
merdeka kerana bebas bermaksud ‘freedom’. Untuk kita yang memilih keislaman kekal merdeka di jiwa, secara
fitrahnya kita cuma perlu tetap di landasan bersumberkan AlQur’an dan Sunnah
sebagaimana yang dijanjikan aman dari kesesatan selamanya selagi berpegang
kepada keduanya. Demikian tutur kata Muhammad s.a.w yang tahu secara pasti
apakah yang terbaik untuk ummatnya mendepani dunia penuh fitnah dan pancaroba.
Sedikit kesal aku akui melihat peradaban ala-haiwan
sebahagian bangsa Melayu. Yang macam lembu dicucuk hidung itu satu, yang rasa
‘cool’ buang agama lagi, yang buang bayi, yang makan haram, minum haram, main
haram dan macam-macam lagi, semuanya kalau nak diikutkan memang jelas bodoh
kerana mengikutkan perlembagaan bertulis dalam akta tapi tak berkuasa nak dibuat apa-apa.
Melayu secara automatic Muslim di Malaysia kalau diikutkan perlembagaan Negara?
Maka apa agaknya yang sudah jadi dengan orang Islam beragama Melayu hari ini?
Secara peribadi, aku bersetuju kalau seseorang individu
tampil menegakkan prinsip kebenaran yang selari dengan ajaran dan kemahuan Tuhan
sekalian insan. Ini lebih original dan jati. Tidak semestinya mahu berjuang
mesti ikut orang. Memang perlu hidup dalam kumpulan manusia secara berjemaah,
tapi kalau demi perjuangan dalam sebuah sistem kuasa pentadbiran yang dibentuk
dengan acuan demokrasi bukan Islam, aku tak rasa orang Islam wajib turut serta apatah lagi apabila mereka bermain politik
sehingga menggadaikan agama.
Syurga dan neraka milik ALLAH s.a.w sepenuhnya. Hak DIA nak
bagi kat siapa pun jua yang dikehendakiNya. Kalau kerana ketaksuban fikrah
politik ataupun partisan kepada sesuatu jemaah semata-mata sudah mampu membuatkan
kita mendasarkan si anu undi kita ahli syurga dan si polan undi dia ahli neraka, bukankah ada
baiknya permainan sebegitu ditinggalkan sahaja. Jadilah warga yang minda dan
jiwa sebenarnya merdeka. Bagi yang beragama Islam, hayatilah kemerdekaan berpaksikan
tanggungjawab yang diamanahkan oleh ALLAH s.w.t sebagai agenda hidup yang
utama.
Jangan hanya kerana orang lain yang entah siapa dan
bagaimana rupa nilai imannya bagitau kita begitu, maka membabi butalah kita
membegitukannya. Kalau begini, maka beginilah sahaja. Jangan persiakan
kemerdekaan jiwa fitrah manusia dengan kedunguan minda kita lantaran sikap
malas mencari jawabnya. Berpeganglah kepada tali ALLAH untuk menyatukan semula
hati dan minda kita semua yang mendakwa percaya kepada ALLAH sebagai Tuhan
sekalian alam semesta.
Perkuatkanlah rasa merdeka sebagai hamba kepada Tuhan Yang
Esa. Terimalah amanahnya secara benar mahu melaksana segala suruhan dan
meninggalkan laranganNya. Islam itu ALLAH s.a.w yang cipta sistemnya. Sudah
tentulah ia kalis kesilapan tak macam sistem ciptaan manusia yang boleh diputar
dan dibelitkan. Mudah-mudahan faktor ISLAM sebagai agama yang sempurna dapat memelihara
kesejahteraan manusia di dunia. Kita teruskan usaha dan doakanlah agar
terlaksana agama ALLAH ini sebagaimana kehendakNya. Wallahu a’lam.
By: Towil
Comments
Post a Comment