“Ady tak setuju lah dengan cara sesetengah orang tua-tua sini
cakap pasal masjid lama tu”. Terpegun sekejap aku dengar Ady cakap macam tu.
Bukan apa… aku memang tak sangka anak
muda berusia 20an yang sekali imbas dengan rambut paras bahu, berseluar jeans
lusuh, dengan kemeja-T bercapuk cat sebab baru balik kerja tiba-tiba bagi komen
pasal masjid di kampungnya. Aku takjub sebab Ady masih nak ambil tahu pasal
cerita masjid lama di kampungnya yang kini sudah tidak lagi digunakan kerana
sudah ada masjid baru sebelah sekolah agama.
Tambah terkesima aku dengan apa yang Ady tahu berkenaan
sejarah masjid lama kampungnya yang dibina pada zaman selepas British keluar
dari Tanah Melayu. “Ada orang kampong sini cakap memang eloklah dipindahkan
masjid ke tapak baru sebab asal tapak tanah masjid lama tu pun bukan baik
sangat. Sebelum dibina masjid, tapak tanah tu ada kedai kopi tentera British.
Faham-faham sajalah kalau zaman dulu kedai kopi dan rumah tumpangan orang putih
mestilah banyak bergelumang noda” sambung Ady yang makin bersemangat menyambung
cerita sejarah Masjid Kampung Istana.
“Ady tak kata orang tua-tua sini salah, cuma bagi Ady apa
salahnya kalau tempat tu dulunya tempat maksiat tentera British kita bina
masjid atasnya? Kan baik bila tempat maksiat kita dapat tukarkan jadi masjid”.
Aku rasa mungkin Ady sekadar sedikit terkilan dengan cakap-cakap orang tua-tua kampungnya yang akhirnya sebulat suara memindahkan tapak masjid ke lokasi lain dengan alasan
yang dia tak rasa tepat. Aku rasa jarak tapak lama masjid dengan yang baru sama
jaraknya dari rumah Ady, jadi aku tak rasa Ady merungut sebab alasan peribadi.
Lebih 20 tahun dulu aku pun bersekolah di sini. Aku masih
ingat waktu Sekolah Agama Kampung Istana dirasmikan oleh Tengku Mahkota Johor
yang sekarang sudah menaiki takhta Sultan mewarisi Allahyarham ayahandanya yang
mangkat. Masa tu aku kena beratur ramai-ramai dengan budak-budak lain tepi
jalan pegang bendera kecil negeri Johor masa
sambut Tengku Mahkota. Masa banyak merubah wajah dan suasana. Generasi kita
semakin hari semakin pantas terdedah kepada perubahan budaya meniti arus
pemodenan.
Sebagai anak jati sesebuah tempat, kita yang lahir, membesar
dan masih tinggal di tanahair ini pastinya dapat merasakan betapa Negara ini
terus membangun. Nostalgia yang tersimpan kemas di minda melewati fasa pembangunan
dan pembaharuan suasana sekeliling kita dari semasa ke semasa, seakan mudah
terusik bila kematangan mula tiba. Aku dengar cerita Ady pasal masjid Kampung
Istana sampai bila aku balik semula ke ibukota, aku terfikir apa semua tempat
dalam Malaysia macam tu juga ke agaknya?
Dulu masa kecik, aku tengok cerita Star Trek pelakonnya
berkomunikasi guna alat macam talipon bimbit. “Fuuuhhhhh… bestnyea kalau ada
alat macam tu kan” cetus hati aku sambil tengok TV hitam putih. Hari ini, budak
sekolah rendah pun dah pakai Blackberry. Itulah mudahnya kita nak faham betapa
dunia kita semakin berbeza dari sebelumnya. Adakah dunia semakin dewasa atau
semakin tua? Kalau makin tua maknanya dah dekat nak habis lah baki usia dunia?
Masa aku bersekolah di Kampung Istana, Raja-raja kita belum
dibogelkan dari selimut imunitinya. Hari ini dari berita-berita yang
berterbangan berleluasa bunyinya macam ramai rakyat yang nak mengadu pada raja
bila telingkah kuasa pemerintahan politikus Negara dikatakan makin menjolok
mata. “Power corrupts. Absolute power corrupts absolutely” kata-kata
Allahyarham Prof. Dr Gailan Ramiz yang bermaksud, “Kuasa disalahguna. Kuasa penuh
disalahguna sepenuhnya”, terngiang-ngiang berselang-seli cerita Ady pasal
Kampung Istana.
“Kampung Istana sekarang dah makin ramai orang luar masuk.
Kilang dekat-dekat sini pun makin banyak dan makin besar-besar bang. Kat atas
tu dah ada kondominium. Itu yang Ady ingat jadi punca babi hutan mula masuk kampong
ni agaknya. Monyet pun makin berani dan makin pandai masuk rumah orang sekarang
ni bang”. Habis sudah marah anak muda ini pada kisah Masjid Lama, bersambung
pula cerita haiwan hutan Bukit Soga yang juga membangkitkan marahnya.
“Tapi ALHAMDULILLAH la bang, Ady cakap terang jer… Ady
memang tak ambik port pasal politik. Bagi Ady senang je, tak kesah lah siapa
pun jadi wakil rakyat, Ady Cuma nak tau orang tu Islam je… bangsa tak de hal,
tak penting sangat pun. Ini politik punya pasal kita sama-sama Melayu asyik nak
bergaaaaaduh je… tak payah lahhh kalau asyik nak bergaduh je sesama kita.
Tinggalkan je… “ bila Ady cakap macam ni aku terpikir pasal belia Malaysia yang
layak mengundi ada berjuta-juta tak daftar pilihanraya. Memang betul lah… ramai
orang muda yang dah muak dengan politik Malaysia.
“Ady kat Kampung Istana ni pun dah tak berapa kenal orang
sangat bang. Kalau orang asal sini boleh kenal lagi lah, Pak Imam, Ketua Kampung…
haaa tu semua Ady masih kenal. Tapi kalau tanya siapa ketua pemuda sini atau
soalan yang sejenis dengannya, mintak mahap, mintak ampon… Ady memang malas nak
kenal”. Kebetulan pagi tadinya perdana menteri dan B1N1nya datang mengotakan
janji di Bandar Batu Pahat. Ady tak pergi tengok pm ke tadi pagi kat dataran?
Saja suka-suka aku tanya Ady.
Istana-istana bapak-bapak menteri Malaysia secara amnya
boleh disimpulkan lebih besar dari rumah orang Kampung Istana. Barangkali
paling sikit nisbahnya 4 buah rumah orang Kampung Istana bersamaan sebuah
istana pak menteri kita. Itu pun setakat perbandingan saiz tanah lot rumah
sahaja. Berapa nilai bangunan dan barangan dalaman rumah tak payahlah kita
cerita. Sampaikan yang terbaru khabar bertiup kencang perihal pak menteri Malaysia
boleh bagi RM1.5 juta untuk membina istana bersama kekasih gelapnya. Ehh… tak de lah mahal sangat
kalau nak banding dengan cincin bertuah 24 juta pound sterling.
Alhamdulillah… Segala Puji Bagi ALLAH. Aku bersyukur jadi
anak kampung. Aku bukan orang Kampung Istana. Aku orang ‘Beroleh. Batu 3 Jalan
Kluang”. Aku juga bersyukur kerana ALLAH masih memelihara keamanan di kampung kami
walaupun macam-macam benda dah terjadi. Suasana sentosa dan damai yang kita
kecapi adalah hasil pemahaman yang kita capai sepanjang hidup bersama dalam
sebuah Negara merdeka. Siapa sahaja yang memerintah Negara, terpulanglah pada
kita akhirnya untuk bersama-sama memelihara keharmonian dan persaudaraan.
Aku budak Beroleh, Batu Pahat, Johor Darul Takzim, Malaysia,
yang mahu hidup bersaudara dalam agama Tuhan sekalian alam semesta. ALLAHU
AKBAR.
By: Towil See Sharp Minor
Comments
Post a Comment