Lewat asar, kira-kira jam 5:30ptg member aku telefon ajak
turun mengeteh di warung mamak berhampiran studio. Aku layankan saja permintaan
sahabat ini tanpa banyak soal sebab aku sendiri pun dah naik tepu melayan kerja
yang masih berselirat di pejabat. Assalamualaikum… Apa cerita bos? Tegur
sahabat yang barangkali ternampak mata aku yang macam beruang panda sebab dah
beberapa hari tak cukup tidur. Tak ada apa cerita sangat… cerita penat ada
laaa, jawabku berseloroh. Teh O panas satu macha. Sama. Member menyampuk pantas
nak mudahkan order minum.
Cuti hujung minggu baru-baru ni kan aku balik ke Penang
dengan famili. Ada cerita yang aku rasa engkau minat nak dengar. Azhar, member sekampung
aku yang sama-sama merantau ke ibukota memulakan cerita. Bagi aku ‘hint’
ringkasan cerita tu boleh tak? Kalau aku rasa tak best, tak payahlah kau cerita…
hahahaha. Saja aku ‘menganjing’ bak kata orang muda2 sini. Hmmmm… Azhar berfikir sejenak untuk ringkaskan
ceritanya dalam satu ayat. OK,
“Lelaki Melayu meninggal dunia selepas memberi salam solat sunat tawaf dalam Hijir Ismail ketika masih dalam Ihram umrah”
Haaaa… amacam? Nak dengar??
Cerita ini baru berlaku dalam cuti sekolah baru-baru ni. Aku
balik ke Penang hujung minggu baru ini sebab ziarah keluarga makcik sebelah Kak
Eda kau tu. Mak Tam namanya. Cerita lelaki Melayu yang meninggal dalam Hijir
Ismail itu suami Mak Tam. Pak Tam namanya. Seriously, aku dengar cerita ni dari
Mak Tam sendiri dan SUBHANALLAH bila aku hayati betul-betul, sememangnya
kematian yang indah adalah suatu nikmat besar yang ALLAH anugerahkan kepada
hamba-hambaNya secara terpilih.
Mula-mula sampai rumah Mak Tam yang baru pulang menunaikan
ibadah Umrah aku bertanyakan khabar Mak Tam yang kebetulan baru menjadi balu
dengan kematian suaminya Pak Tam di sana. Mak Tam apa khabar? Alhamdulillah.
Terdiam sebentar di situ. Aku kelu nak terus bertanya melihat keadaan Mak Tam
yang tiba-tiba sebak nak teruskan jawapan. Aku biarkan sebentar Mak Tam
melayani hiba yang datang bertandang. Berat mata memandang… ALLAH lebih tahu.
“Mak Tam mintak mahap ya Azhar, Eda… sebak pulak tiba-tiba
bila tengok hangpa dua mai sini. Terngiang-ngiang suara Pak Tam pujuk mak si Eda
dulu masa hangpa dua dulu nak menikah…” Senyum Mak Tam memandang kami berdua.
Linangan airmata yang sudah berhenti memberanikan aku untuk menyambut seloroh
Mak Tam. “Dah banyak tahun tu Mak Tam… Kami memang tak ternah lupa jasa Pak Tam
sampai bila-bila. Dah lebih 20 tahun kan Mak Tam…
Hari tu masa saya diberitahu pasal arwah Pak Tam, khabarnya
dia meninggal dalam Masjidil Haram? Betul ka Mak Tam? Aku dah tak boleh tahan
nak tahu cerita sebenar perihal kematian Pak Tam. “Ya. Memang pun. Dia
meninggal selepas solat sunat tawaf dalam Hijir Ismail masa buat umrah yang
kedua” ujar Mak Tam. Maknanya dia masih dalam ihram Umrah ka Mak Tam? Soalku
lagi. “Ya”. Jawab Mak Tam pendek. “Masa Mak Tam bagitau pasai arwah tu
sebenaqnya dah lepas 3 hari Pak Tam tak balik hotel semenjak keluar ke Tan’eem
untuk bermiqat”.
Mula-mula sehari Pak Tam tak balik tu Mak Tam tak kalut apa
pun, sebab memang masa Pak Tam nak pi Tan’eem masa tu dia habaq kata dia rasa
nak pi sorang. Saja nak berseorangan katanya. Bila masuk hari kedua tu Mak Tam habaq kat Ostad
mutawwif kami. Dia kata takpa, tunggu je lahhh… Kot arini dia balik. Masuk hari
ketiga tu, pagi-pagi lagi Mak Tam dah tak buleh dok sengap dah. Mak Tam mintak
tulung kat pakej untuk cari Pak Tam. Ikut lah lagu mana pun, Mak Tam nak cari
Pak Tam jugak…
Petang lepas Zuhur, wakil pakej ajak Mak Tam pergi ke
hospital yang biasa mengurus jenazah jemaah untuk bertanya di sana, kalau-kalau
Pak Tam dibawa ke hospital lantaran penyakit buah pinggangnya. Mengenangkan
sebulan sebelum Umrah ini pun Pak Tam masuk hospital Gleneagles Penang sampai
tak sedarkan diri, Mak Tam rasa mungkin jugak Pak Tam jatuh sakit lagi di sini.
Masa tu Mak Tam ada jugak rasa geram kat Pak Tam kalau kata dia memang jatuh
sakit sorang-sorang masuk hospital kat Mekah sebab masa dia nak pi miqat kat
Tan’eem lagi Mak Tam habaq suruh pi dengan kawan.
Oh ya, sebelum terlupa… aku belum bagitau Pak Tam ni kerja
apa kan? Azhar tiba-tiba bertanya aku yang ralit membayangkan betapa
sempurnanya… mati dalam ihram selepas solat sunat tawaf di dalam Hijir Ismail…
ALLAHU AKBAR… Hijir Ismail itu dikira sebagai sebahagian dari Kaabah. Sesiapa
yang solat di dalamnya adalah umpama solat di dalam Kaabah. Justeru mati di
situ adalah mati di dalam Kaabah, Rumah ALLAH. Subhanallah…
Pak Tam ni kerjanya pegawai kerajaan bahagian akaun. Mak Tam
pulak CC / Ketua Kerani pejabat. Pak Tam asalnya orang Pahang. Ok terlanjur aku
cerita pasal Pak Tam biar aku terangkan sikit lagi, orang tua ni biasa saja
orangnya. Yalah, nak nampak luarbiasa macam mana kan? Sepanjang bertugas
kerjanya cuma itu, pergi pagi balik petang. Pak Tam juga bukan orang yang
terkenal alim atau berilmu agama. Orangnya bila bercakap memang lembut. Aku
sendiri kalau berbual dengan arwah Pak Tam boleh jadi segan dengan perawakan
dan senyuman dia yang sentiasa tenang. Tak hairan bagi aku bila Mak Tam cakap
yang sepanjang dia bersuamikan Pak Tam, tak pernah walau sekali Pak Tam
meninggikan suara memarahinya.
Sesampai di hospital, Mak Tam tak tahu lagu mana nak tanya kat
orang Arab tu. Mujurlah wakil pakej umrah ikut sekali. Nak jadi cerita agaknya…
Mula-mula Mak Tam bawak keluaq passport Pak Tam untuk tunjuk kat kaunter
pendaftaran hospital, orang Arab yang di kaunter memberitahu tiada pesakit di
dalam wad hospital itu dengan nama sedemikian. Kemudian, seorang pekerja tukang
sapu hospital warga Bangladesh yang dari awal berada di situ bertanyakan passport
Pak Tam untuk melihat gambarnya.
Apabila disuakan gambar arwah Pak Tam, langsung lelaki warga
Bangladesh itu mengatakan yang dia ingat wajah Pak Tam. Katanya dalam bahasa
isyarat bercampur Arab, Inggeris & Urdu, “hua namaz fi Hijir Ismail, salam
n khalas, no more” yang bermaksud dia solat di dalam Hijir Ismail, member salam
dan habis. Tak ada lagi. Dari gaya bahasa isyaratnya dapat difahami yang lelaki
Bangladesh ini boleh ingat rupa arwah Pak Tam kerana orang yang masih dalam
ihram tidak ditutup wajah mereka dan dibiarkan terbuka kerana berihram melarang
dari menutup muka.
Mak Tam ikut lagi Ostad pakej tu ke pusat pengurusan jenazah
untuk cam mayat Pak Tam. Sampai kat tempat tu, ada sorang pompuan Indon yang
tengah tunggu jenazah suami dia. Mak Tam sempat berbual. Menurut wanita
Indonesia yang suaminya juga meninggal dunia, dia turut ditanya oleh pihak
Pengurusan Jenazah AlMuhajirin Makkah kalau ada jemaah Indonesia lain yang
kehilangan suami sewaktu umrah kerana masih kedapatan jenazah seorang lelaki berketurunan
Melayu yang tidak dapat dipastikan identitinya.
“Saya dibilang ada seorang lelaki Melayu yang nggak punya
kartu pengenalannya. Katanya lelaki ini meninggal dunia sejurus memberi salam
solat sunat tawaf dua rekaat di dalam Hijir Ismail. Maaf ya bu… saya nggak
pasti sama ada lelaki itu suami ibu kerna saya langsung nggak lihat wajahnya.
Barangkali itu orang lain… bukan suami ibu. Yok bu, saya pamit permisi dulu
kerna masih punya urusan lain untuk jenazah suami saya. Assalamualaikum”.
Wanita Indonesia separuh umur itu lantas berlalu menaiki van jenazah yang ada jenazah
suaminya.
Bila Ostad pakej tu datang balik panggil Mak Tam sambil
memberitahu jenazah Pak Tam perlukan pengesahan waris untuk diselenggarakan,
barulah Mak Tam betul-betul percaya yang Allahyarham Pak Tam memang meninggal
dunia dalam ihram di Hijir Ismail. Oleh kerana Mak Tam ikut arwahnya umrah kali
ini dengan tak ada waris lain yang boleh mengesahkan jenazah Pak Tam,
terpaksalah Mak Tam turun naik balai polis di sana untuk sahkan mahram. Cuma
susah sikit sebab Mak Tam ni perempuan, lepas tu tak faham cakap Arab. Yang
lainnya semua mudah.
“Aku luangkan masa hari itu tanya Mak Tam macam-macam sebab nak
tau juga apa keistimewaan Allahyarham Pak Tam sampai di dijemput mengadap Ilahi
begitu sekali” ujar Azhar kepadaku dengan mata bercahaya menandakan dia memang
bersungguh nak cerita. “Pak Tam itu seingat Mak Tam orangnya sabar dan IKHLAS”
ujar Mak Tam. “Ikhlas yang macam mana tu Mak Tam, boleh cerita sikit tak?”,
Azhar yang bersemangat nak tau melayangkan soalan.
“IKHLAS arwah Pak Tam tu mudah dalam banyak perkara seharian
yang kecil-kecil. Contohnya kami pi kerja naik kereta sekali kan. Bila dekat
simpang tu, Pak Tam memang jadi perangai dia suka bagi orang lain dok lintas
dulu. Kita tau la baguih lagu tu, tapi kita pun tengah kalut nak pi kerja jugak
kan. Mak Tam selalu tegur Arwah bila dia dok senyum bagi orang lain jalan. Tapi itu lah Pak Tam kamu. Pernah dia jawab, “takpa…
kita nak kalut apa. Kan ALLAH dah siap susun trafik jem ni untuk kita semua.
Dah kita dok dalam taqdir Tuhan tu, apa salahnya kita senangkan orang lain yang
sama-sama dengan kita?”
“Hangpa ingat dak pasai apa Mak Tam dengan arwah Pak Tam kamu
pindah ke rumah to nek ini semula?” Mak Tam bertanya soalan pada Eda isteri aku… ujar
Azhar. “Pasal arwah tok nek sakit kat sini dulu kan Mak Tam nak jaga?” Jawab Eda. “Kenapa Mak
Tam tanya kami soalan tu?” Azhar menduga Mak Tam. “Sebelum arwah Pak Tam sakit
teruk sampai masuk hospital Gleneagles, masa tu dia dah nak pencen,
berbulan-bulan lamanya hari-hari dia balik lambat dari pejabat. Mula-mula Mak Tam tak
kisah, tapi bila dok lagu tuuuu memanjang, Mak Tam Tanya pasai apa lagu tu?
Mula-mula Mak Tam tanya dia tak jawab. Bila dia jatuh sakit,
baru Mak Tam tau dia pi mana tiap-tiap hari selama berbulan-bulan. Adalah
sedara yang cerita kat Mak Tam. Rupanya arwah Pak Tam kamu tu tiap-tiap hari
melawat kubur Tok Nek. Lepas dia sedar dan pulih dari sakit, Mak Tam Tanya dia,
kenapa abang tak bagitau abang pi kubur mak saya tiap-tiap hari? Dia cakap, “kubur
mak saya jauh di Pahang sana. Mak awak kan kira mak saya juga kan”.
Petang tu aku dah nak balik, Mak Tam sempat ingatkan kami
sekeluarga agar mendoakannya… “Entahlahhhh… Bila Mak Tam fikirkan, Arwah Pak
Tam pergi dengan cara yang baik sampai macam tu sekali Mak Tam jadi seriau. Mak
Tam takut kalau-kalau Mak Tam tak dapat lagi nak jumpa Pak Tam kamu. Iyalahh,
kalau ditaqdirkan Pak Tam di syurga dengan bidadari-bidadari yang mengelilingi,
kenalkah dia nanti pada Mak Tam ini? Layakkah Mak Tam menemani dia di sana
nanti? Doakan Mak Tam ya… tak cukup rasanya khidmat Mak Tam pada dia sepanjang
jadi isterinya”. Kali ini, aku yang tak dapat menahan sebak. Semoga ALLAH
merahmati Cinta kamu berdua duhai Pak Tam & Mak Tam. Amiin Ya Rabb.
Jenazah Pak Tam telah disolatkan di Masjidilharam dan dikebumikan di dalam Tanah Haram Makkah Al Mukarramah. Mak Tam yang mengiringi jenazahnya dari pusat penyelenggaraan Jenazah Masjid AlMuhajirin Makkah AlMukarramah kini selamat berehat di rumahnya di Penang. Allahummaghfirlahu warhamhu.
By: Towil
Note: Terima kasih kepada Tuan Haji Azhar bin Ahmad @ Salleh
atas perkongsian kisah ini kepada penulis.
Comments
Post a Comment