Kelmarin aku ke Mekah lagi. Rasa rindu kepada Arwah Isteri
secara automatik menggerakkan hati aku untuk menghadiahkan umrahku kali ini
buatnya lagi. Alhamdulillah… Syukurku padaMu Duhai Tuhan Sekalian Alam yang tidak
lokek menjemputku bertandang lagi ke RumahMu Baitullah Yang Mulia dalam ihram
Umrah Cinta. Thank you ALLAH… Buat Ummi Aishah, moga ALLAH sampaikan umrah ini
buat mu dengan secantik RahmatNya.
Aku (Penulis) dah lama terpikir nak tulis kisah kematian Isteriku
tanggal 1 April 2004… tapi sesudah genap 10 tahun berlalu tak juga aku tulis cerita
ini walaupun di kelapangan yang Allah berikan, sempat aku coretkan empat (4)
kisah kematian dalam Siri “Cemburunya Aku Matinya Begitu”. [Kesemua 4 entry
“Cemburunya Aku Matinya Begitu” dikongsi di laman web: www.seesharpminor.com].
Di kesempatan
Umrah kali ini, seperti biasa aku selesaikan tahlul setelah Tawaf & Sa’ie diikuti dengan
niat nak tulis cerita ni bila balik ke rumah nanti. Kenapa sekarang? Biarlah
aku dan ALLAH s.w.t sahaja yang tau ‘rahsia’ kenapa sekarang ;-)
Arwah isteriku insan biasa. Berasal dan terdidik dengan
kehidupan kampong berdarah jawa. Kami kenal masa belajar bersama. Aku senior
atas setahun sahaja. Jodoh kami dikurniakan seorang anak lelaki dan seorang
anak perempuan. Pemergian arwah yang tergolong sihat (tanpa penyakit seperti
kencing manis, darah tinggi, gout dsb) dalam usia 27 tahun akibat pendarahan
dari keguguran anak yang ketiga sewaktu usia janin hanyalah 14 minggu.
Segalanya berlaku dengan pantas… Dari 1 hari arwah sihat mampu memasak dan
melayan anak, arwah selamat dikebumikan 4 hari selepasnya… Aku sebagai suami arwah sudah pasti bingung dengan musibah
yang melanda. Anak-anak yang baru berusia setahun dua juga kebingungan dalam
kehilangan bersama abahnya… Seawal usia 28 tahun aku sudah menduda. Hampir enam
(6) bulan anak sulung lelaki kami yang baru pandai bercakap trauma takut tengok
Van Putih [teringatkan jenazah arwah umminya yang sampai ke rumah dihantar Van Jenazah].
Sungguh Taqdir ALLAH tidak terjangka… Di setiap ujian pasti terlukis pengalaman
yang mendewasakan. Pemergian arwah sudah ditentukan oleh Yang Maha Kuasa; tak
kiralah suaminya suka ke tak suka. Aku pasrah. Aku berserah…
Masih terngiang ungkapan arwah yang kegembiraan dapat jubah
ibu mengandung yang aku belikan di malam terakhir kami sekeluarga bersama di
rumah, “terima kasih abang… Ok lepas ni Liya tak nak mintak jubah pregnen lagi…
dah banyak dah pun yang abang belikan…” aku sekadar tersenyum tengok arwah
menggayakan jubahnya sambil makan nasi lauk ikan kembung masak merah yang arwah
masak.
Subuh aku ke surau AnNur depan rumah… balik ke rumah aku
lihat arwah yang masih bertelekung seusai solat duduk di birai katil. “Semalam
telefon mak…” ujar arwah memulakan perbualan. “Liya ajak mak datang sini, tapi
biasalah mak mesti pikir nak jaga makan pakai Abah & adik-adik sekolah”
tambah arwah seakan kecewa tak dapat bermanja dengan mak. Memang arwah anak
manja ibunya walaupun bukan anak bongsu dalam keluarga. “Pagi tadi bangun ada
rasa lain macam sikit dalam perut ni…” suara arwah makin sayup aku dengar sebab
kepenatan berjaga rukun tetangga bersama jiran malam tadi.
7:30 pagi: “abang… tolong bang…” suara arwah mengejutkan aku
dari lena… “Allahu Akbar…” aku terpandang darah di kaki arwah. Bingkas bangun
aku capai kunci kereta… “Bang tayar abang pancit” jiran yang memandang aku
tergesa-gesa hidupkan enjin kereta meberitahu tayar belakang keretaku pancit.
“Allahu Akbar…” di saat genting begini pula jadinya… Secepat yang mampu aku
tukar tayar yang pancit. 20 minit berlalu, aku papah arwah masuk kereta. Anak-anak kami aku bawa sekali untuk ditinggalkan sementara di rumah Mak Ani; makcik
sepupu ibuku, dalam perjalanan ke hospital.
Selesai semuanya, aku meneruskan pejalanan sampai ke hospital. Sesampai di wad
kecemasan obstetrik & ginekologi HUKM, arwah disambut dengan katil beroda.
Doktor yang menerimanya memberitahu aku arwah perlu segera menjalani Dilettage
& Curetage (D&C) atau biasa orang sebut cuci rahim sebagaimana biasanya
wanita keguguran. Aku tanya, “suami boleh ikut sekali tak doktor?”. “Ohh.. x
boleh ikut sampai dewan bedah” jawab doktor wanita berbangsa cina. “Berapa lama
D&C?” tanyaku lagi. “Dalam sejam dua sahaja… incik tunggu sekejap nanti
saya tengok jadual bilik bedah yang kosong”, jawab doktor.
Sepuluh minit berlalu, doktor cina tadi datang balik dengan
bungkusan kertas. “Incik ini baby (janin) incik, kejap lagi saya boleh bawa
isteri incik D&C” ujar doktor. Aku bagitau doktor aku nak balik urus
kebumikan janin dan datang semula bersama Mak Ani yang menjaga anak-anak kami
di rumahnya. Doktor cakap, “incik jangan risau, ini prosedur biasa wanita
keguguran. Incik balik dulu uruskan apa yang perlu, saya akan bawa isteri incik
naik ke wad dulu sementara tunggu dewan bedah untuk D&C”.
Aku sampai semula di wad bersama Mak Ani sekitar jam 12 tengahari. Janin sudah
aku siapkan untuk dikebumikan di tanah perkuburan berdekatan. Lepas asar nanti
kebuminya. Aku bertanya jururawat yang bertugas adakah isteriku sudah selesai
D&C? “Belum lagi incik, ada emergency kat dewan bedah agaknya… tunggu
dululah nanti saya bagitau” jawab jururawat. “Astaghfirullah… dari gaya
bertutur doktor cina pagi tadi bunyinya macam D&C tak boleh ditangguh…
kenapa nurse di wad ni macam selamba je?” terdetik hati aku tak paham kenapa
berbeza reaksi mereka. Aku kan suaminya… mestilah cemas...
Sekitar Zuhur Arwah dibawa ke dewan bedah. Aku terserempak
dengan arwah dan Mak Ani yang menemaninya sewaktu pulang dari Zuhur di Surau.
Mak Ani suruh aku pergi selesaikan urusan pengebumian janin, dia jaga arwah.
Sekitar jam 6:00 petang aku sampai lagi ke wad dengan sangkaan pasti sudah
selesai D&C. Mak Ani ada di sisi arwah. Bila arwah nampak aku, matanya
berlinangan… “abang… sakit ni rasanya macam nak mati” ujarnya.
“Jangan fikir
yang bukan-bukan ya sayang… selawat banyak-banyak. ALLAH nak hapuskan dosa
sayang ni…” jawabku sambil cuba tersenyum menenangkannya. “Abang… sayang mintak
maaf ya… Abang tolong redhakan sayang ya” pintanya yang ku jawab dengan
senyuman tanpa sangkaan itulah kali terakhir kami berbicara di dunia…
Sangkaan aku meleset… Arwah masih belum D&C lagi. Mak
Ani bercerita tadi arwah tumpah darah lagi di bilik air. Mak Ani papah arwah ke
bilik air sebab jururawat yang ada suruh bawak sendiri bila arwah mengadu nak
terkencing. Datang seorang doktor lelaki mendekati katil arwah untuk
pemeriksaan. Aku bertanya, “tadi isteri saya tumpah darah lagi di tandas, tak
perlukah tambah darah? Sebab di rumah dia dah tumpah darah sekali, di hospital
sudah 2 kali termasuk di tandas tadi?”, doktor tengok carta tekanan darah arwah
dan jawab tak perlu sebab dia dah stabil. “Bila boleh D&C ni doktor?”,
tanyaku. “kejap lagi…” jawab doktor.
Sekitar jam 6 setengah petang, arwah sekali lagi disorong
dengan katil beroda masuk ke dewan bedah untuk D&C… akhirnya… setelah
menunggu dari pagi. Aku mintak Mak Ani tolong jaga sementara arwah D&C
sebab aku nak belikan makanan untuknya. Aku sendiri pun belum makan dari pagi.
Sekitar jam 9:00 malam, sewaktu membayar harga makanan dikaunter, aku dapat
panggilan dari hospital. “terdapat komplikasi masa D&C tadi, isteri encik
tumpah darah lagi… kami terpaksa masukkan darah sampai 4 pine sebab isteri
encik berdarah tak berhenti. Sekarang dia di ICU katil nombor 9” berderau
darahku hilang selera nak makan terus bergegas ke hospital semula.
Di ruang legar depan
ICU, Mak Ani menunggu dengan suami dan anak-anaknya. Anak-anak aku ditinggalkan
di rumahnya dengan anak sulung Mak Ani dan orang gajinya tolong jaga. Mak Ani sempat
pesan mintak aku bersabar dan banyakkan doa. Selepas bersalaman, Mak Ani dan
keluarganya pun beredar. Aku terus ke katil nombor 9… Ya ALLAH… sebak yang amat
melihat isteri tercinta dengan mesin bantuan hayat dalam keadaan wajah, kaki
dan tangannya lebam akibat gangrene sampai aku suaminya tak dapat cam… Aku
duduk menggumam sambil perlahan-lahan membaca doa Haikal di sisi arwah.
Arwah demam 3 hari sebelum keguguran. Aku nasihatkan dia
duduk rumah Mak Ani dengan anak-anak. Arwah yang perwatakannya mudah mesra juga
rapat dengan Mak Ani. Masa berbual dengan Mak Ani tadi dia sempat cerita, “masa
arwah demam duduk rumah Mak Ani, ada satu petang yang arwah mintak nak baring
di pangkuan Mak Ani sebab arwah rindu maknya di kampong”. Mak Ani mintak aku sampaikan
pada Mak mentuaku. Mak Ani juga cakap, kalau dapat kemanjaan arwah yang
kerinduan bertemu ibu kandungnya dapat disampaikan.
Tiga (3) hari aku berkampung di ICU. Bapa mentuaku sampai
malam ketiga arwah di ICU. Sewaktu iqamat Subuh di Surau hospital, sepupu arwah
berbisik kepada Bapa mentuaku, “Dia dah pergi masa Azan subuh tadi”. Aku yang
berada disebelahnya dengar dengan jelas. “Tak apalah… dah sampai masanya.
Biarlah yang masih hidup ini solat dulu” ujarku sendirian memujuk hati
meneruskan Solat Subuh berjemaah. Seusai solat, aku ke ICU untuk menguruskan
jenazah arwah.
Pemergian arwah memang mengejutkan semua yang mengenali
kami. Aku khususnya mengakui yang jiiwaku seakan berkecai diuji sebegini pada
awalnya. Banyak perkara yang masih tak mampu aku kongsikan dengan para pembaca
sekalian. Masih tebal rasa berahsia yang aku simpan dalam memori peribadiku
perihal kisah cintaku ini. Mungkin lain kali aku kongsikan lagi…
Buat setakat
ini, cukuplah dulu... Aku percaya pada hadith Rasulullah s.a.w yang mengatakan seorang isteri yang mati dalam keadaan suaminya REDHA, masuk syurga". Aku ni yang belum ada jaminan apa-apa... Kalau aku nak jumpa arwah semula, aku kena jadi manusia yang layak masuk syurga jugak laaa... baru stended.
Untuk mengakhiri entry kali ni, aku kongsikan cebisan kisah pengalaman kehilangan... dalam sebuah lagu yang aku
karang dua tahun sesudah pemergian arwah…
Kisah yang aku lakarkan dalam lirik lagu ini menceritakan
pengalaman aku semenjak berpisah di perkuburan sehinggalah suatu malam aku
demam kesejukan bersendirian di dakap cuaca pendingin hawa yang rosak tak boleh
nak kurangkan sejuknya dan masih belum dibetulkan… Terimalah “SEJUK”.
Lagu ini masih diperingkat demo. Dinyanyikan oleh Zulhilmi
Yusuf dengan iringan petikan gitar Syazwan Jaskul. Sesiapa yang nak dengar /
mintak MP3, boleh mintak di inboxkan. Hubungi : https://www.facebook.com/zoulFAZS
atau https://www.facebook.com/wadapap.yetmeh
untuk inbox lagu… (Ada syarat2nya… nak tau kena Tanya) ;-)
SEJUK
Dalam gerimis kulihat dia menangis
Sendu tersedu tika alam terdiam pilu
Gugur kemboja di perdu pohonnya
Longlai langkah disurami gundah
Kutitipkan sepenuh rasa yang mengisi jiwa
Untukmu kekasih walau terpaksa aku bersedih
Kerna percaya takdirMu, pasti tercantik buatku
Takkan daku terdaya untuk meminda sejarah
Sesejuk salji yang memutih
Sedingin hati kian merintih
Ku pohon kasihMu duhai Tuhanku
Keampunan baginya sepanjang usia
RahmatMu ku gapai meskipun terkapai
Ku hirup angin yang memeluk dingin…
Semahunya ku mahu kau masih bersama
Membina cita bersama melembar cinta
Namun kasihNya sekudus RahmatNya
Demi Amanah padaNya aku berserah
Note: ONE thing I’m sure, what I felt here is NOTHING
compared to what our brothers and sisters in Syria are currently facing. At
lost, I was shattered and I was hurt… yes indeed, but SYRIA… you are the one in
NEED.
By: Towil Seesharpminor
Comments
Post a Comment