Skip to main content

Cemburunya Aku Matinya Begitu (5.0)



Kelmarin aku ke Mekah lagi. Rasa rindu kepada Arwah Isteri secara automatik menggerakkan hati aku untuk menghadiahkan umrahku kali ini buatnya lagi. Alhamdulillah… Syukurku padaMu Duhai Tuhan Sekalian Alam yang tidak lokek menjemputku bertandang lagi ke RumahMu Baitullah Yang Mulia dalam ihram Umrah Cinta. Thank you ALLAH… Buat Ummi Aishah, moga ALLAH sampaikan umrah ini buat mu dengan secantik RahmatNya. 

Aku (Penulis) dah lama terpikir nak tulis kisah kematian Isteriku tanggal 1 April 2004… tapi sesudah genap 10 tahun berlalu tak juga aku tulis cerita ini walaupun di kelapangan yang Allah berikan, sempat aku coretkan empat (4) kisah kematian dalam Siri “Cemburunya Aku Matinya Begitu”. [Kesemua 4 entry “Cemburunya Aku Matinya Begitu” dikongsi di laman web: www.seesharpminor.com]. 

Di kesempatan Umrah kali ini, seperti biasa aku selesaikan tahlul setelah Tawaf & Sa’ie diikuti dengan niat nak tulis cerita ni bila balik ke rumah nanti. Kenapa sekarang? Biarlah aku dan ALLAH s.w.t sahaja yang tau ‘rahsia’ kenapa sekarang ;-)

Arwah isteriku insan biasa. Berasal dan terdidik dengan kehidupan kampong berdarah jawa. Kami kenal masa belajar bersama. Aku senior atas setahun sahaja. Jodoh kami dikurniakan seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan. Pemergian arwah yang tergolong sihat (tanpa penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, gout dsb) dalam usia 27 tahun akibat pendarahan dari keguguran anak yang ketiga sewaktu usia janin hanyalah 14 minggu. 

Segalanya berlaku dengan pantas… Dari 1 hari arwah sihat mampu memasak dan melayan anak, arwah selamat dikebumikan 4 hari selepasnya… Aku sebagai suami arwah sudah pasti bingung dengan musibah yang melanda. Anak-anak yang baru berusia setahun dua juga kebingungan dalam kehilangan bersama abahnya… Seawal usia 28 tahun aku sudah menduda. Hampir enam (6) bulan anak sulung lelaki kami yang baru pandai bercakap trauma takut tengok Van Putih [teringatkan jenazah arwah umminya yang sampai ke rumah dihantar Van Jenazah]. 

Sungguh Taqdir ALLAH tidak terjangka… Di setiap ujian pasti terlukis pengalaman yang mendewasakan. Pemergian arwah sudah ditentukan oleh Yang Maha Kuasa; tak kiralah suaminya suka ke tak suka. Aku pasrah. Aku berserah…

Masih terngiang ungkapan arwah yang kegembiraan dapat jubah ibu mengandung yang aku belikan di malam terakhir kami sekeluarga bersama di rumah, “terima kasih abang… Ok lepas ni Liya tak nak mintak jubah pregnen lagi… dah banyak dah pun yang abang belikan…” aku sekadar tersenyum tengok arwah menggayakan jubahnya sambil makan nasi lauk ikan kembung masak merah yang arwah masak. 

Subuh aku ke surau AnNur depan rumah… balik ke rumah aku lihat arwah yang masih bertelekung seusai solat duduk di birai katil. “Semalam telefon mak…” ujar arwah memulakan perbualan. “Liya ajak mak datang sini, tapi biasalah mak mesti pikir nak jaga makan pakai Abah & adik-adik sekolah” tambah arwah seakan kecewa tak dapat bermanja dengan mak. Memang arwah anak manja ibunya walaupun bukan anak bongsu dalam keluarga. “Pagi tadi bangun ada rasa lain macam sikit dalam perut ni…” suara arwah makin sayup aku dengar sebab kepenatan berjaga rukun tetangga bersama jiran malam tadi.

7:30 pagi: “abang… tolong bang…” suara arwah mengejutkan aku dari lena… “Allahu Akbar…” aku terpandang darah di kaki arwah. Bingkas bangun aku capai kunci kereta… “Bang tayar abang pancit” jiran yang memandang aku tergesa-gesa hidupkan enjin kereta meberitahu tayar belakang keretaku pancit. “Allahu Akbar…” di saat genting begini pula jadinya… Secepat yang mampu aku tukar tayar yang pancit. 20 minit berlalu, aku papah arwah masuk kereta. Anak-anak kami aku bawa sekali untuk ditinggalkan sementara di rumah Mak Ani; makcik sepupu ibuku, dalam perjalanan ke hospital. 

Selesai semuanya, aku meneruskan pejalanan sampai ke hospital. Sesampai di wad kecemasan obstetrik & ginekologi HUKM, arwah disambut dengan katil beroda. Doktor yang menerimanya memberitahu aku arwah perlu segera menjalani Dilettage & Curetage (D&C) atau biasa orang sebut cuci rahim sebagaimana biasanya wanita keguguran. Aku tanya, “suami boleh ikut sekali tak doktor?”. “Ohh.. x boleh ikut sampai dewan bedah” jawab doktor wanita berbangsa cina. “Berapa lama D&C?” tanyaku lagi. “Dalam sejam dua sahaja… incik tunggu sekejap nanti saya tengok jadual bilik bedah yang kosong”, jawab doktor.

Sepuluh minit berlalu, doktor cina tadi datang balik dengan bungkusan kertas. “Incik ini baby (janin) incik, kejap lagi saya boleh bawa isteri incik D&C” ujar doktor. Aku bagitau doktor aku nak balik urus kebumikan janin dan datang semula bersama Mak Ani yang menjaga anak-anak kami di rumahnya. Doktor cakap, “incik jangan risau, ini prosedur biasa wanita keguguran. Incik balik dulu uruskan apa yang perlu, saya akan bawa isteri incik naik ke wad dulu sementara tunggu dewan bedah untuk D&C”.

Aku sampai semula di wad bersama  Mak Ani sekitar jam 12 tengahari. Janin sudah aku siapkan untuk dikebumikan di tanah perkuburan berdekatan. Lepas asar nanti kebuminya. Aku bertanya jururawat yang bertugas adakah isteriku sudah selesai D&C? “Belum lagi incik, ada emergency kat dewan bedah agaknya… tunggu dululah nanti saya bagitau” jawab jururawat. “Astaghfirullah… dari gaya bertutur doktor cina pagi tadi bunyinya macam D&C tak boleh ditangguh… kenapa nurse di wad ni macam selamba je?” terdetik hati aku tak paham kenapa berbeza reaksi mereka. Aku kan suaminya… mestilah cemas...

Sekitar Zuhur Arwah dibawa ke dewan bedah. Aku terserempak dengan arwah dan Mak Ani yang menemaninya sewaktu pulang dari Zuhur di Surau. Mak Ani suruh aku pergi selesaikan urusan pengebumian janin, dia jaga arwah. Sekitar jam 6:00 petang aku sampai lagi ke wad dengan sangkaan pasti sudah selesai D&C. Mak Ani ada di sisi arwah. Bila arwah nampak aku, matanya berlinangan… “abang… sakit ni rasanya macam nak mati” ujarnya. 

“Jangan fikir yang bukan-bukan ya sayang… selawat banyak-banyak. ALLAH nak hapuskan dosa sayang ni…” jawabku sambil cuba tersenyum menenangkannya. “Abang… sayang mintak maaf ya… Abang tolong redhakan sayang ya” pintanya yang ku jawab dengan senyuman tanpa sangkaan itulah kali terakhir kami berbicara di dunia…

Sangkaan aku meleset… Arwah masih belum D&C lagi. Mak Ani bercerita tadi arwah tumpah darah lagi di bilik air. Mak Ani papah arwah ke bilik air sebab jururawat yang ada suruh bawak sendiri bila arwah mengadu nak terkencing. Datang seorang doktor lelaki mendekati katil arwah untuk pemeriksaan. Aku bertanya, “tadi isteri saya tumpah darah lagi di tandas, tak perlukah tambah darah? Sebab di rumah dia dah tumpah darah sekali, di hospital sudah 2 kali termasuk di tandas tadi?”, doktor tengok carta tekanan darah arwah dan jawab tak perlu sebab dia dah stabil. “Bila boleh D&C ni doktor?”, tanyaku. “kejap lagi…” jawab doktor.

Sekitar jam 6 setengah petang, arwah sekali lagi disorong dengan katil beroda masuk ke dewan bedah untuk D&C… akhirnya… setelah menunggu dari pagi. Aku mintak Mak Ani tolong jaga sementara arwah D&C sebab aku nak belikan makanan untuknya. Aku sendiri pun belum makan dari pagi. Sekitar jam 9:00 malam, sewaktu membayar harga makanan dikaunter, aku dapat panggilan dari hospital. “terdapat komplikasi masa D&C tadi, isteri encik tumpah darah lagi… kami terpaksa masukkan darah sampai 4 pine sebab isteri encik berdarah tak berhenti. Sekarang dia di ICU katil nombor 9” berderau darahku hilang selera nak makan terus bergegas ke hospital semula.

Di ruang  legar depan ICU, Mak Ani menunggu dengan suami dan anak-anaknya. Anak-anak aku ditinggalkan di rumahnya dengan anak sulung Mak Ani dan orang gajinya tolong jaga. Mak Ani sempat pesan mintak aku bersabar dan banyakkan doa. Selepas bersalaman, Mak Ani dan keluarganya pun beredar. Aku terus ke katil nombor 9… Ya ALLAH… sebak yang amat melihat isteri tercinta dengan mesin bantuan hayat dalam keadaan wajah, kaki dan tangannya lebam akibat gangrene sampai aku suaminya tak dapat cam… Aku duduk menggumam sambil perlahan-lahan membaca doa Haikal di sisi arwah.

Arwah demam 3 hari sebelum keguguran. Aku nasihatkan dia duduk rumah Mak Ani dengan anak-anak. Arwah yang perwatakannya mudah mesra juga rapat dengan Mak Ani. Masa berbual dengan Mak Ani tadi dia sempat cerita, “masa arwah demam duduk rumah Mak Ani, ada satu petang yang arwah mintak nak baring di pangkuan Mak Ani sebab arwah rindu maknya di kampong”. Mak Ani mintak aku sampaikan pada Mak mentuaku. Mak Ani juga cakap, kalau dapat kemanjaan arwah yang kerinduan bertemu ibu kandungnya dapat disampaikan.

Tiga (3) hari aku berkampung di ICU. Bapa mentuaku sampai malam ketiga arwah di ICU. Sewaktu iqamat Subuh di Surau hospital, sepupu arwah berbisik kepada Bapa mentuaku, “Dia dah pergi masa Azan subuh tadi”. Aku yang berada disebelahnya dengar dengan jelas. “Tak apalah… dah sampai masanya. Biarlah yang masih hidup ini solat dulu” ujarku sendirian memujuk hati meneruskan Solat Subuh berjemaah. Seusai solat, aku ke ICU untuk menguruskan jenazah arwah.

Pemergian arwah memang mengejutkan semua yang mengenali kami. Aku khususnya mengakui yang jiiwaku seakan berkecai diuji sebegini pada awalnya. Banyak perkara yang masih tak mampu aku kongsikan dengan para pembaca sekalian. Masih tebal rasa berahsia yang aku simpan dalam memori peribadiku perihal kisah cintaku ini. Mungkin lain kali aku kongsikan lagi… 

Buat setakat ini, cukuplah dulu... Aku percaya pada hadith Rasulullah s.a.w yang mengatakan seorang isteri yang mati dalam keadaan suaminya REDHA, masuk syurga". Aku ni yang belum ada jaminan apa-apa... Kalau aku nak jumpa arwah semula, aku kena jadi manusia yang layak masuk syurga jugak laaa... baru stended.

Untuk mengakhiri entry kali ni, aku kongsikan cebisan kisah pengalaman kehilangan... dalam sebuah lagu yang aku karang dua tahun sesudah pemergian arwah… 

Kisah yang aku lakarkan dalam lirik lagu ini menceritakan pengalaman aku semenjak berpisah di perkuburan sehinggalah suatu malam aku demam kesejukan bersendirian di dakap cuaca pendingin hawa yang rosak tak boleh nak kurangkan sejuknya dan masih belum dibetulkan… Terimalah “SEJUK”.

Lagu ini masih diperingkat demo. Dinyanyikan oleh Zulhilmi Yusuf dengan iringan petikan gitar Syazwan Jaskul. Sesiapa yang nak dengar / mintak MP3, boleh mintak di inboxkan. Hubungi : https://www.facebook.com/zoulFAZS atau https://www.facebook.com/wadapap.yetmeh untuk inbox lagu… (Ada syarat2nya… nak tau kena Tanya)  ;-)

SEJUK
Dalam gerimis kulihat dia menangis
Sendu tersedu tika alam terdiam pilu
Gugur kemboja di perdu pohonnya
Longlai langkah disurami gundah

Kutitipkan sepenuh rasa yang mengisi jiwa
Untukmu kekasih walau terpaksa aku bersedih
Kerna percaya takdirMu, pasti tercantik buatku
Takkan daku terdaya untuk meminda sejarah

Sesejuk salji yang memutih
Sedingin hati kian merintih
Ku pohon kasihMu duhai Tuhanku
Keampunan baginya sepanjang usia
RahmatMu ku gapai meskipun terkapai
Ku hirup angin yang memeluk dingin…

Semahunya ku mahu kau masih bersama
Membina cita bersama melembar cinta
Namun kasihNya sekudus RahmatNya
Demi Amanah padaNya aku berserah

Note: ONE thing I’m sure, what I felt here is NOTHING compared to what our brothers and sisters in Syria are currently facing. At lost, I was shattered and I was hurt… yes indeed, but SYRIA… you are the one in NEED.

By: Towil Seesharpminor

Comments

Popular posts from this blog

Siapa AHZAB?

Qunut Nazilah. "Ya Allah kami letakkan kamu di batang leher musuh-musuh kami, Dan kami berlindung Dengan-Mu dari kejahatan mereka, “Ya Allah hancurkan kumpulan mereka, “Ya Allah pecahkan pakatan mereka, “Ya Allah leburkan penderian mereka, “Ya Allah musnahkan langkah mereka, Cengkamkan anjing-anjing-Mu kepada mereka, “Ya Allah Yang Maha Memaksa, “Ya Allah Yang Maha Perkasa, “Ya Allah Yang Maha Membalas, “Ya Allah,“Ya Allah, “Ya Allah, Yang turunkan kitab, Yang gerakkan awan, Yang tewaskan tentera Ahzab, Kalahkan mereka, Kalahkan mereka, Kalahkan mereka Dan menangkanlah ke atas kami." Doa Qunut Nazilah adalah doa yang sama diseru oleh para pembela Palestine, Syria, Iraq, Rohingya, Central Africa, East Turkistan (Uyghur), Chechnya, Ahwaz (Sunni Iran), dll apabila Ummat Islam dizalimi PERANG yang membunuh, memperkosa dan mencabul segala hak asasi manusia. DALIL PENSYARIATAN QUNUT NAZILAH Daripada Anas bin Malik RA: Ø£َÙ†َّ رِعْلاً ÙˆَØ°َÙƒْÙˆَانَ ÙˆَعُصَÙŠَّØ©َ ÙˆَبَÙ†ِÙŠ Ù„َØ­ْÙŠ...

Cerita Kampung Istana

“Ady tak setuju lah dengan cara sesetengah orang tua-tua sini cakap pasal masjid lama tu”. Terpegun sekejap aku dengar Ady cakap macam tu. Bukan apa…  aku memang tak sangka anak muda berusia 20an yang sekali imbas dengan rambut paras bahu, berseluar jeans lusuh, dengan kemeja-T bercapuk cat sebab baru balik kerja tiba-tiba bagi komen pasal masjid di kampungnya. Aku takjub sebab Ady masih nak ambil tahu pasal cerita masjid lama di kampungnya yang kini sudah tidak lagi digunakan kerana sudah ada masjid baru sebelah sekolah agama. Tambah terkesima aku dengan apa yang Ady tahu berkenaan sejarah masjid lama kampungnya yang dibina pada zaman selepas British keluar dari Tanah Melayu. “Ada orang kampong sini cakap memang eloklah dipindahkan masjid ke tapak baru sebab asal tapak tanah masjid lama tu pun bukan baik sangat. Sebelum dibina masjid, tapak tanah tu ada kedai kopi tentera British. Faham-faham sajalah kalau zaman dulu kedai kopi dan rumah tumpangan orang putih mestilah bany...

Kopi Tongkat Ali; Nak Tambah Kuat Lagi?

Abang mau itoo tulur sitengah masak ka? Sudah minum tongkat ali, makan tulur la bang… kasi power kuat punya… Tanggapan. Aku ingatkan mamak yang ambik order tadi memang rekomen telur separuh masak untuk digandingkan dengan kopi tongkat ali 5 dalam 1 sebab boleh tambah tenaga orang jantan. Tapi bila aku fikirkan balik, alahhh… dia meniaga, memanglah suka pelanggan yang macam-macam ordernya. Kopi Tongkat Ali; apa sebenarnya yang dijual? Serbuk kopi segera… dengan KHASIAT memperkuatkan tenaga. Boleh kaya orang yang jual kopi segera ini di Malaysia. Sampai mampu bagi hadiah pertandingan satu juta.