Skip to main content

Khabar Sekitar Perkhabaran

ALHAMDULILLAH… Ramadhan yang diberkati menjelma lagi. Kita yang masih dapat baca artikel ini maknanya masih bernyawa. Peluang yang ALLAH bagi untuk terus menghirup udara dunia yang masih percuma. Kalau tidak kerana bulan puasa sekali pun, kita sentiasa punya sebab untuk tak kurang menyatakan kesyukuran atas segala rahmat Tuhan. Inikan pula dapat peluang meneruskan sisa usia melalui bulan yang mulia sebelum masing-masing nanti dijemput mengadapNya. Sekali lagi ALHAMDULILLAH & terima kasih ALLAH atas segalanya.

Di akhir Sya’ban baru-baru ini, beberapa perkara sempat menjadi tajuk berita yang menggamit perhatian ummat Islam di sini khususnya. Tolak tepi cerita politik yang takkan putus dari mewarnai agenda masyarakat Malaysia, ummat kita masih punya perkara yang layak menuntut rasa cakna. Rata-rata bagi yang sudah bijak menghargai nilai berpuasa, semakin ramai yang tahu dan mahu bersuara agar ibadah istimewa setahun sekali ini dapat dijaga dari dicemari.

Kalau sedekad sebelum ini pasar dan bazaar Ramadhan dipuji kerana memudahkan semua yang berpuasa mencari juadah berbuka, kebelakangan ini kita sudah biasa mendengar ramai yang mengklasifikasikannya sebagai medan cabaran berdepan nafsu makan yang adakalanya menggila mahu menjamah semua benda. ALHAMDULILLAH atas peningkatan kesedaran yang mahu menjaga nilai berpuasa demi mendidik jiwa dan bukannya sebab nak berlapar semata-mata kerana nak makan ikut selera.


Di mana jua boleh dilihat masjid dan surau dipenuhi ummat yang berduyun-duyun mahu bertarawih. Trend sekitar beberapa tahun kebelakangan ini juga menyaksikan banyak pusat berterawih yang mengambil imam-imam AlHafiz untuk mengimami tarawih dengan bacaan AlQur’an yang tidak hanya surah-surah pendek seraya bersolat macam keretapi kejar jadual. Bahas antara solat 8 atau 20 rakaat juga sudah semakin kurang dibicara lantaran kefahaman dan penghayatan agama yang lebih bijaksana. ALHAMDULILLAH.

Secara amnya kita memang lebih dari layak untuk terus bertahmid memuji Yang Maha Kuasa kerana keadaan hidup beragama di sini yang kelihatan semakin mesra dengan penghayatan. Apa jua kekurangan yang ada semakin hari semakin banyak yang diperbaiki. Suasana masyarakat khususnya di bandar-bandar kelihatan semakin ramai yang mahu bersama-sama menghidupkan amalan agama. Kesyukuran jua yang selayaknya dipanjatkan kepada Tuhan atas segala kurnianya. Inilah sebahagian keinginan ummah di sini.

Amalan serta komitmen beribadah sepanjang Ramadhan memang mudah kita perasan terutamanya di awal bulan. Tahun sudah sempat juga sebuah akhbar tempatan melaporkan kisah seorang bayi yang dibuang ketika waktu sahur. Tahun ini Nampak macam belum ada laporan seumpamanya. Cerita sembelih cincang orang barangkali yang lebih sikit. Begitupun, persoalan atas sikap sebuah ummat yang diiktiraf sebagai terbaik di kalangan manusia sebagaimana yang disebut dalam AlQur’an sebenarnya masih berbaki adakah sudah cukup usaha kita menyeru dengan kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Tidak dinafikan peningkatan seruan kebaikan yang boleh dikatakan meningkat dalam tempoh sedekad. Ini dapat dibuktikan khususnya bila kita pandang kemeriahan ummah beribadah dalam Ramadhan AlMubarak. Namun kita juga tidak dapat menafikan bahawa dalam pada masa yang sama ummat kita di sini sedang terlibat dengan keruntuhan yang teruk. Kita seakan membentuk polar kebaikan dan keburukan yang semakin lebar jurang perbezaan. Sememangnya mudah sahaja kalau kita nak kata begitulah keadaan ummat di akhir zaman.

Ya. Memang benar akhirat dan kiamat itu pasti. Kebangkitan dan keruntuhan ummah sebelum hadirnya kiamat juga pasti. Keadaan kita pada hari ini juga tidak dapat menyangkal kebenaran perihal yang dikhabarkan oleh Rasul Junjungan berkaitan kedatangan saat kehancuran. Secara fizikal juga khabar geologi dunia semakin meningkat kadar kepanasan selain semakin dihakis pencemaran. Kesemua fenomena dunia ini samada yang melibatkan gaya kehidupan manusia mahupun keadaan persekitarannya terus menepati ramalan bakal berakhirnya usia alam semesta.

Turut dikhabarkan apabila dunia semakin menghampiri saat akhirnya, manusia yang beriman dengan sebenar iman kepada Tuhan sekalian alam akan bertaut sesama mereka manakala di pihak yang teguh dengan keengkaran dan memusuhi agama juga akan membentuk polarnya. Keadaan ini juga saban hari semakin rasional dan logikal. Ya. Kiamat itu benar. Akhirat itu juga benar. Manusia akan terus-terusan berantakan menuju polar masing-masing samada memilih iman atau kekufuran sehinggalah tiba masa yang dijanjikan.

Dalam proses kita meniti baki usia dunia, bermacam perkara yang sudah, sedang dan akan kita jumpa. Hari ini, zaman pancaroba dunia yang dipenuhi fitnah dan tipu daya semakin menjadi budaya. Sememangnya di luar kuasa kita untuk menghentikan segalanya, tetapi sebagai ummat terbaik yang mahu sentiasa percaya kepada kebenaran Tuhannya, tanggungjawab menyeru dengan kebaikan dan mencegah kemungkaran tak boleh dipandang sambil lewa.

Apabila datangnya kebenaran, maka musnahlah kebathilan. Para penjiwa agama semestinya sedar bahawa demi kebaikan ummah, kebenaran Tuhan perlu sentiasa ditegakkan. Tugas ini bukan sekadar menuntut pemahaman dan pengorbanan, malah yang lebih utama adalah keikhlasan. Agenda agama yang dibawa oleh Sayyidina Muhammad s.a.w adalah berteraskan kebenaran. Ketulusan mendukung panji kebenaran tidak akan dapat dicapai dan dilaksanakan sekiranya pekat bersulam kepentingan yang berpaksikan keduniaan dan keakuan.

Kebenaran Tuhan itu jelas tiada pembohongan. Pada hakikatnya, perlumbaan dalam kehidupan yang singkat dan sementara ini adalah menuju kematian. Kita hidup sebab kita nak mati. Perkara pasti yang tak boleh dinafikan lagi. Tidak bijak jika di kesempatan berbaki usia yang ada, kita tegar memilih jalan yang penuh kepalsuan dan kepuraan. Kalam Tuhan dan segala perkhabaran Rasul Pilihan bagi ummat akhir zaman itu semuanya kebenaran. Tidak memilih sebenar-benar kebenaran ini adalah suatu pilihan yang merugikan.

Akhbar atau media, samada cetakan, elektronik mahupun di maya siber yang mengkhabarkan pelbagai cerita manusia hari ini terlalu banyak informasi yang berbaur antara benar dan palsu. Itu belum kira cerita yang disira dengan perisa kesedihan agar kisahnya berjaya menagih simpati meskipun terang-terangan melanggar hukum Tuhan. Sampaikan kisah antara lelaki dan perempuan sebagai makhluk tertentu jantina juga dikhabarkan sebagai paparan yang seolah-olah masih perlukan pertikaian fatwa dan komen keagamaan.
Jantan atau perempuan itu sudah tetap ditentukan oleh Tuhan semenjak dalam kandungan meskipun kemudian kehendak dan kemahuan makhluk yang dijadikan sebagai insan itu mahukan yang bertentangan. Atas kehendak siapakah sekalian insan ini diciptakan? Adakah hanya untuk dunia sahaja manusia ini dijadikan? Sia-siakah ciptaan Tuhan atau pasti ianya punya hikmah yang boleh dijadikan pengajaran? Bila tiba masa untuk memilih antara hukum Tuhan dan rasa kesian peri kemanusiaan, patutkan rasa keinsanan yang lebih diutamakan? Layakkah seorang hamba yang tercipta dari titis air yang hina mencabar kehendak dan ketentuan Tuhannya?

Hukum yang jelas pun nak disentimenkan. Kekelabuan, kekeliruan dan kesamaran terus-terusan dicanang dengan pelbagai teknik sensasi. Pantas mengambil kesempatan, ada sahaja pihak yang mahu tampil membela hak yang pelik lagi songsang kononnya atas istilah kemanusiaan dan hak peribadi setiap insan. Atas dasar kebebasan membuat pilihan demokrasi, apakah segala keinginan peribadi perlu dihormati walaupun hanya beralasan keinginan naluri yang menentang fitrah kejadian Tuhan? Besar sangatkah kasihan yang harus diberikan di dada arus perdana terhadap sekelumit minoriti hedonis sehingga mengatasi kepentingan merawat penyakit ummah hari ini yang semakin parah dilanda barah aqidah, syariah, akhlaq dan ukhuwwah?

Polemik kemaslahatan ummah yang dicaknakan akhir-akhir ini ada kalanya semakin teruk diselubungi kepentingan pihak-pihak yang mahu meraih simpati dan populariti murahan demi mendapat pandangan positif kemanusiaan. Di manakah duduknya kepentingan Tuhan yang Menciptakan di hati para pemuka yang selamba melacurkan perspektif agama? Kalau hanya keredhaan ALLAH dijadikan tujuan, perkara remeh takkan diperbesarkan malahan kalau perkara itu perlu singkap aib dalam kain orang lain, seeloknya tak payah dijadikan berita utama. Aqidah, syariah, akhlaq dan ukhuwwah Islamiyah adalah agenda malar segar ummah yang sentiasa perlukan keutamaan dan perhatian.

Kerisauan terhadap keadaan ummah yang berlangsung di atas muka bumi ini adalah sesuatu yang berhak difikirkan. Tidak cukup bagi seseorang yang mendakwa beriman sekadar memikirkan kepentingan diri sendiri sahaja. ALLAH s.w.t sendiri mengingatkan agar kita memelihara diri dan ahli keluarga dari api neraka. Apabila diistilahkan orang beriman sebagai bersaudara, maka di atas bahu kita sebagai ummat Islamlah terletaknya tanggungjawab memikir dan melaksana kebaikan buat semua. Itulah amanah ALLAH bagi hambaNya yang bersaudara.

Usaha yang baik dalam menyeru kebaikan seakan mula menampakkan hasilnya akhir-akhir ini apabila kualiti kepercayaan kepada agama semakin meningkat di kebanyakan tempat. Akan tetapi usaha mencegah kemungkaran yang berleluasa tampak semakin perlu diperkasa. Menurut hadith Sayyidina Muhammad s.a.w dalam perkara mencegah kemungkaran ini, terdapat tiga tahap yang berturutan tingkatnya bermula dengan penguasaan, teguran dan terakhirnya mendoakan yang dianggap sebagai selemah-lemah iman.
Berkata benarlah meskipun pahit. Itu juga anjuran Nabi & Rasul akhir zaman. Demi mendukung panji kebenaran, sememangnya menjadi resam diuji dengan pelbagai dugaan.

Menjunjung kebenaran perlukan kekuatan dalaman melebihi tenaga luaran. Ramai di kalangan ummat kita yang beralasankan tak cukup kuat atau tak berani nak berkata benar dek kerana keterbatasan kuasa meskipun sesetengah mereka ini sudahpun menjadi sebahagian penguasa. Tak berani kerana apa? Kerana sayangkan dunia dan isinya atau kerana takutkan Tuhan Yang Esa?

Semoga Ramadhan kali ini memperkuatkan semangat kita semua untuk sama-sama mendukung panji kebenaran Tuhan sebagai sebuah ummah yang selayaknya bangga terpilih menjadi golongan manusia terbaik di sisi ALLAH s.w.t. Semoga kesan latihan intensif selama sebulan di sepanjang kem Ramadhan akan dapat memperkuatkan keinginan, semangat serta jatidiri kita untuk lebih mendekati keredhaan Tuhan terutamanya menerusi jalan menyeru dengan kebaikan dan mencegah kemungkaran. ALLAHUMMA AMIIN. Wallahu a’lam.

By: Towil

Comments

Popular posts from this blog

Siapa AHZAB?

Qunut Nazilah. "Ya Allah kami letakkan kamu di batang leher musuh-musuh kami, Dan kami berlindung Dengan-Mu dari kejahatan mereka, “Ya Allah hancurkan kumpulan mereka, “Ya Allah pecahkan pakatan mereka, “Ya Allah leburkan penderian mereka, “Ya Allah musnahkan langkah mereka, Cengkamkan anjing-anjing-Mu kepada mereka, “Ya Allah Yang Maha Memaksa, “Ya Allah Yang Maha Perkasa, “Ya Allah Yang Maha Membalas, “Ya Allah,“Ya Allah, “Ya Allah, Yang turunkan kitab, Yang gerakkan awan, Yang tewaskan tentera Ahzab, Kalahkan mereka, Kalahkan mereka, Kalahkan mereka Dan menangkanlah ke atas kami." Doa Qunut Nazilah adalah doa yang sama diseru oleh para pembela Palestine, Syria, Iraq, Rohingya, Central Africa, East Turkistan (Uyghur), Chechnya, Ahwaz (Sunni Iran), dll apabila Ummat Islam dizalimi PERANG yang membunuh, memperkosa dan mencabul segala hak asasi manusia. DALIL PENSYARIATAN QUNUT NAZILAH Daripada Anas bin Malik RA: Ø£َÙ†َّ رِعْلاً ÙˆَØ°َÙƒْÙˆَانَ ÙˆَعُصَÙŠَّØ©َ ÙˆَبَÙ†ِÙŠ Ù„َØ­ْÙŠ

Cerita Kampung Istana

“Ady tak setuju lah dengan cara sesetengah orang tua-tua sini cakap pasal masjid lama tu”. Terpegun sekejap aku dengar Ady cakap macam tu. Bukan apa…  aku memang tak sangka anak muda berusia 20an yang sekali imbas dengan rambut paras bahu, berseluar jeans lusuh, dengan kemeja-T bercapuk cat sebab baru balik kerja tiba-tiba bagi komen pasal masjid di kampungnya. Aku takjub sebab Ady masih nak ambil tahu pasal cerita masjid lama di kampungnya yang kini sudah tidak lagi digunakan kerana sudah ada masjid baru sebelah sekolah agama. Tambah terkesima aku dengan apa yang Ady tahu berkenaan sejarah masjid lama kampungnya yang dibina pada zaman selepas British keluar dari Tanah Melayu. “Ada orang kampong sini cakap memang eloklah dipindahkan masjid ke tapak baru sebab asal tapak tanah masjid lama tu pun bukan baik sangat. Sebelum dibina masjid, tapak tanah tu ada kedai kopi tentera British. Faham-faham sajalah kalau zaman dulu kedai kopi dan rumah tumpangan orang putih mestilah banyak b

Kopi Tongkat Ali; Nak Tambah Kuat Lagi?

Abang mau itoo tulur sitengah masak ka? Sudah minum tongkat ali, makan tulur la bang… kasi power kuat punya… Tanggapan. Aku ingatkan mamak yang ambik order tadi memang rekomen telur separuh masak untuk digandingkan dengan kopi tongkat ali 5 dalam 1 sebab boleh tambah tenaga orang jantan. Tapi bila aku fikirkan balik, alahhh… dia meniaga, memanglah suka pelanggan yang macam-macam ordernya. Kopi Tongkat Ali; apa sebenarnya yang dijual? Serbuk kopi segera… dengan KHASIAT memperkuatkan tenaga. Boleh kaya orang yang jual kopi segera ini di Malaysia. Sampai mampu bagi hadiah pertandingan satu juta.