
Berapa ramai pulak orang kita yang masih tetap sukakan kari mamak walaupun memang dah tau perut tak berapa tahan kena penangan gelora akibatnya? Begitulah resamnya roti canai. Lazim yang dipertimbangkan adalah kuah pencecahnya selain faktor roti yang lembut, garing dan lazat. Orang Melayu pun sekarang dah ramai yang tebar roti canai. Tak keterlaluan juga dikata majoriti roti canai segera diusahakan oleh bangsa selain keturunan mamak atau India.
Penjenamaan ‘Roti Canai’ sendiri berbaur unsur India dan Melayu. Sejarah kewujudan roti canai di Tanah Melayu berputik dari kedatangan kaum India yang makan roti dan capati selain nasi sebagai hidangan ruji. Canai dalam bahasa Melayu lazim bermaksud ‘potong’. Dalam ‘Roti Canai’, perkataan ‘Canai’ itu khabarnya bukan asal cakap Melayu tapi nama tempat; ‘Chennai’ di India. Orang Melayu sudah lama makan roti canai. Secara peribadi aku tak kisah roti canai Melayu atau Mamak sebab aku jenis yang pentingkan kuah pencecah.

Rock, Man Laksa, Zombi Kampung Pisang dan Kala Malam Bulan Mengambang adalah antara hasil air tangan Bro Mamat yang aku hormati. Cuma lepas tonton ‘Estet’ kali ini aku rasa bersetuju dengan penelis juri yang hanya menganugerahkan “Anugerah Khas Juri” kepada filem ini. Sebagai penonton aku rasa cerita ‘Estet’ ini tak begitu memberikan kepuasan macam cerita-cerita Bro Mamat sebelum ini. Mungkin pandangan aku pasal filem Melayu agak dangkal sebab aku cuma minat hasil air tangan beberapa penggiat filem Melayu seperti Bro Mamat Khalid, Bro Afdlin Shauki dan Arwah Yasmin Ahmad.
Tolak tepi karya filem Melayu yang kononnya berorientasikan komersil semata-mata yang dihasilkan kelompok professor, geng pulis, kumpulan rap dan doktor ubat kurus. Nama-nama yang aku sebut dalam perenggan sebelum ini lebih layak dihargai dari pandangan mata aku. Secara objektifnya aku sukakan cara mengutarakan isu dan fikiran dalam berkarya. Dalam ‘Estet’ banyak isu sosial kaum India di Malaysia yang Bro Mamat utarakan seperti mabuk todi, belenggu hutang, bunuh diri dan lain-lain lagi. Cuma kali ini garapan keseluruhan penceritaan ‘Estet’ agak longgar.
Faktor Kollywood yang dicanai oleh Bro Mamat dalam ‘Estet’ menerusi Farid kawan baik Sashi mungkin lebih sesuai dibawakan oleh pelakon lain yang bukannya pemegang watak Budak Setan cerita satu lagi. Watak Farid dalam ‘Estet’ tampak canggung dan pra-matang. Salah satu puncanya mungkin kerana polemik hubungannya dengan Githa tak cukup rempah. Keunikan wajah ala-cina yang ada pada Farid tak cukup untuk memperkuatkan ‘Estet’ sebab lakonannya tak sehebat dalam filem lain yang dibintanginya.

Apapun aku tetap hormat Bro Mamat. Walaupun bukan professor tapi keberanian memartabatkan bidang yang diusahakannya lebih terserlah. Bro Afdlin juga aku hormat. Aku rasa jika lebih ramai pengusaha filem tanahair macam mereka, InsyaALLAH minda penonton wayang Melayu di Malaysia boleh tambah diperkasa dan bukan sekadar leka berhibur sepenuhnya. Dari aspek pasaran tempatan, kalau roti canai Melayu boleh dapat sambutan, masakan pula air tangan usahawan filem sebegini harus diragukan?
By: Towil
Comments
Post a Comment