Skip to main content

Roti Pau & Back To The Future

Wawasan. Itulah perkataan yang terpacul dalam kepala otak aku yang berjambul baru-baru ini bila teringat cerita box-office lama; “Back To The Future” lakonan Micheal J. Fox. Macam dah jadi suatu kebiasaan bagi penghasil filem Hollywood bermain dengan masa dalam kreativiti khayalan mereka. Semenjak tahun 50an lagi cerita-cerita Fiksyen Sains sudah dikeluarkan di sana. Masa aku kecik dulu, tak minat tengok cerita Star Trek tapi kena tengok jugaklah sebab abang aku nak tengok. Masa tu, rumah ada satu TV hitam putih sebelum bertukar TV baru berwarna jenama Quintrix.

Seingat aku masa mula-mula aku tengok cerita “Back To The Future”, aku tonton sambil makan pau yang mak belikan dari pasar malam. Dalam cerita futuristik orang putih, selalu juga diumpama makanan manusia masa depan hanya perlu dikapsulkan. Masa itu aku rasa boleh agaknya pau kacang merah yang aku makan waktu itu dikapsulkan suatu hari nanti. Bijak juga maksud tersirat yang persuasif memujuk minda penonton ke arah gaya hidup moden acuan barat.

Pelbagai rupa dan warna gambaran masa depan pernah diutarakan dalam cerita fiksyen khayalan orang putih. Banyak juga cebisan khayalan itu yang sudah jadi kenyataan hari ini. Ambil sahaja contoh telefon bimbit. Dalam cerita Star Trek tahun 50an sudah digambarkan alat komunikasi tanpa wayar yang menjadi titik keterujaan sebilangan penonton. Hari ini anak kecil yang belum tahu bercakap sudah tahu apa gunanya panggilan video menggunakan telefon bimbit.

Kegilaan manusia mengejar masa begitu jelas dalam mesej-mesej cerita fiksyen sains futuristik. Bagi yang memuja teknologi, gaya hidup pantas tanpa banyak bergerak memang sesuatu yang amat mengujakan. Komputer dan internet juga terhasil dengan cetusan idea khayalan. Hari ini telekomunikasi adalah salah satu sektor industri yang penting di dunia. Teknologi khayalan semalam memang sudah benar-benar mampu menguasai dunia hari ini. Berwawasan sungguh hemat pengeluar bahan untuk industri hiburan.

Hari ini barangkali sudah ramai yang membeli roti pau sejuk beku dengan menggunakan khidmat pesanan ringkas telefon mudah alih. Hantar saja sms, penjual pau datang menghantar bekalan ke muka pintu rumah. Nak bayar bil api, air, telefon, pindahkan wang, beli baju dan banyak lagi benda yang boleh diuruskan dengan khidmat telekomunikasi jalur lebar di mana jua pada bila-bila masa. Memanglah belum majoriti manusia di dunia yang berurusan secara siber tapi realitinya hari ini semua itu sudah ada.

Boleh sahaja kapasiti akal manusia yang dikurnia Sang Pencipta menjangkau pengetahuan yang banyak mewujudkan kesenangan dalam kehidupan. Jika itu boleh dicapai, maka apa jua wawasan memang logik untuk digapai. Untuk sesuatu yang lebih besar dari wawasan yang berbentuk idea harapan, kehidupan akhirat selepas kematian juga rasionalnya logik diterima akal. Berwawasan untuk sebuah kehidupan sementara di dunia sahaja tidak cukup untuk jiwa insan yang mengaku beragama Islam.

Kadang-kadang aku terasa sinis bila mengingatkan hujahan totok yang menekankan apa sahaja yang Nabi s.a.w tidak buat adalah bidaah, langsung layaknya hanya neraka. Bukan apa, tapi bila tengok orang yang cakap tu sendiri guna henfon. Ehh… zaman Nabi s.a.w dulu ada henfon ke? Aku tak tolak maksud Hadith Nabi tercinta, tapi aku tak suka orang yang menafsirkannya membabi buta. Dalam dunia penuh fitnah hari ini, teknologi maklumat juga telah menjadi agen utama tersebarnya segala macam keburukan. Hmmmm… bagus juga zaman Nabi s.a.w dulu tak ada henfon.

Dalam kita mengimpikan sesebuah kehidupan baik di dunia mahupun akhirat, adakah kita fikirkan juga apa dan bagaimana sebaiknya dunia impian kita? Generasi akan datang pasti akan terus berubah selari dengan peredaran masa. Kehidupan kita hari ini sudah jauh berubah dari zaman nenek moyang kita sewaktu mereka muda belia. Justeru kehidupan generasi muda hari ini juga akan berubah apabila mereka pula menjadi tua. Seperkara yang pasti adalah mati. Pancangan had masa realiti inilah yang menghadkan kita dari terus gilakan dunia. Lupa mati, tak ingat dunia.

By: Towil

Comments

azri said…
yang bestnye yang kata gitu bukan takat pakai h/p mahal..keta diorang paling koman pun camry model baru..pergh sunnah diorang hebat
towil said…
memang tak salah pakai keta mcm tak salah naik unta... pisau pun teknologi manusia, boleh potong ikan dan sayur & boleh buat merompak dan membunuh.
Saya rasa cerita orang putih mencadangkan makanan dicapsulkan itu ialah menyimpannya dalam 'time capsul' untuk dibuka pada suatu masa hadapan supaya generasi akan datang dapat mempelajari tabiat makanan orang-orang tuanya dan juga mungkin mengekalkan resepi yang sama. Cuba study 'time capsul' anda akan jumpa ada orang simpan filem, gigi palsu dll di dalamnya. Mungkin satu hari manusia akan musnah dan tinggal 2, 3 orang je.. mereka ini dapat bina semula teknologi yg baru atau kita semua musnah alien mendarat dan dapat belajar sedikit sebanyak teknologi orang bumi. Hu..hu..
towil said…
idea bagusnya 'makanan segera' juga adalah maksud tersirat selain promosi pemakanan khasiat dalam kapsul... siapa untung agaknya ya?

Popular posts from this blog

Siapa AHZAB?

Qunut Nazilah. "Ya Allah kami letakkan kamu di batang leher musuh-musuh kami, Dan kami berlindung Dengan-Mu dari kejahatan mereka, “Ya Allah hancurkan kumpulan mereka, “Ya Allah pecahkan pakatan mereka, “Ya Allah leburkan penderian mereka, “Ya Allah musnahkan langkah mereka, Cengkamkan anjing-anjing-Mu kepada mereka, “Ya Allah Yang Maha Memaksa, “Ya Allah Yang Maha Perkasa, “Ya Allah Yang Maha Membalas, “Ya Allah,“Ya Allah, “Ya Allah, Yang turunkan kitab, Yang gerakkan awan, Yang tewaskan tentera Ahzab, Kalahkan mereka, Kalahkan mereka, Kalahkan mereka Dan menangkanlah ke atas kami." Doa Qunut Nazilah adalah doa yang sama diseru oleh para pembela Palestine, Syria, Iraq, Rohingya, Central Africa, East Turkistan (Uyghur), Chechnya, Ahwaz (Sunni Iran), dll apabila Ummat Islam dizalimi PERANG yang membunuh, memperkosa dan mencabul segala hak asasi manusia. DALIL PENSYARIATAN QUNUT NAZILAH Daripada Anas bin Malik RA: أَنَّ رِعْلاً وَذَكْوَانَ وَعُصَيَّةَ وَبَنِي لَحْي

Cerita Kampung Istana

“Ady tak setuju lah dengan cara sesetengah orang tua-tua sini cakap pasal masjid lama tu”. Terpegun sekejap aku dengar Ady cakap macam tu. Bukan apa…  aku memang tak sangka anak muda berusia 20an yang sekali imbas dengan rambut paras bahu, berseluar jeans lusuh, dengan kemeja-T bercapuk cat sebab baru balik kerja tiba-tiba bagi komen pasal masjid di kampungnya. Aku takjub sebab Ady masih nak ambil tahu pasal cerita masjid lama di kampungnya yang kini sudah tidak lagi digunakan kerana sudah ada masjid baru sebelah sekolah agama. Tambah terkesima aku dengan apa yang Ady tahu berkenaan sejarah masjid lama kampungnya yang dibina pada zaman selepas British keluar dari Tanah Melayu. “Ada orang kampong sini cakap memang eloklah dipindahkan masjid ke tapak baru sebab asal tapak tanah masjid lama tu pun bukan baik sangat. Sebelum dibina masjid, tapak tanah tu ada kedai kopi tentera British. Faham-faham sajalah kalau zaman dulu kedai kopi dan rumah tumpangan orang putih mestilah banyak b

Kopi Tongkat Ali; Nak Tambah Kuat Lagi?

Abang mau itoo tulur sitengah masak ka? Sudah minum tongkat ali, makan tulur la bang… kasi power kuat punya… Tanggapan. Aku ingatkan mamak yang ambik order tadi memang rekomen telur separuh masak untuk digandingkan dengan kopi tongkat ali 5 dalam 1 sebab boleh tambah tenaga orang jantan. Tapi bila aku fikirkan balik, alahhh… dia meniaga, memanglah suka pelanggan yang macam-macam ordernya. Kopi Tongkat Ali; apa sebenarnya yang dijual? Serbuk kopi segera… dengan KHASIAT memperkuatkan tenaga. Boleh kaya orang yang jual kopi segera ini di Malaysia. Sampai mampu bagi hadiah pertandingan satu juta.