Skip to main content

Celik Memandang Yang Jelek

Seimbangnya pandangan manusia bila celik mata hati, minda, naluri, emosi dan jiwa selain sepasang mata di bahagian hadapan muka. Kerap kita dengar ungkapan “pandang sebelah mata” yang membawa maksud acuh tak acuh. Dalam senario dunia hari ini, makin muak rasanya bila saban hari kita disogok berita dan fitnah yang bertali arus tak putus-putus. Baik di persada tempatan mahupun di pelantar dunia, pelbagai cerita bersulam dusta dicanang merata-rata. Media; baik di arus perdana, layar utama mahupun alternatif sahaja seakan dirasuki kegilaan menjaja pembohongan yang nyata.

Apa mahunya kita dengan segala yang didedahkan secara menjolok mata? Sampai bila agaknya kita mahu dunia kita terus-terusan diconteng kecamuk berita yang bukan sahaja tidak membina sahsiah dan pemikiran malah semberono mempromosikan moral, etika dan akhlak terhina bahkan terkadang songsang yang bertentangan fitrah manusia. Itu belum dikira benar atau tidaknya berita sebegini yang disebarkan sesuka hati di sana sini.

Menyorot berita-berita sensasi yang pernah disiarkan di sini meliputi si bukan melayu pertahankan diri bahawa dia hanya buat tak senonoh dengan kawan sendiri atas dasar suka sama suka kan patutnya tak mengapa, si jantan dahi berbekas bagitau dihentam stor kunyit miliknya tanpa rela walaupon suka, si bekas ketua yang pernah menoda anak dara cakap dengan bukti rakaman video si anu yang sorang tu pon jenis macam dia juga… semua ini dan banyak lagi berita seumpamanya terhampar untuk tatapan umum kita semua secara percuma.

Di tanah air ini yang diperintah oleh sistem demokrasi yang diwarisi dari penjajah Inggeris, masih kedengaran suara yang mahu membangkang menerusi sistem yang sama. Terdapat juga golongan yang melabelkan diri sebagai pendukung agama yang tegar berjuang menentang sistem demokrasi terpimpin warisan penjajah saduran kuffar laknatullah. Barangkali disebabkan oleh potensi membolot hasil yang melimpah ruah dan kestabilan Negara ini, minat para pejuang politik di sini tampak tinggi sekali.

Dari beranda rumah sendiri ke kedai kopi hingga ke dewan perwakilan rakyat dan undangan negeri, begitu ramai yang bertekak memperjuangkan ideologi partisan masing-masing. Minat masyarakat berinteraksi perihal topik berkaitan ini seakan tidak pernah padam. Saban hari pasti sahaja ada cerita yang menjadi bahan bualan mereka samada secara bersemuka mahupun secara siber. Malangnya dalam beberapa dekad akhir-akhir ini, para penggiat demokrasi ini makin intim dengan fitnah seksual yang semakin menjadi trend masakini puak-puak ini.

Terima kasih kepada teknologi masakini yang memudahkan pelbagai rakaman visual dihasilkan dan dikongsi. Sekitar dekad 60an, 70an dan 80an, teknologi ini masih secara amnya dianggap sekadar layak sebagai fiksyen cerita di wayang dan TV. Hari ini, dek kerana mudahnya maklumat dikongsi, manusia makin rakus menceroboh hak peribadi sensasi untuk dipergunakan sebagai senjata menghentam dan memburukkan orang lain yang berlainan kubu dan parti.

Kegelojohan, kerakusan dan ketamakan kuasa dan pupolariti dunia ini semakin menjadi-jadi. Di kedua-dua polar perjuangan pemerintah semasa demokrasi dan pejuang beraspirasi kelihatan makin tegang, makin berapi dan makin busuk, bobrok lagi jelek apabila bertelingkah atas bendera parti. Kebenaran, keadilan dan kesejahteraan rakyat yang terus dijanjikan hanya bertaraf umpanan memancing undian untuk memegang tampuk pemerintahan setiap kali tiba musim pemilihan.

Menyingkap kembali kisah perjuagan Mahatma Gandhi yang memboikot penjajah Inggeris di India dengan cara mengelakkan keterlibatan dan berdiam diri, cara ini ternyata berkesan mengekang pertumpahan darah dari berleluasa dan akhirnya membuahkan kejayaan kepada mereka yang bersama-sama Gandhi. Tetapi sememangnya kebijaksanaan manusia pasti ada batasannya. Begitulah juga dengan sistem demokrasi yang dijunjung oleh kebanyakan Negara merdeka hari ini.

Meskipun demokrasi terpimpin yang berpandukan konstitusi perlembagaan gubalan rakyat tempatan seakan adil tetapi hakikatnya selagi diketepikan faktor garis panduan kehidupan yang dikirimkan kepada manusia oleh Sang Pencipta yang Maha Bijaksana melalui Rasulnya, maka selagi itulah sistem ini tidak sempurna. Pilihan dan keredhaan manusia kepada hak antara sesama boleh berbeza mengikut masa dan suasana tetapi pengetahuan Tuhan yang tidak bersempadan terhadap keperluan insan dalam kehidupan adalah sesuatu yang mutlak dan sesuai sepanjang zaman.

Rasul junjungan Muhammad bin Abdullah bin Abdulmuttalib yang diutuskan Tuhan sebagai rahmat dan ikutan sekalian alam adalah kebenaran yang tidak sepatutnya disangkal dan diragukan. Segala amanat, suruhan dan tegahan yang pernah baginda utarakan sebenarnya sudah memadai untuk digunapakai oleh semua kerana keadilan, kesesuaian dan kebijaksanaan yang terkandung di dalamnya bukan bersandar rasa dari manusia semata-mata tetapi dipandu oleh Tuhan yang mencipta kita dan seisi dunia.

Dalam keterbatasan ruang mencakupi aspek pemerintahan dan kedaulatan sesebuah Negara berpelembagaan, barangkali sistem siasah atau politik gaya demokrasi adalah salah satu pilihan yang berpeluang untuk dipergunakan. Akan tetapi harus diingat bahawa meskipun Rasulullah s.a.w juga berpolitik dengan tertubuhnya Negara Islam pertama di dunia di Madinah AlMunawwarah pada zamannya, sistem pemerintahannya amat berbeza dengan demokrasi saduran penjajah yang kita amalkan di sini pada hari ini.

Justeru penggiat politik di dalam cetakan demokrasi hari ini yang terikut tatacara permainan sistem yang diamalkan harus sedar bahawa ruang yang diberikan kepada rakyat untuk membuat pilihan dan mengatur perlembagaan telah menutup ruang mengutamakan saranan Tuhan mengatasi kemahuan insan. Oleh kerana sistem demokrasi itu sendiri dipantau oleh kumpulan manusia di peringkat atasan, ruang ini tidak akan terbuka selagi kelompok manusia itu tidak menghargai Tuhan sebagaimana yang tersurat dalam ketetapan.

Tugas utama Rasulullah s.a.w adalah menyampaikan kebenaran Tuhan. Berpolitik hanyalah salah satu cara baginda dalam menyampaikan. Dakwah dan tarbiah kekal sebagai tugasan utama baginda semenjak dilantik menjadi PesuruhNya sehingga ke akhir hayatnya. Kalau diamati kejayaan Gandhi menerusi pemboikotan penjajah yang berkuasa di India ketika itu, kebarangkaliannya kita juga mampu mencapai impak sedemikian sekiranya diadaptasi cara yang diamalkan. Fokus ummat Islam mesti kembali dipaksikan kepada tugasan dakwah dan tarbiah sebagaimana anjuran Rasulullah s.a.w.

Dengan kejelekan paparan pengisian dalam perebutan kuasa politik dewasa ini, ada baiknya jika kita sebagai ummat Islam yang percaya kepada kerasulan Muhammad s.a.w untuk memperbetulkan arah tuju kehidupan dengan memperkasakan penghayatan dakwah dan tarbiah dalam kehidupan seharian. Hal ini sepatutnya dipraktikkan sehingga kita semua tidak canggung mendengar ajakan ke arah kebaikan selain tidak kekok mengajak diri, kaum keluarga dan rakan taulan kepada keredhaan Tuhan.

Pertelingkahan politik partisan yang dapat kita saksikan hari ini sudah selayaknya kita tinggalkan. Buat masa ini eloknya biarkan sahaja puak-puak penggila kuasa berebut tampuk pemerintahan. Secara logiknya sebagaimana yang pernah dibuktikan melalui kejayaan perjuangan Mahatma Gandhi, bila mana rakyat tidak melayan kehendak kerajaan yang perasankan diri sebagai tuan dengan segala muslihat serta tipu daya mereka, maka di saat itu nanti kerajaan akan tunduk kepada kemahuan majoriti rakyatnya.

Fokus yang kita berikan kepada usaha dakwah dan tarbiah yang membentuk jatidiri Islamiyah berteras ukhuwwah sebenarnya mampu menjadi benteng pemisah yang dapat menolak kejelekan amalan fitnah yang semakin teruk diterapkan ke dalam masyarakat kita hari ini. Lazim bagi manusia yang sudah biasa melakukan sesuatu dengan komitmen akan terasa janggal apabila meninggalkan amalan tersebut. Maka usaha dakwah dan tarbiah adalah pilihan komitmen terbaik untuk menggantikan kesibukan dan kerisauan politik busuk lagi buruk yang sedang berdansa di depan mata kita semua.

Daripada sibuk mencari kebenaran dalam tuduhan dan fitnah yang berterbangan, lebih baik kita habiskan masa untuk menguatkan ilmu pengetahuan dan amalan spiritual agama yang kita iktiraf sebagai pilihan. Daripada leka mencari sumber kejahatan pemuka-pemuka politik partisan, ada baiknya kita leka mengkaji sumber pegangan hidup yang diwasiatkan dalam pesanan khutbah terakhir Rasul Junjungan. Daripada alpa meluangkan masa bersama pemimpin manusia sehingga terlupa tanggungjawab dakwah dan tarbiah, lebih baik kita tingkatkan keterlibatan dalam program demi Tuhan sehingga para pemimpin ini sendiri nanti merasakan jika mahu mendampingi rakyat, mereka juga perlu mendukung tanggungjawab dakwah dan tarbiah yang kita fokuskan.

Sebagai ummat Islam yang celik, kita sepatutnya tahu bagaimana nak bertindakbalas bila memandang amalan yang jelek. Sekiranya kejelekan itu terlalu rapat hubungkaitnya dengan sistem kehidupan berasaskan pilihan, maka pilihlah untuk tinggalkan kejelekan itu dengan rasa bertanggungjawab memilih demi Tuhan yang menjadikan. Kalau perlu kita boikot fikrah politik di dunia ini yang sudah terlalu lama menghambat pemikiran masyarakat yang sepatutnya kuat sebagai ummat terbaik apabila menjalankan usaha mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, boikot sahajalah permainan politik demokrasi warisan penjajah tanahair ini. Bila majoriti memilih Tuhan sebagai keutamaan, barulah Negara akan diberikan pemimpin yang adil dan bersesuaian kerana pastinya ALLAH takkan mengecewakan.

By: Towil

Comments

Anas Nazri said…
well written, bro.. keep it up.. !!!
towil said…
thank you Sir Anas... InsyaALLAH.

Popular posts from this blog

Siapa AHZAB?

Qunut Nazilah. "Ya Allah kami letakkan kamu di batang leher musuh-musuh kami, Dan kami berlindung Dengan-Mu dari kejahatan mereka, “Ya Allah hancurkan kumpulan mereka, “Ya Allah pecahkan pakatan mereka, “Ya Allah leburkan penderian mereka, “Ya Allah musnahkan langkah mereka, Cengkamkan anjing-anjing-Mu kepada mereka, “Ya Allah Yang Maha Memaksa, “Ya Allah Yang Maha Perkasa, “Ya Allah Yang Maha Membalas, “Ya Allah,“Ya Allah, “Ya Allah, Yang turunkan kitab, Yang gerakkan awan, Yang tewaskan tentera Ahzab, Kalahkan mereka, Kalahkan mereka, Kalahkan mereka Dan menangkanlah ke atas kami." Doa Qunut Nazilah adalah doa yang sama diseru oleh para pembela Palestine, Syria, Iraq, Rohingya, Central Africa, East Turkistan (Uyghur), Chechnya, Ahwaz (Sunni Iran), dll apabila Ummat Islam dizalimi PERANG yang membunuh, memperkosa dan mencabul segala hak asasi manusia. DALIL PENSYARIATAN QUNUT NAZILAH Daripada Anas bin Malik RA: Ø£َÙ†َّ رِعْلاً ÙˆَØ°َÙƒْÙˆَانَ ÙˆَعُصَÙŠَّØ©َ ÙˆَبَÙ†ِÙŠ Ù„َØ­ْÙŠ

Cerita Kampung Istana

“Ady tak setuju lah dengan cara sesetengah orang tua-tua sini cakap pasal masjid lama tu”. Terpegun sekejap aku dengar Ady cakap macam tu. Bukan apa…  aku memang tak sangka anak muda berusia 20an yang sekali imbas dengan rambut paras bahu, berseluar jeans lusuh, dengan kemeja-T bercapuk cat sebab baru balik kerja tiba-tiba bagi komen pasal masjid di kampungnya. Aku takjub sebab Ady masih nak ambil tahu pasal cerita masjid lama di kampungnya yang kini sudah tidak lagi digunakan kerana sudah ada masjid baru sebelah sekolah agama. Tambah terkesima aku dengan apa yang Ady tahu berkenaan sejarah masjid lama kampungnya yang dibina pada zaman selepas British keluar dari Tanah Melayu. “Ada orang kampong sini cakap memang eloklah dipindahkan masjid ke tapak baru sebab asal tapak tanah masjid lama tu pun bukan baik sangat. Sebelum dibina masjid, tapak tanah tu ada kedai kopi tentera British. Faham-faham sajalah kalau zaman dulu kedai kopi dan rumah tumpangan orang putih mestilah banyak b

Kopi Tongkat Ali; Nak Tambah Kuat Lagi?

Abang mau itoo tulur sitengah masak ka? Sudah minum tongkat ali, makan tulur la bang… kasi power kuat punya… Tanggapan. Aku ingatkan mamak yang ambik order tadi memang rekomen telur separuh masak untuk digandingkan dengan kopi tongkat ali 5 dalam 1 sebab boleh tambah tenaga orang jantan. Tapi bila aku fikirkan balik, alahhh… dia meniaga, memanglah suka pelanggan yang macam-macam ordernya. Kopi Tongkat Ali; apa sebenarnya yang dijual? Serbuk kopi segera… dengan KHASIAT memperkuatkan tenaga. Boleh kaya orang yang jual kopi segera ini di Malaysia. Sampai mampu bagi hadiah pertandingan satu juta.