“Haaa… kan betol macam aku cakap aritu!” Kebetulan yang belum tentu disangga kebenaran. Barangkali sekadar agakan yang bertepatan. Mungkin cuma telahan yang bersesuaian. Apa jua rumusan sebenar perihal keadaan, ramai yang pantas menganggap kebetulan lazimnya kebenaran. Kata orang, “betulkan yang biasa, biasakan yang betul”. Persoalannya adakah anggapan betul boleh dikira sebagai mutlaknya benar? Kalau kita betul, adakah secara otomatiknya yang lain semua salah?
Betul dan salah sudah terlalu dibiasakan dengan menang dan kalah. Sejak di bangku sekolah, kebanyakan kita diajar teknik berfikir secara objektif. Memang tak salah membentuk keperibadian yang tegas mendukung kebenaran, cuma bila kita berhadapan dengan cabaran pemikiran idealis yang tidak dipancang dengan kebenaran, kebarangkalian berbeza atau bertentangan fikiran adalah suatu kebiasaan. Justeru nilai yang menjadi pegangan akan dibicarakan secara berhadapan. Di sinilah tuntutan bertegas dalam kesederhanaan dan keterbukaan benar-benar menjadi tuntutan.
Polar berfikir masyarakat yang cenderung berpihak kepada partisan adalah suatu kelaziman terutamanya dalam masyarakat Melayu di sini yang secara amnya tinggi minat politik. Hatta dalam sesebuah masyarakat sebangsa punya aliran pandangan yang berbeza meskipun berpihak kepada panji yang sama. Di mana jua perbualan sebegini timbul, perbezaan pandangan pihak yang terlibat sering sahaja menjadi hangat. “Alahh… dia saja nak betul. Macamlah semua orang lain ni biol”.
Di peringkat kelompok yang berlatar belakang pendidikan tertiary pula, gaya perbahasan disulam sokongan fakta dan olahan bagi menjelaskan pandangan. Beza isi yang dipertekakkan ada kalanya tidak banyak berbeza dengan borak kedai kopi di ceruk kampong sana, cuma bunyinya yang lebih intelek sahaja yang berbeza. Tujuan bertingkah masih sama iaitu mahukan orang lain yang mendengarnya percaya dengan apa yang diperkata.
Secara amnya bila perbahasan orang kita yang partisan berpolar kepada menyebelahi sesuatu pihak, acapkali tutur bahasanya berbunyi “aku betul, dia salah”. Jarang sekali boleh kita dengari, “aku begini, dia begitu, dua-dua pun boleh betul walau saling tidak bersetuju dengan yang lagi satu”. Terlalu biasa kita diberikan pilihan memilih satu sahaja yang berhak dan layak sedangkan pada hakikatnya ada sebahagian yang layak dan selebihnya tidak dalam satu pihak.
Telagah pihak yang mendakwa benar kadang-kadang amat mengelirukan. Asal sahaja pertelingkahan itu tidak menyesatkan, kemungkinan untuk dua, tiga atau lebih dari satu kebenaran wujud seiring sentiasa ada meskipun disangkal keras oleh pemuka-pemuka yang bersuara. Tetapi dek kerana kecanggungan kita menerima lebih dari satu pihak yang layak diperakui, kebarangkalian memilih kesemua yang benar di antara beberapa kebenaran dengan sendirinya makin terhindar.
Ramai di kalangan kita, yang samada secara sedar atau tidak, lebih selesa mengambil jalan mudah membiarkan sahaja kebenaran bercampur kebathilan dengan rasional singkat tidak mahu bertikam lidah berpanjang-panjangan. Ada baiknya meninggalkan pertengkaran yang berlebihan tetapi apabila ketikanya tanggungjawab itu sampai kepada kita untuk membuat pilihan, tidak patut ianya diambil mudah kerana kelak kita akan dipersoalkan di hari kemudian.
Pernah kita dengar gesaan sesetengah pihak yang mendakwa haram dan halal dalam membuat pilihan partisan demi masa depan, tetapi amat jarang kita dengarkan saranan mempertimbangkan pilihan selain dari yang ditawarkan. Dalam senario politik tempatan yang diamal berdasarkan demokrasi pilihan, mudah sahaja kita dapati pihak yang tampil menyatakan bahawa membuat pilihan adalah kewajipan setiap individu. Persoalan jika kita tidak mahu mengiktiraf sistem demokrasi yang diamalkan, adakah kita layak untuk berlepas diri dari memberikan sebarang sokongan, mudah saja diketepikan.
Sebagai individu beragama Islam, tujuan utama kehidupan adalah keredhaan Tuhan. Selagi hayat dikandung badan, selagi itu kita tidak harus hilang arah tujuan dan tumpuan. Populariti politik yang tidak pernah sepi dari saling menyalahkan adalah rencah yang menjadikannya menarik untuk diperbahaskan walaupon terkadang menyasar dari pedoman. Ketaksuban tampak begitu mudah dan selesa diamalkan. Keikhlasan pula begitu payah nak dizahirkan. Begitupun, masih ramai yang mahukannya sedemikian.
Kejelekan politik semakin hari semakin menjadi-jadi. Bagi yang beralasan “politik tidak kotor, tetapi pengamalnya yang mengotorkan”, barangkali wujud bibit kesedaran betapa perilaku golongan itu yang menjadi punca kejelekan. Tapi cuba kita tanyakan sejujurnya, secara realistik dalam dunia hari ini berapa peratus yang benar-benar dapat berpolitik tanpa ‘kekotoran’? Daripada jumlah tersebut berapa peratus pula yang dapat sampai ke atas? Rasanya tanpa perlu dibahas panjang sekali pun, masing-masing boleh meneka apa jawapannya.
Justeru bila kekerapan bertekak khususnya berkaitan topik politik masakini hanya lebih banyak menjurus kepada “dia salah, aku betul”, di mana rasionalnya berpolitik? Baik di peringkat kampungan mahupun kebangsaan, lagu dan irama yang sama terus dimainkan. Apabila tiba musim membuat pilihan, semakin semak kedengaran laungan yang terus-terusan memburuk dan membusukkan. Apa masih berbaki ruang untuk diiktiraf kebaikan mengatasi kebobrokan dalam hal ini?
Inilah padahnya bila dipinggirkan akhlak dan peradaban berteras kebenaran lantaran hanyut dibawa arus demokrasi pilihan warisan sekutu syaitan yang kufur kepada Tuhan. Tiada salahnya berpolitik untuk tujuan kemaslahatan tetapi apabila kehancuran yang dibawa lebih banyak dari kemaslahatan dan kebajikan yang diobjektifkan, bukankan lebih elok ditinggalkan. Jika diukur kemerosotan moral dalam dunia politik, barangkali masih ada yang tegar menyalahkan teknologi sebaran maklumat dek kerana mudahnya menjaja fitnah merata-rata. Habis tu, fitnah tu siapa yang mula kalau bukan orang grup itu juga?
Maka berlarutanlah tingkah bertelagah yang dihiasi fitnah. Adakah budaya jijik yang diwartakan dalam AlQur’an akan dosanya yang lebih besar dari membunuh ini kelihatan semakin surut atau macam baru mula nak pasang? Tidak dinafikan ruang penyebaran maklumat dengan teknologi hari ini banyak membantu menyampai dan mempromosi kebenaran, tapi jika kita nak bandingkan jumlah maklumat yang bersifat maslahat (kebaikan) dengan mufsadat (keburukan) termasuklah maklumat yang sengaja diadun secara teliti demi kepentingan tertentu yang menekan atau menzalimi suatu pihak, maka sudah terang lagi bersuluh penipuan, fitnah, kedengkian, kesombongan dan segala macam keburukan jauh lebih banyak dari kebenaran.
Tatkala Azazil diusir kerana kesombongannya mendakwa “aku lebih baik dari dia”, pengajaran pertama akan sikap Iblis telah bermula untuk manusia. Disusuli dengan sumpah Iblis di hadapan ALLAH bahawa dia akan terus-terusan berusaha untuk menyesatkan seberapa banyak anak Adam a.s di dunia ini, kita disaran mengambil pengajaran tentang janji permusuhan Iblis laknatullah kepada manusia hingga ke saat hancurnya dunia. Maka ingatlah, bila makin ramai ummat manusia saling bermusuhan antara sesama, sudah tentulah Iblis, syaitan dan konco-konconya bergembira.
Politik Rasulullah s.a.w menyatukan atas dasar keislaman dan keimanan selain membezakan antara yang bukan Islam mahupun munafik; tanpa menzalimi atau mencerobohi hak peribadi sesiapa. Keutamaan jelas diberikan kepada agama Tuhan yang bertunjangkan kebenaran dan keadilan selain berorientasikan kemaslahatan ummat. Justeru bagi yang punya keyakinan untuk mendinding diri dari hanyut dalam permusuhan, khususnya sesama ummat yang mengaku beriman kepada sebenar-benar Tuhan, tuntutan keaktifan demi menjunjung amanah mengajak kepada kebaikan dan menghindar kemungkaran adalah seperkara yang tetap perlu diutamakan.
Jika benarlah permusuhan khususnya sesama Muslim adalah janji yang pasti tercapai sebagai hasil bergiat dalam dunia politik demokrasi yang kita warisi dari penjajah Inggeris kuffar semenjak merdeka pada tahun 1957, maka di manakah rasionalnya kita terus-terusan menjerumuskan diri ke lembah ini terutamanya bila kita sedar betapa kelemahan kita sebagai manusia akan hanya membawa kita ke arah kepastian ini.
Seandainya meninggalkan bidang ini menjanjikan kebaikan yang lebih besar buat kita yang benar-benar memahami kelemahan diri masing-masing tapi kita masih juga tegar mengejarnya, tidak keterlaluan jika disimpulkan pasti terdapat kepentingan tanpa dipagari keikhlasan demi Tuhan sebenarnya tertanam kemas di sanubari kita. Demi mengelak permusuhan sesama kita, demi memadam api kebencian antara kita, demi kasih sayang dan persaudaraan ukhuwwah kita... maka tinggalkanlah punca yang merosakkan semua. Akibat ketidakupayaan kita memikul amanah berpolitik sejujur dan seikhlasnya, ummat terkesan dengan kejahilan dan kebebalan kita. Kembalilah menjalankan agenda terbesar yang lebih berhak digalas oleh sekalian ummat Muhammad s.a.w; jalan Dakwah & Tarbiah, bermula dengan diri sendiri serta sanak famili sehingga ke peringkat ummat sejagat yang mendiami dunia ini.
Manusia yang mengaku beragama Islam dan meletakkan hidup dan matinya untuk Tuhan, kuatnya dengan iman dan keikhlasan. Kebijaksanaan dan kelicikan berpolitik hanyalah secebis anugerah dari Tuhan yang menciptakan dengan amanah dipergunakan untuk kebaikan. Berjidal (berdebat) biarlah dengan kebaikan sambil menyeru manusia ke jalan Tuhan dengan hikmah. Bertekak dan bertingkahlah dengan pegangan yang kukuh kepada garis panduan yang dijanjikan keselamatan oleh Rasul junjungan, nescaya tumpuan pertengkaran akan terarah kepada “apa yang benar?” dan bukannya “siapa lebih benar?”.
Jika mampu, jadilah orang yang menyampaikan ilmu, atau yang mempelajari ilmu, atau yang mendengari ilmu, atau yang mencintai ilmu, atau paling tidak, hindarkanlah dari menjadi orang yang selain dari itu. Kalau asas kita berpandangan itu sandarannya Hadith dan AlQur’an, percayalah bahawa kita dijamin akan sentiasa selamat dari kesesatan. Selagi keikhlasan tersemat di jiwa, hati dan minda kita, selagi itulah Iblis dan sekutunya akan terus kalah dari menyesatkan kita. Kepada ummat Islam yang mahunya berbakti sebagai hamba kepada Tuhannya, selamat berjuang demi agama dalam apa jua perkara dan acara.
ALLAHU AKBAR. WA LILLAHILHAMD... ALLAH Maha Besar & bagiNya segala pujian.
By: Towil
Comments
Post a Comment