Skip to main content

Aku Sebiji Batu (Part Two)

“Ehh kenapa Pakcik tu pakai baju batik? Kita kan dalam ihram…”, Asrul yang memang rajin bertanya mula mengaju persoalan kepada aku. “Tak kena dam ke nanti?”, Ijat pulak menambah soalan. Sewaktu Pakcik pencen polis tu nak naik bas yang masih dalam perjalanan ke Mekah dari Madinah AlMunawwarah, aku sempat dengar dia marah-marah. “Sudah lah aku nak balik johor! Hantarkan aku balik…” Bentak si Pakcik kepada isterinya.

Makcik isteri Pakcik tu diam tak jawab apa-apa seakan bimbangkan baran suaminya. Wakil syarikat pelancongan kami memujuk Pakcik tersebut agar bertenang. Pakcik tu berkeras nak balik Jay Bee. Macam orang kerasukan yang meracau tanpa kepastian bagaimana duduk sebenar perkara, bunyi rungutan berbaur ammarah Pakcik yang memang nampak keletihan dek kerana perjalanan jauh dalam keadaan yang merimaskan berterusan buat beberapa ketika.

Aku dan para jemaah meneruskan perjalanan setelah Pakcik yang meracau tadi duduk di tempatnya. Beliau akhirnya lena dengan baju batiknya setelah penat merungut sendirian kerana tak tahan dengan keadaan. Sampai di Mekah, Pakcik dinasihatkan berehat dulu sehingga hilang penat yang mengganggu fikirannya.
Jemaah lain bersama aku meneruskan umrah kami malam itu meskipun ramai yang sudah kepenatan. Selesai kami solat jamak ta’khir di hadapan binaan batu empat segi yang mulia, dari arah belakang kami ada sekumpulan jemaah Melayu lain yang gempar bila tetiba seorang makcik dalam kumpulan tu berteriak, menjerit-jerit, menangis sambil berguling di laman marble putih sebaik terpandang Ka’abah yang mulia. Apa kena pulak nih?

Ustaz Mutawwif pantas mengajak jemaah kami untuk meneruskan ibadah umrah kerana makcik dari kumpulan lain yang sedang meraung di lantai Masjidil Haram itu sedang dilayan oleh kumpulannya. Sementelaah pula ujar Pak Ustaz, kurang manis kalau kita terus sibuk memerhatikan sahaja peristiwa sebegitu dan seeloknya kita banyakkan istighfar kerana setakat ini sahaja sudah bermacam perkara yang kami lewati. Alhamdulillah jemaah umrah kami selesai tawaf, sa’ie dan bergunting semuanya kecuali Pakcik bekas polis dari Jay Bee yang masih kebingungan.

Sewaktu masih dalam pusingan tawaf, kami masih sempat perasankan makcik yang meratap tadi semakin reda sambil terjelepuk dan menangis semahunya dalam jarak tak sampai 30 meter dari Kaabah. Sampai hari ini, aku tak tau kenapa sampai begitu sekali raungan makcik yang sorang ni. Oleh sebab aku tak minat nak bizibodi tak tentu pasal, aku bersangka baik sajalah dengan makcik ni. Mudah-mudahan hidayah ALLAH sentiasa bersamanya.

Oleh kerana kepenatan selepas selesai umrah, aku ambil keputusan untuk uruskan pemulangan batu Mekah kiriman ayah pada keesokannya. Lagipun ianya sudah kembali berada di Tanah Haram asalnya. Awal esoknya aku keluar seorang diri lepas solat subuh untuk memulangkan batu Mekah yang tersimpan rapi dalam beg. Pesan ayah, “kamu bacalah apa yang patut, lepas tu campakkanlah batu ini di mana sahaja dalam kawasan Tanah Haram”. Aku tawakal sekadar yang mampu selepas melaksanakan pesan ayah dan mencampakkan batu itu di jalanan sekitar hotel penginapan jemaah kami dengan harapan selepas ini harap-harapnya aman dan selamatlah semuanya.

Hari itu aktiviti bebas kerana Ustaz Mutawwif faham betapa para jemaah ramai yang keletihan dengan ujian perjalanan yang kami lalui sehingga sampai ke Tanah Suci ummat Islam ini. Keesokan pagi yang berikutnya aku nampak Pakcik yang berbaju batik dan meracau sebelum ini sudah kelihatan lebih segar sambil disorong dengan kerusi roda sebaik pulang menyelesaikan umrahnya ditemani Ustaz Mutawwif kami. Selang sehari lepas tu, Pakcik ini sudah boleh berjalan sendiri seperti sediakala. Alhamdulillah, mujur tak berpanjangan ujian yang ditimpakan ke atasnya. Ustaz Mutawwif juga turut membantu Pakcik melangsaikan tuntutan dam denda kerana pakai baju batik sewaktu dalam ihram tempohari.

Masa ayah aku bagi batu dari Mekah kepada aku untuk dipulangkan ke sana dalam trip umrahku kali ini, ayah sempat bercerita kisah zaman mudanya yang pernah kenal seorang bekas guru agama. Khabarnya bekas guru itu akhir hayatnya mati menggantung diri di sekolah agama yang diajarnya kerana bisikan yang menghantuinya tanpa henti. Rupa-rupanya arwah bekas guru itu juga membawa balik batu dari tanah haram Makkah AlMukarramah. Trip umrah aku dan jemaahku seterusnya tenang semula sebagaimana yang diharapkan. Tiada lagi masalah bas rosak, tayar pecah, jemaah meracau dan sebagainya sehingga kami berlepas pulang dari Jeddah.

Sekembalinya kami ke tanahair, aku balik lagi ke Batu Pahat. Selepas bercerita dengan ayah apa yang jemaah kami lalui, ayah bukak cerita lagi. “Batu itu dah lebih sebulan diserahkan kepada ayah oleh makcik yang katanya terbawa balik ke Malaysia. Berbulan-bulan dia simpan batu tu tanpa memberitahu sesiapa sehinggalah dia sendiri jatuh sakit selepas suaminya meninggal dunia. Ayah khuatir perkara tak diingini menggangu seisi rumah kalau batu itu disimpan di rumah, jadi ayah letakkan atas jam datuk (Grandfather clock) yang ada di masjid jamek kampong ni”. Waktu itu ayahku masih lagi Imam di situ.

Ayah sambung cerita, “selepas beberapa minggu batu itu diletakkan di atas jam datuk tersebut, pada suatu hari Jumaat sekitar jam 12 tengahari, sedang noja masjid kampong menyusun sejadah, dengan tak semena-mena jam yang besar tu tumbang sendiri. Mujur tak hempap sesiapa. Lepas tu ayah ambil batu tu dan simpan dalam pejabat Masjid”, aku terpegun dengar cerita ayah sambil bersyukur dapat melaksanakan misi mustahak yang ditugaskan memulang batu tersebut ke tempat asalnya.

“Tanah Haram dan isi yang terkandung di dalamnya memang tak boleh dibawa keluar”, ujar ayah meneruskan borak kami anak-beranak.

“Kalau dibawa keluar, ia akan mengadu kepada ALLAH minta dipulangkan haknya yang terpilih jadi makhluk ALLAH di tanah yang mulia dekat RumahNya. Kita kena faham bumi Makkah terpilih jadi tanah suci semenjak zaman nabi Adam a.s lagi. Kalau nak fikir logiknya, tanah haram di situ dah menyaksikan pelbagai insiden termasuk pembunuhan pertama di dunia hasil hasutan iblis kepada manusia apabila Habil dibunuh saudara kandungnya.

Selain Nabi Muhammad s.a.w dan sebahagian sahabat karib baginda lahir di sana, Abu Jahal dan Abu Lahab juga orang Mekah. Jadi kalaupun kita hormatkan Mekah kerana kesuciannya, kita harus sedar elemen negatif juga pernah dan kemungkinan besar masih wujud di sana. Itulah juga antara sebab dan hikmahnya kita diharamkan bawa keluar Tanah Haram dari tempat asalnya”, ayah bercerita panjang lebar sambil aku leka mendengar.

Selepas beberapa bulan aku pulangkan batu Mekah, ayah bagitau pasal makcik yang bawak balik batu tu dah beransur sembuh dan mula boleh bangun semula setelah terlantar gering tak bermaya agak lama. Sehingga cerita ini ditulis, makcik tersebut masih sihat setelah pulih sepenuhnya dari penyakit yang tak dapat dipastikan oleh pihak hospital pada asalnya. Aku, Ijat dan Asrul juga selesai menjalankan amanah pembikinan video bagi Syarikat Pelancongan yang kami usahakan.

Cuma kami bertiga yang tahu perihal aku datang umrah kali ini dengan misi sulit dan rahsia. Itu pun aku beritahu dia orang berdua bila aku balik ke bilik kami semula setelah selesai mencampakkan batu tersebut di jalanan berseorangan. Rasa macam terpaksa aku menjawab soalan si Asrul yang memang bersungguh nak tau bila dia bertanya. Begitulah flashback saya…

Sebenarnya aku kagum memikirkan kehebatan ALLAH s.w.t dengan ilmu pengetahuanNya, kekuasaanNya dan rahsiaNya. Bukan batu itu yang berkuasa. ALLAH Penciptanya yang mengizinkan apa jua pengajaran yang boleh kita ceduk bersama dari kisah ini. Hajar Aswad juga adalah batu yang sangat istimewa. Kaabah juga dibina oleh Nabi ALLAH Ibrahim a.s dan anaknya Ismail a.s dengan batu. Dari pandangan mata kasar manusia barangkali lebih mudah memahami batu itu sifatnya tak bernyawa.

Sebagai orang Islam, kita mesti percaya bahawa tiada daya dan tiada upaya melainkan dengan izin ALLAH sebagai Penguasa dan Pencipta segalanya yang Maha Kaya lagi Mulia. Justeru di sebalik setiap kejadian, sedapatnya kita usaha simpulkan keimanan betapa berkuasanya Tuhan sekalian alam, mudah-mudahan ALLAH terima pengabdian kita sebagai insan yang diciptakan dengan kesempurnaan meskipun masing-masing kita punya kekurangan dan kelemahan.

Maha Suci ALLAH, Tuhan Sekalian Alam… SUBHANALLAH.

By: Towil

Comments

Name: Najib said…
Towil... cerita lagi pasal batu...kali ni batu yg terapung dek kerana nk ikut Nabi Muhammad junjungan mulia nk pergi ke langit dlm peristiwa isra' wal mi'raj.

Popular posts from this blog

Siapa AHZAB?

Qunut Nazilah. "Ya Allah kami letakkan kamu di batang leher musuh-musuh kami, Dan kami berlindung Dengan-Mu dari kejahatan mereka, “Ya Allah hancurkan kumpulan mereka, “Ya Allah pecahkan pakatan mereka, “Ya Allah leburkan penderian mereka, “Ya Allah musnahkan langkah mereka, Cengkamkan anjing-anjing-Mu kepada mereka, “Ya Allah Yang Maha Memaksa, “Ya Allah Yang Maha Perkasa, “Ya Allah Yang Maha Membalas, “Ya Allah,“Ya Allah, “Ya Allah, Yang turunkan kitab, Yang gerakkan awan, Yang tewaskan tentera Ahzab, Kalahkan mereka, Kalahkan mereka, Kalahkan mereka Dan menangkanlah ke atas kami." Doa Qunut Nazilah adalah doa yang sama diseru oleh para pembela Palestine, Syria, Iraq, Rohingya, Central Africa, East Turkistan (Uyghur), Chechnya, Ahwaz (Sunni Iran), dll apabila Ummat Islam dizalimi PERANG yang membunuh, memperkosa dan mencabul segala hak asasi manusia. DALIL PENSYARIATAN QUNUT NAZILAH Daripada Anas bin Malik RA: أَنَّ رِعْلاً وَذَكْوَانَ وَعُصَيَّةَ وَبَنِي لَحْي

Cerita Kampung Istana

“Ady tak setuju lah dengan cara sesetengah orang tua-tua sini cakap pasal masjid lama tu”. Terpegun sekejap aku dengar Ady cakap macam tu. Bukan apa…  aku memang tak sangka anak muda berusia 20an yang sekali imbas dengan rambut paras bahu, berseluar jeans lusuh, dengan kemeja-T bercapuk cat sebab baru balik kerja tiba-tiba bagi komen pasal masjid di kampungnya. Aku takjub sebab Ady masih nak ambil tahu pasal cerita masjid lama di kampungnya yang kini sudah tidak lagi digunakan kerana sudah ada masjid baru sebelah sekolah agama. Tambah terkesima aku dengan apa yang Ady tahu berkenaan sejarah masjid lama kampungnya yang dibina pada zaman selepas British keluar dari Tanah Melayu. “Ada orang kampong sini cakap memang eloklah dipindahkan masjid ke tapak baru sebab asal tapak tanah masjid lama tu pun bukan baik sangat. Sebelum dibina masjid, tapak tanah tu ada kedai kopi tentera British. Faham-faham sajalah kalau zaman dulu kedai kopi dan rumah tumpangan orang putih mestilah banyak b

Kopi Tongkat Ali; Nak Tambah Kuat Lagi?

Abang mau itoo tulur sitengah masak ka? Sudah minum tongkat ali, makan tulur la bang… kasi power kuat punya… Tanggapan. Aku ingatkan mamak yang ambik order tadi memang rekomen telur separuh masak untuk digandingkan dengan kopi tongkat ali 5 dalam 1 sebab boleh tambah tenaga orang jantan. Tapi bila aku fikirkan balik, alahhh… dia meniaga, memanglah suka pelanggan yang macam-macam ordernya. Kopi Tongkat Ali; apa sebenarnya yang dijual? Serbuk kopi segera… dengan KHASIAT memperkuatkan tenaga. Boleh kaya orang yang jual kopi segera ini di Malaysia. Sampai mampu bagi hadiah pertandingan satu juta.