Skip to main content

Membelenggu Penunggu Yang Termangu

Lepas cerita hantu, cerita saka, lepas tu cerita jin pulak… hadooooyaiii, berapa lama lagi agaknya baru terbalas dendam terpendam selama bertahun cereka tahyul Melayu diharamkan di TV dan pawagam? Aku tak salahkan sangat tukang bikin pilem sebab sampai ini hari ramai peminat tegar cereka seram terus menyokong dengan kesanggupan membeli tiket di panggung wayang. Ditambah pulak mungkin sebab teknologi animasi nak bikin spesel efek yang canggih manggih makin murah, pembikin pilem pun tak cuak sangat nak bikin cereka yang boleh dijual… janji masyuuukkk…
Kalau nak berkarya pun duit jadik matlamat utama, alamatnya makin terus tak berjiwalah penghasilan kreatif kita. Bagi sesetengah pengkarya materialistic, itu cakap orang yang jeles dengan dunia jer…
Cemburu; memang sifat tu jelas wujud dan berleluasa di dunia. Semenjak Azazil melawan tak nak tunduk sujud kepada manusia pertama pun, sikap itu jugalah asalnya. Bila jeles tu tak dibendung, meluap-luaplah jadi sombong. Akhirnya kekal iblis menanti kiamat dalam kesumat dendam tak berpenghujung. Aku rasa lah kan, ramai sangat-sangat manusia dalam dunia ni yang dah pernah kecundang dengan rasa cemburu, sejak dari dulu sampai aritu. Sampai dah tak terhitung dengan jari dan kuku. Pembunuhan pertama kat dunia ni pun terpalit kisah cemburu yang diapi-apikan bisikan dan hasutan bekas ketua malaikat yang diusir dari syurga dulu.

Bila aku tengok pengusaha pilem melayu makin galak buat cereka hantu, aku kira-kira pon ini ada kait dengan rasa cemburu. Tengok orang lain boleh ontong jota-jota buat citer antu, ramai pulak yang terikut-ikut nak buat macam tu. Kan sumber duit tuu…

Duit jugak yang terus membelenggu minda, hati dan jiwa orang macam ni. Kata orang, dunia zaman sekarang mana ada yang tak guna duit, nak kencing pon kena bayar taw… Iyerlaahhh, aku tau lah duit tu penting tapi ada lagi kepentingan yang lebih tinggi dari nilai duit. Nilai manusia kalau hanya diukur dengan duit, memang tunggang terbaliklah jadinya. Tapi manusia kalau tak berduit langsung pun tak boleh jugak. Apapun, sumpahan duit itu memang amat merbahaya sekali. Dari cemburu bertukar benci, amarah, hasad dengki, dendam dan lain-lain lagi. Sumpahan duit pon ada semua penyakit tu.

Santau, hantu belaan, jin suruhan, saka jagaan dan segala macam keturunan iblis pun semakin dipuja nilai komersilnya. Sampaikan terjebak sekali Ayat Suci AlQur’an dalam penjenamaan cereka seram berbaur tahyul & khurafat. Janji boleh jual maa…

Perlu diingatkan dalam AlQur'an, ALLAH ada sebut peringatan agar manusia tak jual ayat-ayatnya dengan harga yang rendah. Haaa... kalau tak caya, pegi amik tafsir, bukak Surah AlMaidah, ayat 44. Bukan sekali ALLAH s.w.t ingatkan pasal ni. Dalam Surah AtTaubah, ayat 9 pun ada disebut lagi, "Mereka menukarkan ayat-ayat Allah dengan harga yang sedikit (untuk kepentingan dunia), lalu mereka menghalangi (dirinya dan orang-orang lain) daripada agama Allah; sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah kerjakan”.

Sebelum itu dalam Surah AlBaqarah ayat 41 juga dah dinyatakan, “Dan berimanlah kamu dengan apa yang Aku turunkan (al-Quran) yang mengesahkan benarnya Kitab yang ada pada kamu dan janganlah kamu menjadi orang-orang yang mula-mula kafir (ingkar) akan ia dan janganlah pula kamu menjadikan ayat-ayat-Ku (sebagai harga untuk) membeli kelebihan-kelebihan yang sedikit faedahnya dan kepada Akulah (ALLAH s.w.t) sahaja hendaklah kamu bertaqwa”.

Pelawak nasional pun boleh berlakon guna ayat Qur’an sekarang, asalkan wataknya bomoh yang bermisai melintang. Dalam lebih dari enam ribu ayat Qur’an, memang hanya berapa peratus je yang diguna pakai oleh pembikin pilem… Tapi cerita yang lebih utama patut kita tanyakan diri yang mengaku AlQur’an itu kitab agama kita, “itu aje ke gunanya ayat Qur’an? Buat lawan antu jer?” Mana perginya isi kandungan yang mempromosikan kasih sayang Tuhan, rahmat dan pengampunan buat insan, kisah penuh iktibar dan pengajaran tentang kaum yang engkar dan dimurkakan, dan lain-lain yang sepatutnya jadi panduan harian. Errr… agak-agaknya orang melayu ni memang hari-hari lawan hantu kowt?

Istilah Fikrah Maddiyah adalah bahasa Arab untuk materialistic. Hmmm… bunyinya macam berunsur agama bila disebut dalam Bahasa Arab. Itulah bahana tak paham bahasa. Dengar Istilah Bahasa Arab je langsung dianggap mulia? Maksudnya belakang kira…

Teras AlQur’an diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w sewaktu baginda tercari-cari pedoman dan penyelesaian buat ummat yang teruk bergelumang kerosakan dan kejahilan adalah “Bacalah @ Iqra”. Nabi yang buta huruf terketar bila disuruh Jibrail a.s membaca Kalam ALLAH yang pertama diajarkan kepadanya sebagai petanda baginda diangkat sebagai Rasul yang mulia. Semenjak itu bermulalah kisah kerasulan yang penuh suka duka dalam mengagungkan Tuhan sekalian alam yang tiada duanya. Justeru, hikmah diseru agar membaca dan menambah ilmu adalah suatu perkara serius sehingga suruhan pertama AlQur’an adalah ‘Iqra’.
Di saat akhir hayat baginda pula, seperkara yang sering diulang sebut dalam ceramah perdana mahupun penceramah dan ustad biasa bahawa telah dipesan sesungguhnya tidak akan sesat kita ini selagi berpandukan AlQur’an dan Sunnahnya.
Bukankah itu juga bermaksud tuntutan kepada kita yang mengikut ajarannya supaya dibaca, difahami dan dijaga isi kandungan kedua sumber tersebut? Kalau memang tujuan utama AlQur’an adalah untuk diguna buat lawan antu, pasti sudah tentu kita diingatkan begitu. Habis tu, apasal pulak orang kita akhir-akhir ni tak sudah-sudah nak bikin pilem yang mesti ada scene AlQur’an sebagai senjata melawan hantu semata? Cerita fiksyen sains tak boleh guna AlQur’an ke?

Orang lain pulak kata, “cerita lawan antu ni seram tapi best. Tak rugi lah tengok kat wayang. Wayang kita, kitalah yang patut menyokongnya. Berapa hengget sangatlah harga tiket tu semua…”

Tapi masalahnya kalau cerita macam cereka seram ni walaupun secara terang-terangan tak menyuruh penonton jadi khurafat, layakkah disokong kalau nilai pengisian kerohaniannya sekadar mempromosikan pak imam dengan ostad sebagai ‘ghostbuster’? Setakat itu saja ke layaknya watak para penjaga dan pembawa AlQur’an diadaptasi dalam pilem kita? Secara halusnya kitaran idea yang terus-terusan dipromosi bila banyak cerita ala-Ghostbuster dari kalangan orang agama; memang selayaknya di situlah bahagian mereka. Bahagian lain macam ekonomi, gaya hidup, pendidikan bangsa dan lain-lain yang bersifat dunia semua ada orang yang dalam bidangnya, tak perlulah orang agama… depa kan dah banyak kerja nak pi lawan antu…

Orang melayu dulu-dulu kalau berdasarkan antologi cerpen tak bertulis memang banyak betul cerita hantunya. Hampir setiap kampong anda versi masing-masing. Hantu galah, pocong, kum-kum, bajang, pelesit, langsuir & macam-macam lagi. Semua boleh dijual ni…

Hantu-hantu orang melayu dulu kebanyakannya bersifat penunggu. Orang melayu hari ni terutama yang minat sangat-sangat tengok pilem cereka seram pun dah makin serupa dengan perangai penunggu. Cerita kat TV kan ada jadualnya. Nak tengok kena tunggulah masanya. Sama jugak kat wayang, ikut time dia lah. Kalau memang dah minatnya begitu, sanggup ditunggu mengalahkan hantu yang memang penunggu. Kira bertaraf selebritilah juga hantu-hantu di nusantara akhir-akhir ini. Kalau ditanya macam mana nak lawan antu dengan macam mana Sayyidina Umar Al-Khattab menundukkan kerajaan Rom di zaman pemerintahannya, agak-agak yang mana orang melayu beragama Islam dalam kawasan sini lebih ramai dapat jawab?
Ujar mantan pemimpin zaman moden beragama Islam di sini pernah menekankan betapa pentingnya ummat Islam menguasai pelbagai bidang. Pengukuhan penguasaan sektor berteras ekonomi khususnya sangat perlu diperkasa. Senang cerita kita kena kaya baru dikira 'BERJAYA'…
Memang tak salah kumpul harta sampai jadi kaya raya walaupun tak bela hantu raya. Tapi betul ke kita perlu utamakan penguasaan ekonomi sebagai priority demi memperkasakan ummah? Kalau diamati 13 tahun pertama di Makkah selepas Junjungan mulia Muhammad s.a.w dilantik oleh ALLAH jadi Rasul, ayat-ayat AlQur’an yang diturunkan masa ini hampir kesemuanya pasal aqidah. 10 tahun berikutnya di Madinah barulah banyak ayat-ayat yang menceritakan perihal hukum dan kemanusiaan.

Teknik tarbiyah yang Rasulullah s.a.w gunakan sehingga para sahabatnya mampu menjadi penguasa dunia adalah sejajar dengan isi kandungan AlQur’an yang diturunkan sehingga lengkap semuanya. Jadi apa benarkah kita harus utamakan pencapaian serta penguasaan ekonomi dan material? Di manakah pula kedudukan aqidah dan spiritual? Kalau jawapan yang kita percaya adalah sama penting antara keduanya, mana yang lebih bernilai dan berharga? Setahu aku dunia ni sementara, akhirat jualah tempat yang kekal selamanya (itu pun sebab tiap-tiap minggu pak Imam sebut dalam khutbah jumaat kan).

Materialistic. Nampak macam mudah nak faham perkataan ni bagi yang berilmu. Setakat nak faham boleh laa jugak kan… persoalan tanggungjawab yang lebih besar ialah macam mana nak lahirkan generasi Muslim yang selamat dari fikrah materialistic ni?

Setiap persoalan pasti ada jawapan. Sama ada aqal manusia macam kita cukup bijak untuk mencari, mempertemu dan memahamkan jawapan kepada persoalan-persoalan ini, Wallahu a’lam. Ada manusia yang ALLAH ciptakan beraqal pintar, maka mudahlah mereka memahami duduk perkara sekiranya ada ilmu berkaitan. Namun ramai juga yang dijadikan dengan keterbatasan upaya menafsir persoalan dalam kehidupan dengan bijaksana dan saksama sehingga mudah sangat alpa terleka, termangu macam orang tak tau mana arah patut dituju. Ada orang yang otaknya pandai, jiwanya juga kaya dengan kepintaran. Ada yang tak berapa cerdik, tapi hatinya tulus. Ada pulak yang jenis bijak aqal tapi imannya dangkal.

Bagi yang pintar dan mau ambik tahu pasal agama yang dianuti dengan segala kehendak Tuhan dituruti, mudah-mudahan diselamatkan, tapi yang jenis kepala batu tak makan saman, nasib-nasib lah kan… Untung batu timbul, untung sabut tenggelam. Wallahu a’lam.


By: Towil

Comments

S. Hamzah said…
Rasulullah saw kata janganlah kamu cemburu kepada sesiapapun melainkan dua golongan:

1. Org berharta yang byk bersedekah
2. Org berilmu yang byk mengajar

Astaghfirullah.. makin lama makin jauh kita dgn yang Rasulullah ajar.. :'(
towil said…
kalau jeles dgn rasa kurang beramal atau kurang peluang utk menyampai mesej AlQur'an & Sunnah sbb dunia yg menghimpit pon takpe kan? Mcm jeles kat org berharta yg byk sedekah... jeles bkn sbb dia kaya, tp sbb dia byk jariah & byk pulak peluang nk tlg org lain... Wallahu a'lam.

Popular posts from this blog

Siapa AHZAB?

Qunut Nazilah. "Ya Allah kami letakkan kamu di batang leher musuh-musuh kami, Dan kami berlindung Dengan-Mu dari kejahatan mereka, “Ya Allah hancurkan kumpulan mereka, “Ya Allah pecahkan pakatan mereka, “Ya Allah leburkan penderian mereka, “Ya Allah musnahkan langkah mereka, Cengkamkan anjing-anjing-Mu kepada mereka, “Ya Allah Yang Maha Memaksa, “Ya Allah Yang Maha Perkasa, “Ya Allah Yang Maha Membalas, “Ya Allah,“Ya Allah, “Ya Allah, Yang turunkan kitab, Yang gerakkan awan, Yang tewaskan tentera Ahzab, Kalahkan mereka, Kalahkan mereka, Kalahkan mereka Dan menangkanlah ke atas kami." Doa Qunut Nazilah adalah doa yang sama diseru oleh para pembela Palestine, Syria, Iraq, Rohingya, Central Africa, East Turkistan (Uyghur), Chechnya, Ahwaz (Sunni Iran), dll apabila Ummat Islam dizalimi PERANG yang membunuh, memperkosa dan mencabul segala hak asasi manusia. DALIL PENSYARIATAN QUNUT NAZILAH Daripada Anas bin Malik RA: Ų£َŁ†َّ Ų±ِŲ¹ْŁ„Ų§ً ŁˆَŲ°َŁƒْŁˆَŲ§Ł†َ ŁˆَŲ¹ُŲµَŁŠَّŲ©َ ŁˆَŲØَŁ†ِŁŠ Ł„َŲ­ْŁŠ

Cerita Kampung Istana

“Ady tak setuju lah dengan cara sesetengah orang tua-tua sini cakap pasal masjid lama tu”. Terpegun sekejap aku dengar Ady cakap macam tu. Bukan apa…  aku memang tak sangka anak muda berusia 20an yang sekali imbas dengan rambut paras bahu, berseluar jeans lusuh, dengan kemeja-T bercapuk cat sebab baru balik kerja tiba-tiba bagi komen pasal masjid di kampungnya. Aku takjub sebab Ady masih nak ambil tahu pasal cerita masjid lama di kampungnya yang kini sudah tidak lagi digunakan kerana sudah ada masjid baru sebelah sekolah agama. Tambah terkesima aku dengan apa yang Ady tahu berkenaan sejarah masjid lama kampungnya yang dibina pada zaman selepas British keluar dari Tanah Melayu. “Ada orang kampong sini cakap memang eloklah dipindahkan masjid ke tapak baru sebab asal tapak tanah masjid lama tu pun bukan baik sangat. Sebelum dibina masjid, tapak tanah tu ada kedai kopi tentera British. Faham-faham sajalah kalau zaman dulu kedai kopi dan rumah tumpangan orang putih mestilah banyak b

Kopi Tongkat Ali; Nak Tambah Kuat Lagi?

Abang mau itoo tulur sitengah masak ka? Sudah minum tongkat ali, makan tulur la bang… kasi power kuat punya… Tanggapan. Aku ingatkan mamak yang ambik order tadi memang rekomen telur separuh masak untuk digandingkan dengan kopi tongkat ali 5 dalam 1 sebab boleh tambah tenaga orang jantan. Tapi bila aku fikirkan balik, alahhh… dia meniaga, memanglah suka pelanggan yang macam-macam ordernya. Kopi Tongkat Ali; apa sebenarnya yang dijual? Serbuk kopi segera… dengan KHASIAT memperkuatkan tenaga. Boleh kaya orang yang jual kopi segera ini di Malaysia. Sampai mampu bagi hadiah pertandingan satu juta.