Skip to main content

Aku Sebiji Batu (Part One)

Masa aku kecik dulu, selalu sangat baca cerpen ‘aku’ yang macam-macam. Ada sebatang pen, sebuah buku, sebatang pokok dan macam-macam lagi sampaikan “Aku Sebuah Helikopter” pon pernah aku baca kat majalah. Tapi kali ni, aku pulak nak tulis cerpen ‘aku’ yang bertajuk “Aku Sebiji Batu”. Cerita yang aku nak tulis ni mengandungi unsur separa seram dan malar mistik tetapi tiada unsur tahyul. Ok, kejap ehh… aku nak pegi solat asar dulu…

Cerita ni agak panjang. Jadi aku akan cerita setakat yang terlarat aku tulis dulu buat arini. Senario kisah bermula selepas arwah orang rumah aku kembali ke rahmatullah dalam tahun 2004. Di sebalik kemuraman, aku yang ditemani seorang anak lelaki berusia lebih 2 tahun dan anak perempuan yang comel baru lebih setahun serta masih belum tau berjalan, teringin sangat rasanya nak duduk depan Kaabah di Mekah sambil mengadu kepada ALLAH... Tapi aku dah berenti kerja masa tu, manalah aku nak cari duit buat pergi umrah..??

Alhamdulillah, Tuhan Maha Kaya. Duit bukan penentu segala cara. ALLAH bagi aku satu idea. Haji KayZee pemilik sebuah syarikat Pelancongan & Umrah setuju sponsor perjalanan aku ke sana dengan sorang kameraman untuk buatkan video Umrah syarikatnya. Memang rezeki Ijat, sahabat karib lama aku yang pertama kali pergi umrah free sebab dia jadik kemeraman dan penyunting video tu. Bahagian batu yang jadik tajuk cerpen ni bermula kisahnya di sini…

Masa aku balik ke Batu Pahat sebelum pergi umrah, ayah aku yang memang kawan rapat Haji KayZee bagitau aku nanti masa aku nak pergi nanti dia nak kirim pulangkan sebiji batu. “Pulangkan batu? Lesung batu ke?” tanyaku kebingungan. “Bukan lesung batu…” jawab ayah ringkas. “Habis tu apa ayah? Takkan lesung pipit?” aku bertanya lagi sambil berjenaka dengan ayah. “Sekejap…” ayah lantas bangun ke bilik sembahyang. Tak sampai seminit ayah keluar balik dengan satu bungkusan berlitup serban putih.

“Dalam lipatan serban ni ada sampul. Dalam sampul tu ada sebiji batu yang orang ‘terbawa’ balik ke Malaysia dari Mekah” sambil menghulur pada aku, ayah sambung bercerita. “Makcik yang bawak balik batu ni sekarang tengah uzur. Suaminya pulak baru meninggal dunia dua tiga bulan lepas”. “Kenapa dia bawak balik batu ni? Tak sengaja ke”, aku bertanya mintak kepastian. “Dia tak cakap kenapa dia bawak balik batu tu, cuma dia mintak ayah tolong ikhtiarkan”.

Perjalanan aku dan jemaah umrah yang lain bermula normal, selamat dan sejahtera dari KLIA. Kami transit dan bermalam di Bahrain. Aku dan Ijat juga ditemani seorang kawan masa aku belajar dulu yang nak pergi umrah ikut aku supaya ada geng. Asrul namanya. Sesampai di Jeddah dah malam. Tak sampai setengah jam naik bas, kami berhenti makan nasi bungkus yang dibekalkan wakil muassasah umrah yang menyambut kami di lapangan terbang King Abdulaziz. Rentetan insiden bermula sesudah kami naik bas semula untuk teruskan perjalanan ke Madinah yang masih berbaki lebih 300 kilometer.

Kira-kira sejam lepas bertolak dari tempat berhenti makan, sebiji tayar berkembar di sebelah kanan belakang bas yang kami naiki pecah. Mungkin kebetulan sahaja beg aku yang berisi batu dari Mekah aku letakkan di bahagian bawah bas berhampiran tayar yang pecah. Pemandu bas berbangsa Yemen lantas memperlahankan pemanduan dan bergerak perlahan-lahan di sebelah kanan jalan sambil matanya melilau mencari bengkel yang masih buka untuk tukar tayar.

Nasib kami agak baik kerana memang ada kedai tayar yang masih buka masa tu. Aku dan Ijat tak rasa nak rakam visual bas rosak sebab dah tentu tak boleh pakai untuk persembahan video Syarikat yang menaja kami. Bersama Asrul yang kami lantik sebagai model dan pelakon utama projek video ni, kami duduk minum teh sambil menunggu bas siap dibaiki. Oh ya sebelum aku terlupa, masa buat projek video ni, aku masih gemok ya tuan-tuan & puan-puan sekalian. Sekarang dah seliiim & kata orang makin tampan… kata orang… entah ya entah tidak ;-)

Bas sambung perjalanan. Baru lebih kurang setengah jam, tetiba udara dalam bas yang disejukkan pendingin bertukar jadi bahang. Aku yang mula berpeluh terceruk di tempat duduk belakang pergi ke arah pemandu di depan. “Kenapa angin tak sejuk?” (Dialog ni aku dah siap terjemah semula ke BM sbb masa cakap ni bahasa Arab. Aku yang bercakap masa ni pun terpaksa terkial-kial baca subtitle sebab tak berapa fasih loghat Yemen). Pemandu Yemen matikan dan hidupkan semula pendingin hawa. Sejuk balik udara… tapi tak lama.

Baru 20 minit, panas terasa semula. Aku ke depan lagi sebab tak tahan bahang duduk di belakang. Lepas bagitau pemandu pasal panas semula aku dengan Ijat duduk di tangga untuk dapat tempias angin malam dari ruang pintu. Tak lama lepas tu, kami berhenti lagi sebab pemandu nak cek apa masalah udara sejuk hilang tiba-tiba. Selepas turun naik bas beberapa kali, dia panggil aku untuk bagitau yang pendingin hawa bas tu dah rosak. Dia kata kita akan teruskan jalan juga sebab Madinah berbaki tiga jam sahaja dari situ. Dah nak buat macam mana? Aku mengiyakan juga.

Sampai di Madinah yang bercahaya dah nak pukul tiga pagi. Keletihan duduk di tangga dengan bas yang suam-suam kuku, aku selesaikan urusan masuk hotel dan punggah barang bersama jemaah. Hari pertama di situ kami ziarah sendiri sekitar Masjid Nabawi. Esoknya bas tempohari muncul semula untuk bawa jemaah berziarah luar. Alhamdulillah keadaan bas memang tip-top setelah pendingin hawa sejuk semula. Pemandu Yemen bagitau aku bas dah ok. “InsyaALLAH ke Mekah lusa nanti lebih selesa”, ujarnya dengan senyum separuh ketawa.

Tiga hari di Madinah AlMunawwarah, kami bersiap untuk Umrah di Mekah. Perjalanan singgah di Abyar Ali @ Zulhulaifah untuk miqat dan memasang niat. Jemaah kami ramai yang sudah berusia emas. Di antaranya ada seorang Pakcik pencen polis yang turut serta. Orangnya biasa saja tapi tak berapa nak berbual mesra sebab dia jenis yang tak banyak cakap agaknya. Masih nampak kemas dan rapi Pakcik ni walaupun sudah lama pencen bekerja. Macam tegas raut wajahnya.

Selesai berniat umrah dan solat sunat Ihram, kami bertalbiah di awal perjalanan sambil dipimpin oleh Ustaz Mutawwif yang mengiringi. Sekira-kira hampir mendekati waktu maghrib, kami sudah bergerak lebih sejam dari Zulhulaifah. Tiba-tiba bunyi pendingin hawa bertukar kasar macam malam aritu. Tak lama lepas tu angin bertukar panas semula. Aku teringat kembali beg yang berisi batu dari Mekah untuk dipulangkan di tempat letak beg di bawah sana.

Rasa suam yang menyengat tak lama sebab cuaca semakin bertukar sejuk lantaran hari menginjak malam. Mengikut perancangan, jemaah kami akan makan malam di hotel Mekah dan solat jamak ta’khir di Masjidil Haram. Mungkin kerana kepanasan sekali lagi, Pakcik pencen polis mula kedengaran macam marah menggumam. Tak lama lepas tu bas berhenti sebab Pakcik itu bagitau Ustaz Mutawwif dia nak kencing. Pakcik itu turun dengan beg kecil digalas di tangan.

Agak lama aku kira kami berhenti di situ. Kemudian aku lihat Ustaz Mutawwif panggil isteri pakcik turun diikuti wakil syarikat pelancongan. Aku memang sudah ada di bawah sebab kalau duduk dalam bas pun panas. Beberapa minit kemudian aku lihat Pakcik tadi menuju ke bas tetapi kain ihram bahagian atasnya sudah dibuka dan diganti dengan baju batik. Ehhh… jemaah lelaki mana boleh pakai pakaian berjahit waktu dalam ihram??? Nanti kena dam.

Bersambung…

By: Towil

Comments

Popular posts from this blog

Siapa AHZAB?

Qunut Nazilah. "Ya Allah kami letakkan kamu di batang leher musuh-musuh kami, Dan kami berlindung Dengan-Mu dari kejahatan mereka, “Ya Allah hancurkan kumpulan mereka, “Ya Allah pecahkan pakatan mereka, “Ya Allah leburkan penderian mereka, “Ya Allah musnahkan langkah mereka, Cengkamkan anjing-anjing-Mu kepada mereka, “Ya Allah Yang Maha Memaksa, “Ya Allah Yang Maha Perkasa, “Ya Allah Yang Maha Membalas, “Ya Allah,“Ya Allah, “Ya Allah, Yang turunkan kitab, Yang gerakkan awan, Yang tewaskan tentera Ahzab, Kalahkan mereka, Kalahkan mereka, Kalahkan mereka Dan menangkanlah ke atas kami." Doa Qunut Nazilah adalah doa yang sama diseru oleh para pembela Palestine, Syria, Iraq, Rohingya, Central Africa, East Turkistan (Uyghur), Chechnya, Ahwaz (Sunni Iran), dll apabila Ummat Islam dizalimi PERANG yang membunuh, memperkosa dan mencabul segala hak asasi manusia. DALIL PENSYARIATAN QUNUT NAZILAH Daripada Anas bin Malik RA: أَنَّ رِعْلاً وَذَكْوَانَ وَعُصَيَّةَ وَبَنِي لَحْي

Cerita Kampung Istana

“Ady tak setuju lah dengan cara sesetengah orang tua-tua sini cakap pasal masjid lama tu”. Terpegun sekejap aku dengar Ady cakap macam tu. Bukan apa…  aku memang tak sangka anak muda berusia 20an yang sekali imbas dengan rambut paras bahu, berseluar jeans lusuh, dengan kemeja-T bercapuk cat sebab baru balik kerja tiba-tiba bagi komen pasal masjid di kampungnya. Aku takjub sebab Ady masih nak ambil tahu pasal cerita masjid lama di kampungnya yang kini sudah tidak lagi digunakan kerana sudah ada masjid baru sebelah sekolah agama. Tambah terkesima aku dengan apa yang Ady tahu berkenaan sejarah masjid lama kampungnya yang dibina pada zaman selepas British keluar dari Tanah Melayu. “Ada orang kampong sini cakap memang eloklah dipindahkan masjid ke tapak baru sebab asal tapak tanah masjid lama tu pun bukan baik sangat. Sebelum dibina masjid, tapak tanah tu ada kedai kopi tentera British. Faham-faham sajalah kalau zaman dulu kedai kopi dan rumah tumpangan orang putih mestilah banyak b

Kopi Tongkat Ali; Nak Tambah Kuat Lagi?

Abang mau itoo tulur sitengah masak ka? Sudah minum tongkat ali, makan tulur la bang… kasi power kuat punya… Tanggapan. Aku ingatkan mamak yang ambik order tadi memang rekomen telur separuh masak untuk digandingkan dengan kopi tongkat ali 5 dalam 1 sebab boleh tambah tenaga orang jantan. Tapi bila aku fikirkan balik, alahhh… dia meniaga, memanglah suka pelanggan yang macam-macam ordernya. Kopi Tongkat Ali; apa sebenarnya yang dijual? Serbuk kopi segera… dengan KHASIAT memperkuatkan tenaga. Boleh kaya orang yang jual kopi segera ini di Malaysia. Sampai mampu bagi hadiah pertandingan satu juta.