Skip to main content

Masanya dah lama tiba…

Lebih 1400 tahun dulu, seorang lelaki dari suku yang mulia dilahirkan ke dunia untuk memimpin manusia ke jalan Tuhannya. Segala macam dugaan dihadapinya demi menyampaikan berita dan cerita agama kepada ummat dan kaumnya. Dari sekecil hinaan, tempelak, cacian dan makian hingga deraan, boikot, ugutan serta peperangan ditempuhi jua demi menjulang kebenaran yang mengagungkan Tuhan sekalian alam yang Maha Esa.

Dari seorang manusia berkedudukan dalam qabilah bangsa, dia memilih untuk tidak mengalah mahupun berputus asa meskipun para pembesar sebangsanya tegar memujuk dan menghasut sanak saudara dan masyarakatnya agar menolak usaha lelaki ini dengan alasan demi mempertahankan maruah bangsa dan kepercayaan nenek moyang mereka. Walaupun turut diakui kebenaran dan kebaikannya oleh mereka yang memusuhinya, kejahilan, ketamakan dan kesombongan mempertahankan maruah bangsa secara totok dan nyata sesat terus-terusan diperjuangkan dalam kesesatan oleh para penentang kebenaran.

Itu cerita yang sudah entah berapa kali aku diberitahu dan diingatkan. Kebenaran di jalan Tuhan yang Maha Mulia mesti berpaksi pada AlQur’an KalamNya dan Sunnah NabiNya. Itu juga aku tak pasti dah berapa kali aku dengar. Ramai sahabat, tabi'in, tabi' tabi'in dan ummat yang telah pergi tak kembali selepas hidup dalam agama yang diajarkan oleh lelaki mulia bernama Muhammad bin Abdullah yang lahir di Makkah Al-Mukarramah dan wafat di Madinah Al-Munawwarah.

Hari ini jumlah manusia yang masih percaya dan mahu mengikut agama kebenaran yang dibawa oleh Pesuruh ALLAH yang Maha Mulia dikhabarkan semakin menghampiri satu pertiga penduduk dunia. Hampir dua billion manusia hari ini beragama Islam. Jumlah itu mungkin besar dan signifikan bunyinya tapi sayang, ummat ini sedang terkial-kial memartabatkan agama anutan mereka. Di manakah silap serta apakah punca kita jadi sedemikian rupa?

Kuantiti dan kualiti. Keduanya punya justifikasi yang dapat memangkin motivasi. Sejarah manusia secara amnya tidak banyak berbeza corak dan bentuk sikap yang menaik dan menjatuhkan sesebuah tamadun. Jika diamati dari perspektif kehidupan manusia dalam konteks hidup bertuhan dan berpedoman, kita bangkit jadi kuat seiring aspirasi kerohanian yang dicetuskan oleh kebenaran namun akhirnya punah bila berpandukan kesesatan, kemungkaran dan kebathilan.

Jumlah besar yang hampir menyamai buih di lautan semata-mata belum tentu dapat membentuk kekuatan yang hebat. Ummat Islam hari ini secara amnya bersatu tetapi berpecah belah atas pelbagai jenama dan bendera. Ahli sunnah wal jama’ah misalnya tidak layak disamakan dengan puak Syi’ah. Selain itu terdapat pula kelompok yang diistilahkan sebagai Wahabi yang dipandang skeptik meskipun sebenarnya ramai yang mencemuh dan menghina tidak sebenarnya kenal dan faham pengistilahan yang diutarakan. Kemudian wujud pula golongan pelbagai iktiqad meliputi tariqat, perguruan dan juga pertubuhan politik, aktivis serta sosialis.

Dalam mengamati polar kualiti, sesetengah pihak yang dilabel ekstrimis tampak sukar bergaul dengan yang melabelkan diri mereka sebagai liberalis. Di antara negara-negara yang berstatus Islam pula, ummat dipecahkan lagi oleh ideologi politik dan nasionalis yang sama ada menghakis atau menambah kualiti kepercayaan serta keimanan terhadap agama suci ini. Kecamuk pembahagian dan perpecahan ummat Islam hari ini semakin kronik kerana berdepan ideologi kemanusiaan seperti hedonisme, materialisme, pluralisme dan lain-lain yang berleluasa sebaran dan pengaruhnya dalam dunia berteknologi maklumat tanpa sempadan.

Bukan sekadar kualiti keimanan yang harus kita runsingkan secara individu mahupun kolektif, kualiti keislaman ummat hari ini juga berdepan hakisan dan potensi kehilangan pegangan yang serius. Tidak dinafikan, ummat Islam yang beruntung dikurniakan hidayah serta inayah ALLAH semakin kuat kepercayaan masing-masing meskipun diuji dari pelbagai arah namun pada masa yang sama juga kita turut menyaksikan keruntuhan sebahagian ummat Islam yang dibuktikan dengan rundungan pelbagai permasalahan akhlak sosial sehingga kelihatan mirip masyarakat jahiliyah sewaktu mula-mula diutuskan Pesuruh ALLAH, Nabi dan kekasihNya yang terakhir sebagai pembawa kebenaran dulu.

Rasanya pihak berwajib agama Islam dalam negeri semuanya ada bahagian Dakwah termasuk unit khusus untuk orang asli dalam usaha menambah kuantiti penganut agama suci ciptaan Ilahi. Walaupun masih banyak yang memandang peranan jabatan agama dalam Negara ini sebagai usaha sekadar ada, tidak dinafikan mereka sudah lama buat kerja yang Nabi buat percuma secara bergaji. Masih boleh dikira beruntung rakyat kita kerana ada peruntukan dan usaha ini kalau nak dibanding dengan negara ummat Islam minoriti. Cuma dari segi kualiti dan komitmen tarbiyah susulan barangkali penguasa agama kita perlu giatkan lagi.

Dakwah dan tarbiyah mesti berjalan seiring. Platform dan teknik boleh pelbagai dan berbeza tetapi matlamat berteras keikhlasan mesti kekal sama dan serupa. Pengisian topik pilihan yang nak disampaikan juga boleh berbeza tetapi sandaran kebenaran janganlah dicipta dan direka dari fikiran manusia semata-mata, sebaliknya wajib dilandaskan kepada paksi utama dalam agama. Ada juga pendakwah yang masih diselubungi rasa takutkan manusia sehingga penyampaiannya terhad kepada perkara yang tidak bertentangan dengan kehendak mereka yang membayar gaji dan ganjaran mereka. Golongan ini barangkali tak berapa berbisa sengatnya dalam menjalankan usaha tapi bagi aku baik ada dari tak ada.

Golongan manusia beragama masyarakat Melayu dalam Negara ini tidak dapat lari dari berdepan dengan sikap partisan kepada sesuatu pihak berorganisasi. Aku rasa itu juga tak perlu diperbesarkan sehingga merumitkan keadaan atau lebih buruk lagi saling membenci antara sesama. Kalau disorot sejarah penubuhan Negara Islam pertama di Madinah Al-Munawwarah, puak Muhajirin Makkah dan Ansar Madinah juga punya perbezaan partisan namun atas dasar mendaulatkan kalimah ALLAH dan menjunjung saranan Rasulullah, keduanya dapat bersatu secara konstruktif sehingga berjaya melawan kuffar musyrikin serta munafiqin yang dengki dan busuk hati.

Apapun jua alasannya, kaedah berdakwah dan tarbiyah berkonsepkan ta’asub kepartian ataupun pertubuhan adalah suatu cara yang ketinggalan zaman kerana itu adalah perjuangan sebelum Islam lengkap dan sempurna. Berjuang demi bangsa semata-mata pula tak ubahlah macam Abu Lahab, Abu Jahal dan sekutu mereka. Justeru apabila lengkap AlQur’an diturunkan, Nabi Kekasih ALLAH pula menitipkan pesanan agar kita berpegang teguh kepada Kalam Tuhan dan Sunnah Rasul akhir zaman dalam khutbah terakhirnya. Cabaran yang kita hadapi hari ini adalah kerisauan Nabi ALLAH yang dikasihi sewaktu terlantar menghadapi saat mati, apabila diucapnya perkataan “ummati… ummati…”.

Perjuangan yang belum selesai dalam konteks Islam sebenar adalah dakwah dan tarbiyah yang telah dicontohkan Rasulullah s.a.w lebih dari 14 kurun yang lalu. Di saat itulah bermula masa dan ketikanya sesiapa sahaja yang memilih agama Islam sebagai pegangan dalam kehidupan perlu menerima tanggungjawab ini. Kadar keterlibatan tidak ditekankan sebagai hukum mutlak yang terang tetapi kewajipan memperjuangkan tetap merupakan suatu ketentuan yang menuntut kepatuhan. Maka buatlah sekadar yang termampu. Kalau sekadar mampu berdakwah dan tarbiyah kepada sanak famili, rakan dan jiran, jalankanlah yang demikian. Kalau mampu buat lebih dalam pelbagai teknik dan bidang, buatlah mengikut kadar kemampuan asalkan jangan ditinggalkan.

Sudah begitu lama tuntutan menjalankan syiar agama jelas menjadi tuntutan Muslim yang beriman. Pedoman dan rujukan juga sudah disediakan. Melawan hasutan dan bisikan syaitan adalah kesan utama apabila dakwah dan tarbiyah diperjuangkan dengan keikhlasan. Seperkara tentang agenda Iblis yang berikrar mahu menyesatkan seberapa ramai manusia adalah pengumumannya di depan Tuhan berkenaan kelemahannya jika anak Adam beragama dalam keikhlasan sebagaimana yang direkodkan dalam AlQur’an. Sekaranglah masanya untuk menepuk dada dan bertanyakan iman… dengan sepenuh keikhlasan. Teruskanlah perjuangan!

Lailaha illallah Muhammadur Rasulullah. Tiada Tuhan Selain ALLAH, Muhammad itu Pesuruh ALLAH.
Inilah tujuan Nabi dilahirkan dan Rasul diutuskan... Salam Maulidur Rasul 1432h.


By: Towil

Comments

Popular posts from this blog

Siapa AHZAB?

Qunut Nazilah. "Ya Allah kami letakkan kamu di batang leher musuh-musuh kami, Dan kami berlindung Dengan-Mu dari kejahatan mereka, “Ya Allah hancurkan kumpulan mereka, “Ya Allah pecahkan pakatan mereka, “Ya Allah leburkan penderian mereka, “Ya Allah musnahkan langkah mereka, Cengkamkan anjing-anjing-Mu kepada mereka, “Ya Allah Yang Maha Memaksa, “Ya Allah Yang Maha Perkasa, “Ya Allah Yang Maha Membalas, “Ya Allah,“Ya Allah, “Ya Allah, Yang turunkan kitab, Yang gerakkan awan, Yang tewaskan tentera Ahzab, Kalahkan mereka, Kalahkan mereka, Kalahkan mereka Dan menangkanlah ke atas kami." Doa Qunut Nazilah adalah doa yang sama diseru oleh para pembela Palestine, Syria, Iraq, Rohingya, Central Africa, East Turkistan (Uyghur), Chechnya, Ahwaz (Sunni Iran), dll apabila Ummat Islam dizalimi PERANG yang membunuh, memperkosa dan mencabul segala hak asasi manusia. DALIL PENSYARIATAN QUNUT NAZILAH Daripada Anas bin Malik RA: أَنَّ رِعْلاً وَذَكْوَانَ وَعُصَيَّةَ وَبَنِي لَحْي

Cerita Kampung Istana

“Ady tak setuju lah dengan cara sesetengah orang tua-tua sini cakap pasal masjid lama tu”. Terpegun sekejap aku dengar Ady cakap macam tu. Bukan apa…  aku memang tak sangka anak muda berusia 20an yang sekali imbas dengan rambut paras bahu, berseluar jeans lusuh, dengan kemeja-T bercapuk cat sebab baru balik kerja tiba-tiba bagi komen pasal masjid di kampungnya. Aku takjub sebab Ady masih nak ambil tahu pasal cerita masjid lama di kampungnya yang kini sudah tidak lagi digunakan kerana sudah ada masjid baru sebelah sekolah agama. Tambah terkesima aku dengan apa yang Ady tahu berkenaan sejarah masjid lama kampungnya yang dibina pada zaman selepas British keluar dari Tanah Melayu. “Ada orang kampong sini cakap memang eloklah dipindahkan masjid ke tapak baru sebab asal tapak tanah masjid lama tu pun bukan baik sangat. Sebelum dibina masjid, tapak tanah tu ada kedai kopi tentera British. Faham-faham sajalah kalau zaman dulu kedai kopi dan rumah tumpangan orang putih mestilah banyak b

Kopi Tongkat Ali; Nak Tambah Kuat Lagi?

Abang mau itoo tulur sitengah masak ka? Sudah minum tongkat ali, makan tulur la bang… kasi power kuat punya… Tanggapan. Aku ingatkan mamak yang ambik order tadi memang rekomen telur separuh masak untuk digandingkan dengan kopi tongkat ali 5 dalam 1 sebab boleh tambah tenaga orang jantan. Tapi bila aku fikirkan balik, alahhh… dia meniaga, memanglah suka pelanggan yang macam-macam ordernya. Kopi Tongkat Ali; apa sebenarnya yang dijual? Serbuk kopi segera… dengan KHASIAT memperkuatkan tenaga. Boleh kaya orang yang jual kopi segera ini di Malaysia. Sampai mampu bagi hadiah pertandingan satu juta.