Skip to main content

Sangka & Harap

Lazim aqal, nafsu dan emosi manusia saling bertindan bila berdepan situasi kehidupan. Jika hanya diturut salah satu atau ketiganya semata tanpa dipancang dengan elemen berteras agama, nescaya lazim bakal menyusul ketidak seimbangan fikiran dan tindakan. Kebajikan dan kejelekan punya timbangan tidak serupa jika ditimbang dengan laras rasional yang berlawanan teras.

Kebiasaannya sebagai insan biasa, rasa hati kita sentiasa bertindakbalas dengan keadaan yang berlaku di sekeliling. Adakalanya cetusan rasa itu berpada namun tak kurang juga ketikanya rasa itu cetek dan dangkal atau meruntun melampau batasnya. Pada hakikatnya, kesemua itulah yang menjadikan kita selayaknya bergelar manusia.

Tidak ada sesiapa yang layak mendabik dada mendakwa dirinya insan sempurna tanpa sebarang salah, silap dan dosa. Kalaupun tidak terlaksana kesalahan amalan, mungkin tersangka yang bukan-bukan. Kalau tidak terkasar ucapan, dalam diam tersasar mengharap keburukan demi kedengkian. Sedangkan perkara yang nampak di mata dan jelas di telinga punya rahsia, apatah lagi yang sebaliknya.

Lumrahnya hidup bergadai taqdir. Resamnya maut tetap terukir. Meskipun ramai yang menyangka hayat mereka masih panjang, namun apabila sampai ketika yang telah ditetapkan azali, tidak akan ditunda mahupun dipinda waktunya. Ramai juga yang mengharap dibiarkan hidup lagi di dunia ini sehingga disanggupi segala macam tindakan pencegahan demi keselamatan.

Sampai bila dan ke tahap apa mahunya kita hidup di dunia? Serakah, harta dan takhta yang diburu manusia hanya akan khatam dengan berakhirnya usia dunia yang fana ini. Kelekaan dan kealpaan kita sebagai manusia yang terus-terusan mengajak ke arah dunia bersifat sementara ini sebenarnya untuk kepentingan siapa?

Yang pasti setiap nyawa akan bertemu titik ajalnya tak kira di awal atau lewatnya usia. Tak siapa pula yang tahu secara pasti bila ketentuan mereka kecuali pemilik sebenar nyawa dan seisi dunia. Meskipun ramai yang menyangka usia harus berbaki hingga tua tapi ramai juga yang pergi di usia muda. Memanglah rata-rata hampir kesemua kita berharap dipanjangkan usia tapi jika ditanya untuk apa, jawapan yang paling biasa mungkin kerana ingin menikmati kehidupan dunia sepuasnya.

Justeru apakah nilai sebenar penghayatan usia yang dikurnia? Apakah kita perlu hidup lebih lama kerana menguruskan harta dunia dan kaum keluarga semata-mata? Tidak dinafikan memang itu sebahagian tanggungjawab yang ada tapi jawapan sebenar tidak bernoktah di situ sahaja. Ada lagi bahagian usia yang perlu dimanfaatkan untuk kehidupan seterusnya.

Dalam sebuah hadith yang dipilih oleh Imam Nawawi untuk dimuatkan dalam kitab Hadith 40 yang tersohor ada disebut, “Sesungguh seseorang dari kamu hidup beramal dengan amalan ahli syurga sehingga seakan-akan antara dirinya dengan syurga itu berbaki sehasta kemudian dia melakukan amalan ahli neraka, maka masuklah ia ke dalamnya”. Hadith ini diteruskan lagi dengan perumpamaan sebaliknya demi mengingatkan manusia betapa akhir usia itu amat perlu dititikberatkan dengan amalan sewajarnya.

Hidup sahaja tidak lengkap jika tidak dikaitkan dengan mati. Bagi yang berkesedaran akan hal ini, tidak canggung untuk mereka memahami hidup itu halatujunya adalah kematian atau lebih mudah disebut “Hidup untuk mati”. Mati itu pula ada dua polar penutup yang akan menentukan nilai sebuah kehidupan di dunia untuk ditimbang di alam seterusnya iaitu; penutup yang baik (husnul khatimah) atau penutup yang buruk (su’ul khatimah). Berbalik kepada persoalan sebelumnya, kita tak tahu kita ini bila matinya?

Maka apabila difikirkan secara fizikal kematian satu nyawa, belum tentu dapat disimpulkan dengan jelas apakah kematian itu baik atau buruk melainkan jika disaksikan akhir kalimah yang diucapkan oleh si mati itu mengakui tiada tuhan selain ALLAH. Dalam sejarah Khalifah Ar Rasyidin hanya Sayyidina Abu Bakar r.a sahaja yang matinya bukan disebabkan pembunuhan. Sayyidina Umar, Uthman & Ali r.a semuanya mati dibunuh meskipun Rasulullah s.a.w pernah menyatakan sahabat-sahabat ini adalah ahli syurga.

Baru-baru ini Malaysia digemparkan dengan pembunuhan kejam jutawan kosmetik bersama tiga yang lain bersamanya. Simpati buat si mati datang bertalu dari segenap arah. Tidak kurang juga jutawan lain yang menjadi paranoid lantaran berita pembunuhan yang menggemparkan sehingga sanggup mengupah pengawal peribadi tambahan atas langkah berjaga-jaga.

Ada juga yang mengucapkan doa minta dijauhkan dari mati dalam keadaan sedemikian seakan mati begitu berbaur pelbagai sangkaan fitnah akhir zaman. Doa yang sama juga dapat didengari sebelum itu apabila seorang ustazah bersama anaknya dibunuh oleh jiran yang merompak untuk membayar hutang-hutang tertunggak.

Persoalan lebih utama yang sepatutnya dititikberatkan adalah andainya kita ditaqdirkan mati sedemikian sekalipun, harapan yang tidak patut pudar ialah semoga akhir kehidupan dalam husnul khatimah. Dalam konteks pembunuhan sebegini, kebarangkalian untuk mendapat mati dengan nilai kesyahidan juga mungkin bertambah sehingga menjadikan kematian sebegini lebih baik dari mati di atas katil. Mati itu pasti, bukan untuk ditakuti tetapi untuk dimengerti maksud yang hakiki.

Bersangka baik sememangnya dianjurkan dalam Islam. Begitu juga halnya kita diseru untuk terus berharap kepada rahmat ALLAH sehingga hujung nyawa yang dipinjamkan olehNya. Taqdir dan ketentuan ilahi punya hikmah besar yang terkadang tidak kita sedari kerana ianya adalah rahsia ALLAH. Seperkara berkenaan sifat Pengasih dan Penyayang ALLAH kepada hambanya adalah kadar keluasan sifat-sifat ini tiada batasan dan penghujungnya.

Khabar pembunuhan berprofil tinggi jutawan wanita ini ditambah rencahnya dengan berita yang mengatakan keempat mereka dibelasah hingga mati. Ini meningkatkan lagi simpati masyarakat tetapi berapa ramai pula yang terfikir dengan prasangka betapa dalam kekejaman manusia yang membelasah mereka, barangkali terselit pengampunan dosa dan rahmat dari ALLAH atas setiap kesakitan yang dialami. Sekiranya sangkaan baik ini benar, maka sememangnya amat beruntunglah mereka semua dijemput mengadap ALLAH dengan penuh rahmat dan keampunan.

Agak radikal barangkali untuk mengharap agar kita juga diberi peluang untuk dibelasah dan dibunuh sedemikian rupa. Namun hakikatnya jika di situ letaknya syurga ALLAH, maka tidak sia-sia mereka yang terpilih diberi peluang sedemikian. Apa yang penting bagi kita semua yang masih mampu membaca artikel ini adalah menjaga dan membiasakan diri dengan kalimah terakhir yang diharap mampu kita ucapkan di hujung usia; Tiada Tuhan Selain ALLAH, Muhammad itu Pesuruh ALLAH.

LA ILAHA ILLALLAH, MUHAMMADUR RASULULLAH.

By: Towil

Comments

Popular posts from this blog

Siapa AHZAB?

Qunut Nazilah. "Ya Allah kami letakkan kamu di batang leher musuh-musuh kami, Dan kami berlindung Dengan-Mu dari kejahatan mereka, “Ya Allah hancurkan kumpulan mereka, “Ya Allah pecahkan pakatan mereka, “Ya Allah leburkan penderian mereka, “Ya Allah musnahkan langkah mereka, Cengkamkan anjing-anjing-Mu kepada mereka, “Ya Allah Yang Maha Memaksa, “Ya Allah Yang Maha Perkasa, “Ya Allah Yang Maha Membalas, “Ya Allah,“Ya Allah, “Ya Allah, Yang turunkan kitab, Yang gerakkan awan, Yang tewaskan tentera Ahzab, Kalahkan mereka, Kalahkan mereka, Kalahkan mereka Dan menangkanlah ke atas kami." Doa Qunut Nazilah adalah doa yang sama diseru oleh para pembela Palestine, Syria, Iraq, Rohingya, Central Africa, East Turkistan (Uyghur), Chechnya, Ahwaz (Sunni Iran), dll apabila Ummat Islam dizalimi PERANG yang membunuh, memperkosa dan mencabul segala hak asasi manusia. DALIL PENSYARIATAN QUNUT NAZILAH Daripada Anas bin Malik RA: Ø£َÙ†َّ رِعْلاً ÙˆَØ°َÙƒْÙˆَانَ ÙˆَعُصَÙŠَّØ©َ ÙˆَبَÙ†ِÙŠ Ù„َØ­ْÙŠ...

Cerita Kampung Istana

“Ady tak setuju lah dengan cara sesetengah orang tua-tua sini cakap pasal masjid lama tu”. Terpegun sekejap aku dengar Ady cakap macam tu. Bukan apa…  aku memang tak sangka anak muda berusia 20an yang sekali imbas dengan rambut paras bahu, berseluar jeans lusuh, dengan kemeja-T bercapuk cat sebab baru balik kerja tiba-tiba bagi komen pasal masjid di kampungnya. Aku takjub sebab Ady masih nak ambil tahu pasal cerita masjid lama di kampungnya yang kini sudah tidak lagi digunakan kerana sudah ada masjid baru sebelah sekolah agama. Tambah terkesima aku dengan apa yang Ady tahu berkenaan sejarah masjid lama kampungnya yang dibina pada zaman selepas British keluar dari Tanah Melayu. “Ada orang kampong sini cakap memang eloklah dipindahkan masjid ke tapak baru sebab asal tapak tanah masjid lama tu pun bukan baik sangat. Sebelum dibina masjid, tapak tanah tu ada kedai kopi tentera British. Faham-faham sajalah kalau zaman dulu kedai kopi dan rumah tumpangan orang putih mestilah bany...

Kopi Tongkat Ali; Nak Tambah Kuat Lagi?

Abang mau itoo tulur sitengah masak ka? Sudah minum tongkat ali, makan tulur la bang… kasi power kuat punya… Tanggapan. Aku ingatkan mamak yang ambik order tadi memang rekomen telur separuh masak untuk digandingkan dengan kopi tongkat ali 5 dalam 1 sebab boleh tambah tenaga orang jantan. Tapi bila aku fikirkan balik, alahhh… dia meniaga, memanglah suka pelanggan yang macam-macam ordernya. Kopi Tongkat Ali; apa sebenarnya yang dijual? Serbuk kopi segera… dengan KHASIAT memperkuatkan tenaga. Boleh kaya orang yang jual kopi segera ini di Malaysia. Sampai mampu bagi hadiah pertandingan satu juta.