Skip to main content

Kasih Nan Bertaut

Seawal minit pertama aku mula menghirup udara dunia, terukir senyuman manis di wajah ibu kerana aku menangis. Lembut suara ayah mengingatkan aku betapa agungnya Allah dan mulianya Muhammad Rasulullah sebagai manusia terbaik untuk aku contohi ketika azan dan iqamah dibisikkan ke telingaku.

Lahirku seolah menghilangkan kesakitan ibu yang mempertaruhkan nyawanya untuk membawa aku ke dunia. Tangisanku seakan penyejuk hati ayah yang gundah dan gelisah melihat kekasih yang dicintai menahan keperitan melahirkan zuriatnya. Segala yang berlaku di sekelilingku tidak aku fahami kerana lebih sembilan bulan sebelum itu aku bermukim di rahim ibu.

Tidak habis di situ kasih ibu untukku. Kehausan dan kelaparanku dilayani tanpa batasan waktu. Sendawaku yang kekenyangan susu makin menambah kasih ayah buat ibu dan aku. Ayah semakin gigih berusaha agar aku dan ibu cukup segala yang kami perlu. Untuk siapa ayah bekerja sampai begitu? Untuk kamu dan ibumu wahai anakku.

Tiap detik waktu yang berlalu terisi dengan doa dan harapan. Aku mula pandai berjalan, makan dan bertepuk tangan. Saban hari ibu kepenatan melayani aku tanpa rungutan. Di hening malam, ubunku dielus dan dikucup ibu dan ayah yang terus menaruh harapan kepada Tuhan. Ya Allah kepadaMu kami pohonkan agar anak ini kekal dalam iman.

Semuanya berlaku dengan pantas sepanjang hidupku. Ayah dan ibu lazim berkeras bila aku seakan lupa pada Allah. Ayah tegar merotan kalau solat aku abaikan dan ibu pula murah dengan cubitan andai aku leka tak baca Qur'an. Untuk siapa ayah dan ibu paksakan aku sampai begini? Untuk Tuhan yang maha kuasa lagi maha terpuji wahai anakku.

Zaman remaja aku makin tertarik pada hidup berkawan. Kalau diikut rasa yang muda, mahu saja ayah dan ibu aku tinggalkan demi keseronokan. Tingkahku mahu kebebasan. Nafsuku mahu dilampiaskan. Ayah dan ibu apa tau? Ini trend zaman sekarang... dengus hatiku yang hanyut dalam bisikan syaitan.

Ayah mula berlembut kata dan ibu pula makin banyak memujuk aku agar jangan sekali hilang pedoman. Gelora remajaku jadi reda bila ayah dan ibu tidak lagi mudah merotan dan melayang cubitan. Apa mungkin kerana aku sudah makin kuat sedang mereka makin tua ini semua jadi begini? Tidak anakku. Ini semua kerana kamu sudah baligh perawan, maka segala amalmu kini untukmu jadi tanggungan.

Wahai anak... Dari saat kau dilahirkan ayah dan ibu jadi peneman. Kini usiamu menginjak kedewasaan sedang ayah dan ibu beransur hilang kekuatan mahupun fikiran. Ayah takkan putus dari mendoakan. Ibu takkan mengalah dari menasihatkan. Tapi pilihan arah hidupmu tetap milikmu untuk kau perjudikan.

Ingatlah wahai anak, setiap titisan susu ibu kini mengalir dalam urat nadimu. Setiap titisan keringat ayah kini menjalar dalam darah dagingmu. Setiap rintihan munajat ayah dan ibumu yang tak pernah jemu mendoakan kebaikanmu kepada Tuhan kini menjadi bekalan kerohanian. Duniamu kini terhampar di hadapan. Moga kau sentiasa dalam lindungan.

Ayah... Setiap nafas yang kuhembus punya hutang yang tak terbalas kepadamu. Ibu... Setiap gerak nadiku ini seharusnya kuiring ucapan terima kasih buatmu. Aku bertuah untuk dilahirkan. Aku bertuah untuk dibesarkan dan aku cukup bertuah kerana kamu menanamkan di hatiku agar senantiasa mencari sebuah kehidupan yang dirahmati Tuhan.

Ya Allah, kupohon keampunan buat diriku andai daku menyalahiMu dan kedua ibubapaku. Bahkan berganda pula harapanku agar Dikau ampunkan kedua mereka seandainya mereka pernah menyalahiMu. Limpahkanlah wahai Allah Tuhan yang maha pengampun, pengasih dan penyayang, keampunan, keredhaan dan kecintaanMu buat mereka berdua yang tidak pernah terkurang menyayangiku sedari aku tidak kenal siapa Kamu sehingga daku mampu berbicara denganMu sebagai seorang hamba yang sedar betapa kecil lagi kerdilnya daku disisi Mu.

Dengan segala kerendahan dan kekurangan yang ada padaku, dalam rasa malu kepadaMu wahai Tuhan yang Maha Mulia, daku panjatkan segala hasratku dan kusandarkan segala harapanku demi Kebesaran dan KeagunganMu wahai Tuhan sekalian alam. Aamin Ya Rabbal ‘Alamin.

By: Towil

Comments

Popular posts from this blog

Siapa AHZAB?

Qunut Nazilah. "Ya Allah kami letakkan kamu di batang leher musuh-musuh kami, Dan kami berlindung Dengan-Mu dari kejahatan mereka, “Ya Allah hancurkan kumpulan mereka, “Ya Allah pecahkan pakatan mereka, “Ya Allah leburkan penderian mereka, “Ya Allah musnahkan langkah mereka, Cengkamkan anjing-anjing-Mu kepada mereka, “Ya Allah Yang Maha Memaksa, “Ya Allah Yang Maha Perkasa, “Ya Allah Yang Maha Membalas, “Ya Allah,“Ya Allah, “Ya Allah, Yang turunkan kitab, Yang gerakkan awan, Yang tewaskan tentera Ahzab, Kalahkan mereka, Kalahkan mereka, Kalahkan mereka Dan menangkanlah ke atas kami." Doa Qunut Nazilah adalah doa yang sama diseru oleh para pembela Palestine, Syria, Iraq, Rohingya, Central Africa, East Turkistan (Uyghur), Chechnya, Ahwaz (Sunni Iran), dll apabila Ummat Islam dizalimi PERANG yang membunuh, memperkosa dan mencabul segala hak asasi manusia. DALIL PENSYARIATAN QUNUT NAZILAH Daripada Anas bin Malik RA: Ø£َÙ†َّ رِعْلاً ÙˆَØ°َÙƒْÙˆَانَ ÙˆَعُصَÙŠَّØ©َ ÙˆَبَÙ†ِÙŠ Ù„َØ­ْÙŠ...

Cerita Kampung Istana

“Ady tak setuju lah dengan cara sesetengah orang tua-tua sini cakap pasal masjid lama tu”. Terpegun sekejap aku dengar Ady cakap macam tu. Bukan apa…  aku memang tak sangka anak muda berusia 20an yang sekali imbas dengan rambut paras bahu, berseluar jeans lusuh, dengan kemeja-T bercapuk cat sebab baru balik kerja tiba-tiba bagi komen pasal masjid di kampungnya. Aku takjub sebab Ady masih nak ambil tahu pasal cerita masjid lama di kampungnya yang kini sudah tidak lagi digunakan kerana sudah ada masjid baru sebelah sekolah agama. Tambah terkesima aku dengan apa yang Ady tahu berkenaan sejarah masjid lama kampungnya yang dibina pada zaman selepas British keluar dari Tanah Melayu. “Ada orang kampong sini cakap memang eloklah dipindahkan masjid ke tapak baru sebab asal tapak tanah masjid lama tu pun bukan baik sangat. Sebelum dibina masjid, tapak tanah tu ada kedai kopi tentera British. Faham-faham sajalah kalau zaman dulu kedai kopi dan rumah tumpangan orang putih mestilah bany...

Kopi Tongkat Ali; Nak Tambah Kuat Lagi?

Abang mau itoo tulur sitengah masak ka? Sudah minum tongkat ali, makan tulur la bang… kasi power kuat punya… Tanggapan. Aku ingatkan mamak yang ambik order tadi memang rekomen telur separuh masak untuk digandingkan dengan kopi tongkat ali 5 dalam 1 sebab boleh tambah tenaga orang jantan. Tapi bila aku fikirkan balik, alahhh… dia meniaga, memanglah suka pelanggan yang macam-macam ordernya. Kopi Tongkat Ali; apa sebenarnya yang dijual? Serbuk kopi segera… dengan KHASIAT memperkuatkan tenaga. Boleh kaya orang yang jual kopi segera ini di Malaysia. Sampai mampu bagi hadiah pertandingan satu juta.