Hmmmm… lain macam sikit bunyi tajuk kali ini. Ada yang tak terbayang maksud amnya barangkali? Beginilah untuk bantu mempermudah… ‘Menjarah’ itu maknanya merebut dan merampas milik orang (terutama ketika perang atau kekacauan). Khibrah pula perkataan pinjaman dari Bahasa Arab yg bermaksud ‘pengalaman’. Begitulah mantiq simpulan kata yang mencipta makna dalam tajuk yang tertera di atas sana. Kalau nak tahu kenapa… teruskanlah membaca ya ;-)
Pengalaman… sepatutnya makin mendewasakan. Ada yang mendakwa pengalaman perlu sentiasa beriringan dengan ilmu pengetahuan, barulah mantap sebagai panduan dan ikutan. Dunia masih tetap di atas putaran. Siang dan malam masih silih berganti sebagaimana yang dinanti. Pasang dan surutnya air laut masih mengikut ketentuan waktu yang wajib diturut. Semuanya masih kukuh bertaut. Maka apa bezanya detik masa yang kita lalui semua? Orang berpengalaman kalau hidupnya sekadar statik sahaja apa yang boleh kita ikuti sebagai pedoman?
Bagaimana menjarah pengalaman? Salah satu jawapan yang mudah adalah ‘penceritaan’ + “penceritaan semula yang berulang2”. Bikin percaya… (make it believable). Cuba lihat catatan sejarah tanah Melayu yang pernah ditulis oleh R.O Winstedt. Berapa banyak hero Melayu yang diiktiraf oleh penulis ini yang berpihak kepada penjajah British? Adakah nama Abdul Rahman Limbong, Tok Janggut, Mat Kilau dan banyak lagi termaktub sebagai wira bangsa di dalam buku sana? Begitu juga tersebut dalam catatan mereka bahawa J.W Birch adalah insan berjasa di Malaya. Bagi yang merujuk sejarah kita kepada mereka, pasti berbeza pandangannya.
Subhanallah… Maha suci ALLAH yang Maha Bijaksana. Telah disebut olehNya dalam Kalam yang diamanahkan kepada ummat Pesuruh KesayanganNya; Muhammad s.a.w. Berkali-kali dinyatakanNya, bakal terdapat perbezaan di kalangan hamba-hambaNya seperti kita semua tatkala mula berfikir sedalam pandangan kepada setiap ciptaan. Contohnya; manusia yang giat memikirkan mengapa lapisan ozon dunia makin terhakis? Fikiran berbentuk kefahaman perihal sesuatu kejadian dapat dilihat menerusi pengamatan yang melalui suatu tempoh masa tertentu meskipun detik-detik hari dan waktu masih kemas tersusun berjadual dalam aturan sebagaimana kebiasaan.
Aspirasi dan pandangan kecintaan duniawi pula adalah antara faktor yang membolehkan penjajahan minda dilaksana secara halus dan tak terasa. Dalam apa jua bidang, semua pemilik nafsu pasti inginkan yang terbaek punya pencapaian kan? Ya lahhh… dah namanya pun nafsu memang mestilah nak lebih. Banyak sekali pengalaman ummat Islam hari ini… sehinggakan ummat kita punya lebihan masa nak bertekak siapa lebih Islam antara sesama Muslim yang sama-sama mendakwa memperjuangkan Islam. Makin pelik dan kronik kecamuk identiti kita sebagai 1 ummah di bawah lembayung Rahmat ALLAH. Bernafsu nak pulun lebih Rahmat ke saja nak tunjuk kuat? Bukan ke akhirnya kita semua pun akan dijemput pulang juga ke Rahmatullah?
Semakin banyak perkara yang menuntut anjakan paradigm ke arah lebih dinamis dan kompetitif. Hari ini Ustaz kiter pong dah buleh jelaskan macamana muzik tu harang atau halaaaalll… ghok?? Esok banyak lagi kerijer nak dibuatnya lantaran penerimaan fitrah ramai manusia kepada agama dengan cara yang ditaqdirkan olehNya. Selagi keikhlasan hati kepada ALLAH menjadi nadi dan sendi dakwah, pasti ALLAH sediakan habuan yang indah... ALLAHU AKBAR.
Memang fenomena Ustaz diterima kerana jenaka yang bersahaja sudah lama kita ada. Cumanya yang tambah manis akhir-akhir ini, yang berdakwah secara kreatif mula menampakkan kesan yang boleh menyatukan insan atas dasar keimanan. Di kedua pihak; (1) ‘penerbit’ konten dan pengisian serta pihak (2) ‘penonton’ macam kita semua yang memerhati, pandangan kita semua akan terus diuji sensitiviti bersilang emosi. Beginikah corak komedi Islam yang sudah lama sepatutnya kita mulakan? Akan terus bercambahkah genre pengisian agama yang disulami humor sebegini...??? Manisnya kurma ini? (sila sebut ala-sepah).
Terdapat sejuzuk dari pandangan liberal yang menterjemahkan definisi ‘kebebasan’ saling tak tumpah maknanya dengan ‘keterbabasan’. Demi liberal semua manusia punya hak untuk menentukan arah hidupnya sehinggakan melangkau perkara berkaitan taqdir seperti memilih jantina dan apapun jua kecenderungannya. Kalau diamati dari dekat, semakin tiada bezanya budaya hedonis dengan langkah liberalis.
Berlembut bicara teruskah selayaknya kita bila berdepan dengan hedonis liberalis yang vokal? Salahkah kita jika menyatakan kebenaran Tuhan secara tegas & beriman. Contohnya, "kalau dah kamu kahwin sesama jantan, syariat Nabi mana yang melayakkan kamu kekal dalam keislaman?".
Demi liberal manusia seharusnya dibiarkan sahaja untuk mengamalkan apa jua hala dan gaya agama yang dianuti bersama. Hidup masing-masing... Kubur asing-asing... Demi liberal kita makin tak perlu mendoakan sangat orang lain. Yang penting kena bersikap rasional dan supportif terhadap pilihan perilaku sesama manusia. Abis kalau semuanya betul… kahwin sejenis betul… tukar jantina betul… gambar seksi peribadi pun betul… suka sama suka puuunnn betul, dah kalo gitu di mana bezanya kita dengan ungka?
Sebentar ya… kita ceduk sedikit kesimpulan logikal dari apa yang dileterkan dalam blogpiece kali ini. Bagaimana kita nak kaitkan tajuk artikel nih (Menjarah Khibrah) atau merampas pengalaman dengan apa yang telah pun dinyatakan?
Hakikatnya kita sudah terlalu selalu mendengar cerita; terutamanya cerita orang. Bila berulang kali sesebuah cerita disampaikan dengan penceritaan yang serupa, nescaya ramai yang akan mempercayai cerita tersebut adalah betul sebagaimana keadaan yang diceritakan. Meskipun hakikatnya cerita itu sendiri berbaur rekaan, kekerapan mendengarkan penceritaan yang serupa akan memujuk kita untuk percaya seadanya.
Kepercayaan sesorang yang dipegang dan dipancang dengan kekeliruan antara yang haq dan bathil adalah kehendak sesetengah pihak. Biar mudah dituil, biar mudah dicatur... biar terus dijajah. Itu mahunya pihak-pihak itu. Maka kesimpulannya pengalaman kita mampu dipengaruhi oleh pandangan dan anasir luaran yang komited membuatkan kita percaya dengan apa yang diperkata. Senang cerita macam iklan; semakin kerap diiklan semakin kuat penjenamaan. Semua boleh direka iklannya. Siapa nak jajah minda siapa ni agaknya? Jajah minda pun nak buat apa??$$$??
Justeru merampas pengalaman atau menjarah khibrah juga boleh diterjemahkan kepada usaha penjajahan minda. Lebih kerap kita dengari jolokan frasa “minda yang masih terjajah” disebut lantang oleh pemidato kemasyarakatan untuk memahami fenomena ini. Terjajah dengan kepentingan, kekuasaan, keduniaan, kebuasan, ketamakan dan lain2 lagi. Bukan skeptik duniawi semata-mata yang mahu kita jelaskan di sini, tetapi yang lebih utama adalah amalan saling mengingatkan dan berpesan-pesan dengan kebenaran.
Dunia hari ini terlalu kemas didakap fikrah pemisahan sekularisme yang menegaskan agama tidak sesuai diguna di meja kuasa, takhta dan harta dunia. Dunia suku agama suku katanya. Geng sekular sebenarnya masih ramai di kalangan ummat Islam khususnya di Negara-negara yang keislaman majoritinya diwarisi dari nenek moyang. Waimma di Negara-negara Arab sendiri sekularisme sudah lama saling berganti takhta di hati sebilangan para pemimpin mereka. Liberalisasi, Demokrasi, Anti-Perkauman dan banyak lagi jenama sampingan yang mendukung kempen perang saraf agenda kemanusiaan yang didakwa sejajar prinsip keadilan dan keagamaan.
Sebenarnya benarkah sesuatu kebenaran itu selagi penghujungnya tidak dikembalikan kepada Pemilik Sebenar bahkan diliberalkan di tahap sesama manusia sahaja? Kebenaran yang diputar dengan catatan sejarah juga berhak diragui, apatah lagi keterangan yang dijaja oleh manusia yang bertebaran di atas muka bumi demi kepentingan masing-masing. Keterangan yang tidak disangga dengan 2 sumber utama kebenaran Tuhan adalah bertaraf jauh lebih rendah dari yang bersumberkan AlQur’an & Sunnah Rasul Pilihan.
Maka adakah mungkin bila semua perkara yang bersifat peribadi dan tidak melanggar hak-hak asasi manusia dianggap betul semuanya, apakah secara otomatis dan gratis kita bakal dapat masyarakat dan rumahtangga ummat Islam yang harmonis? Liberalkah agama andai begitu? Di mana pula sewajarnya kedudukan manual kehidupan yang Sang Pencipta telah sediakan untuk kita dengan jaminan tidak akan dirundung kesesatan selagi berpegang kepada keduanya… AlQuran & Sunnah? Seperti biasa… soalan dan persoalan melebihi jawapan ;-)
Wallahu a’lam.
By: Towil See Sharp Minor
Comments
Post a Comment