Skip to main content

Tahun Baru Warung Kopi


Sebut pasal makan dan tahun baru, tentu saja Gong Xi Fa Chai terlintas di fikiran mereka yang faham budaya bangsa Cina. Agenda makan besar sekeluarga pada hari terakhir mengikut kalendar kuno bangsa Cina ini merupakan perkara lazim bagi keluarga Cina di seluruh dunia. Secara amnya memang masih ramai orang Cina yang tahu dan mahu meneruskan adat budaya bangsa warisan berzaman ini tak kira di mana tempat tinggal mereka. Realiti penghayatan tahun baru Cina di Chinatown seluruh dunia seharusnya melayakkan bangsa ini dihormati sebagai sebuah bangsa berbudaya.

Bukan pelik bila sesebuah bangsa mampu teruskan warisan budaya walaupun peredaran masa menjanjikan hakisan nilai semasa. Banyak etnik di dunia ini yang masih tahu menghargai budaya masing-masing. Di Malaysia bangsa Melayu, Cina dan India secara automatik menjadi sinonim apabila persoalan ‘multiracial’ diutarakan. Di benua Arab barangkali darah Arab, Habsyi, Yahudi dan Parsi lebih ketara jadi pembahagi keturunan bangsa meskipun jumlah penghijrah seperti dari India, Pakistan, Bangladesh, China, Indonesia dan lainnya bertaburan di sini sana.
Para penghijrah berbangsa Cina secara amnya masih mampu mengekalkan budaya bangsa tak kira di mana mereka berada. Justeru pada dasarnya juga amalan ‘Hijrah’ adalah perkara yang banyak baiknya. Sering kita dengar kisah penghijrah yang berjaya membina kehidupan dunia yang lebih bermakna berbanding mereka yang hanya diam di bawah tempurung sahaja. Hatta di Malaysia, ramai pendatang yang berhijrah ke mari kini sudah berharta di Negara asal mereka.

Ramai penghijrah yang meletakkan harapan mahu pulang ke Negara asal bila sudah punya upaya. Malahan dalam hal-hal tertentu, para penghijrah lebih setia kepada tanahair masing-masing berbanding perompak terhormat yang bermaharajalela sewenang-wenangnya memperniaga khazanah Negara. Bagi yang taat berkhidmat untuk Negara masing-masing, rezeki mereka juga tetap ada. Pelik juga bunyinya bila diuwarkan kita tak punya cukup tenaga bijaksana dalam Negara untuk terus membangunkannya sampai perlu dipujuk mereka yang bermastautin di luar sana?

Apa benarkah kita kekeringan cendekiawan dan bakat dalam Negara? Agenda apakah yang begitu menuntut keperluan memujuk penghijrah kita untuk kembali segera? Agenda siapakah pula sebenarnya yang kita terkinja-kinja nak cepat sangat mencapainya? Agenda Negara? Agenda bangsa? Agenda agama? Agenda pemerintahnya? Atau agenda rakyat jelata? Bila bercakap tentang agenda rakyat jelata, memang pelbagai mahu dan seleranya. Mustahil pada hukum adatnya jika semua manusia dalam sesebuah Negara boleh tiba-tiba bersatu suara mahukan satu cara yang sama.

Lantaran apa sebenarnya yang paling sesuai dinobat sebagai agenda Negara yang selaras dengan kehendak rakyat jelata? Siapa yang paling layak memutuskannya? Jawapan rasminya sudah tentulah penguasa yang diberi mandat mentadbir urusannya. Para pentadbir urusan Negara pula seharusnya benar-benar ikhlas mendahulukan kepentingan manusia di bawah tanggungannya. Kritikan membina dari idea yang berkepentingan sejujurnya mahu menaikkan maruah bangsa, agama dan Negara memang selayaknya dihormati semua.

Pertukaran tahun menjadi pancangan waktu yang memudahkan manusia mengira peredaran masa. Lain kalendar yang diguna, maka lainlah pula amalan dan tanggapan yang mengiringinya. Bagi yang taasub bangsa, hukum adat wajib dijunjung seadanya. Golongan tua dalam apa jua bangsa lazimnya menjadi pendukung utama amalan sesebuah bangsa. Kalendar Cina misalnya menuntut adat makan bersama seisi keluarga menjelang tahun baru mereka. Orang Amerika pula ada majlis ‘Thanksgiving’ yang juga menganjurkan amalan makan bersama keluarga.

Orang Melayu khususnya di Malaysia yang dianggap dan diiktiraf Muslim semua sepatutnya meraikan kalender hijrah mereka. Namun begitu, oleh kerana agama dan bangsa adalah dua perkara yang berbeza, sering kita jumpa campur aduk yang mengundang pertikaian mengenainya. Bangsa dan budaya berkait rapat antara sesama. Dalam agama Islam yang mulia juga terdapat unsur budaya Arab yang diterima kerana tidak bercanggah. Penerimaan unsur ‘Uruf’ atau budaya ini turut diamalkan oleh manusia mulia yang diutus ALLAH sebagai rahmat dunia sewaktu hayatnya.

Perilaku Rasulullah s.a.w yang tiada jumud, totok atau terlalu ortodok mencatat sejarah tentangan besar dari bangsanya sepanjang usaha Baginda menyebar syiar agama. Arab pada masa diutuskan Baginda dilabel sebagai ‘Jahiliyah’ yang bermaksud bodoh, bongok, kepala batu, tengin dan lain-lain perkataan yang semaksud dengannya. Ramai Arab Jahiliyah pada waktu itu menentangnya dengan alasan mempertahan khazanah bangsa dan kabilah mereka termasuk di kalangan saudara mara dan pakcik-pakcik Baginda.

Sejarah paman Rasul tercinta yang bernama Abu Talib sepatutnya kita amati sejujurnya. “Kalau tidak kerana mempertahankan agama nenek moyang kita, maka aku sememangnya percayakan kamu wahai anak saudaraku”, begitu tutur Abu Talib disaat nazaknya apabila anak saudaranya memujuk beliau mengucap dua kalimah syahadah. Bercucuran airmata Baginda lantaran keengganan bapa saudaranya menerima agama bila diejek oleh pembesar bangsa yang turut hadir menziarahi saat nazaknya. Ya, memperjuangkan bangsa sahaja tidak akan dapat selamatkan kita dari neraka tanpa agama.

Tahun hijrah yang diikuti dalam kalendar agama Islam yang mulia adalah bersempena sebuah peristiwa melibatkan ummat Islam Makkah yang berpindah ke Madinah. Penggunaan kalendar ini secara rasminya dipelopori Sayyidina Umar Alkhattab selaku Khalifah kedua selepas wafatnya Baginda Rasul tercinta. Di Malaysia yang mengangkat Islam sebagai agama rasminya, tanggal 1 Muharam dijadikan cuti am. Masjid-masjid di seluruh Negara disyorkan membaca doa akhir dan awal tahun yang baik maksudnya meskipun amalan ini bukan bersandar sunnah Nabi kita.

Berdoa memang tiada salahnya. Perbuatan ini tidak dituntut hanya kepada masa tertentu sahaja walaupun ada ketikanya sesebuah doa lebih digalakkan mengikut saranan masa dan ketika seperti jemaah haji berdoa di padang Arafah sewaktu hari wukuf dan sebagainya. Sempena pertukaran tahun baru hijrah di Malaysia, kedengaran juga suara mengkritik amalan berdoa hujung dan awal tahun yang tiada sandaran hadith tentang amalannya. Tak payah peliklah sebab mengkritik adalah lumrah yang suka dijaja manusia demi pelbagai agenda.

Ada yang mengkritik demi keikhlasan beragama, ada juga yang berbunyi demi nak menunjukkan betapa berilmunya dia dan ada juga yang menyahut kritikan demi mengelakkan sesuatu perkara. Apa jua alasannya, timbangan kewarasan manusia seeloknya dipaksikan kepada kebenaran dalam agama dan kemaslahatan para penganutnya. Jika tahun baru Masihi meriah disambut pelbagai amalan dan hiburan, tahun baru Islam layak diraikan demi mengangkat martabat agama. Keterbukaan yang pernah dicontohkan Baginda dalam menerima budaya bangsa patut kita hayati bersama.

Menurut riwayatnya, salah satu doa Baginda Rasulullah s.a.w yang tidak dapat diaminkan oleh malaikat adalah terhindarnya ummat dari kemusnahan akibat pertelagahan sesama mereka. Bagi yang faham mengapa ianya sedemikian rupa tak mengapa tapi bagi yang hanya mahu menongkat langit dengan alasan dunia, beringatlah. Setiap dari kita ini adalah pemimpin dan setiap pemimpin akan ditanya perihal rakyat pimpinannya di dunia yang sementara dan akhirat yang kekal selamanya. Mungkin ada juga yang lolos di dunia tapi percayalah, takkan lepas nanti ditanya di sana.

Mencari silap tidak sesusah mengajak buat baik. Bila ketara sesuatu perkara itu lebih banyak baiknya, elok benar kalau dicanang kebaikannya agar lebih ramai yang suka membuatnya. Dalam kerancakan pembangunan dunia hari ini yang pantas berlari, patutkah makin sikit ruang yang kita peruntukan untuk memperelok hubungan manusia dengan Tuhannya dan juga sesama manusia sebangsa seagama. Tidak terkilankan rasa jika kebaikan yang sedikit itu pula nak diperbahas untuk dibuang dari agenda?

Banyak lagi perkara khilaf yang lebih mengecamukkan minda bila nak cerita amalan sambutan tahun baru di Malaysia. Ma'al hijrah juga tidak terkecuali. Sejarah, peradaban dan ketamadunan bangsa dan negara adalah antara perkara yang dijulang sebagai pencapaian agama meskipun terkadang bagi mereka yang ahli agama sendiri terpinga-pinga mengapa. Penjenamaan agama dewasa ini semakin kerap dibubuh keatas perkara-perkara dunia semata.

Fesyen, kecantikan fizikal, pengurusan wang bank negara pun layak dicap sebagai agenda penting dalam agama? Memang benar agama tidak terpisah dari kehidupan dunia, tapi itu tidak bermakna kepentingan dunia adalah keutamaan agama. Barangkali pengistilahan dan teknik memerangi nilai agama yang dahulunya kita kenali sebagai sekular sudah semakin halus jarumnya. Silap-silap kalau tak faham kebenaran beragama, boleh jadi makin selesa bergelumang dengan noda dunia sebab makin ramai penjual jenama yang sedia melabelkan apa sahaja demi kepentingan yang bukan sebenarnya agama.

Warung Kopi See Sharp Minor mengucapkan Salam Ma’al Hijrah buat semua dan mendoakan kesejahteraan serta keharmonian bersama di seluruh dunia.



By: Towil

Comments

Popular posts from this blog

Siapa AHZAB?

Qunut Nazilah. "Ya Allah kami letakkan kamu di batang leher musuh-musuh kami, Dan kami berlindung Dengan-Mu dari kejahatan mereka, “Ya Allah hancurkan kumpulan mereka, “Ya Allah pecahkan pakatan mereka, “Ya Allah leburkan penderian mereka, “Ya Allah musnahkan langkah mereka, Cengkamkan anjing-anjing-Mu kepada mereka, “Ya Allah Yang Maha Memaksa, “Ya Allah Yang Maha Perkasa, “Ya Allah Yang Maha Membalas, “Ya Allah,“Ya Allah, “Ya Allah, Yang turunkan kitab, Yang gerakkan awan, Yang tewaskan tentera Ahzab, Kalahkan mereka, Kalahkan mereka, Kalahkan mereka Dan menangkanlah ke atas kami." Doa Qunut Nazilah adalah doa yang sama diseru oleh para pembela Palestine, Syria, Iraq, Rohingya, Central Africa, East Turkistan (Uyghur), Chechnya, Ahwaz (Sunni Iran), dll apabila Ummat Islam dizalimi PERANG yang membunuh, memperkosa dan mencabul segala hak asasi manusia. DALIL PENSYARIATAN QUNUT NAZILAH Daripada Anas bin Malik RA: Ø£َÙ†َّ رِعْلاً ÙˆَØ°َÙƒْÙˆَانَ ÙˆَعُصَÙŠَّØ©َ ÙˆَبَÙ†ِÙŠ Ù„َØ­ْÙŠ

Cerita Kampung Istana

“Ady tak setuju lah dengan cara sesetengah orang tua-tua sini cakap pasal masjid lama tu”. Terpegun sekejap aku dengar Ady cakap macam tu. Bukan apa…  aku memang tak sangka anak muda berusia 20an yang sekali imbas dengan rambut paras bahu, berseluar jeans lusuh, dengan kemeja-T bercapuk cat sebab baru balik kerja tiba-tiba bagi komen pasal masjid di kampungnya. Aku takjub sebab Ady masih nak ambil tahu pasal cerita masjid lama di kampungnya yang kini sudah tidak lagi digunakan kerana sudah ada masjid baru sebelah sekolah agama. Tambah terkesima aku dengan apa yang Ady tahu berkenaan sejarah masjid lama kampungnya yang dibina pada zaman selepas British keluar dari Tanah Melayu. “Ada orang kampong sini cakap memang eloklah dipindahkan masjid ke tapak baru sebab asal tapak tanah masjid lama tu pun bukan baik sangat. Sebelum dibina masjid, tapak tanah tu ada kedai kopi tentera British. Faham-faham sajalah kalau zaman dulu kedai kopi dan rumah tumpangan orang putih mestilah banyak b

Kopi Tongkat Ali; Nak Tambah Kuat Lagi?

Abang mau itoo tulur sitengah masak ka? Sudah minum tongkat ali, makan tulur la bang… kasi power kuat punya… Tanggapan. Aku ingatkan mamak yang ambik order tadi memang rekomen telur separuh masak untuk digandingkan dengan kopi tongkat ali 5 dalam 1 sebab boleh tambah tenaga orang jantan. Tapi bila aku fikirkan balik, alahhh… dia meniaga, memanglah suka pelanggan yang macam-macam ordernya. Kopi Tongkat Ali; apa sebenarnya yang dijual? Serbuk kopi segera… dengan KHASIAT memperkuatkan tenaga. Boleh kaya orang yang jual kopi segera ini di Malaysia. Sampai mampu bagi hadiah pertandingan satu juta.