Skip to main content

Memerdekakan Kemerdekaan!


"Being an independent, I serve no master but rakyat" - Wejok Tomik, calon bebas N16 Bengoh, Piliharaya Sarawak 2011.
Dalam bahasa Melayunya lebih kurang, “Sebagai seorang yang bebas, saya tidak berkhidmat untuk tuan selain rakyat”. Begitu manis ungkaian kata bermadah bahasa Bro Wejok. Minda bebas merdeka tetap akan jumpa jalan keluar dari apa jua kongkongan dan kekangan yang menimpa. Di saat telingkah politik arus perdana terus jelek dilumuri skandal syahwat manusia berperi kebinatangan, terdengar suara anak muda bumi kenyalang dari kejauhan menyahut seruan berjuang, dengan semangat, minda dan jiwa anak merdeka.

Ucapan SYABAS buat Bro Wejok yang suatu ketika di zaman remajanya adalah juga insan terpantas di trek lumba lari. Seandainya sungguh bagai dikata, tersemat kemas keikhlasannya di dalam jiwa, InsyaALLAH pasti tersurat ganjarannya. TAHNIAH atas keberanian menyanggupi tuntutan keprihatinan anak tempatan. Bagi kami yang mengharap kebaikan dari apa jua natijah perjuangan, kami iringi perjuangan tuan dengan doa dan harapan menggunung kepada Tuhan Pemilik sekalian insan.

Tahun ini Malaysia akan menyambut hari kemerdekaan yang ke-54 sebagaimana biasanya pada setiap 31 Ogos. Semasa artikel ini ditulis, cogankata Hari Kemerdekaan ke-54 masih belum kedengaran, tapi jangkaan mudahnya pasti ada terselit ungkapan 1 Malaysia di mana-mana. Tak perlu tanya kenapa… Sudah lebih setengah abad Negara ini ditadbir oleh anak watan dengan acuan demokrasi terpimpin di mana parti (bukan majoriti rakyat) yang memilih PM. Alhamdulillah kita masih patut bersyukur atas limpahan keamanan Negara ini dalam perjalanannya menghabiskan baki usia di dunia yang sementara.

Sudah sampai mana kita mengusahakan kemerdekaan Negara? Sebagai rakyat yang sepatutnya berjiwa merdeka, apakah tuntas untuk kita mendabik dada mendakwa kejayaan milik bersama? Atau bagaimana lagi yang harus kita jumpa sebelum diiktriraf kejayaan negara yang ditempa? Semakin bertamadunkah pemikiran kita secara seiring antara minda dan jiwa individu, keluarga dan masyarakat merdeka? Sudah tiadakah kedangkalan bertindak atas tujuan yang kita dakwa sejujurnya ikhlas tanpa diselaputi keserongan niat peribadi?

Syukur juga kita panjatkan kepada yang Maha Kuasa kerana Islam diterima jadi agama rasmi Negara. Terima kasih juga tidak dilupakan kepada para pentadbir kuasa yang pernah memimpin kita dengan ikhlasnya. Justeru sudah tidak adakah lagi sebab untuk kita bangkit berjuang di sini? Barangkali ya jawapannya jika ditanya kepada mereka yang masih kabur pandangannya dengan dunia yang penuh tipu daya. Tidak kurang juga pasti ada yang punya jawapan berbeda bila terlintas dihati yang mampu berbicara dengan pertanyaan mengapa sampai begitu sekali jadinya dunia hari ini?

Ummat Islam tak kira jin mahupun manusia dijadikan dengan tujuan menjadi hamba kepada Tuhan Yang Maha Esa. Antara indahnya Islam itu pula adalah kerana ia agama yang diteraskan kepada merdeka jiwa dan minda. Dalam sebuah hadith Rasul junjungan yang mulia pernah direkodkan bahawa antara fungsi kerasulannya adalah untuk membebaskan manusia dari perhambaan sesama manusia agar bertukar menjadi perhambaan kepada Tuhan manusia dan juga memerdekakan kita dari kesempitan dunia kepada keluasan akhirat.

Sesungguhnya benarlah penjajahan yang menghasilkan perhambaan pada hakikatnya hanya muncul apabila manusia memperhambakan dirinya kepada makhluk selain Pencipta Terutama. Ini sejajar dengan konteks fungsi utusan ALLAH yang membawa kebenaran untuk membebaskan perhambaan sesama manusia. Sebuah lagi hadith menyebut bahawa setiap kelahiran itu sifat asalnya bersih, suci atau ‘fitrah’ yang juga bermaksud Islam sehingga kedua ibu bapa anak yang dilahirkan itu mencorakkannya menjadi yahudi, nasrani atau majusi.

Justeru kesinambungan istilah merdeka dalam agama itu bukan sekadar bebas tanpa sebarang sekatan tetapi mencakupi kebebasan tanpa membelakangkan apresiasi kebenaran yang hakiki dari Tuhan Yang Azali. Secara sedar mahupun tidak, ramai di kalangan kita yang beragama ‘fitrah’ nan suci semakin tercemar dengan perhambaan cara dan budaya agama lain dek kerana alpa dan leka meniti dan menghayati segala fana arus dunia. Kesan pencemaran inilah yang merantai jiwa dan minda orang kita sehingga hilang kelebihan dilahirkan merdeka dalam ertikata hamba kepada Tuhannya.

Kebebasan atas kuasa Yang Maha Esa tidak memaksa mana-mana manusia mentaatinya secara otomatik tetapi kita dibenarkan jua memilih antara bersyukur atas keislaman dan keimanan atau kufur dalam amalan dan perbuatan. Bagi yang memilih untuk kekal merdeka bersama saudara Muslim, perbezaan kemuliaan di sisi Tuhan hanyalah di neraca ketaqwaan. Oleh kerana sifat taqwa itu lebih jelas di sisi ALLAH sehingga terkadang tidak nampak di mata kasar, maka setiap Muslim yang bertaqwa dengan iman yang benar pasti akan dapat menghargai kebebasan dan kemerdekaan yang dianugerahkan Tuhan.

Cuba bandingkan antara kemerdekaan bersandarkan faktor kenegaraan dengan merdeka jiwa serta minda atas dasar agama. Seperkara yang jelas adalah nilai yang berbeza antara keduanya di mana merdekanya negara terbatas dengan sempadan-sempadan yang membezakan hak kemanusiaan. Agama pula merentasi faktor bangsa dan warganegara. Atas nama kesetiaan kepada raja dan negara, kita dituntut bertaat setia pada tanahair tidak kira samada tampuk pemerintahnya benar-benar menyebelahi semua secara pukul rata sedangkan dalam agama Islam khususnya, Keadilan, Kebijksanaan dan Kerahmatan Tuhan sentiasa kekal saksama.

Pun begitu, oleh kerana syurga ALLAH bukan percuma, tidak hairan mengapa manusia berbeza pilihan agamanya. Di kalangan ummat Islam sendiri, perpecahan terus-terusan berakar umbi di sebalik pelbagai panji ciptaan manusia. Ada yang merasakan mereka benar sepenuhnya sehingga panji selain mereka dianggap salah belaka. Ada pula yang tahu betapa salahnya tatacara sesetengah pendukung panji mereka, tetapi demi habuan dunia, semuanya boleh sahaja. Maka berbondong-bondonglah pemuka-pemuka pejuang yang mendakwa tegar mempertahankan nusa bangsa dan agama tetapi sebenarnya mementingkan serakah harta, takhta dan kuasa peribadi semata-mata.

Kelompok hamba takkan wujud tanpa tuannya. Lazim terjadi bila mana segelintir manusia diberikan kuasa, kewujudan hamba yang mempertuankannya menjadi suatu keperluan dan kemestian kepadanya. Ramai manusia hari ini mencapai kuasa dengan aneka cara. Bagi yang berhemah dan ikhlas berjuang demi Tuhannya, sudah tentulah terdapat batasan larangan dan tegahan Tuhan akan sikap serta amalan yang perlu dihindarkan, tetapi bagi yang sudah mabuk dan gilakan kuasa; nak cakap apa pun tak guna sebab bagi mereka matlamat menghalalkan segala cara.

Para pejuang agama yang mulia perlu sedar dengan seceliknya betapa keutamaan hak yang diperjuangkan perlu mengikut urutan kebenaran. Bermula dengan ALLAH dan RasulNya di tangga utama, kita seterusnya dituntut memelihara hak sesama manusia. Penjagaan hak-hak inilah yang sepatutnya menjadi bingkai aturan kuasa antara manusia. Namun realitinya dunia di sekeling kita berbeza nilai penghargaan sehingga kuasa yang menjanjikan bolotan dunia menjadi punca kita saling bertikaman. Kesian juga melihat manusia yang lahirnya merdeka akhirnya terhamba dengan kuasa, harta dan takhta meskipun ALLAH Yang Maha Bijaksana memungkinkan segalanya.

Pendekatan Bro Wejok Tomik sebagai warganegara terpelajar mindanya memilih jalan alternatif tanpa partisan adalah bukti bahawa kita semua juga mampu memilih samada mahu bersekongkol dengan tampuk kuasa dan partisan sedia ada atau sebaliknya. Meskipun sekali imbasnya hampir pasti akan timbul persoalan, tohmahan, kritikan, kutukan, hinaan mahupun fitnah yang menantinya di hari muka lantaran pilihannya untuk berdepan dengan pemuka kuasa secara bersemuka, pilihan cogankata yang dibuatnya untuk tidak bertuan selain rakyat patut dipuji.

Barangkali di masa mendatang jika semakin ramai yang berani tampil secara individu tanpa perlu berpartisan kepada mana-mana panji, corak pemerintahan demokrasi terpimpin yang kita warisi dari penjajah Inggeris selama lebih setengah abad di tanahair ini boleh diputarkan polarisasinya. Pembentukan parti dengan panji baru hanya akan menambah kecamuk dan kekeliruan rakyat dan ummah marhaen, namun kemunculan kelompok individu yang positif sikap dan mindanya untuk mengabdikan hidup dan mati demiTuhan sejati alam ini barangkali adalah solusi dan jawapan kepada persoalan kesan negatif monopoli kuasa.

Kebarangkalian teori berjuang bersama sebilangan kecil individu yang bersendirian ini boleh disangkal oleh penyokong tegar partisan semudah berhujahkan contoh Billy Lim, penulis buku "Berani Gagal", yang saban pilihanraya bertanding sebagai calon bebas di Bukit Bintang. Akan tetapi hakikat bahawa selama ini hidup manusia berubah disebabkan oleh sekumpulan kecil manusia yang berani membawa perubahan takkan dapat disangkal.

Dalam apa jua perubahan signifikan sepanjang tamadun dunia, peranan individu seperti para Rasul utusan Tuhan, golongan cendekiawan, pakar-pakar ketenteraan, para pejuang kebenaran dan lain-lain telah, sedang dan akan terus terlakar dalam lipatan sejarah. Sebagaimana diungkap oleh ahli antropologi tersohor, Margaret Mead, “Never doubt that a small group of thoughtful, committed citizens can change the world. Indeed, it is the only thing that ever has” yang bermaksud, “Jangan sangsi kemampuan sekumpulan kecil rakyat yang berakal dan komited mampu mengubah dunia. Walhal itulah yang berlaku selama ini”.

By: Towil

Comments

Popular posts from this blog

Siapa AHZAB?

Qunut Nazilah. "Ya Allah kami letakkan kamu di batang leher musuh-musuh kami, Dan kami berlindung Dengan-Mu dari kejahatan mereka, “Ya Allah hancurkan kumpulan mereka, “Ya Allah pecahkan pakatan mereka, “Ya Allah leburkan penderian mereka, “Ya Allah musnahkan langkah mereka, Cengkamkan anjing-anjing-Mu kepada mereka, “Ya Allah Yang Maha Memaksa, “Ya Allah Yang Maha Perkasa, “Ya Allah Yang Maha Membalas, “Ya Allah,“Ya Allah, “Ya Allah, Yang turunkan kitab, Yang gerakkan awan, Yang tewaskan tentera Ahzab, Kalahkan mereka, Kalahkan mereka, Kalahkan mereka Dan menangkanlah ke atas kami." Doa Qunut Nazilah adalah doa yang sama diseru oleh para pembela Palestine, Syria, Iraq, Rohingya, Central Africa, East Turkistan (Uyghur), Chechnya, Ahwaz (Sunni Iran), dll apabila Ummat Islam dizalimi PERANG yang membunuh, memperkosa dan mencabul segala hak asasi manusia. DALIL PENSYARIATAN QUNUT NAZILAH Daripada Anas bin Malik RA: Ø£َÙ†َّ رِعْلاً ÙˆَØ°َÙƒْÙˆَانَ ÙˆَعُصَÙŠَّØ©َ ÙˆَبَÙ†ِÙŠ Ù„َØ­ْÙŠ

Cerita Kampung Istana

“Ady tak setuju lah dengan cara sesetengah orang tua-tua sini cakap pasal masjid lama tu”. Terpegun sekejap aku dengar Ady cakap macam tu. Bukan apa…  aku memang tak sangka anak muda berusia 20an yang sekali imbas dengan rambut paras bahu, berseluar jeans lusuh, dengan kemeja-T bercapuk cat sebab baru balik kerja tiba-tiba bagi komen pasal masjid di kampungnya. Aku takjub sebab Ady masih nak ambil tahu pasal cerita masjid lama di kampungnya yang kini sudah tidak lagi digunakan kerana sudah ada masjid baru sebelah sekolah agama. Tambah terkesima aku dengan apa yang Ady tahu berkenaan sejarah masjid lama kampungnya yang dibina pada zaman selepas British keluar dari Tanah Melayu. “Ada orang kampong sini cakap memang eloklah dipindahkan masjid ke tapak baru sebab asal tapak tanah masjid lama tu pun bukan baik sangat. Sebelum dibina masjid, tapak tanah tu ada kedai kopi tentera British. Faham-faham sajalah kalau zaman dulu kedai kopi dan rumah tumpangan orang putih mestilah banyak b

Kopi Tongkat Ali; Nak Tambah Kuat Lagi?

Abang mau itoo tulur sitengah masak ka? Sudah minum tongkat ali, makan tulur la bang… kasi power kuat punya… Tanggapan. Aku ingatkan mamak yang ambik order tadi memang rekomen telur separuh masak untuk digandingkan dengan kopi tongkat ali 5 dalam 1 sebab boleh tambah tenaga orang jantan. Tapi bila aku fikirkan balik, alahhh… dia meniaga, memanglah suka pelanggan yang macam-macam ordernya. Kopi Tongkat Ali; apa sebenarnya yang dijual? Serbuk kopi segera… dengan KHASIAT memperkuatkan tenaga. Boleh kaya orang yang jual kopi segera ini di Malaysia. Sampai mampu bagi hadiah pertandingan satu juta.