Skip to main content

Paus atau Puyu?

Ikan di laut, asam di darat. Dalam periuk bikin muafakat. Kalau kena rencahnya, pasti sedap sajian yang disedia. Tak kiralah masak untuk keluarga atau untuk dijaja. Bila tekak tertawan selera, hati berbunga jiwa gembira. Begitulah resam manusia. Bila dapat apa yang disuka, takkan masih nak merungut bermasam muka. Bagi mereka yang meniaga barang yang orang suka, hampir pasti pelanggan yang puas hati akan datang berkunjung lagi suatu masa nanti. Malah mungkin bawak kawan atau famili sekali.

Pasaran; tak kira apa yang dijual, kalau kualitinya sesuai, harga pula sepadan dengan muai, bukan setakat pelanggan suka, makin dicadang dan dicanangnya di sini sana. Sampaikan bila terjumpa peniaga lain yang jual benda sama tapi harga atau kualiti tak serupa, dengan pantas dibandingkannya. Nilai kualiti sesuatu barangan sering sahaja jadi ukuran untuk dipadankan dengan harga yang setimpal. Kalau barang yang dijual sifatnya pejal mungkin lebih mudah dibuat perumpamaan berbanding barang jualan bersifat idea seni dan kreativiti.

Akhir-akhir ini selera peminat muzik tempatan tampak terus cenderung kepada irama retro. Fenomena inilah juga yang menjulang saluran radio retro menjuarai kedudukan teratas di Malaysia. Di sebalik arus kesukaan ramai yang terarah kepada irama 80an dan 90an, ramai juga rupanya penyanyi dan pembikin album nyanyian abad ke-21 yang mengeluh lantaran kurang mendapat sambutan jualan. Hampir serupa nasib artis rakaman berlainan genre tak kira rock, hip-hop, pop, rap mahupun artis nasyid. Rata-rata ramai yang tak berani tanggung risiko buat album tak laku.

Barangkali trend popular masakini termasuk segmen retro khususnya yang berkaitan dunia seni makin kuat dipengaruhi media alternatif. Jualan nada dering yang oportunis, kewujudan ruang siber yang memudahkan perkongsian, kerancakan pautan laman-laman web sosial serta bertambahnya bahan seni yang boleh diadaptasi oleh pengguna dengan peningkatan skill kepenggunaan adalah faktor-faktor penggalak trend semasa. Lihat saja di youtube sana. Carilah lagu-lagu lama. Hampir semuanya ada. Kalau suka kongsikanlah di dinding facebook pula.

Kalau sebelum ini, para lanun cetak rompak dikecam, dikeji dan cuba dibanteras dari mengambil kesempatan ke atas para pengkarya, hari ini usaha sedemikian semakin rumit kerana internet telah mempermudah cara untuk berkongsi tanpa perlu membeli. Meskipun kualiti menjadi pancangan nilai, budaya berkongsi secara siber saban hari semakin mantap dalam menyaingi kualiti penerbit asal. Bagi yang celik IT, mungkin tinggi rasa berterima kasih kepada teknologi. Bagi yang biasa membeli salinan cetak rompak, terima kasih khusus buat ketua lanun.

Secara amnya industri kreatif khususnya yang meliputi bidang penerbitan bahan siaran elektronik termasuk lagu, filem, siri tv dan sebagainya memang tidak suka kepada lanun cetak rompak. Bila internet mengambil alih sebahagian fungsi ini, para penerbit yang tahu pekara ini sendiri hanya mampu pasrah berdiam diri. Bagi kebanyakan orang Islam di Malaysia khususnya, cetak rompak masih belum dapat diterima sebagai pencuri kerana fatwa berkenaannya masih belum jelas. Maka berleluasalah juga aktiviti ini melibatkan pasaran digital AlQur’an, Kompilasi Hadith, Video Ceramah dan Nasyid.

Khabar angin dari industri bahan kreatif digital ini ada yang bertiup mengatakan lanun sebenar cetak rompak didalangi orang dalam industri sendiri. Sejauh mana kebenarannya… Wallahu a’lam. Jerung-jerung ini sentiasa sedia membaham mangsa dalam senyap. Mungkin kerana ikan lain tak berbunyi kecuali ikan dari spesis paus termasuk lelumba. Hakikatnya jerung yang didakwa ganas dan lahap masih tewas di muncung lelumba yang pintar, jinak dan peramah.

Bagi Sang Paus pula, oleh kerana tubuhnya paling besar mengatasi hidupan lain di lautan, maka hiduplah ia dengan bersenang-lenang umpama raja di samudera. Tapi rupanya realiti dunia tidak mengiktiraf ikan paus beraja di atas tahkta teratas pemangsa samudera kerana manusia sebenarnya yang jadi ancaman utama dalam kepupusan mereka di laut sana. Dari suatu sudut, perumpamaan menjadi ikan besar di lautan yang luas sering dirujuk kepada resam kehidupan berlumba-lumba mencari rezeki di dunia dengan saling bersaing antara sesama.

Begitulah keadaan hidup manusia umpama ikan kecil dan ikan besar di lautan dalam rantai makanan. Bak kata pepatah, “Si tidur makanan si jaga”. Sesiapa yang terus leka dan alpa hanya akan menjadi bahan sasaran santapan orang lain yang terus gigih mencari peluang dan kesempatan. Sistem kapitalis yang berakar umbi dalam ekonomi dunia terus-terusan mengongkong kesamaan taraf golongan pemodal dan pengusaha. Bagi golongan bekerja pula, kastanya harus terus jadi majoriti demi menampung pihak atasan.

Alaf baru sudah lebih sepuluh tahun berlalu. Di kurun terdahulu masyarakat kita pernah begitu teruja dengan aliran muzik nasyid sehingga beberapa kumpulan penyanyi lagu-lagu agama ini mampu menarik nafas lega dengan rezeki yang melimpah ruah. Hari ini keadaannya tampak sungguh berbeza. Samada aliran ini semakin matang atau semakin pudar popularitinya, keadaan semasa kelihatan tidak mampu menjanjikan kemasyhuran suatu ketika dahulu. Nafas baru kelompok ini seakan tenggelam punca manakala orang lama semakin bermuram durja.

Sungguhpun begitu, peluang artis berunsur dakwah sebenarnya masih cerah. Ini terbukti bila penyanyi berdarah Palestin yang berhijrah ke Negara Eropah tiba-tiba muncul sebagai suatu fenomena kesukaan ramai menerusi lagu popularnya berbahasa Inggeris yang berjudul, “InsyaALLAH”. Ramai anak-anak kecil kita yang mampu mengingati keseluruhan liriknya sambil melagukan rentak yang indah meresap ke jiwa. Khabarnya penyanyi ini sudahpun membeli rumah di Malaysia dek kerana sukakan orang dan suasana di sini.

Justeru mengapa artis nasyid kita seakan terus berada di takuk lama? Kalau kerana cetak rompak dan plagiat internet, artis luar yang menyanyikan lagu keislaman juga berdepan risiko yang sama. Kenapa pula artis-artis yang membawakan muzik arus perdana berpengisian agama dari Indonesia boleh juga menawan hati peminat di Malaysia? Apa lagi rencah yang tidak cukup dalam sajian pendakwah muzikal kita? Kenapa nasyid kita akhir-akhir ini lesu tak bermaya?

Pernah suatu ketika Ratu England mohon ingin berjumpa sekumpulan anak muda yang begitu hebat pencapaiannya dalam berdakwah menerusi muzik mereka. Di waktu itu, aliran nasyid kontemporari mula mendapat tempat di persada muzik tanahair. Agak sayang bila difikirkan aliran berunsur kerja agama yang mencanak naik menjadi industri ini kemudiannya terkesan dalam meniti arus perkembangan berbaur kegelojohan ketika baru mula belajar berjalan sendirian. Alasannya professionalisme. Hakikatnya tamakkan kuasa dan harta dunia. Dari satu kumpulan yang bercambah, akhirnya jadi beberapa kelompok yang berpecah belah. Sampaikan berebut nak guna nama popular pun jadi berita.

Sedari awalnya bila nasyid mahu diusahakan secara industri seperti dunia hiburan arus perdana sedia ada, risikonya juga sama dengan kebiasaan polar kesukaan peminat yang berkala dan takkan mampu bertahan terlalu lama. Sampai saat dan ketikanya, sesuatu aliran muzik yang menjadi trend semasa akan pudar dan layu. Pop yeh yeh, Rock, Hip Hop, Blues, Motown, Agogo dan banyak lagi aliran yang pernah menduduki carta teratas kesukaan ramai di zaman mereka kini menunggu giliran untuk dimainkan lagunya di stesen radio retro. Di Malaysia, lagu-lagu nasyid masih beruntung kerana saluran yang menyiarkan waktu solat masih mahu memutarkan nasyid setiap kali pengumuman dibuat.

Kelesuan para penasyid di Malaysia bukanlah alasan untuk semua pihak tidak meneruskan usaha menyampaikan informasi agama menerusi teknik yang diminati khususnya muzik. Biarlah berkurangan sokongan, asal jangan terus ditinggalkan. Sejujurnya usaha dakwah yang ingin didokong para penasyid perlu dihayati semula dengan sepenuh keikhlasan. Bernasyid boleh popular dan kaya tapi itu bukan tujuan asalnya. Kalau tersirat sebegitu niatnya, maka tak ada bezanya dengan mereka yang menjual agama untuk kepentingan dunia.


Kreativiti adalah anugerah ALLAH buat insan berbakat. Bukan semua orang ada suara sedap, mampu menggubah muzik atau berkebolehan melukis dengan cantik. Justeru harus bahkan wajib diingat oleh orang yang mahu mengaku beriman bahawa tujuan manusia dan jin dijadikan adalah untuk menjadi hamba Tuhan. Bakat yang dianugerah sewajarnya dijaga sebagai amanah dan diguna sebagai wadah. Bersyukurlah jika ianya dapat dipergunakan demi kemaslahatan ummah untuk tujuan mengagungkan ALLAH.
Nak jadi ikan besar sekalipun, ajalnya tetap suatu kepastian sedang rezekinya masih dalam kebijaksanaan dan kuasa Tuhan. Sedangkan jerung yang gagah dan paus yang besar juga mati di lautan bila sampai saat yang ditentukan. Memanglah rezeki di lautan yang luas itu juga banyak tapi bukan semua untuk dimiliki makhluk yang mendiaminya. Kadar rezeki sudah ditentukan. Selagi rajin dan masih kuat berusaha maka banyaklah makanan. Kata orang kalau nak cakap pasal rezeki, ulat dalam batu pun boleh dapat makan.

Begitu jugalah halnya rezeki orang yang berniaga. Rasul junjugan yang mulia pernah mengingatkan 90 peratus rezeki dari peniagaan. Ini bukti peluang yang terhampar luas bagi mereka yang nak berjual beli. Dalam keluasan rezeki ini, para peniaga Muslim khususnya perlu akur kepada tatacara agama kalau nak rezeki jadi keberkatan yang berpanjangan.

Zakat perniagaan adalah suatu bentuk pengkhususan yang disyariatkan oleh agama kerana bidang bisnes ini sememangnya umpama magnet kekayaan. Orang meniaga barangan harian berbanding yang menjual penghasilan berteras mesej ketuhanan ada perbezaan. Aspek kira-kira dan pengurusan perniagaan barangkali masih sama tetapi faktor keikhlasan dan ketulusan sangat perlu dijaga oleh para penggiat jualan bahan agama.

Secara realistik ramai dari kalangan peniaga yang mengutarakan kesukaran mengelak dari mencampur adukkan perniagaan dengan riba' dalam sistem kapitalis hari ini. Berbeza dengan permodalan bisnes dan perkongsian pelaburan perniagaan, masih banyak institusi kewangan yang mengamalkan riba' dalam pinjaman mereka. Ketidaktelusan dan kecelaruan pemahaman yang memisahkan antara hak perkongsian modal dan caj riba' masih sering menjadi persoalan golongan yang kurang faham konteks perbankan serta kewangan Islam.

Walau bagaimanapun, harus diingat bahawa kesucian agama Islam yang mulia akan tetap terpelihara tak kira macam mana licik manusia berhelah demi membolehkan yang bathil. Umpama air dan minyak takkan bercampur, kebathilan termasuk riba' takkan dapat mesra dengan perniagaan berteras agama. Bagi para pengusaha bisnes pengisian agama khususnya, pastikanlah perniagaan itu kekal atas landasan keutamaan yang hak. Penguasaan pasaran dan hasil penjualan bahan sebegini mesti jadi keutamaan kedua selepas hasrat menyampaikan isi dakwah itu sendiri. Tak perlulah dipertimbangkan faktor rasuah perniagaan yang sememangnya jelas merosakkan.

Teringat aku sewaktu membesar di kampung dengan air perigi. Meskipun nampak macam guna air paip biasa, rumah aku sebenarnya guna pam berkuasa elektrik yang menyedut air perigi ke dalam tangki simpanan sebelum diagihkan ke semua paip dalam rumah. Aku suka air perigi berbanding air paip yang dibekalkan kerajaan sebab rasanya segar tak berklorin. Baru-baru ini kawasan rumah aku yang sudah dibekalkan dengan paip kerajaan terpaksa dicatu air. Mujur perigi di rumah masih elok walaupun mesin pam sudah tidak berfungsi. Di saat jiran mengeluh terpaksa ambil air simpanan dari luar kawasan, keluarga aku masih boleh menimba dari perigi sendiri.

Masa aku kecil dulu, pernah ayah suruh abang aku cari ikan puyu untuk dimasukkan ke dalam perigi supaya ia makan organisma hidup di dalamnya. Setelah berpuluh tahun, aku tak tahu mana pergi ikan puyunya. Disebabkan baru-baru ini aku kena timba air dari perigi, mula-mula aku perasan sesekali ada cacing halus berwarna merah dalam air perigi yang aku timba. Mujur ayah aku memang minat bela ikan dalam akuarium di rumah. Melihat begitu, aku terus ambil seekor ikan puyu dari akuarium untuk dicampakkan ke perigi. Selepas dua hari, memang air ditimba bersih tanpa organisma asing macam dulu. Mewah juga ikan puyu itu tinggal sendiri dalam perigi dengan makanan yang terhasil semulajadi.

Aku bersyukur kerana orang tua aku beringat. Walaupon ramai jiran yang dah kambus perigi, famili aku tetap tak buat begitu. Sekali air paip dicatu, Alhamdulillah kami masih boleh menimba di belakang rumah. Sikap beringat yang ada pada orang tua aku juga anugerah ALLAH. Begitulah luasnya rezeki Tuhan. Segala yang jadi manfaat bukan mesti dalam bentuk wang ringgit dan kekayaan. Barangkali bagi manusia yang mindanya sudah sebati dengan materialisme, segalanya mesti duit sehingga pada mereka rezeki itu maknanya adalah wang ringgit. Kesian aku tengok ada di kalangan kawan-kawan aku yang mindanya begitu sempit meskipun belajarnya tinggi melangit.

Lumrah kehidupan adalah hasil pilihan setiap insan secara kolektif meliputi kepercayaan dan amalan. Bagi orang Islam, sepatutnya konsep rezeki dan usaha ikhtiar manusia diletakkan atas neraca keseimbangan ilmu, akal dan iman. Resam hidup ikan paus di lautan dan puyu dalam perigi juga punya aturan tersendiri yang masing-masing ada kelebihan dan kekurangan. Itu baru makhluk yang diciptakan dengan keterbatasan akal fikiran. Takkanlah kita yang dijadikan dengan kesempurnaan tak mampu guna rasional untuk berpada-pada dalam mengatur dan membina penghidupan?

By: Towil

Comments

Popular posts from this blog

Siapa AHZAB?

Qunut Nazilah. "Ya Allah kami letakkan kamu di batang leher musuh-musuh kami, Dan kami berlindung Dengan-Mu dari kejahatan mereka, “Ya Allah hancurkan kumpulan mereka, “Ya Allah pecahkan pakatan mereka, “Ya Allah leburkan penderian mereka, “Ya Allah musnahkan langkah mereka, Cengkamkan anjing-anjing-Mu kepada mereka, “Ya Allah Yang Maha Memaksa, “Ya Allah Yang Maha Perkasa, “Ya Allah Yang Maha Membalas, “Ya Allah,“Ya Allah, “Ya Allah, Yang turunkan kitab, Yang gerakkan awan, Yang tewaskan tentera Ahzab, Kalahkan mereka, Kalahkan mereka, Kalahkan mereka Dan menangkanlah ke atas kami." Doa Qunut Nazilah adalah doa yang sama diseru oleh para pembela Palestine, Syria, Iraq, Rohingya, Central Africa, East Turkistan (Uyghur), Chechnya, Ahwaz (Sunni Iran), dll apabila Ummat Islam dizalimi PERANG yang membunuh, memperkosa dan mencabul segala hak asasi manusia. DALIL PENSYARIATAN QUNUT NAZILAH Daripada Anas bin Malik RA: Ø£َÙ†َّ رِعْلاً ÙˆَØ°َÙƒْÙˆَانَ ÙˆَعُصَÙŠَّØ©َ ÙˆَبَÙ†ِÙŠ Ù„َØ­ْÙŠ

Cerita Kampung Istana

“Ady tak setuju lah dengan cara sesetengah orang tua-tua sini cakap pasal masjid lama tu”. Terpegun sekejap aku dengar Ady cakap macam tu. Bukan apa…  aku memang tak sangka anak muda berusia 20an yang sekali imbas dengan rambut paras bahu, berseluar jeans lusuh, dengan kemeja-T bercapuk cat sebab baru balik kerja tiba-tiba bagi komen pasal masjid di kampungnya. Aku takjub sebab Ady masih nak ambil tahu pasal cerita masjid lama di kampungnya yang kini sudah tidak lagi digunakan kerana sudah ada masjid baru sebelah sekolah agama. Tambah terkesima aku dengan apa yang Ady tahu berkenaan sejarah masjid lama kampungnya yang dibina pada zaman selepas British keluar dari Tanah Melayu. “Ada orang kampong sini cakap memang eloklah dipindahkan masjid ke tapak baru sebab asal tapak tanah masjid lama tu pun bukan baik sangat. Sebelum dibina masjid, tapak tanah tu ada kedai kopi tentera British. Faham-faham sajalah kalau zaman dulu kedai kopi dan rumah tumpangan orang putih mestilah banyak b

Kopi Tongkat Ali; Nak Tambah Kuat Lagi?

Abang mau itoo tulur sitengah masak ka? Sudah minum tongkat ali, makan tulur la bang… kasi power kuat punya… Tanggapan. Aku ingatkan mamak yang ambik order tadi memang rekomen telur separuh masak untuk digandingkan dengan kopi tongkat ali 5 dalam 1 sebab boleh tambah tenaga orang jantan. Tapi bila aku fikirkan balik, alahhh… dia meniaga, memanglah suka pelanggan yang macam-macam ordernya. Kopi Tongkat Ali; apa sebenarnya yang dijual? Serbuk kopi segera… dengan KHASIAT memperkuatkan tenaga. Boleh kaya orang yang jual kopi segera ini di Malaysia. Sampai mampu bagi hadiah pertandingan satu juta.