Skip to main content

KHILAFAH: Cita-cita, Impian, Utopia atau Omongan?



Ramai ummat Islam faham dan sedar maksud Khilafah Islamiyah menurut sejarah & Sirah Nabawiyah. Nukilan-nukilan kisah kehebatan sebuah empayar yang dibina berteraskan dua kalimah shahadah; “La ilaha illallah, Muhammadur Rasulullah” sememangnya mengagumkan. Tiada Tuhan Selain ALLAH, Muhammad Pesuruh ALLAH. Sungguh benar dua kalimah ini pernah dihayati sepenuhnya sepanjang pemerintahan Khalifah-khalifah Yang Bijaksana (Khulafa’ ArRashidin). TERBUKTI. Sistem Khilafah Islamiyah ini adalah sangat berkesan.

Sebermula dari proses pemilihan, Khalifah (Pemerintah) dipilih oleh sebuah majlis pemuafakatan (syura) yang dianggotai negarawan terpilih dan dicalonkan atas dasar keluasan ilmu pengetahuan dan ketaatan serta keimanan yang kuat kepada Tuhan. Apabila sampai ajal seseorang Khalifah, majlis pemuafakatan ini dibentuk semula dan digunapakai untuk memilih Khalifah yang baru. Tiada pewarisan kuasa. Kalau yang terpilih itu punya hubungan saudara dengan Khalifah sebelumnya juga tak mengapa sebab syura yang memilihnya.

Di bahagian pentadbiran, hukum AlQuran dan Sunnah Rasul Pilihan menjadi teras pemerintahan. Sejarah merekodkan Kerajaan Khilafah Islamiyah benar-benar berjaya mencapai keseimbangan sosial dan ekonomi. Empayar Islam adalah sebuah empayar yang paling pantas, terbesar dibentuk dan paling lama bertahan mengikut sejarah peradaban dunia. Termaktub juga dalam sejarah Negara berkhalifah pernah mencatat “Miskin Sifar” sehingga wang zakat tidak dituntut oleh rakyat. Mana Negara demokrasi yang “Zero Poverty” hari ini?

Melihat dari aspirasi perspektif yang menganggap politik negara-negara maju atau 'barat' lebih 'matang', secara amnya apa yang boleh disimpulkan bakal atau ingin dicapai oleh sesebuah sistem demokrasi adalah KEBEBASAN beramalan & bergayahidup pilihan. Proses ini lazimnya tersangga pertembungan fikrah bi-polar yang kritis. Acuan Moral & Etika adalah perjuangan demokrasi, tidak terkhusus kepada ADAB & AKHLAQ. Apakah memang sengaja demokrasi manusia dicipta agar wujud kelompok yang sentiasa bertentangan fikrahnya? Jika 'YA', kenapa ya? Apakah atau SIAPAkah yang untung bila ummat terus saling berprasangka dalam fitnah yang jelas memusnah?

Hari ini, jika kita amati dan selidiki, negara manakah dalam dunia ini yang mempunyai kadar jenayah yang rendah? Sistem atau SUMBER apakah yang dipakai? Harus dikira 'Variance' pengistilahan jenayah itu sendiri contohnya; Zina, Arak & Judi. Sistem perundangan yang anggap itu semua BUKAN jenayah tak layak mendabik dada Negara mereka rendah jenayah. Apa yang makin jelas, semakin hari, semakin licik para penjenayah merangka, melaksana dan meloloskan diri dari sistem hukuman ciptaan manusia. Ada yang BELI. Ada yang TIPU. Ada juga yang guna KUASA.

Kita kena tengok ummat dalam pandangan yang  lebih meluas, paling tidak secara serantau, sejagat dan antarabangsa. Memang benar sehingga ke hari ini, Negara-negara miskin, bergolak dengan perang, mundur dan terkebelakang dari aspek pembangunan memang banyak dikalangan Negara berpenduduk Muslim. Bukan mahu semudahnya menuding jari menyalahkan manipulasi pihak tetentu yang menyapu hasil kekayaan Negara tersebut, tapi begitulah resamnya.

Di peringkat yang lain, organisasi Islam yang tertubuh merentasi sempadan kenegaraan seperti OIC, WAMY, World Muslim League dsb. sudah dah ada tapi kesan mereka terhadap fikrah ummat masih ditahap kabur tak berapa nampak. Kebanyakan perwakilan yang berdiri atas semangat kenegaraan masing-masing di dalam organisasi ini tertakluk dan terbatas kepada sempadan minda nasionalis yang membataskan tindakan malah pertuturan. Budaya menegak kebenaran berpendekatan KUASA tidak dapat diamalkan sebagaimana tuntutan.

Di kebanyakan Negara, fikrah demokrasi memonopoli pandangan umum. Promosi terkait keadilan, kesaksamaan dan kebaikan demokrasi terus menerus dicanang sebagai “PILIHAN TERBAIK” sedang hakikatnya negara-negara demokrasi ini jauh dari kesempurnaan dan keseimbangan sosio-ekonomi. Sikap dan nilai prejudis antara polar bangsa mahupun partisan kepartian terus disuburkan. Hampir kesemua Negara demokrasi mengaplikasi sistem kapitalis yang terus-terusan mengagungkan kecapaian material berbanding kekuatan spiritual.

Menyorot kembali jalan yang dilalui dan dirintis oleh sistem Khilafah Islamiyah, jelas kepada kita ianya bukan sesuatu yang mudah dan datang bergolek. Pengorbanan demi pengorbanan meliputi harta kekayaan, komitmen masa dengan kesungguhan malahan risiko nyawa berterbangan telahpun dipertaruhkan sepanjang memperjuangkan kebenaran, keadilan dan kejayaan sistem ini. Segalanya bermula dengan faktor hidayah ALLAH yang menyuluh jiwa pejuang-pejuangNya dengan keIMANan dan kePERCAYAan kepada kebaikan. Ini FAKTA.

Fikrah dan pemikiran terhadap Khilafah Islamiyah seharusnya dimeriah dan diimarahkan. Tidak cukup ia hanya menjadi ajaran matapelajaran di sekolah. Aspirasi IMAN yang kuat mahukan keredhaan ALLAH pernah dan sudah terbukti cukup KUKUH untuk merangka pemikiran para Khalifah yang mewarisi pemerintahan ummat dari Rasulullah s.a.w. Resam sifat makhluk adalah tiada pencapaian jika tiada permulaan. Asas kepercayaan kepada kehidupan yang berlandas Taqdir serta Kemahuan (Iradat) Tuhan WAJIB dimanifestasikan secara matang dan berhemah.

Kematangan membantu kita mencapai sasaran secara objektif. Keterbatasan bermula di minda; mahu percaya atau tidak adalah pilihan hati setiap individu. Tiada upaya manusia lain memaksa hati sanubari seseorang membuat pilihan sehingga ke tahap itu. Keutuhan IMAN dan kepercayaan kepada sistem Khilafah perlu bermula dengan keinginan dan kepercayaan masing-masing. Di mana ada kemahuan barulah di situ terdapatnya jalan. 

Nilai persaudaraan yang pernah dicontohkan oleh masyarakat Muhajirin yang berhijrah dari Makkah Almukarramah dengan saudara Ansar penduduk Madinah Almunawwarah adalah salah satu asas tertubuhnya Negara Islam berperlembagaan bertulis yang PERTAMA di Dunia (ini juga FAKTA). Pendidikan sahsiah oleh Rasulullah s.a.w sepanjang usahanya menubuh kerajaan Islam Madinah adalah contoh terbaik bagaimana manusia berlainan bangsa ternyata BERJAYA disatukan. (Nota: Madinah @ Yathrib ketika itu juga didiami kaum Yahudi).

Memang benar realiti pada hari ini tidak menyebelahi sistem Khilafah untuk ditegar dan ditegakkan. Realiti juga seolah menyatakan PILIHAN manusia secara amnya tidak atau masih belum kembali berpihak secara jelas untuk kembali mencuba sistem ini yang telah dikabur dan dikubur oleh musuh-musuhnya. Tambah merumitkan untuk menjustifikasi kehebatan sistem ini apabila di saat akhir sebelum  tumbangnya empayar Islam, sejarahnya turut dicemari kisah-kisah korupsi, opressi dan penyelewangan individu yang memegang tampuk kekuasaan.

Sempadan kenegaraan hari ini yang didasarkan kepada nasionalisme semakin meminggirkan semangat persaudaraan dan ukhuwwah Islamiyah. Cuba soalan mudah ini… Dari jutaan ummat Islam yang menunaikan umrah dan haji saban tahun, berapa ramai yang pulang ke Negara masing-masing dengan kawan baru dari Negara lain yang terus berhubungan? Kalau dijalankan kajian sekalipun, jawapannya masih menunjukkan betapa ummat kita pada hari ini TIDAK CUKUP cakna nak kenal dan memupuk rasa bersaudara dengan saudara seagama.

Justeru, bagaimana kita memandang KHILAFAH ISLAMIYAH? Realistikkah untuk dikembali dan digemilangkan? Jawapan kolektif kepada persoalan ini bakal menunjukkan kepada kita adakah benar kita ini bersungguh mahu, skeptik tak tentu atau terpinga tak tahu? Tak kenal maka tak cinta. Kenal agama bukan sekadar tahu, ambil tahu atau faham permukaannya sahaja. Kenal itu mesti tahu isi kandungan dan hikmah di sebaliknya. Barulah dikira kita kenal agama.

Sebenarnya sistem Khilafah Islamiyah ini PASTI BOLEH ditegakkan di muka bumi ini SEKALI LAGI… sekiranya majoriti ummat bersungguh memilih dan mahukannya disertai dengan DOA, USAHA, IKHTIAR & TAWAKAL (ringkasnya D.U.I.T). Selagi ummat terus leka melayan perpecahan dan perbalahan bersandar kepada isu, krisis dan natijah selain dari kerana ALLAH dan RasulNya, selagi itulah keinginan mengangkat sistem Khilafah berdepan masalah. Kita kena bijak tahu apa yang perlu. Bukan sekadar mengikut emosi yang melulu.

Bagi yang benar-benar percaya dan beriman dengan Kalam TuhanNya dan anjuran RasulNya, anda layak bercita-cita mahukan Khilafah Islamiyah. Bagi yang berimpian merasa bagaimana keadaannya keadilan dan keberkesanan sistem ini, anda layak tambahkan usaha selain hanya memasang impian sahaja. Bagi yang sekadar faham alangkah bagusnya kalau hari ini ada sistem pemerintahan bukan demokrasi yang lebih baik, sila tambahkan maklumat dan pengetahuan anda agar tidak hanya berkhayal dalam utopia.

Bagi yang sudah mula memperkatakannya, harap-harapnya janganlah sekadar bijak beromongan kosong tanpa makna macam burung kakaktua. Islam bermula dengan wahyu pertama yang menuntut kita MEMBACA. Malas dan tak peduli itu pasti bukan jalannya. Bertindaklah sebijaknya. Beramallah sebagaimana tuntutanNya. Wallahu a'lam.
“Maka katakanlah, beramallah kamu nescaya Allah dan RasulNya serta orang-orang beriman akan melihat amalanmu itu. Dan kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakanNya kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.”
(Surah at-Taubah: 105)

By: Towil SeeSharpMinor

Comments

Popular posts from this blog

Siapa AHZAB?

Qunut Nazilah. "Ya Allah kami letakkan kamu di batang leher musuh-musuh kami, Dan kami berlindung Dengan-Mu dari kejahatan mereka, “Ya Allah hancurkan kumpulan mereka, “Ya Allah pecahkan pakatan mereka, “Ya Allah leburkan penderian mereka, “Ya Allah musnahkan langkah mereka, Cengkamkan anjing-anjing-Mu kepada mereka, “Ya Allah Yang Maha Memaksa, “Ya Allah Yang Maha Perkasa, “Ya Allah Yang Maha Membalas, “Ya Allah,“Ya Allah, “Ya Allah, Yang turunkan kitab, Yang gerakkan awan, Yang tewaskan tentera Ahzab, Kalahkan mereka, Kalahkan mereka, Kalahkan mereka Dan menangkanlah ke atas kami." Doa Qunut Nazilah adalah doa yang sama diseru oleh para pembela Palestine, Syria, Iraq, Rohingya, Central Africa, East Turkistan (Uyghur), Chechnya, Ahwaz (Sunni Iran), dll apabila Ummat Islam dizalimi PERANG yang membunuh, memperkosa dan mencabul segala hak asasi manusia. DALIL PENSYARIATAN QUNUT NAZILAH Daripada Anas bin Malik RA: Ø£َÙ†َّ رِعْلاً ÙˆَØ°َÙƒْÙˆَانَ ÙˆَعُصَÙŠَّØ©َ ÙˆَبَÙ†ِÙŠ Ù„َØ­ْÙŠ

Cerita Kampung Istana

“Ady tak setuju lah dengan cara sesetengah orang tua-tua sini cakap pasal masjid lama tu”. Terpegun sekejap aku dengar Ady cakap macam tu. Bukan apa…  aku memang tak sangka anak muda berusia 20an yang sekali imbas dengan rambut paras bahu, berseluar jeans lusuh, dengan kemeja-T bercapuk cat sebab baru balik kerja tiba-tiba bagi komen pasal masjid di kampungnya. Aku takjub sebab Ady masih nak ambil tahu pasal cerita masjid lama di kampungnya yang kini sudah tidak lagi digunakan kerana sudah ada masjid baru sebelah sekolah agama. Tambah terkesima aku dengan apa yang Ady tahu berkenaan sejarah masjid lama kampungnya yang dibina pada zaman selepas British keluar dari Tanah Melayu. “Ada orang kampong sini cakap memang eloklah dipindahkan masjid ke tapak baru sebab asal tapak tanah masjid lama tu pun bukan baik sangat. Sebelum dibina masjid, tapak tanah tu ada kedai kopi tentera British. Faham-faham sajalah kalau zaman dulu kedai kopi dan rumah tumpangan orang putih mestilah banyak b

Kopi Tongkat Ali; Nak Tambah Kuat Lagi?

Abang mau itoo tulur sitengah masak ka? Sudah minum tongkat ali, makan tulur la bang… kasi power kuat punya… Tanggapan. Aku ingatkan mamak yang ambik order tadi memang rekomen telur separuh masak untuk digandingkan dengan kopi tongkat ali 5 dalam 1 sebab boleh tambah tenaga orang jantan. Tapi bila aku fikirkan balik, alahhh… dia meniaga, memanglah suka pelanggan yang macam-macam ordernya. Kopi Tongkat Ali; apa sebenarnya yang dijual? Serbuk kopi segera… dengan KHASIAT memperkuatkan tenaga. Boleh kaya orang yang jual kopi segera ini di Malaysia. Sampai mampu bagi hadiah pertandingan satu juta.