Tiap yang mula akan berakhir, tiada ku takut akan cobaan… Layan
jugak lirik lagu Alleycats yg diputar berselang lagu raya. Makin berusia aku
rasa makin hilang sentimen dengar lagu raya. Nak kata tua sangat tu tidaklah,
tapi lagu raya memang sesuatu yang aku dah muak nak dengar sejak beberapa tahun
sebelum ni lagi. Tak kiralah masa dengar lagu tu aku ada dalam negeri atau pun
kat luar, sama jer. Dah tak ada rasa syahdu syawal dalam minda aku ni dah
bertahun lamanya.
Alhamdulillah tahun ini geng See Sharp Minor berpeluang
memulakan puasa sehari lebih awal dari Malaysia. Kami mula berpuasa pada hari
Jumaat di Taif sekembali dari penggambaran di Riyadh, Arab Saudi. Kebanyakan Negara
barat seperti U.K, USA, Canada dll juga banyak yang mula puasa pada hari
Jumaat. Malaysia mula puasa hari Sabtu. Takpe lahhh… Malaysia kan Negara Islam
yang ada ahli falaq dan ulama sendiri. Tentulah bijak pandai agama yang ada disini
tau apa nak dibagitau ke penyimpan mohor besar raja-raja kenapa Malaysia puasa
tak sama dengan sebahagian dunia.
Selesai lebih kurang 2 minggu See Sharp Minor bermukim di
Daerah An-Nuzhah, Makkah Al-Mukarramah kami pun balik Malaysia. Bila makin hampir
nak raya, kami terpikir macam mana nak kira kami punya puasa yang mula awal
sehari dari Malaysia sebab waktu tu kami dok ada di Arab Saudi. Soalannya kalau
Malaysia raya selepas genap 30 hari berpuasa, kami yang mula puasa awal sehari
akan jadi 31 hari?? Yang jadi persoalannya boleh ke puasa 31 hari?
Kalau mengikut hadith-hadith yang menceritakan perihal penentuan
awal Ramadan dan Syawal, jelas bulan Islam hanya samada 29 hari atau genap 30
hari. Tak ada nas yang sebut 31 hari. Contohnya; Dari Abu Hurairah r.a.,
katanya, Nabi Muhammad s.a.w bersabda:
"Berpuasalah kamu setelah melihat anak bulan Ramadhan dan berhari-rayalah kamu setelah melihat anak bulan Syawal, kalau ia terlindung dari penglihatan kamu maka sempurnakanlah bilangan bulan Sya'ban tiga puluh hari."
(Hadith Sahih -
Riwayat Bukhari dan Muslim)
Kalau difikirkan rasional berdasarkan hadith di atas, maka
orang Malaysia yang mula puasa di UK, Canada, Bahrain, Yemen, Jordan dll dan
balik untuk beraya di Malaysia walau macam mana sekalipun tak boleh puasa 31
hari Ramadan sebab bertentangan dengan hadith yang menegaskan bulan Islam maksimum
harinya adalah 30 sahaja. Maka bolehkah raya juga di Malaysia sehari lebih awal
bila sudah genap puasa 30 hari?
Kalau ditanya perihal bahas penguasa Agama yang perlu
ditaati keputusannya demi perpaduan ummat, barangkali jawabnya kena ikut apa
yang penguasa agama setempat dah tetapkan. Tapi isu ini jelas punya sumber
rujukannya. Kuasa para penguasa agama dunia hari ini walau macammana sekalipun
tak layak melanggar sempadan yang Rasulullah s.a.w dah tetapkan.
Seeloknya kita yang berstatus Muslim dituntut agar tetap mengutamakan
ALLAH dan RASUL sebagaimana yang saban hari kita perakukan dalam solat apabila
menyebut kalimah syahadah, LA ILAHA ILLALLAH, MUHAMMADUR RASULULLAH. Taatkan
pemerintah atau ‘Ulil Amri juga hanya datang selepas mentaati ALLAH dan
RASULNya. Justeru apabila jelas nas dan dalil yang sahih dari AlQur’an &
Sunnah, maka kita sepatutnya ikut yang Rasulullah s.a.w dah jamin selamat
takkan sesat.
Perbezaan pendapat… Biarlah nak berbeza pun. Dah namanya
manusia. Tapi kalau terpaksa memilih antara kebenaran yang dibawa oleh Rasulullah
s.a.w dengan kesetiaan kepada Raja dan Negara dalam rukun Negara, dah tentulah
Rukun Iman lebih mulia untuk dipelihara. Antara Negara yang sama-sama beragama
Islam juga berbeza keputusan dan pendapat untuk menentukan tarikh dan haribulan.
Bila berbeza keputusan mereka maka berbezalah juga kesan kemudiannya.
Dunia hari ini lebih pantas bergerak berbanding dahulunya.
Dulu naik kapalterbang Boeing, sekarang naik AirBus. Orang dulu lagi dari zaman
sebelum adanya kapal terbang naik kapal laut kalau nak ke Mekah. Hari ini,
sahur di Amsterdam berbuka di Addis Ababa pon boleh. Dengan kepesatan
globalisasi masakini, keupayaan para pengeluar fatwa juga sepatutnya lebih
perkasa. Kita cakap bergegar-gegar nak menguatkan Ummat tapi untuk perkara asasi
berkaitan ummat sendiri pun belum dapat ditegakkan secara berhemah.
Salah satu rumusan Sirah Nabawiyah dalam rentetan kehidupan
Rasulullah s.a.w adalah komitmen Baginda kepada “Penyatuan dalam perbezaan
& kepelbagaian”. Para Sahabat baginda terdiri dari individu-individu
pelbagai latarbelakang. Ada yang kaya, miskin, hamba, peniaga, gembala malahan
berbeza suku, puak mahupun bangsa. Komitmen Baginda Rasulullah s.a.w jelas
berhasil sehingga pewarisnya yang meneruskan pemerintahan Khulafa’ ArRashidin berjaya
menakluk dunia dengan AGAMA.
Apakah yang diiktiraf oleh ALLAH apabila ummat mengamalkan suruhanNya
agar mengajak dengan kebaikan dan mencegah kemungkaran? “Khayra Ummatin” =
Sebaik Ummat. Seperkara tentang UMMAT adalah ianya tidak disempadankan dengan
kewarganegaraan. UMMAT terdiri di atas kepercayaan kepada ALLAH, Tuhan sekalian
Alam. Tiada Tuhan Selain ALLAH, Muhammad itu PesuruhNya.
Apabila melibatkan soal tarikh mula puasa dan hari raya,
ulama hari ini sudah lebih dari patut bersepakat secara sejagat membimbing ummah ke arah PENYATUAN yang dicontohkan oleh Rasulullah s.a.w. Para ulama yang berfatwa dan pengajar agama yang beraura luarbiasa juga
sepatutnya diberikan pentas media yang lebih global di arus perdana, dengan
komitmen bajet dan peruntukan yang mampu menandingi program hiburan, untuk
menyemarakkan ajakan kebaikan “Amr Ma’ruf” dan cegahan kemungkaran “Nahi
Mungkar”.
BerSATU untuk Negara sahaja belum cukup untuk jadi kiblat
kehidupan seseorang yang berstatus Muslim dan Muslimah. Orang Islam kena terima
ALLAH sebagai Tuhan yang Utama dan terutama dalam hidupnya. Muhammad Rasulullah
s.a.w pula adalah lelaki pilihan ALLAH yang sempurna untuk dianuti ajarannya.
Lepas pada tu barulah boleh kira nak taatkan hukum manusia. Barulah betul kena
gaya dan caranya… tak gitu ke der?
1 Syawal adalah permulaan waktu yang diharuskan untuk memasang
niat HAJI. 1 Syawal juga adalah hari raya Eidulfitri (sehari tu je) untuk meraikan
ketaatan yang tercapai sepanjang sebulan Ramadan sebelumnya. Ramadan pada
hakikatnya jauh lebih berharga nilainya dari Syawal. Sebermula dari malam pertama
disunatkan berterawih sehinggalah anak bulan Syawal menjelma bersama
pengharaman berpuasa pada tanggal 1 Syawal, tak dinafikan bulan Ramadan memang
istimewa.
Dulu masa mula belajar puasa masa kecik-kecik, menghitung
hari nak habis puasa sebab nak raya. Masa tu tak faham lagi betapa besarnya
nilai Ramadan berbanding Syawal. Budaya budak-budak kecik orang melayu memang
melebih-lebihkan hari raya dari bulan puasa. Bagi yg dah beranak-pinak tu
memanglah rasa raya tu untuk budak-budak je. Cuma kadang-kadang tengok yang
tua-tua sakan beraya dengan baju berpuluh pasang, langsir, cat baru kaler rumah
dsb, rasa macam buang tebiat pun ada.
Korang raya bila?
Selamat Hari Raya. Eid Mubarak. Kullu ‘am wa antum bi alfi
khair ~ See Sharp Minor
By: Towil See Sharp Minor
Comments
Post a Comment