Skip to main content

Terbalik Rasa, Tersilap Guna, Tersesat Pula

Setiap sesuatu itu seeloknya yang pertengahan. Berlebih-lebihan mahupun terlalu kurang, keduanya lazim tidak mendatangkan hasil yang optimum. Pasti akan ada sahaja kesan sampingan yang tak kena dalam keduanya. Bagi yang menghidap penyakit kencing manis akibat terlebih gula juga begitu. Diabetes yang datang adalah kesan kepada berkurangnya insulin yang sepatutnya bertugas memproses gula menjadi tenaga dalam diri manusia. Memang pada awalnya manis gula tak mengapa, tapi bila dah terpaksa ambil tambahan insulin, gula itu sudah jadi bahaya.

Banyak perkara manis dalam hidup kita yang sifatnya umpama gula. Sekadar yang patut boleh saja, tapi bila berlebih-lebih, tunggulah akibatnya. Kemudahan yang mewarnai kehidupan harian kita dalam dunia hari ini juga banyak yang pada awalnya nampak semanis gula tapi boleh bertukar kepada aniaya bila disalah guna. Teknologi ICT umpamanya; kalau berkadar diguna ikut keperluan sahaja jarang sekali menjadi perosak agama, budaya dan resam hidup manusia, tetapi bila disalahguna memang banyak anasir negatif yang menjahanamkan jua akhirnya.


Agama sebagai cara hidup adalah sebaik pilihan buat kita semua. Islam khususnya jelas menggariskan segala bentuk kebaikan yang berpaksikan sumber dari Tuhan serta anjuran Rasul pilihan. Namun hari ini, sedih bila fikirkan semakin banyak puak pelampau agama yang sudah jumpa jalan mereka dalam menyebarkan dakyah serta fikrah yang membinasakan kesucian agama. Puak Syiah misalnya sudah punya banyak pautan mereka dalam mempromosikan kepercayaan mereka yang sesat lagi songsang bertentangan dengan sifat agama Islam sebenar yang mulia.

Tidak cukup dengan kesesatan Syiah yang dicanang merata oleh penggiat dan penganutnya, hari ini semakin bercambah juga pihak lain seperti golongan murtad dan sesat agama yang begitu lancang memperlekeh, memperbodoh, mencaci dan menghina Islam melalui pelbagai teknik teknologi ICT semasa. Ini semua masih dalam lingkungan yang berkait secara langsung dengan pemesongan agama Islam sahaja sebelum kita pergi lebih jauh kepada puak-puak kuffar yang sememangnya bencikan kebenaran Islam di dunia.

Ummat Islam hari ini berdepan cabaran aqidah dari pelbagai arah; samada dari dalam kelompok ummat Islam sendiri mahupun dari sekitarnya. Bagi yang sudah kemas aqidah dan kepercayaan agama masing-masing memang tak perlu nak dirisaukan sangat tetapi bagi yang masih rapuh atau tercari-cari hidayah ALLAH s.w.t. kesesatan yang ditebarkan mampu menghakis dan merobek kebarangkalian buat mereka daripada sentiasa meniti jalan kebenaran. Segala macam penipuan, kekeliruan, kekaburan dan kekelabuan kini berbaur dengan kebenaran.

Dalam dunia maklumat tanpa sempadan hari ini, semakin banyak pihak yang mampu membolak-balikkan kebenaran dengan pelbagai hujjah yang memesongkan. Teknik ‘taqiyya’ atau berbohong demi agama misalnya yang diwariskan dari seorang Yahudi Munafiq bernama Abdullah bin Saba kepada puak Syiah adalah salah satu contoh betapa logik akal mampu memperdaya dan diperguna untuk tujuan menyesatkan sekira tiada hidayah sebenar. Begitu juga halnya dengan pemesong agama yang lain seperti Sisters In Islam dan yang lebih hina lagi golongan murtad pemutarbelit kebenaran agama.

Agak malang bagi kita di dunia ini bila terpaksa bernaung di bawah realiti yang tidak dapat menghukum para penghina agama yang kita cintai. Persoalan ini barangkali dianggap sebagai sensitiviti masyarakat yang menjunjung ideologi keharmonian bangsa lebih utama dari mendaulatkan agama. Namun begitulah hakikatnya. Tepat sebagaimana yang diramalkan oleh Sayyidina Muhammad bin Abdullah s.a.w akan kewujudan ummat yang umpama buih di lautan di suatu masa di akhir zaman. Begitulah rapuhnya pertautan persaudaraan seagama hari ini yang sepatutnya lebih perkasa andai sebati meresap dijiwa.

Sebelum kita dengan mudah bertanya sambil menuding jari ke arah siapa yang harus dipersalahkan, sebaiknya kita amati dahulu apa sebenarnya yang masih kekurangan dalam penghayatan kita sebagai ummat akhir zaman. Salah satu yang ketara sebenarnya adalah faktor kurangnya ilmu pengetahuan terhadap agama yang menjadi anutan. Tidak keterlaluan untuk kita ungkapkan bahawa masih ramai yang bersikap jahiliyah di dalam hidayah, lantaran kecetekan pemahaman agama yang sepatutnya menjadi dasar kepercayaan kita. Tanpa ilmu, kepercayaan hanya ikutan. Tanpa iman ibadah cuma lakonan.

Memang tidak kita nafikan, banyak cabaran dan kekangan dunia ini yang menghalang malahan menghindar ummat Islam dari terus-terusan mendapat bimbingan. Akan tetapi itu semua pada hakikatnya adalah faktor luaran. Faktor dalaman yang didorong dan disokong oleh rasional nafsu dan logik akal semata-mata adalah perkara penting yang perlu kita jinakkan dengan keimanan. Dalam Islam, keimanan itu sentiasa digandingkan dengan aspek ilmu pengetahuan. Justeru apabila cetek ilmu agama, mudah kelihatan kelompok yang tak mahu ambil peduli gaya hidup agama mereka.

Dunia semakin sarat dengan tipu daya manusia yang cenderung mengaut kepentingan melalui apa jua cara. Belenggu materialistik yang merantai hati dan minda manusia semakin erat mencengkam apabila taraf kehidupan semakin tinggi dan menekan. Kemiskinan dan kefakiran bukan 100% tidak mampu dielakkan meskipun tidak dinafikan terdapat golongan yang ditakdirkan hidup bernasib sedemikian. Bagi yang lebih suka mengambil kesempatan atas keadaan, status papa kedana adalah peluang meminta-minta walaupun tubuh masih bertenaga untuk berusaha. Hakikatnya miskin di sebuah Negara yang dicanang sebagai makmur masih banyak disebabkan miskin sikap dan jiwa.

Pelbagai pecahan kelompok manusia yang masih mahu dilabel sebagai Muslim meskipun pada hakikatnya tidak lagi berpegang kepada kebenaran mutlak yang diceduk secara tulus dari AlQur’an dan Sunnah adalah seperkara yang sudah diramalkan di dalam Hadith Rasulullah s.a.w berkenaan pecahan dalam ummatnya. Dunia akan terus meniti usia sehingga tiba saat yang dijanjikan ALLAH s.w.t akan kemusnahannya. Kelompok pecahan seperti Syiah, Ahbash, Murtad dan sebagainya yang memesong dan memutarbelit kebenaran juga adalah benar kewujudannya sebelum tarikh tamat tempoh dunia menjelma. Kebenaran ALLAH dan RasulNya akan tetap terjadi sebagaimana yang termaktub dalam janji-janji keduanya.

Fenomena menterbalikkan aqidah Islamiyah adalah jelas agenda Iblis laknatullah yang mahu seramai mungkin anak adam kekal menjalani seksa bersamanya di neraka. Rencah dunia berteknologi tinggi pada hari ini menyaksikan betapa agenda Iblis itu sudah banyak yang dibantu oleh puak-puak manusia. Singkap sahaja pautan golongan murtad yang bangga mendabik dada di alam siber sambil celupar memaki Tuhan Yang Maha Esa dan Rasul PesuruhNya. Akhir-akhir ini, semakin rancak juga kedengaran di sini sana perihal mereka yang sanggup menggadai agama demi secebis habuan dunia.

Ada juga pihak yang mempersoalkan di manakah pihak yang sepatutnya mengambil berat dan membela kebajikan ummat dengan menggunakan kudrat yang terbina dari wang zakat? Persoalan ini ada benarnya tetapi harus diingat di satu sudut yang lainnya kita patut bertanya mengapa skeptik pihak penguasa agak tinggi dalam menghulurkan dana membantu golongan yang dikhabarkan tersepit dengan kesempitan hidup di alam realiti? Golongan penguasa dana ini bukannya golongan sebarangan yang dungu dan mudah diambil kesempatan setiap kali berdepan aduan yang membuat tuntutan.

Walau bagaimanapun, untuk berlaku adil dalam membuat sangkaan, ada baiknya kita tumpukan perhatian kepada bagaimana memperbaiki keadaan sedia ada yang hanya akan semakin kusut jika semua pihak dibiar terus saling mendakwa. Kesemua pihak yang terlibat menuntut dan mengagihkan bantuan mengikut hak dan keperluan masing-masing perlu saling berlaku jujur. Skeptik atau pandangan sebelah mata di kedua pihak wajar didepani dengan kaedah yang telus dan ikhlas. Jangan kerana mempertikaikan hak terhadap daki dunia, kita sewenangnya melacurkan agama sehingga kelihatan seolah iman punya tanda harga.

Islam itu jika dihayati sepenuhnya tanpa rasa curiga terhadap Rahmat, kasih dan cinta yang Maha Kuasa pastinya indah penuh bermakna buat sesiapa sahaja. Kemanisan percaya dengan sebenar-benar iman kepadaNya pasti akan dapat dirasakan apabila keikhlasan menjadi asas kepercayaan, amalan dan tindakan. Bukan mudah mahu mencapai Cinta Yang Maha Esa terutamanya jika tanpa usaha. Segala permasalahan dan kesusahan yang ditempuhi di dunia adalah pada hakikatnya ujian Tuhan buat hambaNya. Sesiapa sahaja yang terpalit ujian dalam hidupnya bermakna dia masih dalam ingatan TuhanNya.

Kalau sudah tiada lagi rasa percaya kepada ALLAH dan RasulNya, melontar seranah macam puak murtad pun takkan terasa silapnya, meskipun tindakan itu lebih bangsat dari sikap Iblis laknatullah. ALLAH itu Maha Bijaksana. Tak perlu terus dihukumnya serta-merta puak yang memilih untuk sesat secara nyata sewaktu hidup di dunia kerana telah disiapkan bagi mereka balasan azab di neraka. Begitu juga sebaliknya. Bagi hamba yang terus sabar dilanda ujian, tohmahan, hinaan, cercaan, kesakitan mahupun kesempitan, IMAN sepatutnya mampu menjadi alasan takkan mengalah walaupun pasrah.

Yang manis di dunia berkemungkinan sifatnya racun macam gula bila terlebih guna, sebagaimana kepahitan yang sering dikaitkan sebagai ubat mujarab walau sukar ditelan. Bila IMAN dah tak ada, ertinya hidup di dunia yang fana ini lebih hina dari haiwan, tumbuhan dan bebatuan. Kemanisan iman yang hilang akibat kedangkalan pilihan bertunjangkan emosi dan nafsu golongan yang tidak mahu bertahan dengan ujian keimanan dan tidak mampu melihat kebenaran Tuhan turut membenarkan satu lagi pandangan Muhammad s.a.w yang mengatakan, “kadang-kadang kefakiran menjerumuskan kepada kekufuran”. Fakir harta, fakir ilmu agama… fakirlah segalanya. Wallahu a’lam.

By:Towil

Comments

Anonymous said…
menarik artikel ni :) ummat tidak perlu berlebihan dan tak boleh terlalu berkurang maka besederhanalah..

Popular posts from this blog

Siapa AHZAB?

Qunut Nazilah. "Ya Allah kami letakkan kamu di batang leher musuh-musuh kami, Dan kami berlindung Dengan-Mu dari kejahatan mereka, “Ya Allah hancurkan kumpulan mereka, “Ya Allah pecahkan pakatan mereka, “Ya Allah leburkan penderian mereka, “Ya Allah musnahkan langkah mereka, Cengkamkan anjing-anjing-Mu kepada mereka, “Ya Allah Yang Maha Memaksa, “Ya Allah Yang Maha Perkasa, “Ya Allah Yang Maha Membalas, “Ya Allah,“Ya Allah, “Ya Allah, Yang turunkan kitab, Yang gerakkan awan, Yang tewaskan tentera Ahzab, Kalahkan mereka, Kalahkan mereka, Kalahkan mereka Dan menangkanlah ke atas kami." Doa Qunut Nazilah adalah doa yang sama diseru oleh para pembela Palestine, Syria, Iraq, Rohingya, Central Africa, East Turkistan (Uyghur), Chechnya, Ahwaz (Sunni Iran), dll apabila Ummat Islam dizalimi PERANG yang membunuh, memperkosa dan mencabul segala hak asasi manusia. DALIL PENSYARIATAN QUNUT NAZILAH Daripada Anas bin Malik RA: Ø£َÙ†َّ رِعْلاً ÙˆَØ°َÙƒْÙˆَانَ ÙˆَعُصَÙŠَّØ©َ ÙˆَبَÙ†ِÙŠ Ù„َØ­ْÙŠ

Cerita Kampung Istana

“Ady tak setuju lah dengan cara sesetengah orang tua-tua sini cakap pasal masjid lama tu”. Terpegun sekejap aku dengar Ady cakap macam tu. Bukan apa…  aku memang tak sangka anak muda berusia 20an yang sekali imbas dengan rambut paras bahu, berseluar jeans lusuh, dengan kemeja-T bercapuk cat sebab baru balik kerja tiba-tiba bagi komen pasal masjid di kampungnya. Aku takjub sebab Ady masih nak ambil tahu pasal cerita masjid lama di kampungnya yang kini sudah tidak lagi digunakan kerana sudah ada masjid baru sebelah sekolah agama. Tambah terkesima aku dengan apa yang Ady tahu berkenaan sejarah masjid lama kampungnya yang dibina pada zaman selepas British keluar dari Tanah Melayu. “Ada orang kampong sini cakap memang eloklah dipindahkan masjid ke tapak baru sebab asal tapak tanah masjid lama tu pun bukan baik sangat. Sebelum dibina masjid, tapak tanah tu ada kedai kopi tentera British. Faham-faham sajalah kalau zaman dulu kedai kopi dan rumah tumpangan orang putih mestilah banyak b

Kopi Tongkat Ali; Nak Tambah Kuat Lagi?

Abang mau itoo tulur sitengah masak ka? Sudah minum tongkat ali, makan tulur la bang… kasi power kuat punya… Tanggapan. Aku ingatkan mamak yang ambik order tadi memang rekomen telur separuh masak untuk digandingkan dengan kopi tongkat ali 5 dalam 1 sebab boleh tambah tenaga orang jantan. Tapi bila aku fikirkan balik, alahhh… dia meniaga, memanglah suka pelanggan yang macam-macam ordernya. Kopi Tongkat Ali; apa sebenarnya yang dijual? Serbuk kopi segera… dengan KHASIAT memperkuatkan tenaga. Boleh kaya orang yang jual kopi segera ini di Malaysia. Sampai mampu bagi hadiah pertandingan satu juta.