Haram berkumpul macam tu…!! Sedapnya keluar fatwa. Masa belia diajak berhimpun nak sampai sejuta di Putrajaya tak ada pulak yang menyuarakan HARAM walaupun ramai yang layan menyanyi bersama-sama tak kira masa, bangsa, agama mahupun jantina. Jawab mereka, “tapi puak yang berkumpul walau tak sampai sejuta tu tak ada yang melanggar tatasusila Negara Islam termoden di dunia… Jadi apa salahnya?” Yang nak berkumpul dengan baju kuning ramai-ramai tu nak buat apa? Persoalan si buta bertanya kepada si tuli yang leka.
Ehhh… Super Juniors pon ada… Patutlah meriah berkumpul sejuta di Putrajaya. Pedulik apa kita tak paham apa yang dia orang nyanyi, kan dia orang tu fofuler. Orang muda dah tentu suker… Kumpulan penyanyi Korea menyanyi sambil anak-anak muda Melayu kita terutamanya yang perempuan tergedik-gedik teruja. Lekaaaaa… teruslah lekaaaaa… tak apa… ini kan tanda kita harmoni hidup dalam 1 negara berbilang bangsa, pelbagai agama. Ehhh… tapi kenapa nak kena panggil artis Korea? Tang mana nasionalisnya mesej hiburan Super Juniors tu ya?
Kami nak menuntut ketelusan penguasa yang buat pilihanraya… Kami rasa kami nak berkumpul di jalanraya di tengah bandaraya sebelum hariraya. “Berani kerana benar”, ujar orang tua. Maknanya kalau takut mesti sebab ada buat salah. Hanya kerana bersuara, ada yang dah kena tangkap dengan pihak berkuasa. Berhimpun layan Super Junior Korea tak apa. Berkumpul demi nak bersuara di bumi merdeka tak boleh pula? Tak kisahlah di jalan raya ke, dataran ke kat mana ke… Haddoyyy… mengapa begitu celarunya puuun fikiran kiter ini nyer?
Siapa sebenarnya yang tak nampak punca? Dia? Kita? Atau mereka dan keluarga mereka? Dalam sibuk dan kalut dua arus partisan bertelingkah dan bertelagah, suasana semasa masih kekal di takuk lama. Bagi yang beragama Islam, persoalan hukum halal haram seakan jadi mainan. Ada yang tak cukup asas ilmunya merasa pengharaman ke atas perhimpunan jalanan adalah sebahagian dari hukum Tuhan. Lebih-lebih lagi bila ada Ustaz Mufti turut campur tangan. Makin kelabulah pandangan ummat akhir zaman.
Di satu pihak, perjuangan menuntut kebenaran hanyalah dianggap omongan partisan yang sengaja mahu membakar sentimen anti-kerajaan. Bagi puak ini kebenaran adalah segala yang terbit dari kerajaan itu sendiri tanpa perlu disangkal kesahihan. Namun bagi pihak yang satu lagi, apabila telunjuk menjolok mata, bingkas menyuarakan ketidakadilan adalah jalan kebenaran. Permasalahan ini semakin berselirat kerana kedua pihak percaya masing-masing benar mengatasi partisan di pihak lawan. Kelompok marhaen yang terus dungu dengan sogokan dan imbuhan dah tentulah tegak berpihak kepada Tuan.
Arus perdana terus-terusan dimomok kenyataan yang berbaur pujukan bersangga penafian yang berakar umbikan penipuan. Jangan kata tak ada yang percaya. Ramai yang berpendidikan tinggi juga suka terus diperdaya dan disumbat ayat gula-gula. Mungkin besar habuan yang dijanjikan untuk mereka atau barangkali tinggi harapannya nak capai kedudukan mulia di mata anak bangsa. Antara alasan dan tuduhannya, pihak mereka sedang dan sentiasa berusaha demi kepentingan semua. Jadi tak payahlah kita buang masa nak sokong pihak satu lagi yang hanya bertujuan merebut kuasa.
Gelombang kebangkitan rakyat yang mahu suaranya didengari terus menghantui tanah Arab. Meskipun ada yang mendakwa keruntuhan itu punya perancangan tersirat yang didalangi pihak yang lebih jahat, para pejuang kebenaran terus bertegas menuntut hak rakyat dikembalikan. Sudah ramai yang mati di jalanan lantaran tegar memperjuangkan tanggapan kebenaran. Tidak kurang juga kematian di pihak penggempur para pejuang itu yang mereka istilahkan sebagai pendukung pemberontakan. Sejarah manusia dan penjajahan terus berulang lagi.
Sedar ataupun tidak, kebanyakan Negara yang dilanda arus kebangkitan kuasa rakyat adalah Negara-negara yang mewarisi demokrasi terpimpin adunan kolonial yang mengamalkan penjajahan. Demokrasi yang dijanjikan berpaksi kepada kuasa golongan tertentu jua pada hakikat sebenarnya. Kalau di Mesir, anak presidennya tak sempat mewarisi takhta kerajaan, di sini pemimpin nombor satu Negara ini sememangnya anak bekas perdana menteri. Apa benarkah kewibawaannya seagung warisan darah keturunannya? Apa memang anak petani atau mekanik kereta tak cukup kriteria jadi pemimpin utama?
Kebarangkalian anak perdana menteri menduduki takhta kuasa juga seakan jelas nyata di sini. Anak perdana menteri kedua, ketiga dan keempat sudah pun menjadi pemimpin utama seakan berbaris menunggu masa menaiki takhta utama. Kalau dihalusi dan diamati, takkanlah kerana mereka anak bekas pemimpin perdana, segala sokongan parti mereka perlu diberikan secara percuma. Jika mahu dinafikan penguasaan kuasa mereka, ramai sahaja pengikut yang sedia mendakwa sememangnya golongan bangsawan anak perdana menteri di sini dipilih secara adil oleh akar umbi parti mereka.
Persoalannya, apakah begitu hebat mereka ini mewarisi kewibawaan permainan sepak terajang putar belit politikus bapa masing-masing atau adakah sememangnya sistem yang diguna mereka akan sentiasa menjurus ke arah ini? Justeru, adakah boleh disimpulkan bahawa amalan menyanggupi kehendak pucuk pimpinan yang diolah sedemikian rupa memaksa dalam rela para pengundi dalaman partai ini? Mestikah para pejuang bangsa marhaen dari kalangan ini terus-terusan menjadi alat kepada para pewaris takhta seakan orang buta yang dipimpin merata?
Mungkin aku yang bodoh tak faham permainan mereka, tapi sebodoh-bodoh aku yang bodoh ini pon tak adalah aku nak pilih benih yang sama dari kelompok yang mewarisi demokrasi terpimpin acuan penjajah tanahair aku sendiri. Sehingga bila sudah nampak belang mereka menjajah bangsa sendiri pun, takkan aku nak terus jadi bodoh percayakan mereka. Aku anak orang kampong yang tak tahu hujung pangkal bagaimana agaknya rasa jadi anak perdana menteri. Jadi tak adalah aku rasa nak berkuasa macam bapak aku sebab bapak aku memang tak ada kuasa macam tu.
Anak perdana menteri memang mesti ada yang kena jadi menteri ke? Demokrasi sepatutnya turut menidakkan pewaris takhta tetapi bila kebanyakan anak perdana menteri di sini begitu mudah mencapai tampuk kuasa, aku yang bodoh ini jadi sangsi, “sistem demokrasi apakah ini?” Sistem penjajahan bangsa sendiri oleh kelompok bangsawan politikkah? Kenapa pula anak bangsa aku khususnya yang bersama-sama dalam pertubuhan bangsa ini tak pandang serius aspek ini sampaikan nak bertanya pun tak berani?
Bila terbit golongan yang mahu mempertikai kebarangkalian penyalahgunaan kuasa oleh pertubuhan yang dipengaruhi pimpinan anak bekas perdana menteri ini, langsung para pengikutnya bangkit mencerca, mengherdik dan mengata. Kalau sudah kuasa di tangan mereka, tentu sahaja ia diperguna untuk mempertahankan segalanya tak kira tegak, bengkok, pepat mahupun rencong. Asalkan terus dapat dipertahankan kuasa, tidak kira apa jua cara. Yang halal boleh saja diharamkan. Yang benar boleh saja difitnah dan ditohmah dengan pelbagai kesalahan tanpa perlu disabitkan... sehingga nampak macam nafsu syaitan yang mahu dipertuhankan.
Resam manusia bila dikurniakan apa jua kelebihan, takkan mahu melepaskan. Sikap inilah juga yang sebenarnya menjadi punca pelbagai pertelingkahan sehingga menumpahkan darah sebangsa malahan seagama sepanjang sejarah dunia. Sememangnya menjadi kebiasaan manusia mengulangi kesilapan nenek moyang mereka. Watak Hang Tuah yang setia membuta tuli kepada raja adalah hero bangsa ini sedangkan Hang Jebat yang menentang ketidakadilan adalah penjenayah. Begitulah cerita nenek moyang bangsa diwarisi agar keutuhan sikap setia anak cucu terus buta tak berjiwa.
Sudah-sudahlah memperjuangkan bangsa berhatikan sikap totok macam jahiliah tak beragama. Kalau berani mengaku “Tiada Tuhan Selain ALLAH, Muhammad itu Pesuruh ALLAH”, jangan takut mendukung panji kebenaran AlQur’an dan Sunnah yang dipesan oleh Rasul junjungan. Kasih Muhammad s.a.w kepada setiap ummatnya tidak luntur walau setitik sehingga ke pembaringan menanti ajal. Hadiah Kalam ALLAH s.w.t kepada manusia jelas menawarkan kebenaran selain hadith RasulNya yang mengukuhkan pegangan agama; lengkap sempurna dengan segala panduan kehidupan.
Wallahu a’lam.
By: Towil
Comments
Post a Comment