Dunia hari ini seakan boleh jual apa saja asalkan ada pembelinya. Makin bertamadunkah atau makin gila agaknya jual beli segala benda? Asalkan ada yang sanggup membayar, golongan yang mampu menyediakannya akan berbaris dan berbondong? Pengkomersilan saban hari makin giat diusahakan, tidak kiralah dalam bentuk produk mahupun khidmat. Asalkan cukup pasaran, pasti ada yang tampil mengusahakan. Tidak cukup sekadar pasaran kecil-kecilan, rata-rata kebanyakan usahawan sentiasa memandang ke arah mengoptimakan pasaran menerusi pelbagai inisiatif pemasaran.
Asas sesetengah pengusaha, yang barangkali pada asalnya memperniagakan barangan atau perkhidmatan atas dasar tanggungjawab membantu golongan yang memerlukan, sudah banyak yang hanyut dalam persaingan bermotivasikan penghasilan bermata duitan. Pendek kata, asal boleh datangkan hasil yang lebih, mengapa tidak? Kalau sebelumnya berniaga sebab suka bila dapat tolong sediakan keperluan, fikrah maddiyah bersendikan sifat dan sikap materialistik kebendaan seakan makin diberi penghormatan.
Lazim jadi cabaran bagi ahli perniagaan, khususnya yang menawarkan perkhidmatan, berdepan dengan pelbagai kerenah pelanggan. Bila bisnes mahu dibesarkan, kekuatan para pekerja yang sepatutnya bertambah mengikut bilangan pelanggan harus seiring diperkuatkan agar tidak canggung melayan segala macam kerenah, kehendak dan tuntutan. Sebagaimana bisnes khidmat yang lainnya, perkhidmatan berkaitan ibadah ummat Islam juga tidak ketinggalan disuntik nafas pengkomersilan seperti aqiqah, kurban, badal Haji dan Umrah ke tanah suci Makkah Al Mukarramah.
Bilangan jemaah Umrah dari Malaysia dikhabarkan meningkat saban tahun. Ratusan ribu Ummat Islam dari sini terus meningkat jumlahnya yang mahu menunaikan ibadah Umrah. Itu belum dikira khidmat upah umrah & haji badal bagi yang dah meninggal atau lain-lain upahan seperti membacakan Alqur’an 30 juzuk di bulan Ramadhan dan sebagainya. Apa yang nyata, pengkomersilan ibadah Umrah dan Haji telah banyak menjana pendapatan mereka yang terlibat samada secara langsung di syarikat-syarikat pelancongan mahupun para pembekal industri ini.
Jumlah ummat Islam yang meningkat mahu menunaikan umrah saban tahun boleh dijadikan salah satu kayu pengukur terhadap peningkatan minat ummat yang secara amnya mahukan penghayatan agama. Alhamdulillah kita bersyukur dengan fenomena yang sihat ini. Saingan dalam usaha pengkomersilan ibadah khusus ini telah mengakibatkan banyak syarikat pelancongan usahawan Muslim bertambah maju dan makmur dengan limpahan rezeki dari keinginan ummat Islam menunaikan ibadah di tanah suci Makkah AlMukarramah dan Madinah AlMunawwarah.
Bagi kebanyakan para usahawan, bisnes adalah bisnes. Menjalankan bisnes berkaitan ibadah juga adalah bisnes yang tertakluk kepada asas berdagang iaitu menyahut tuntutan bekalan dan kehendak (supply & demand). Seperkara yang barangkali menjadi titik tolak komitmen yang tinggi bagi sebahagian besar usahawan pakej umrah dan haji adalah kerana khidmat yang diperniagakan turut membantu pelanggan beribadah secara teratur dan efisien demi kecintaan Tuhan. Malangnya, tidak semuanya layak dirumuskan sebegitu meskipun berniaga pakej Umrah & Haji.
Sememangnya tiada apa yang patut dipersalahkan apabila aspek pengkomersilan berjalan seiring dengan peningkatan kecekapan pengurusan dalam sistem yang dijalankan. Kesungguhan professional dalam mengusahakan apa jua bisnes adalah sesuatu yang digalak dan dianggap positif dalam amalan Muamalat ummah. Rasulullah s.a.w dan para sahabatnya yang terkemuka dalam perniagaan seperti Abdulrahman bin ‘Auf patut diiktibarkan sebagai model ikutan menjurus aspek pengurusan perniagaan dalam budaya agama yang sihat dan beramanah.
Kecekapan dalam perniagaan turut menuntut amalan komunikasi organisasi yang mantap. Komunikasi yang telus, dinamis, jujur, ramah dan berhemah khususnya dengan para pelanggan adalah ciri-ciri perkhidmatan yang berkualiti serta layak diyakini. Tanpa ciri sebegini, amatlah mudah bagi para pelanggan beralih arah mencari jalan agar sirna rasa kecewa dan memilih berharap kepada syarikat lain yang lebih berkemampuan menjalankan amanah kecuali jika hanya sebuah syarikat sahaja yang diberikan mandat tertentu untuk memonopoli pasaran.
Pada hakikatnya, apa jua pekerjaan halal yang dilakukan boleh dikira amalan ibadah. Proses menjalankan tugasan juga memainkan peranan penentu kebersihan dan kesucian rezeki yang diusahakan. Sekiranya berbaur pelbagai unsur negatif dalam amalan sesuatu pekerjaan meliputi kezaliman, ketidakadilan, penipuan, pecah amanah, rasuah dan sebagainya, keberkatan yang dicari mungkin takkan mengiringi walaupun saban awal atau hujung bulan tetap bergaji.
Sedikit berbeza dengan pekerjaan yang lazim punya keterlibatan yang tinggi dalam pengurusan berkaitan ibadah, pekerjaan biasa kelihatan lebih mudah dijaga dari melanggar tatatertib urusan dunia. Syarikat-syarikat pakej Umrah dan Haji khususnya mudah menjadi sasaran penilaian pelanggan yang mengharapkan perkhidmatan yang cekap, effisien dan berketerampilan. Seandainya hanya aspek bisnes menjadi keutamaan mereka, nescaya akan dapat kita perhatikan bagaimana sikap mengutamakan keuntungan akan menjurus kepada perkhidmatan tanpa jiwa agama yang ampuh.
Sebagai ummat Islam yang memahami tatacara serta tuturbicara khidmat pelanggan professional yang sejajar dengan kehendak agama, menggalas tanggungjawab berniaga perkhidmatan ibadah secara komersil adalah suatu amanah. Hanya keikhlasan yang rapi terpatri di sanubari akan mampu menjadikan manusia yang mendakwa mahu berkhidmat kepada Tuhannya rasa tenang bersahaja dalam menawarkan perkhidmatan ibadah komersil. Kebanyakan yang jenis begini, lazim membibitkan pengalaman yang menggembirakan dengan perasaan ukhuwwah yang bertambah.
Agak dikesalkan kepada pihak yang guna apa jua cara untuk mengaut keuntungan berlipat ganda hatta dalam perniagaan berteraskan ibadah. Di kalangan mereka ada yang macam tak peduli berjanji berbagai tawaran untutk menarik pelanggan, meskipun menyedari takkan dapat memenuhi tuntutan janji yang dutarakan, malahan dalam sesetengah bahagian, konsep rasuah masih tebal bermukim di benak fikiran serta amalan. Demi kerana kejarkan keuntungan, cakaplah apa sahaja… asalkan jadi, yang lain apa nak peduli??
Seakan menjadi ayat lumrah para pengusaha pengkomersilan ibadah, “moga kita sentiasa sabar apabila diuji oleh ALLAH ketika menjalankan ibadah”. Ayat yang lunak memujuk ini sememangnya benar dari segi maksudnya tetapi penggunaannya di kalangan sesetengah petugas syarikat komersil ibadah kadang-kadang begitu jauh tersasar. Jangan kerana diri tak tau menari, lantai pula yang disalahkan.
Ujian ALLAH termasuklah yang didatangkan oleh sesama manusia; ini juga suatu kebenaran. Namun jika keculasan dan ketidakcekapan kita sendiri di pihak pengurusan yang sepatutnya dipertanggungjawabkan tetapi dengan mudah kita menuding jari mempersalahkan ujian Tuhan, ini adalah suatu ketidakadilan buat Tuhan. Tak tahu... belajar. Dah tahu... amalkan. Ditegur untuk penambahbaikan, jangan masam mencuka atau langsung yang menegur dianggap, "alaahhh... si anu tu memang dengkikan kita. Asyik nak komplen ajer kerjanya".
Kita sebagai manusia yang diberikan akal dan kudrat untuk mengusahakan sesuatu secara sistematik, berhemah dan beramanah, tidak sepatutnya mendakwa Tuhan sedang memberikan ujian jika kelemahan kita sendiri dalam menguruskan tak capai tahap yang sepatutnya. Kalau salah kita, jangan tuduh Tuhan. Salah manusia; akuilah sahaja tanpa rasa curiga setelah kita berusaha menjalankannya dengan sehabis baik. Pencemaran sikap begini dalam industri perkhidmatan berteraskan ibadah sepatutnya tidak timbul jika masih dipagari segala ikhtiar dengan keikhlasan.
Memang membanggakan tengok syarikat-syarikat usahawan Muslim terus kukuh dalam bisnes yang diceburi, tetapi bagi para pelanggan yang terpaksa berdepan sikap perkhidmatan yang tidak mesra pelanggan atau tidak kompetitif berbanding syarikat pelancongan biasa ketika mahu beribadah menerusi perkhidmatan syarikat sebegini, rasa pasrahnya seakan lebih parah dari hati yang berdarah. Biasanya, demi nak jaga niat ibadah, pelanggan terpaksa telan rasa kecewa tanpa amarah walhal ketidakcekapan itu boleh dihindar dari berlaku sekiranya pengusaha ibadah komersil benar-benar menghayati nilai dan tanggungjawab khidmat di jalan ALLAH.
Pelbagai teknik pemasaran digunakan. Tak kurang juga yang guna sokongan duta selebriti keagamaan. Pembinaan imej syarikat yang menuntut kepercayaan pelanggan dalam teknik pemasaran semakin giat dijalankan. Kemanisan beribadah dijaja dengan gambaran ibarat menikmati buah kurma yang ranum dan manis, walhal ketidakupayaan melayani kehendak perkhidmatan ibadah untuk pelanggan oleh warga kerja syarikat boleh menjadikan pengalaman seperti termakan kurma busuk yang pahit; sepahit ketidakpuasan yang dicalit oleh kelemahan pengurusan insan dengan dakwaan… ujian Tuhan.
Tidak adil sikap manusia jika sebegitu kepada ALLAH, Tuhan Sekalian Alam, Yang Maha Suci lagi Maha Berkuasa atas setiap sesuatu. Sekiranya kesilapan dan kelemahan insan yang tak mampu buat sehabis baik dilabel sebagai ketentuan Tuhan Yang Menjadikan, lebih-lebih lagi bila anggota syarikat perkhidmatan itu sendiri sebenarnya canggung dalam menguruskan, maka terus-terusanlah tanggapan beribadah pasti akan disertai ujian yang datang dalam bentuk kelemahan ummat Islam sendiri menguruskan. Di mana letaknya nilai kesungguhan yang dituntut dalam agama?
Keyakinan para pelanggan pasti akan mendatangkan pulangan berpanjangan kepada syarikat perkhidmatan berkaitan ibadah, sebagaimana ia berjaya dicapai oleh jenama ternama yang dipercayai di dunia. Tuntutan kepada para pengusaha pengkomersilan ibadah bukan sekadar dalam pengurusan organisasi tetapi wajib merangkumi aspek ketulusan hati dalam menawarkan khidmat sebegini.
Mahu ataupun tidak, bila memilih jalan berniaga selaras dengan ibadah, tuntutan bersikap sebagaimana yang dianjurkan agama tidak boleh dinafi atau diketepikan. Jujurlah dalam membuat tawaran. Jagalah sebarang tutur yang membentuk perjanjian. Layanilah pertanyaan sebaik cara Nabi s.a.w yang berdakwah menunjukkan jalan kebenaran… kerana ALLAH juga mengambilkira perhubungan kita sesama insan.
Wallahu a’lam.
By: Towil
Comments
Once you take things too easy, it will come and go as easy as it may be... GOD willing ;-)
Post a Comment