Skip to main content

...seHALAL nafsu...

Yang ini nak tak? Yang itu? Err… Yang sana tu? Yang satu lagi tu pulak? Soalan yang takkan berkesudahan jawapan andai terus ditanyakan kepada serakah insan. Memang begitulah lumrah nafsu. Jarang cukup setakat dapat satu. Biar berpuluh, beratus, malahan beribu… masih belum cukup dilahap semahu. Berpijak di hilir menggapai ke hulu… Asyik melayankan falsafah “selagi aku mahu”, tak cukup suku, tak puas sebuku. Berputar hujung dan pangkal, berpinar iman dan aqal… hanyut tak sedar berwaras dangkal.

Orang lelaki kalau tentang nafsu, lazim bicara seloroh perihal setubuh. Mungkin ada kebenaran teori yang diujarkan Si Yahudi Sigmund Freud betapa manusia tumpuan pemikirannya berpaksikan nafsu seksual. Nafsu jantina sememangnya topik bicara yang sentiasa mampu memutar mata dan telinga para penonton khususnya lelaki. Alangkan sekadar yang normal sahaja sudah bisa jadi bahan bualan, apatah lagi yang mendebarkan di luar sana cari makan atau lebih jelek lagi yang songsang, sejenis, haruan sumbang, tak kira mahram yang melampaui kebinatangan.

Liputan nafsu sebenarnya jauh lebih meluas. Ada yang nafsunya suka makan, berpakaian, kenderaan, mahligai impian atau bermacam jenis ketagihan dan kegilaan. Tak semestinya kebendaan. Tengok perangai pemancing tegar misalnya. Tak kira apa status sosialnya, kalau memang kaki memancing, segala cabaran diharungi jua asalkan terlampias gian nak menarik ikan. Orang muzik dan seni juga begitu. Sedapat-dapatnya memang nak hasilkan keindahan dengan bakat yang dikurniakan. Nafsu dan keinginan golongan ini terarah kepada apa yang digilai dan mendatangkan kepuasan kepada diri.

Begitu luas hamparan keinginan manusia yang dicipta pelbagai rupa, sedari darah zuriat Ayahanda Adam a.s dan Bonda Siti Hawa, hingga ke hujung dunia, tuntutan keinginan kita akan terus dipelbagaikan dunia. Bukan salah melayan nafsu andai disukat pada kadar tertentu mengikut ketentuan Tuhan yang Maha Tahu. Memang dijadikan manusia itu sempurna beserta nafsu secara fitrah. Bagi yang sudah terpesong arah dan berubah serakah kepada yang dilarang ALLAH, kata kuncinya… kembalilah.

Diibaratkan nafsu itu seperti seekor kuda. Jika dibiarkan liar, maka penjaganya terpaksa menurut tingkah kuda liar peliharaannya sahaja. Namun jika dilatih dan dijinak untuk tunggangan atau apa jua manfaat kelebihan, si penjaga kuda pasti beruntung kerana dapat sampai ke destinasi idaman dalam jangka masa yang pantas. Oleh kerana nafsu itu diproses stimulusnya di otak, maka untuk menjaganya perlulah menggunakan akal. Rasional adalah jalan yang biasa diambil oleh semua. Ada yang bernas namun tak kurang juga yang terbabas-babas.

Akal sahaja belum cukup untuk memancang wawasan buat nafsu kerana keterbatasan akal itu sendiri yang Tuhan jadikan. Meskipun akal berkeupayaan menghurai untung rugi perlakuan nafsu kepada individu, hidup berkepentingan melulu belum tentu cerdik natijahnya disisi Yang Menjadikan kamu. Dia Tuhan Yang Satu, berkuasa menciptakan, mematikan, merahmati, meredhai malahan memurkai kita yang tersasar dipeluk nafsu. Kehendak Sang Pencipta perlu sentiasa diutama lantaran Dia lebih Tahu jalan hidup bagaimana yang terbaik buat kita semua.

Di peringkat rasional, akal perlu kepada jawapan bersebab mengapa aku juga yang kena buat untuk Dia? Di sinilah perlunya ilmu yang dapat menafsir siapa Dia kepada kamu dan di mana kamu disisiNya? Ilmu aqidah dan syariah yang kemas difahami bakal menjawab persoalan Apa? Kenapa? Siapa? Bila? Bagaimana? Dan sebagainya dengan saksama. Seorang tokoh agama bernama AlGhazali pernah berfalsafah, “Barangsiapa yang kenal akan nafs (diri)nya, maka dia kenal akan Tuhannya”.

Tidak semua yang ada dalam nafsu itu haram dan merosakkan. Berkadar sederhana adalah sebaik cara setelah dijaga kesejajaran amalan dalam ruang lingkup yang dibenarkan oleh agama. Nafsu yang berjaya dipintarkan secara hakiki adalah yang mampu memandang keredhaan Tuhan seakan sesuatu pencapaian tertinggi yang teramat menggiurkan. Andai dapat nafsu dihala hanya ke jalan Tuhannya, pasti bertuah hidup di dunia, akhirat juga bakal bergaya disayangi Tuhan Pemilik & Pencipta Alam semesta.

Batas yang perlu diperhati oleh nafsu setiap individu adalah kebenaran yang jitu dari Tuhan Yang Satu. Bermula dengan aqidah yang hanya mempertuhankan ALLAH dan Muhammad s.a.w itu Persuruhnya, diikuti dengan apresiasi syariah secara sah, barulah ruang membentuk hala tuju nafsu akan terarah serta tidak akan celaru dan punah. Nak yang ini pon boleh, yang itu pon boleh… yang lagi satu pon takpe. Kalau nafsu dapat dididik sehingga selaras dengan keghairahan mencontohi kehidupan Rasul Pilihan demi keredhaan Tuhan, bukannya makin mati nafsu itu, malah makin bersemangat perkasa mengerjakan suruhan Tuhannya.

Dalam berkarya juga begitu. Penghasilan seni yang lahir dari ketulusan hati lazimnya lebih mudah memikat dan diminati. Persoalannya kepada siapa patut diarahkan tenaga dan bakat kurniaan Tuhan ini? Jawapannya ada dalam AlQur’an bila dinyatakan tujuan diciptakan jin dan manusia itu tidak lain dan tidak bukan untuk menjadi hamba Tuhan. ‘Ibadah’ itu adalah perlakuan mengabdikan diri hanya kepada ALLAH s.w.t. Pergunakanlah bakat untuk menghasilkan karya tanpa berlawanan dengan syari’at ketetapan Tuhan. Justeru kalau nafsu itu mahu dan tenaga kita juga mampu untuk berkarya, turutkanlah dengan peruntukan ruang pengabdian buat Dia yang menganugerahkan kita segalanya.

Melayani nafsu perlu sentiasa di dalam kesedaran perilaku tersebut tidak melanggar keharmonian pertalian seseorang hamba dengan ALLAH Tuhannya (hablun min ALLAH). Ia juga hendaklah sentiasa dalam lingkungan menjaga perhubungan kemanusiaan sesama manusia (hablun min an-nas). Selama terjaga kedua hubungan ini mengikut anjuran ayat-ayat suci dan amalan Rasulullah Muhammad s.a.w, maka tiada halangan melayani keinginan serta tidak pula menjadi kesalahan kepada nafsu yang mahu diikutkan.

Kejahilan adalah halangan besar dalam menjinakkan nafsu. Keengganan mengatasi kejahilan pula adalah suatu pilihan yang hanya menampakkan kebodohan seseorang insan dalam menerima hakikat fitrah penciptaan. Sudah jelas lagikan bersuluh Sang Pencipta manusia telah melakarkan garis panduan untuk dijadikan panduan kehidupan kerana pastinya Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk ciptaanNya. Tak salah kalau masih nak fikir guna kewarasan untuk justifikasi peribadi. Samada nak ikut panduan Tuhan atau nak terus hanyut di lautan serakah tak berkesudahan? Cuma jangan lupa pastikan akhirnya kita membuat pilihan yang berteras kebenaran supaya kelak tidaklah kerugian.

Terburu nafsu tuduh melulu

Benci cemburu bercakar kuku

Usah dibeku gundah hatimu

Tambahkan ilmu apa yang perlu.


Perahu sudah di air, dayung sudah di tangan… tepuklah dada, rujuklah iman ;-) Wallahu a’lam.

By: Towil

Comments

Popular posts from this blog

Siapa AHZAB?

Qunut Nazilah. "Ya Allah kami letakkan kamu di batang leher musuh-musuh kami, Dan kami berlindung Dengan-Mu dari kejahatan mereka, “Ya Allah hancurkan kumpulan mereka, “Ya Allah pecahkan pakatan mereka, “Ya Allah leburkan penderian mereka, “Ya Allah musnahkan langkah mereka, Cengkamkan anjing-anjing-Mu kepada mereka, “Ya Allah Yang Maha Memaksa, “Ya Allah Yang Maha Perkasa, “Ya Allah Yang Maha Membalas, “Ya Allah,“Ya Allah, “Ya Allah, Yang turunkan kitab, Yang gerakkan awan, Yang tewaskan tentera Ahzab, Kalahkan mereka, Kalahkan mereka, Kalahkan mereka Dan menangkanlah ke atas kami." Doa Qunut Nazilah adalah doa yang sama diseru oleh para pembela Palestine, Syria, Iraq, Rohingya, Central Africa, East Turkistan (Uyghur), Chechnya, Ahwaz (Sunni Iran), dll apabila Ummat Islam dizalimi PERANG yang membunuh, memperkosa dan mencabul segala hak asasi manusia. DALIL PENSYARIATAN QUNUT NAZILAH Daripada Anas bin Malik RA: Ø£َÙ†َّ رِعْلاً ÙˆَØ°َÙƒْÙˆَانَ ÙˆَعُصَÙŠَّØ©َ ÙˆَبَÙ†ِÙŠ Ù„َØ­ْÙŠ

Cerita Kampung Istana

“Ady tak setuju lah dengan cara sesetengah orang tua-tua sini cakap pasal masjid lama tu”. Terpegun sekejap aku dengar Ady cakap macam tu. Bukan apa…  aku memang tak sangka anak muda berusia 20an yang sekali imbas dengan rambut paras bahu, berseluar jeans lusuh, dengan kemeja-T bercapuk cat sebab baru balik kerja tiba-tiba bagi komen pasal masjid di kampungnya. Aku takjub sebab Ady masih nak ambil tahu pasal cerita masjid lama di kampungnya yang kini sudah tidak lagi digunakan kerana sudah ada masjid baru sebelah sekolah agama. Tambah terkesima aku dengan apa yang Ady tahu berkenaan sejarah masjid lama kampungnya yang dibina pada zaman selepas British keluar dari Tanah Melayu. “Ada orang kampong sini cakap memang eloklah dipindahkan masjid ke tapak baru sebab asal tapak tanah masjid lama tu pun bukan baik sangat. Sebelum dibina masjid, tapak tanah tu ada kedai kopi tentera British. Faham-faham sajalah kalau zaman dulu kedai kopi dan rumah tumpangan orang putih mestilah banyak b

Kopi Tongkat Ali; Nak Tambah Kuat Lagi?

Abang mau itoo tulur sitengah masak ka? Sudah minum tongkat ali, makan tulur la bang… kasi power kuat punya… Tanggapan. Aku ingatkan mamak yang ambik order tadi memang rekomen telur separuh masak untuk digandingkan dengan kopi tongkat ali 5 dalam 1 sebab boleh tambah tenaga orang jantan. Tapi bila aku fikirkan balik, alahhh… dia meniaga, memanglah suka pelanggan yang macam-macam ordernya. Kopi Tongkat Ali; apa sebenarnya yang dijual? Serbuk kopi segera… dengan KHASIAT memperkuatkan tenaga. Boleh kaya orang yang jual kopi segera ini di Malaysia. Sampai mampu bagi hadiah pertandingan satu juta.