Bagi para jemaah haji yang baru menunaikan rukun Islam kelima tahun lalu, pastinya banyak cerita yang mahu dikongsi bersama handai taulan dan keluarga. Di sebalik kenangan kemanisan beribadah di tanah suci dan cabaran yang dilalui, pastinya memori bermalam di Mina semasa menunaikan haji takkan dapat dilupakan. Bagi rakyat Malaysia yang berada di dalam Negara barangkali masih ingat kekeliruan mesej tweeter kepala Negara yang mendakwa sudah selesai ibadahnya seawal hari raya haji. Bagi yang ada di Mina ketika itu pula, pasti dapat menyaksikan bersepahnya sampah sarap di sana.
Apabila menunaikan ibadah haji, khususnya sewaktu mabit di Mina, tak kira jemaah dari Negara mana sekalipun, semuanya dikelilingi hamburan bahan sisa pelbagai perisa di sekeliling khemah mereka. Tidak keterlaluan untuk disimpulkan bahawa para jemaah yang ada di sana masih tak dapat menikmati nilai kebersihan sebahagian dari iman meskipun ramai juga yang sedar akan perkara ini. Kesedaran para jemaah haji kepada keadaan sampah yang amat menjolok mata di sini terbantut dek kerana jumlah yang tidak rasa apa-apa melebihi jumlah yang mahukan penghayatan terhadap kebersihan.
Kesemua yang pergi menunaikan ibadah haji pasti nampak sampah sarap yang bertaburan di sekitar kawasan perkhemahan Arafah dan Mina. Kalau nak dipersalahkan memang mudah menuding jari lantaran tidak cukup banyak tong sampah yang disediakan. Namun pastinya itu sahaja tidak cukup menjadi alasan sampah yang bertaburan di pinggiran jalan. Barangkali khemah jemaah Malaysia tidak keterlaluan dicemari sampah jika nak dibandingkan dengan yang lain, namun boleh dikatakan ia masih juga tidak layak diiktiraf ‘Bersih’ sebagaimana tuntutan sebahagian iman yang dianjurkan.
Bila dipandang keadaan sedemikian, memang terasa kesedihan melihat kepincangan ummat kita yang begitu ‘tenang’ berhimpun dalam sepahan sampah sarap. Hampir 3 juta ummat Islam yang ada disana hanya mampu memandang sahaja lemparan sampah di segenap pelusuk bumi yang diiktiraf suci oleh ALLAH s.w.t. Lebih menyedihkan bila mengenangkan sampah yang bertaburan itu terhasil dari tangan-tangan jutaan ummat Islam yang berhimpun demi tujuan ibadah rukun agama yang dianuti. Entah bagaimana fahamnya ummat kita ini akan pentingnya bersama menjaga kebersihan persekitaran?
Sebelum musim haji menjelma, Malaysia digemparkan dengan perhimpunan “haram” bersih. Pelbagai reaksi ditunjukkan oleh lapisan masyarakat. Tidak dapat dinafikan ummat Islam di sini adalah antara yang paling ramai menyokong perjuangan ‘Bersih 2.0’ berbanding kaum lain. Kesungguhan menuntut pembersihan proses yang didakwa berselirat korupsi begitu berjaya menarik minat dan perhatian meskipun diketuai seorang pejuang ‘demokrasi tanpa batasan’ yang juga sebelumnya menuntut pemansuhan sekatan kebebasan beragama bagi seluruh rakyat Malaysia. Tolak tepi bab pejuang demokrasi... Alangkah baiknya andai semangat mahukan BERSIH persekitaran juga kuat di hati jemaah haji sewaktu bermalam di Mina.
Alhamdulillah, tuntutan ibadah haji tetap berjalan sebagaimana suruhan Tuhan meskipun dilalui dengan pencemaran persekitaran. Memang benar membuang sampah merata-rata tidak termaktub dalam larangan ketika berihram atau amalan yang dikenakan dam, namun pencerminan keperibadian ummat Islam yang dituntut menghargai kebersihan sebagai sebahagian tuntutan keimanan masih belum mencapai tahap yang boleh dibanggakan. Meskipun boleh dijawab, “biarkanlah nanti sampah ini semuanya akan dibersihkan pihak penguasa tempatan”, kebersihan tetap perlu diberikan penghayatan.
Barangkali inilah juga dilemma yang sedang melanda ummat Islam sejagat. Di antara kemahuan menegakkan syiar Islam dengan kesungguhan berkorban untuk keharmonian yang dituntut dalam agama, kita masih canggung menyusun kedudukan nilai kepentingannya. Di antara keinginan mendukung panji kebenaran agama yang sempurna dengan cabaran semasa yang bersarang dalam kelam sikap dan keperibadian, ummat kita nyata masih sukar menyesuaikan usaha sejajar tuntutan. Bagaimana mungkin Islam benar-benar ditegakkan dengan kesungguhan berkadar suku atau hanya sebahagian?
Apapun jua ungkapan syukur yang tidak terhingga dipanjatkan ke hadrat ALLAH Tuhan Sekalian Alam kerana memungkinkan perjalanan ibadah haji tahun ini. Kepada para petugas yang berkhidmat kepada para jemaah haji, semoga ALLAH s.w.t memberikan ganjaran kebaikan yang berpanjangan. Sekalung tahniah juga kepada pihak pengurusan haji khususnya kerajaan Arab Saudi yang memperuntukkan ribuan tenaga kerja untuk menjaga kepentingan jutaan jemaah yang hadir menyahut seruan haji.
Tidak dilupakan juga jasa baik pengurusan Tabung Haji yang berjaya menyediakan keperluan para jemaah haji Malaysia meskipun gagal memberikan pemahaman lengkap kepada Ketua Negara berkenaan manasik haji dan juga kegagalan menasihati isteri beliau agar menghormati hukum Tuhan berkaitan jambul yang sepatutnya disimpan ketika berada di Tanah Suci. Secara amnya perjalanan ibadah haji tahun ini berkesudahan tanpa insiden besar yang menggemparkan. Sekalung tahniah juga diucapkan buat pakej travel persendirian yang membantu para jemaah haji menunaikan ibadah ini.
Cuti am yang dinikmati rakyat Malaysia apabila tahun hijrah berganti juga adalah suatu rahmat kepada Negara ini yang mengiktiraf Islam sebagai agama rasminya. Banyak program di sini sana yang bercerita kisah penghijrahan ummat Islam dari Makkah ke Madinah untuk dihayati segala iktibar yang dapat diceduk darinya. Menyorot kembali sebuah hadith tersohor yang diungkapkan oleh Baginda Nabi s.a.w ketika berlakunya peristiwa hijrah ini:
“Setiap amalan itu tertakluk kepada niat. Dan setiap perkara itu disandarkan kepada apa yang diniatkan oleh pelakunya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana ALLAH dan Rasulnya, maka hijrahnya adalah kepada ALLAH dan Rasulnya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana inginkan dunia atau kerana wanita yang ingin dinikahinya, maka baginya adalah apa yang diniatkan – aw kama qal”
Begitu besar kesinambungan ungkapan Rasululllah s.a.w yang mulia ini. Niat yang pada hakikatnya hanya diketahui oleh ALLAH s.w.t dan pelaku itu sendiri adalah perkara pokok dalam segala tindakan. Justeru bukan hak manusia untuk menilai perilaku seseorang terutamanya yang sedang kelihatan berada di jalan ALLAH s.w.t. Terbatasnya keupayaan minda manusia untuk menyingkap niat yang tersirat di hati orang lain adalah suatu bentuk keterbatasan yang pastinya sengaja ALLAH s.w.t simpan sebagai pengetahuanNya secara eksklusif dengan hikmah.
Maka apabila terluah sesebuah kenyataan yang menampakkan kekurangan pengetahuan seseorang, tidak adil untuk kita sewenang-wenangnya menyimpulkan niat si anu itu begini atau begitu. Bersangka baik adalah anjuran praktikal dalam Islam. Hatta jika ingin disokong kesilapan seseorang yang dilakukan kerana kedangkalan pengetahuannya, cukuplah sekadar membuat andaian ‘mungkin si anu itu...’ dan bukannya berkeras dengan ‘sebenarnya maksud si anu...’ walhal hakikatnya si anu memang tak faham, yang akhirnya mencetus kekeliruan yang lebih seperti dalam kes tweeter kepala Negara dan keengganan isterinya menyembunyikan jambul di Tanah Haram.
Begitu juga halnya dengan hujjah yang menyangkal segala amalan ibadah kerana pertikaian bida’ah di awal Muharram dan hari Tasu’a serta Asyura. Ummat Islam yang masih beramal dengan budaya di Malaysia secara amnya perlukan “Tahsin” atau penambahbaikan dalam penghayatan ibadah. Meskipun di mata mereka yang mendakwa sebenar-benar pendukung Sunnah segala tambahan ibadah itu adalah bida’ah, berlembut bahasa sewaktu memperbetulkan pemahaman asas kepercayaan budaya dengan hikmah dakwah adalah suatu tuntutan.
Sebagaimana yang diingatkan dalam hadith berkenaan niat, ummat Islam yang mahu beramal dengan sesuatu amalan ibadah harus sentiasa berusaha untuk menghayati ibadah tersebut dengan niat yang ikhlas dan amalan yang sejajar dengan kaedah yang diterima dalam Islam. Rujukan kepada hadith yang sahih serta perlakuan para ulama yang sentiasa berpegang kepada nas dan dalil yang benar adalah perlu. Beribadah bukan sekadar ikut-ikutan semata-mata. Pemahaman yang bernas dan berdalil akan dapat membantu penghayatan ibadah dengan lebih baik dan bersih.
Contoh keperibadian Rasulullah s.a.w yang lemah lembut dalam bertutur dan berbicara ketika mengajarkan agama harus sentiasa diingati oleh para pendukung dakwah Islamiyah. Seandainya sesuatu amalan ibadah yang berbaur budaya itu sememangnya jelas bercanggah dengan akidah dan syariah, maka tidak salah untuk ditegah. Namun seandainya sesuatu amalan itu boleh diperindah dengan menambah penghayatan dan pemahaman tentang hakikat kebenaran, gunakanlah teknik ‘Tahsin’ untuk menggalakkan ummat meningkatkan ibadah dengan cara yang benar-benar diredhai ALLAH s.w.t.
Memang banyak pengaruh salah seperti Israiliyat dan syiah laknatullah dalam budaya ibadah masyarakat kita. Pembersihan elemen ini dari budaya ibadah orang kita perlukan teknik persuasive yang tidak menghentam semata-mata dengan berkeras atau istilah Arabnya “Tasyaddud”. Para penyebar risalah dakwah dan Sunnah Rasulullah s.a.w perlu sentiasa mengingatkan diri masing-masing bahawa teknik dakwah dan tarbiyah yang dijalankan oleh Rasulullah s.a.w sentiasa menitikberatkan hikmah dan ukhuwwah. Berkeraslah pada tempatnya kerana sesungguhnya ALLAH s.w.t maha lembut terhadap hamba-hambaNya. Wallahu a’lam.
By: Towil
Comments
Post a Comment