Skip to main content

Isu & Masa

“Dua perkara yang merosakkan bangsa; Rasuah & Tak Tepati Masa”, dialog Khir Rahman dalam citer ROCK oleh Bro Mamat Khalid. Sinis bunyinya ayat tu tapi kalau diamati maksudnya secara mendalam, memang banyak tersirat kebenarannya. Mungkin ada yang perasan mesej ini secara am dan mungkin juga ada yang anggap ianya sekadar jenaka yang mengisi ruang filem ROCK yang bersifat hiburan semata-mata. Apapun tanggapan penonton, aku nak ucap tahniah untuk Bro Mamat Khalid sebab hasilkan karya-karya yang bukan sekadar menghiburkan tapi mampu mengajak berfikir.

Jika disorot peredaran masa berdasarkan pengetahuan manusia semata-mata, jelas akan ternampak betapa keterbatasan akal yang dianugerahkan kepada kita tidak cukup kuat untuk menjadi sandaran mentadbir dunia. Demikian juga halnya sewaktu para malaikat bertanya kepada ALLAH ketika ALLAH menyatakan hasratNya mahu menjadikan manusia sebagai Khalifah pentadbir dunia. “Adakah layak dijadikan di dunia ini mereka yang merosakkannya serta menumpahkan darah?”, soal para malaikat kepada ALLAH. Dengan mudah ALLAH menjawab, “Aku lebih mengetahui apa yang tidak kamu ketahui”.

Kalau kita baca tafsir AlQur’an, banyak sumpah ALLAH s.w.t yang bertunjangkan masa. Demi masa… Asar, Fajar, Malam, Dhuha dan sebagainya. Kesemua masa yang disebut secara khusus dalam ayat-ayat AlQur’an juga punya maksud yang mendalam malahan lebih lagi ianya malar segar kerana sememangnya Kebijaksanaan ALLAH mengatasi segalanya. Persoalannya bukan sekadar ‘Bila’ tetapi turut merangkumi ‘Siapa’, ‘Mengapa’ dan ada ketikanya juga ‘Bagaimana’? Maha Suci Tuhan Sekalian Alam Yang Maha Bijaksana.

Kebijaksanaan Tuhan dalam mendatangkan ujian kepada para hambaNya juga banyak yang bersangga faktor masa. Ada ketikanya ujian kesenangan yang melimpah ruah didatangkan dalam sesuatu tempoh masa yang mengakibatkan manusia terlupa betapa tidak mustahil bagi ALLAH untuk mengubah suasana dalam sekelip mata seperti kisah bumi Saba’. Fir’aun misalnya tidak pernah demam sepanjang hayatnya manakala Qarun tidak terhitung banyaknya emas dan harta dalam simpanannya. Namun semuanya sampai jua ke titik akhir saat dan ketikanya.

Begitu juga dengan ujian kepayahan yang melanda ummat terdahulu dan masakini. Nabi ALLAH Ayyub a.s. misalnya diuji dengan kematian semua zuriatnya dalam suatu masa sebelum didatangkan sakit kepadanya. Rasulullah s.a.w yang mulia juga diuji dengan pelbagai perkara sepanjang usaha dakwahnya di bumi Makkah tanah kelahirannya selama 13 tahun semenjak Baginda ditabalkan kerasulannya. Semua ini dan banyak lagi keperitan ujian Tuhan terhadap hambaNya berakhir dengan keselesaan jua seperti mana janjiNya bahawa setiap kesukaran itu beriringan dengannya adalah kesenangan.

Ujian paling relevan ummat akhir zaman adalah ilmu pengetahuan. Demikian maksud tersirat turunnya wahyu pertama yang menobatkan Muhammad bin Abdullah bin Abdulmuttalib dengan kerasulan apabila Jibril a.s. menyuruhnya membaca dengan ‘IQRA’. Hari ini dan seterusnya semakin jelas kepada kita semua betapa perlunya kita membaca atau dalam ertikata lainnya menambahkan ilmu. Kadar literasi yang tinggi pada hari ini adalah suatu kemestian jika kita mahu menjadi insan yang berkesedaran dunia dan akhirat.

Faktor masa dan ilmu pengetahuan pada hari ini semakin relevan dengan meningkatnya kepenggunaan media massa arus perdana dan alternatif. Saban hari kita disogok pelbagai cerita yang bersifat cereka, tahyul, mistik, partisan, fitnah, persuasif dan sebagainya sehingga semakin sukar membezakan antara yang benar nyata dan tipu belaka. Kepandaian manusia dalam dunia hari ini mereka cerita juga terkadang mampu dan berjaya melazimkan pembohongan sebagai kebenaran dan juga sebaliknya. Lebih-lebih lagi mereka yang handal merangka pementasan cerita dengan realiti masa.

Ada kalanya bila diamati susunan dan rentetan sesuatu peristiwa secara berkala, dapat kita perhatikan secara tersirat susur galur perkara sebenar yang sengaja dijalinkan dengan perihal kejadian tersebut menerusi penceritaan dan laporan mengenainya. Semakin berpolar sesuatu isu, maka semakin lazimlah kebarangkalian wujudnya pihak partisan yang mahu mengawal halatuju tanggapan yang dapat dilentur melalui isu itu. Kemahiran ini sebenarnya bukan perkara baru, cuma akhir-akhir ini kelihatan seakan-akan semakin ketara penggunaannya menerusi dunia teknologi berinformasi.

Contoh yang mudah dan ketara adalah Wikileaks. Dakwaan kebocoran maklumat sulit dan rahsia yang diistilahkan sebagai ‘kebenaran’ oleh pelopor berbangsa Yahudi yang mendalangi laman web ini pernah mendapat liputan meluas yang juga meningkatkan populariti serta kredibiliti mereka sebagai pembocor rahsia. Ramai yang mungkin semakin sedar bahawa mereka sebenarnya juga diperguna pihak-pihak tertentu untuk sama-sama menyebarkan maklumat yang membentuk tanggapan demi merasionalkan sesuatu tindakan atau menolak sesuatu anggapan.

Faktor masa bagi sesuatu pendedahan mahupun kejadian atau keputusan juga semakin hari semakin unik kedudukannya. Bagi pihak yang memegang kuasa untuk mengawal ketika yang sesuai bagi mendedahkan sesuatu isu, sudah tentulah ianya suatu kelebihan kepada mereka khususnya apabila berdepan dengan pengkritik dan penentang fahaman serta perjuangan yang mereka bawa. Namun bagi pihak yang satu lagi, ketidakadilan kuasa yang sentiasa cuba menentukan apa serta bila masanya sesuatu isu perlu dimaklumatkan ke arah sesuatu pandangan yang partisan, ini adalah sejenis kezaliman.

Justeru bagi orang awam yang sebenarnya sentiasa menjadi sasaran polarisasi sesuatu tanggapan demi meraih sokongan atau sentimen berlawanan, amat perlu kita berhati-hati setiap kali mendengar sesuatu isu diputarkan menerusi apa jua saluran. Seperkara yang suatu ketika dahulu lebih mudah dikawal kaedah penyebarannya, kini semakin rancak diperguna melalui saluran yang pelbagai dan berbeza. Hasil yang dikehendaki barangkali masih sama bagi pihak-pihak tertentu yang ligat mencorak dan mempersembahkan sesuatu hasrat dengan muslihat.

Hari ini sebagaimana semalam dan lebih 1400 tahun yang lalu, kebenaran Tuhan yang dibawakan oleh Rasul pilihan tetap layak menjadi rujukan harian. AlQur’an Kalam Tuhan serta Sunnah amalan Rasulullah s.a.w tetap relevan untuk dihayati dan dipraktikkan sebagaimana pesanan berkenaannya yang disampaikan oleh Baginda Nabi dan Rasul Terakhir yang diutuskan di kalangan insan. Kedua sumber maklumat ini sebenarnya sudah mencukupi untuk kita ambil dan jadikan asas pertimbangan sebelum mengambil keputusan terhadap apa jua tindakan yang mahu kita laksanakan dalam kehidupan.

Biarlah sesetengah manusia terutamanya yang punya kuasa dunia ini terus-terusan memperguna dan mengamalkan teknik mengawal tanggapan asalkan kita yang menjadi sasaran tidak mudah terkesan dengan propaganda yang disampaikan. Kaedah menampan jolokan serta mengenalpasti umpanan agar tidak mudah terkesan dengan fikrah partisan yang merosakkan ini masih sama sepertimana yang pernah diingatkan di dalam “Khutbah Selamat Tinggal” yang diucapkan oleh Rasulullah s.a.w.

Penuhkanlah ruang yang ada di dalam kotak fikiran kita dengan saranan selain suruhan dan tegahan Tuhan Yang Menjadikan. Sekiranya kemalasan memahami agama yang dianuti terus-terusan merantai diri, usahakanlah agar sikap sebegini tidak beraja di mata dan bersultan di jiwa. Islam adalah agama yang amat menitikberatkan ilmu pengetahuan secara dinamis. Pemikiran jumud konservatif yang negatif dan tidak dapat menyerap budaya konstruktif yang positif adalah suatu kerugian buat ummat hari ini yang semakin dilemahkan dengan segala macam hiburan yang melalaikan.

Hiburan itu sendiri pada asasnya bukan suatu dosa sekiranya ia tidak melalaikan, sentiasa mengagungkan kebesaran Tuhan dan saling mengingatkan perihal tanggugjawab sesama insan yang juga merupakan tujuan ALLAH menghadiahkan agama kepada manusia. Gunakanlah apa jua yang diamanahkan kepada kita samada kuasa, harta, bakat, masa dan usia ke arah yang bersesuaian dengan fitrah kejadian semenjak kita dilahirkan sehinggalah sampai saatnya kita dijemput mengadap DIA.

Dalam mendepani apa jua permainan isu dan masa yang galak diguna sesetengah manusia, kita sebagai hambaNya yang dianugerahkan akal dan iman harus cekal dan pintar menggunakan segala kelebihan dan kekuatan mengatasi kekurangan dan kelemahan. Selebihnya serahkan sahaja kepada ALLAH; Tuhan Yang Maha Berkuasa, Pencipta Segala lagi Maha Mengerti apapun jua. Wallahu a’lam.

By: Towil

Comments

Popular posts from this blog

Siapa AHZAB?

Qunut Nazilah. "Ya Allah kami letakkan kamu di batang leher musuh-musuh kami, Dan kami berlindung Dengan-Mu dari kejahatan mereka, “Ya Allah hancurkan kumpulan mereka, “Ya Allah pecahkan pakatan mereka, “Ya Allah leburkan penderian mereka, “Ya Allah musnahkan langkah mereka, Cengkamkan anjing-anjing-Mu kepada mereka, “Ya Allah Yang Maha Memaksa, “Ya Allah Yang Maha Perkasa, “Ya Allah Yang Maha Membalas, “Ya Allah,“Ya Allah, “Ya Allah, Yang turunkan kitab, Yang gerakkan awan, Yang tewaskan tentera Ahzab, Kalahkan mereka, Kalahkan mereka, Kalahkan mereka Dan menangkanlah ke atas kami." Doa Qunut Nazilah adalah doa yang sama diseru oleh para pembela Palestine, Syria, Iraq, Rohingya, Central Africa, East Turkistan (Uyghur), Chechnya, Ahwaz (Sunni Iran), dll apabila Ummat Islam dizalimi PERANG yang membunuh, memperkosa dan mencabul segala hak asasi manusia. DALIL PENSYARIATAN QUNUT NAZILAH Daripada Anas bin Malik RA: أَنَّ رِعْلاً وَذَكْوَانَ وَعُصَيَّةَ وَبَنِي لَحْي

Cerita Kampung Istana

“Ady tak setuju lah dengan cara sesetengah orang tua-tua sini cakap pasal masjid lama tu”. Terpegun sekejap aku dengar Ady cakap macam tu. Bukan apa…  aku memang tak sangka anak muda berusia 20an yang sekali imbas dengan rambut paras bahu, berseluar jeans lusuh, dengan kemeja-T bercapuk cat sebab baru balik kerja tiba-tiba bagi komen pasal masjid di kampungnya. Aku takjub sebab Ady masih nak ambil tahu pasal cerita masjid lama di kampungnya yang kini sudah tidak lagi digunakan kerana sudah ada masjid baru sebelah sekolah agama. Tambah terkesima aku dengan apa yang Ady tahu berkenaan sejarah masjid lama kampungnya yang dibina pada zaman selepas British keluar dari Tanah Melayu. “Ada orang kampong sini cakap memang eloklah dipindahkan masjid ke tapak baru sebab asal tapak tanah masjid lama tu pun bukan baik sangat. Sebelum dibina masjid, tapak tanah tu ada kedai kopi tentera British. Faham-faham sajalah kalau zaman dulu kedai kopi dan rumah tumpangan orang putih mestilah banyak b

Kopi Tongkat Ali; Nak Tambah Kuat Lagi?

Abang mau itoo tulur sitengah masak ka? Sudah minum tongkat ali, makan tulur la bang… kasi power kuat punya… Tanggapan. Aku ingatkan mamak yang ambik order tadi memang rekomen telur separuh masak untuk digandingkan dengan kopi tongkat ali 5 dalam 1 sebab boleh tambah tenaga orang jantan. Tapi bila aku fikirkan balik, alahhh… dia meniaga, memanglah suka pelanggan yang macam-macam ordernya. Kopi Tongkat Ali; apa sebenarnya yang dijual? Serbuk kopi segera… dengan KHASIAT memperkuatkan tenaga. Boleh kaya orang yang jual kopi segera ini di Malaysia. Sampai mampu bagi hadiah pertandingan satu juta.