Skip to main content

Kerana Syurga Bukan Percuma

“Kadangkala kefakiran menjerumuskan kepada kekufuran”
Ujar Muhammad s.a.w kepada para sahabatnya yang lazim mendengar dengan penuh ketaatan. Agaknya berapa peratus jumlah ‘kadangkala’ yang disebut dalam hadith ini menjadi statistik semasa? Dalam dunia serba canggih dengan segala macam teknologi yang memudahkan pada hari ini, nampak gayanya tak kurang juga yang kufur bukan kerana fakir. Malahan mungkin lebih banyak jumlahnya yang kufur dalam berada.

Mengimbau kisah-kisah tulisan Wahid Kasran di Utusan yang suatu ketika dahulu merupakan bacaan popular mingguan sekitar tahun 90an, banyak juga kedapatan kisah manusia melayan nafsu dengan imbuhan keduniaan. Tak kurang juga yang memperdagangkannya untuk imbuhan yang sama. Polarisasi fikrah manusia yang dipancang dan diperdaya dengan harta, kuasa dan serakah jantina adalah agenda lapuk Iblis dan sekutunya semenjak kita mendiami bumi tetapi masih tegar kita lalui berulang kali sehingga ke hari ini.

Memang lumrah manusia sentiasa mengulangi kesalahan nenek moyang mereka. Sejarah dunia yang berputar terus dibelenggu kisah telingkah dan kerakusan nafsu manusia yang bertelagah. Kisah-kisah sebegini, samada yang termaktub dalam sejarah mahupun yang tersembunyi meliputi segenap lapisan masyarakat. Tak kira fakir mahupun milyanar, kalau diamati resam pengkisahan tersasar dari jalan kerahmatan Tuhan, semua jenis status pun ada. Lantaran kekufuran atas apa jua bentuk kenikmatan, manusia tak segan bermandi kemaksiatan.

Sebagai makhluk sosial, manusia secara amnya perlukan orang lain untuk mengimbangi keharmonian sesebuah masyarakat. Sikap ambil peduli, saling menegur dan menasihati adalah suatu kemestian jika kita mahu hidup dalam kelompok yang aman. Pencerobohan hak sesama insan adalah lumrah yang sentiasa berlaku tak kira tempat dan keadaan. Apa yang menentukan adakah aman atau sebaliknya kehidupan sesebuah kawasan pada hakikatnya adalah kadar wujudnya kebaikan atau kejahatan di situ.

Di peringkat individu juga begitu. Apabila banyak kebaikan, dengan sendirinya akan lenyap kejahatan. Konsepnya lebih mudah dianalogikan kepada cahaya dan kegelapan. Cahaya dapat diukur kadarnya sedangkan kegelapan hanya diukur atas kadar ketiadaan cahaya. Begitu juga halnya kebaikan yang menjauhkan kejahatan. Kekufuran tidak kira samada atas kepercayaan aqidah ketuhanan mahupun kekufuran atas nikmat juga punya aspek punca dan kesan (cause & effect) yang berkait rapat dengan kadar wujudnya kebaikan dan kejahatan.

Justeru selayaknya disimpulkan perihal kehidupan kita ini, samada di peringkat individu, masyarakat setempat mahupun Negara, tertakluk kepada kadar kebaikan dan kejahatan. Kecenderungan nafsu semata-mata akan sentiasa menjurus kepada kepentingan yang menguntungkan, menyenangkan, mengenyangkan dan memuaskan pihak tertentu tanpa mengira keseimbangan baik atau buruk untuk pihak lain. Ini mencakupi segala aspek fizikal dunia termasuk nafsu berharta, berkuasa dan sebagainya.

Untuk berdepan dengan nafsu individu dan kolektif, cuma ada satu jalan iaitu Iman. Keimanan yang percaya kepada Tuhan pula sifatnya tidak boleh dipisahkan dari kepercayaan terhadap pembalasan di hari kemudian sebagaimana yang banyak disebut secara bergandingan dalam AlQur’an Kalam Tuhan. Dengan suburnya keimanan yang benar-benar hak sahaja manusia mampu mendepani ujian nafsu, tanpa mengira status kebendaan dan kedudukan di mata dunia. Syurga ALLAH dan nerakaNYA adalah justifikasi rasional kepada amalan hidup di dunia ini sebagai balasan di sana nanti.

Hakikat perjuangan hidup setiap insan adalah sebagaimana yang pernah diriwayatkan sewaktu Rasul Junjungan Muhammad s.a.w dan para sahabatnya baru pulang dari perang Badar.
“Kita baru pulang dari sebuah peperangan untuk berhadapan dengan perang yang lebih besar”
Tutur Muhammad s.a.w mengingatkan sahabat-sahabatnya akan perang dalaman menentang hawa nafsu yang berterusan. Jihad yang lebih besar dari berperang di medan mempertahankan agama dari serangan musyrikin adalah jihad menentang nafsu yang memesongkan.

Ketidakseimbangan dan kecelaruan dalam kehidupan dunia kita hari ini boleh dikonklusikan sebagai kesan kegagalan kita berdepan dengan nafsu dan keinginan masing-masing. Dalam struktur sesebuah masyarakat juga begitulah timbangannya. Apabila golongan ketua sekelompok manusia yang memimpin mampu meletakkan nafsu mereka di tangga ketiga selepas Iman dan aqal, lazim dapat dilihat kesejahteraan menyelimuti kelompok pimpinan mereka meskipun tidak dilimpahi harta kemewahan.

Apa yang lebih mudah kita perhatikan hari ini adalah kedapatan banyak masyarakat yang berantakan di serata dunia khususnya di negara-negara yang didiami ummat Islam. Sebenarnya agak mudah untuk difahami mengapa jadi begini seandainya rasional kita ditumpukan kepada nilai menghargai kebaikan dan menolak keburukan atas dasar keimanan kepada Tuhan dan hari pembalasan. Di kedua pihak; pucuk pimpinan dan rakyat, masing-masing perlukan keikhlasan yang didasarkan kepada Iman. Simbiosis antara keimanan dan sikap keperibadian insan adalah faktor utama wujudnya keharmonian.

Matlamat mencapai kesejahteraan adalah sebenarnya kesan kepada proses pengukuhan Iman. Rasional ini mudah ditolak apabila perspektif ideologis sekularis, hedonis, materialis dan sebagainya yang berpaksikan kekufuran dijadikan asas pemikiran. Secara amnya ramai manusia yang memilih logik akal yang mahukan rasional dunia kepada dunia. Asas ini tidak selari dengan Iman yang mempertimbangkan dunia kepada akhirat. Kekelabuan berpandangan inilah yang mendorong manusia bercakaran kerana masing-masing ingin memunya dan memiliki.

Rantaian keinginan nafsu memiliki dunia ini diterjemahkan oleh manusia dalam perlakuan yang saling tak tumpah macam kerajaan haiwan berperi kebinatangan; siapa kuat dialah kudrat. Buatlah apa sahaja asal tercapai segala yang dicita. Gapailah kuasa demi mencapai harta. Bolotlah harta demi nak pegang kuasa. Ada harta, ada kuasa, dunia ini aku yang punya. Begitulah bisikan halus iblis berpaksikan dunia kepada dunia yang menusuk kalbu manusia sehingga kesan yang menjejaskan keharmonian sesama insan tidak lagi perlu diutama.

Kebijaksanaan logik manusia sentiasa terbatas kadarnya. Pandang dan lihatlah apa yang telah kita cipta di atas muka bumi ini yang memberi kesan kepada kerosakan dunia samada secara langsung mahupun tidak langsung. Kalau diamati dan dihalusi ciptaan manusia, apabila aspek perkaitan dunia kepada akhirat mudah dilupa, pasti ciptaan itu akan merosakkan akhirnya. Tidak kira samada ciptaan itu berbentuk fizikal yang boleh dipegang mahupun sekadar dalam bentuk mental yang logik difikirkan.

Maha suci ALLAH yang Maha Bijaksana. Setelah diciptakan manusia di dunia, diberikan pula panduan untuk menjalani kehidupan agar kelak bila dijemput mengadapNYA beroleh pula Syurga yang kekal selamanya. Manual menjalani kehidupan duniawi yang dijamin takkan sesat selamanya telah diungkap oleh Muhammad s.a.w sewaktu berkhutbah dalam ibadah hajinya yang terakhir,
“daku tinggalkan bagi kamu dua perkara. Tidak akan sesat selamanya jika kamu berpegang kepadanya; AlQur’an dan Sunnahku”, aw kama qal.
Begitulah hakikatnya betapa Sang Pencipta manusia mahukan hambaNYA masuk syurga. Atas segala sifat, kehebatan, kebijaksanaan, kerahmatan dan keagunganNya, kita diberikan pula kebebasan untuk menurut atau engkar akan kehendakNYA tanpa secara automatik dihukum di dunia. Kalau rasa nak syurga, ikutlah jalannya, tapi kalau rasa nak ikut budi bicara nafsu dan logik akal semata-mata, jangan lupa nanti di sana ada kira-kira.

Rezeki juga ALLAH yang punya, DIA yang bagi kepada manusia. Kita ini cuma berusaha. Walau dah dapat apa yang diusaha, masih bukan milik kita. Belilah apa sahaja yang mahu dirasa bila mampu membelinya sebab Tuhan takkan miskin bila hambaNYA bertambah kaya. Buatlah apa sahaja demi menurutkan serakah dunia kerana DIA juga takkan lemah bila manusia rasa makin gagah. Bagi yang teguh dalam Iman, teruskanlah percaya setiap amalan ada perkiraan, setiap ujian ada balasan, setiap musibah ada hikmah. Dek kerana keterbatasan akal manusia, mungkin kita sahaja yang tak mampu memahaminya… kerana syurga bukan percuma. Wallahu a’lam.

By: Towil

Comments

Ziarah76 said…
masya-Allah, sedap membaca tulisan ni.

Antara petikan menarik:

"nampak gayanya tak kurang juga yang kufur bukan kerana fakir. Malahan mungkin lebih banyak jumlahnya yang kufur dalam berada."

"Untuk berdepan dengan nafsu individu dan kolektif, cuma ada satu jalan iaitu Iman."

"setiap amalan ada perkiraan, setiap ujian ada balasan, setiap musibah ada hikmah. Dek kerana keterbatasan akal manusia, mungkin kita sahaja yang tak mampu memahaminya… kerana syurga bukan percuma."

--towel, benarlah apa yg tuan nukilkan, mudah-mudahan kita mendapat manfaat, taufik dan hidayat.
towil said…
ALLAH Maha Besar, MUHAMMAD Sentiasa Benar.

Popular posts from this blog

Siapa AHZAB?

Qunut Nazilah. "Ya Allah kami letakkan kamu di batang leher musuh-musuh kami, Dan kami berlindung Dengan-Mu dari kejahatan mereka, “Ya Allah hancurkan kumpulan mereka, “Ya Allah pecahkan pakatan mereka, “Ya Allah leburkan penderian mereka, “Ya Allah musnahkan langkah mereka, Cengkamkan anjing-anjing-Mu kepada mereka, “Ya Allah Yang Maha Memaksa, “Ya Allah Yang Maha Perkasa, “Ya Allah Yang Maha Membalas, “Ya Allah,“Ya Allah, “Ya Allah, Yang turunkan kitab, Yang gerakkan awan, Yang tewaskan tentera Ahzab, Kalahkan mereka, Kalahkan mereka, Kalahkan mereka Dan menangkanlah ke atas kami." Doa Qunut Nazilah adalah doa yang sama diseru oleh para pembela Palestine, Syria, Iraq, Rohingya, Central Africa, East Turkistan (Uyghur), Chechnya, Ahwaz (Sunni Iran), dll apabila Ummat Islam dizalimi PERANG yang membunuh, memperkosa dan mencabul segala hak asasi manusia. DALIL PENSYARIATAN QUNUT NAZILAH Daripada Anas bin Malik RA: أَنَّ رِعْلاً وَذَكْوَانَ وَعُصَيَّةَ وَبَنِي لَحْي...

Cerita Kampung Istana

“Ady tak setuju lah dengan cara sesetengah orang tua-tua sini cakap pasal masjid lama tu”. Terpegun sekejap aku dengar Ady cakap macam tu. Bukan apa…  aku memang tak sangka anak muda berusia 20an yang sekali imbas dengan rambut paras bahu, berseluar jeans lusuh, dengan kemeja-T bercapuk cat sebab baru balik kerja tiba-tiba bagi komen pasal masjid di kampungnya. Aku takjub sebab Ady masih nak ambil tahu pasal cerita masjid lama di kampungnya yang kini sudah tidak lagi digunakan kerana sudah ada masjid baru sebelah sekolah agama. Tambah terkesima aku dengan apa yang Ady tahu berkenaan sejarah masjid lama kampungnya yang dibina pada zaman selepas British keluar dari Tanah Melayu. “Ada orang kampong sini cakap memang eloklah dipindahkan masjid ke tapak baru sebab asal tapak tanah masjid lama tu pun bukan baik sangat. Sebelum dibina masjid, tapak tanah tu ada kedai kopi tentera British. Faham-faham sajalah kalau zaman dulu kedai kopi dan rumah tumpangan orang putih mestilah bany...

Kopi Tongkat Ali; Nak Tambah Kuat Lagi?

Abang mau itoo tulur sitengah masak ka? Sudah minum tongkat ali, makan tulur la bang… kasi power kuat punya… Tanggapan. Aku ingatkan mamak yang ambik order tadi memang rekomen telur separuh masak untuk digandingkan dengan kopi tongkat ali 5 dalam 1 sebab boleh tambah tenaga orang jantan. Tapi bila aku fikirkan balik, alahhh… dia meniaga, memanglah suka pelanggan yang macam-macam ordernya. Kopi Tongkat Ali; apa sebenarnya yang dijual? Serbuk kopi segera… dengan KHASIAT memperkuatkan tenaga. Boleh kaya orang yang jual kopi segera ini di Malaysia. Sampai mampu bagi hadiah pertandingan satu juta.