Skip to main content

Posts

Showing posts with the label berita

Celik Memandang Yang Jelek

Seimbangnya pandangan manusia bila celik mata hati, minda, naluri, emosi dan jiwa selain sepasang mata di bahagian hadapan muka. Kerap kita dengar ungkapan “pandang sebelah mata” yang membawa maksud acuh tak acuh. Dalam senario dunia hari ini, makin muak rasanya bila saban hari kita disogok berita dan fitnah yang bertali arus tak putus-putus. Baik di persada tempatan mahupun di pelantar dunia, pelbagai cerita bersulam dusta dicanang merata-rata. Media; baik di arus perdana, layar utama mahupun alternatif sahaja seakan dirasuki kegilaan menjaja pembohongan yang nyata. Apa mahunya kita dengan segala yang didedahkan secara menjolok mata? Sampai bila agaknya kita mahu dunia kita terus-terusan diconteng kecamuk berita yang bukan sahaja tidak membina sahsiah dan pemikiran malah semberono mempromosikan moral, etika dan akhlak terhina bahkan terkadang songsang yang bertentangan fitrah manusia. Itu belum dikira benar atau tidaknya berita sebegini yang disebarkan sesuka hati di sana sini.