Skip to main content

Emosi Benci Dan Suka Dalam Persepsi Kita


“Kalo kou aku dah benchi, keturonan kou pon aku tak mau. Anak kou tak ada. Aku dah bagi sama orang”
Berdesing dialog Mak Dara yang pegang watak Ibu Mertuaku menghina Kassem Selamat lakonan P.Ramlee. Sampai macam tu sekali luahan kata watak Ibu Mertua yang busuk hati bencikan sangat ahlil mujik digambarkan di layar perak. Padahal kalau ikut jalan cerita, Mak Dara yang buta huruf cuma berbohong pasal anaknya Sabariah yang sebenarnya dah dikahwinkan dengan Doktor Ismadi dengan cucunya dipakejkan sekali. Berkesan sungguh emosi lakonan Mak Dara sampai memang benci betul penonton yang tengok wataknya.




ALLAH s.w.t berfirman:

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui” (al-Baqarah: 216)
Antara ketahuan atau tidak akan hikmah mahupun perihal sebenar, rasa benci atau suka adalah sebahagian dari keunikan yang dikurnia oleh Sang Pencipta manusia sekaliannya. Semua kita punya rasa yang menjadikan kita normal sebagai manusia. Ada ketikanya rasa atau emosi yang terbit dalam diri kita ini berpada-pada namun tak kurang juga ketikanya rasa itu membuak-buak kadarnya sehingga mengganggu tahap kewarasan kita untuk berfikir seadilnya. Pasti ada sebabnya mengapa rasa hati kita ini bisa berubah ikut suasana dan keadaan semasa.

Orang tua-tua kata, “ikut hati mati, ikut rasa binasa”. Rasanya kalau kita amati semula segala perilaku dan tindak tanduk kita selama bernafas di muka bumi ini, tidak ada seorang pun yang dikira insan biasa dapat mengelak sepenuhnya dari menurut rasa. Tujuan kejadian emosi dalam diri manusia macam kita ini pasti punya hikmah tersendiri di sisi Tuhan Rabbul ‘izzati. Dengan emosilah kita menghargai rasa cinta meskipun ada masanya ammarah mengaburi mata. Lelaki sempurna bernama Muhammad s.a.w yang hidup lebih 14 abad dahulu juga punya emosi manusia, cuma bezanya dia mampu mengawal emosi itu sepenuhnya.

Dalam ilmu psikologi ‘rasa’ ini diterjemah kepada pelbagai istilah. Ada rasa yang dirujuk kepada nafsu semata-mata. Ada pula yang dirumuskan sebagai keinginan yang bertindakbalas dengan rangsangan di kotak fikiran. Namun secara amnya kita faham apa itu emosi dan rata-rata kebanyakan manusia juga mengerti bahawa emosi ini sifatnya tidak statik. Antara jantina berbeza juga kadar perasaan beremosi tidak sama. Lelaki lazimnya punya rasa yang tidak sehalus wanita meskipun tidak dinafikan dalam serpihan kes-kes tertentu ada jantan yang macam betina dan begitu juga sebaliknya.

Sebagai makhluk sosial, biasanya tindakbalas orang lain terhadap keperibadian dan sikap yang kita tonjolkan juga turut mempengaruhi cara kita beremosi. Terlalu emosional barangkali tidak begitu disukai orang lain yang juga punya emosinya sendiri. Perjalanan hidup setiap jiwa sedari kecil menuju dewasa sebahagian besarnya adalah sebuah pengembaraan mengatur emosi. Sewaktu kecil misalnya masa kita belum faham banyak perkara, orang dewasa di keliling kita yang jadi pemudahcara tapi bila dah besar kita kenalah tanggung sendiri.

Sikap terlalu berahsia pula menyukarkan orang lain memahami siapa kita sehingga susah nak bergaul mesra malahan kadangkala sehingga langsung payah nak berbicara. Kadar kecerdasan akal atau IQ (intellectual quotion) semata-mata dikatakan bukan penentu kejayaan seseorang di dunia. EQ (emotional quotion) atau kecerdasan emosi adalah faktor yang sebenarnya kuat membantu seseorang mendaki tangga usaha untuk berjaya kerana kebolehan menyesuaikan dan mempersembahkan diri di khalayak yang didepani akhirnya yang memutuskan penerimaan atau penolakan usaha itu sendiri.

Menzahirkan rasa yang tercetus dalam hati kepada orang lain adalah salah satu kaedah yang dikatakan dapat mengurangkan tekanan perasaan dalam diri. Sebanyak manakah yang sepatutnya dizahirkan tertakluk kepada kesanggupan peribadi individu tuan punya diri. Oleh kerana manusia secara amnya bersifat sosial sesama manusia lain di sekeliling, meskipun tidak setara kadar pergaulan antara satu sama lain, sensitiviti terhadap perasaan orang lain adalah sebahagian fitrah manusia. Ada yang mudah meluah rasa sedangkan sesetengah yang lain lebih suka memendamkannya.

“Bapaklah yang bersalah dalam soal ini. Bapak membesarkan Sazali dengan secara membabi buta saja. Segala apa kemahuan Sazali bapak tunaikan. Segala apa hajat Sazali bapak sempurnakan, sehingga Sazali pandai cakap bohong sama bapak, sehingga Sazali menipu bapak, menipu untuk kepentingan diri, tetapi bapak hanya… Anakku Sazali”.

Hamburan kata-kata Sazali lakonan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dalam filem “Anakku Sazali” ini meskipun kurang ajar tonasinya tetapi penuh dengan kebenaran yang mengingatkan penonton agar tidak terlalu memanjakan anak sewaktu membesarkan mereka.

Secara amnya Islam menasihatkan agar benci dijuruskan kepada perkara-perkara yang tak disukai oleh agama dan suka lebih baik dipujuk ke arah perkara yang diredhai olehNya. Variasi emosi itu boleh dipecahkan kepada beberapa jenis tapi hakikatnya lebih mudah mengikut definisi ayat yang disebut di atas iaitu dengan klasifikasi berpolar kepada benci atau suka. Cemburu, sedih, gembira, iri hati, marah, bangga dan sebagainya adalah antara pecahan emosi yang lebih spesifik. Menggunakan emosi dalam persepsi terhadap sesuatu perkara ada garis panduannya berdasarkan Kalam Tuhan yang mulia serta Sunnah Nabi s.a.w yang bijaksana.

Dalam apa jua perkara, bersederhana adalah sebaik cara. Tidak kira sama ada bila suka mahupun ketika bencikan apapun jua. Keterlaluan menyukai atau membenci perkara selain dari yang dianjurkan untuk disukai dan dibenci oleh agama lazimnya mendatangkan kesan yang negatif. Begitupun hakikatnya bukan mudah melentur rasa andai jiwa kita tidak cukup tulus bersandar kepada kebenaran Yang Maha Kuasa, lantaran nafsu beraja di mata bersultan di jiwa. Sifat nurani manusia pada asalnya bersih sewaktu dilahirkan ke dunia tetapi pengalaman serta pendidikan yang diterima mencorakkannya kepada pelbagai rupa dan citarasa.

Kebenaran Tuhan itu sifat fitrahnya adalah rasional meskipun adakalanya kelihatan seperti tidak begitu logikal kerana keterbatasan akal kita untuk menjangkau keseluruhan kebenaran itu. Begitulah tersiratnya salah satu maksud ayat 216 yang dipetik dari Surah Al-Baqarah. ALLAH sahajalah yang pantas mengerti segalanya kerana ilmu pengetahuanNya tiada had batasan ruang dan waktu. Sepanjang menghargai kebenaran dalam kehidupan di dunia ini dengan persepsi sebagai seorang insan, APA yang benar perlulah sentiasa didahulukan mengatasi SIAPA yang benar, lebih benar mahupun salah.

Seperkara lagi berkenaan kebenaran Tuhan Yang Maha Kuasa ialah ianya tidak bercanggah antara satu sama lain. Persepsi manusia dalam menafsir situasi dan suasana boleh berbeza bila dipandang dari berlainan kacamata. Adakalanya pihak yang bertelagah mampu berbalah dengan pelbagai hujah yang disandarkan kepada dalil kebenaran Tuhan sehingga nampaknya macam kedua pihak benar belaka. Apabila pihak yang berbalah dan berhujah ini terdiri dari kalangan cerdik pandai dan ilmuan agama, orang ramai yang memerhatikan bicara mereka boleh jadi keliru dek kerana keduanya mendakwa lebih benar dari lawannya.

Justeru apabila kedapatan pihak yang berbantah-bantah, ALLAH s.w.t mengingatkan agar kembali kepada kitabNya sebagaimana yang lazim kita dengari dalam khutbah Jumaat. Saranan ini mudahnya difahami kerana pastinya AlQur’an dan Sunnah itu sahajalah yang layak dipegang dan diperguna oleh manusia untuk dijadikan pedoman dengan jaminan tidak akan dirundung kesesatan selama-lamanya. Janji ALLAH dan RasulNya akan senantiasa benar sepanjang masa. Terpulanglah kepada kita samada nak pilih untuk percaya atau teruskan mengikut rasa emosi yang akan mengutamakan kepentingan diri sendiri jua akhirnya.

Bagi seorang Muslim yang beriman tanpa syarat kepada kebenaran Tuhannya, tidak kira apa pun hujah manusia, hatinya akan tetap terpaut untuk mendahulukan kebenaran itu sendiri. Faktor situasi semasa, kesenangan diri dan keluarga, kedamaian hubungan sesama manusia, kemakmuran harta benda dan segala apa yang bersifat sementara di dunia ini takkan dapat mengatasi kepentingan mendukung kebenaran Tuhan Yang Maha Esa. Lumrah bagi para pendukung panji kebenaran yang diamanah oleh ALLAH bukanlah kesenangan dan kemewahan melimpah ruah tetapi cabaran dan ujian dari pelbagai arah.

Begitulah yang telah dilalui oleh Kekasih ALLAH, Muhammad bin Abdullah dan para sahabatnya ketika membawa panji kebenaran di awal kehadiran Islam di bumi Makkah Al Mukarramah. 13 tahun pertama mereka penuh dengan kezaliman dan penganiayaan musyrikin Makkah sehingga menumpahkan darah mereka yang percaya Tiada Tuhan Selain ALLAH dan Muhammad itu Pesuruh ALLAH. 10 tahun berikutnya sebelum Rasulullah s.a.w dijemput kembali mengadap ALLAH, umat Islam masih diperangi meskipun mereka telah berhijrah ke Madinah Al Munawwarah.

Seandainya emosi menguasai diri Rasulullah s.a.w dan para sahabatnya sepanjang diuji dengan pelbagai mehnah, pasti Islam takkan bertahan sehingga sampai dakwahnya ke seluruh dunia termasuklah kawasan kita di nusantara. Persepsi golongan beriman yang teguh disandarkan kepada kebenaran ALLAH s.w.t meskipun terpaksa berkorban harta dan nyawa selain perancangan ALLAH Yang Maha Bijaksana adalah faktor utama yang telah memungkinkan kita menghirup udara di tanah ini sebagai seorang yang punya akidah Islamiah.

Tepat sebagaimana ramalan Rasulullah s.a.w bahawa Islam akan kembali menjadi agama dagang yang asing di kemudian hari sebagaimana dagangnya ia sewaktu Baginda mula membawanya, hari ini kita dapat lihat betapa ramalan tersebut sedang dilalui generasi masakini. Perbezaan masa antara zaman Baginda dengan kita telah menghasilkan perubahan gaya dan budaya kehidupan yang sangat ketara perbezaannya. Dunia hari ini yang semakin hari tambah sarat dengan informasi yang bercampur baur antara benar, bathil, palsu dan fitnah telah turut menjadikan Islam kembali dagang.

Sebagaimana tuduhan, cacian, cercaan, herdikan dan segala macam hinaan yang pernah dilemparkan kepada Baginda Rasul Junjungan yang mulia seawal kerasulannya, fenomena ini berulang kembali. Ummat Islam hari ini dicaci di pentas dunia. Lebih menyedihkan lagi pada hari ini kutukan ini turut berlarutan antara sesama ummat Islam. Saban hari kita dapat lihat dan dengar telingkah ummat yang sepatutnya bersaudara di pelbagai peringkat dan lapisan masyarakat. Polar ummat hari ini tidak bersatu sekukuh di zaman Nabi s.a.w lagi meskipun AlQur'an telah lengkap diturunkan ke bumi dan ajaran Rasulullah s.a.w masih boleh dicari.

Oleh kerana benci dan suka berada di polar yang bertentangan, sesuatu perkara itu sukar mendapat keduanya dalam satu masa secara serentak dari seseorang individu. Gabungan rasa yang serupa di kalangan ramai mengangkat taraf emosi menjadi sentimen. Hari ini, dek kerana mudahnya berkata-kata di saluran umum, maka siapa sahaja yang benci boleh kutuk dan maki apa saja sesuka hati. Bagi yang suka kepada apa pun jua, boleh dipertahan dengan pelbagai cara termasuk berhelah tipu daya, fitnah durjana, putarbelit agama dan mereka cerita yang terus-terusan mencucuk dan melaga. Atas dasar ‘benci’ dan ‘suka’, manusia sanggup dan sewenangnya cakap dan buat apa saja, walhal ALLAH Maha Mengetahui segala-galanya. Wallahu a’lam.

By: Towil

Comments

Popular posts from this blog

Siapa AHZAB?

Qunut Nazilah. "Ya Allah kami letakkan kamu di batang leher musuh-musuh kami, Dan kami berlindung Dengan-Mu dari kejahatan mereka, “Ya Allah hancurkan kumpulan mereka, “Ya Allah pecahkan pakatan mereka, “Ya Allah leburkan penderian mereka, “Ya Allah musnahkan langkah mereka, Cengkamkan anjing-anjing-Mu kepada mereka, “Ya Allah Yang Maha Memaksa, “Ya Allah Yang Maha Perkasa, “Ya Allah Yang Maha Membalas, “Ya Allah,“Ya Allah, “Ya Allah, Yang turunkan kitab, Yang gerakkan awan, Yang tewaskan tentera Ahzab, Kalahkan mereka, Kalahkan mereka, Kalahkan mereka Dan menangkanlah ke atas kami." Doa Qunut Nazilah adalah doa yang sama diseru oleh para pembela Palestine, Syria, Iraq, Rohingya, Central Africa, East Turkistan (Uyghur), Chechnya, Ahwaz (Sunni Iran), dll apabila Ummat Islam dizalimi PERANG yang membunuh, memperkosa dan mencabul segala hak asasi manusia. DALIL PENSYARIATAN QUNUT NAZILAH Daripada Anas bin Malik RA: أَنَّ رِعْلاً وَذَكْوَانَ وَعُصَيَّةَ وَبَنِي لَحْي...

Cerita Kampung Istana

“Ady tak setuju lah dengan cara sesetengah orang tua-tua sini cakap pasal masjid lama tu”. Terpegun sekejap aku dengar Ady cakap macam tu. Bukan apa…  aku memang tak sangka anak muda berusia 20an yang sekali imbas dengan rambut paras bahu, berseluar jeans lusuh, dengan kemeja-T bercapuk cat sebab baru balik kerja tiba-tiba bagi komen pasal masjid di kampungnya. Aku takjub sebab Ady masih nak ambil tahu pasal cerita masjid lama di kampungnya yang kini sudah tidak lagi digunakan kerana sudah ada masjid baru sebelah sekolah agama. Tambah terkesima aku dengan apa yang Ady tahu berkenaan sejarah masjid lama kampungnya yang dibina pada zaman selepas British keluar dari Tanah Melayu. “Ada orang kampong sini cakap memang eloklah dipindahkan masjid ke tapak baru sebab asal tapak tanah masjid lama tu pun bukan baik sangat. Sebelum dibina masjid, tapak tanah tu ada kedai kopi tentera British. Faham-faham sajalah kalau zaman dulu kedai kopi dan rumah tumpangan orang putih mestilah bany...

Kopi Tongkat Ali; Nak Tambah Kuat Lagi?

Abang mau itoo tulur sitengah masak ka? Sudah minum tongkat ali, makan tulur la bang… kasi power kuat punya… Tanggapan. Aku ingatkan mamak yang ambik order tadi memang rekomen telur separuh masak untuk digandingkan dengan kopi tongkat ali 5 dalam 1 sebab boleh tambah tenaga orang jantan. Tapi bila aku fikirkan balik, alahhh… dia meniaga, memanglah suka pelanggan yang macam-macam ordernya. Kopi Tongkat Ali; apa sebenarnya yang dijual? Serbuk kopi segera… dengan KHASIAT memperkuatkan tenaga. Boleh kaya orang yang jual kopi segera ini di Malaysia. Sampai mampu bagi hadiah pertandingan satu juta.